RSS

61.5.1. KENALI SILAT CEKAK – Sambungan Badan Umpama Raja.

06 Jun

Pegangan Konsep Makan Gerak.

Saya telah katakan bahawa Kebolehan dan keaktifan kaki dan tangan adalah hasil tubuh badan yang sehat. Oleh itu, secara kesimpulannya, maka jagalah tubuh badan kita. Selalu saya ingatkan. Salah satu bahagian yang penting dijaga ialah perut. Jangan PMD. Perut yang sedemikian akan mempengaruhi gerak tangan dan kaki kita dalam persilatan. Aspek ketangkasan dan ketahanan serta stamina akan mudah mempengaruhi kemantapan pergerakan anggota tangan dan kaki. Kelemahannya akan mempengaruhi sifat daya ketahanan diri. Timbul sifat kurang yakin diri dan mudah mengalah.

Kalau tubuh badan bersifat mengalah maka kaki dan tangan juga akan turut mengalah. Bagaimana kaki dan tangan dapat memainkan peranan penting menjaga tubuh badan kalau tubuh badan yang ada itu bersifat lemah. Sebaliknya, tubuh badan yang sihat akan merangsang pergerakan kaki dan tangan untuk bergerak aktif dan lebih ‘bertanggungjawab’.

Ketika tubuh badan berkeadaan sihat maka beringat-ingatlah juga aspek keselamatan diri. Kaki dan tangan banyak gunanya untuk menjaga keselamatan tubuh badan kita. Dalam konteks persilatan, kaki dan tanganlah merupakan anggota utama yang memainkan peranan untuk memelihara tubuh badan. Pertingkatkan kelebihan kaki dan tangan untuk maksud menjaga diri. Apabila berlaku percerobohan lawan maka mudahlah kaki dan tangan menjaga tubuh badan.

Oleh itu, dalam bidang persilatan SC, berilah latihan secukupnya kepada kaki dan tangan. Hal yang demikian akan membolehkan tangan menepis dengan cara yang berkesan dan kaki bertindak membantu gerak yang satu dalam konsep segerak dan konsep makan gerak dalam gerak.

Sememangnya peranan tangan amat besar gunanya untuk melaksanakan tugas menangkis serangan lawan. Umum mengetahui bahawa kaedah menangkis atau menepis serangan lawan digolongkan dalam pengenalan A, B, C dan D. Selalu saya tegaskan betapa kaedah-kaedah itu cukup untuk menjaga keseluruhan tubuh badan. Itulah asas keyakinan yang perlu ada dalam kalangan penuntut Silat Cekak.

Sering kali juga saya tegaskan betapa pentingnya kita mengambil berat akan pelajaran Kaedah. Oleh sebab Kaedah kita ada empat maka eloklah kaedah-kaedah itu dipelajari dalam empat kali latihan. Latihan yang bersungguh adalah amat penting. Jangan gopoh untuk menyampaikan kesemua pelajaran dalam masa yang singkat. Sifat gopoh atau terburu-buru menurunkan pelajaran akan membawa ‘padah’ ketika mempelajari pelajaran-pelajaran seterusnya. Hal yang demikian kerana pelajaran Kaedah adalah merupakan asas kepada segala gerak yang ada dalam persilatan kita.

Pembelajaran Kaedah perlu dibuat secara berfokus. Oleh itu, berilah tumpuan pengajaran dan pembelajaran secara berfokus. Kalau wujud keperluan atas sifat mementingkan fokus maka segala yang berkaitan dengan cara mengambil kaedah perlu dibuat secara teliti. Seiring dengan itu, pengajaran Kaedah kepada anak didik juga perlu dibuat secara teliti. Pastikan kesemua penuntut benar-benar telah menguasai kebolehan menepis secara menggunakan semua kaedah yang ada. Kalau kaedah tidak menjadi mana mungkin kita dapat meneruskan pembelajaran berikutnya. Pasti kurang menjadi.

Ada yang menimbulkan soalan, di bahagian mana tangan lawan yang perlu ditangkis atau ditepis. Sepatutnya, persoalan itu telah selesai di awal pengenalan pembelajaran Kaedah. Walau bagaimanapun, akibat perkembangan proses gerak dalam SC, maka lahirlah pelbagai pendapat. Ada yang menyuruh sepaya cari bahagian yang banyak daging atau otot, supaya tepisan yang dilakukan tidak menyakitkan tangan pesilat.

Saya berpendapat, pandangan yang sedemikian ada kaitannya dengan gerak pertunjukan yang melakonkan kaedah A hingga D, dalam bentuk tari silat. Untuk mencantikkan gerak tari, mana mungkin gerak kaedah rapat di badan. Tak cantik. Saya ambil contoh yang sangat ketara. Misalnya Kaedah B. Dalam konteks tarian, lakonan tepisan Kaedah B perlu dilakukan secara gerak tangan jauh dari badan; condong tangan arah ke depan. Baru nampak cantik pergerakan tersebut, sesuai dengan tuntutan tarian silat.

Orang yang menonton persembahan itu akan berpuas hati. Cantik. Akan tetapi diri pesilat perlu sedar diri. Banyak ruginya gerak yang sedemikian berdasarkan pada gerak Kaedah B yang sebenar. Itulah akibatnya apabila gerak Kaedah cuba dijadikan gerak tari. Hilang seninya dalam konteks gerak persilatan SC. Mungkin ada alasan penafiannya. Dikatakan bahawa gerak pertunjukan tak sama dengan gerak sebenar. Saya tak hendak komen. Pada tanggapan saya, kalau gerak SC dalam gerak yang satu maka percakapan mengenai gerak pun biarlah satu. Bukannya bersatu-satu.

Kita risau, perbuatan sedemikian akan menjadi kebiasaan dan terikut-ikut dalam perbuatan sebenar. Maka timbullah gerak B dengan tangan ‘maju’ ke depan. Tercari-cari alasan untuk mengesahkan kebenaran perbuatan. Maka timbullah alasan untuk mencari bahagian tangan lawan yang banyak daging atau otot. Maka tidak adalah rasa kesakitan. Agaknya, itulah hasil tanggapan mereka akibat pengaruh pertunjukan.

Pegangan kita pada konsep gerak persilatan SC adalah jelas. Gerak SC adalah berdasarkan gerak semula jadi. Itu juga dinamakan sebagai gerak yang ada seni. Bukannya gerak yang dibuat-buat. Kalau gerak B memerlukan tangan cenderong ke hadapan maka nilaikan gerak itu sama ada gerak tangan secara semula jadi atau gerak tangan yang dibuat-buat. Tafsiran saya seperti gerak perbuatan yang dipaksakan. Gerak yang dibuat-buat. Hilang sifat semula jadi pada gerak tangan.

Alasan tidak mahu sakit secara menepis di tempat yang banyak otot adalah merupakan alasan yang tidak ada asas. Kalau tak nak sakit lebih baik jangan bersilat. Masuk kelas tari. Banyak sifat syoknya. Zahir dan batin.

Berdasarkan pengalaman bersilat dan mengajar silat dalam persilatan SC, sakit tangan ketika mengambil kaedah adalah tidak dapat dielakkan. Saya pernah tegaskan dalam tulisan yang lalu untuk menarik perhatian para Juirulatih. Sakit tangan akan tetap berlaku jika para penuntut berlatih secara bersungguh hati. Prinsipnya, tumbukan pasangan adalah betul dan pesilat yang mengambil kaedah juga adalah betul. Jika semuanya betul, kita tidak dapat elak tangan penuntut SC dan pasangannya daripada rasa sakit.

Kecualilah jika timbul sifat ‘berpakat’ dalam gerak latihan kaedah dalam kalangan penuntut. Sifat berpakat akan terjadi kerana penumbuk pasangan adalah secara layang. Tak tepis pun penumbuk tidak akan singgah di dada. Berpakat juga boleh berlaku jika pesilat membuat tepisan secara ala kadar. Kena sikit, tapi layang tangan pasangan menjadi banyak. Semacam membuktikan betapa tepisan yang dilakukan adalah tepat dan berkesan. Sebenarnya tidak ada tepisan berkesan. Latihan secara berpakat sedemikian amatlah merugikan kedua-dua pesilat yang berpasangan.

Zaman saya menuntut dulu, biasanya semua pesilat menerima hakikat bahawa sakit itu merupakan sifat bersilat. Kalau bersilat tak sakit maka bukan silat namanya. Samalah tanggapan budak-budak dulu. Kalau nak cepat dapat kayuh basikal, mesti pernah jatuh terlebih dahulu ketika menunggang basikal. Kalau luka di sana sini maka cepatlah kebolehan berbasikal. Itulah pendapat yang wujud dalam kalangan mereka yang pertama kali belajar berbasikal. Sudah menerima kenyataan bahawa jatuh basikal ada kaitan dengan cepat dapat pelajaran berbasikal.

Oleh sebab sifat sakit telah diterima sebagai sebahagian dari sifat ilmu persilatan, menyebabkan rasa sakit kerap kali dianggap sebagai satu kemegahan. Selepas bersilat, masing-masing akan berbincang tajuk sakit dengan penuh perasaan bangga dan penuh kepuasan. Secara amnya, itulah sifat yang wujud dalam kalangan penuntut silat dulu-dulu. Hal yang demikian menyebabkan rasa sakit tidak berupa satu halangan untuk bersilat. Sebaliknya, rasa sakit boleh diterima atas konsep sebagai adat bersilat.

Semasa mempelajari kaedah, rasa sakit di bahagian tangan tidak dapat dielakkan. Pada pelajaran Kaedah A, tangan pasangan kita akan berasa sakit. Kadang-kadang terasa semacam lenguh dan sukar mengangkat tangan. Itulah kesan tamparan A yang berkesan. Keberkesanan yang dilakukan mengakibatkan kesan lenguh pada tangan pasangan dalam jangka masa yang pendek. Apabila telah mangli, maka rasa sakit akan hilang.

Mempelajari Kaedah B, menyebabkan tangan pesilat pula yang berasa sakit. Berganti sakit antara pasangan tersebut. Ada yang bengkak tangan. Tidak kurang juga menjadikan tempat tepisan berwarna biru. Walau bagaimanapun, hal yang sdemikian tidak menghalang pembelajaran kaedah tersebut. Semua penuntut telah menerima hakikat sakit tersebut.

Apabila berlaku proses pembelajaran Kaedah C, rasa sakit kembali pada pasangan. Ketika itu tangan pesilat dan tangan pasangan mula dapat menyesuaikan diri dengan rasa sakit yang terjadi. Tak jadi masalah lagi. Dapat menerima hakikat sakit dan dapat menyesuaikan sakit dengan ketahanan diri. Maka apabila masuk pembelajaran Kaedah D, tidak ada sebarang masalah yang dihadapi. Apabila perasaan sakit adalah merupakan sebagai sebahagian dari bentuk pelajaran, maka masalah sakit tidak menjadi halangan. Para penuntut telah dapat menerima hakikat kewujudan sakit dalam pembelajaran SC. Bersambung..

 
Leave a comment

Posted by on 06/06/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: