RSS

61.5.0. KENALI SILAT CEKAK – Badan Umpama Raja.

03 Jun

Pegangan Konsep Makan Gerak.

Dalam tulisan yang lalu saya telah membincangkan hal yang berkaitan dengan tumpuan ketika kita berhadapan dengan lawan. Tidak kiralah dalam sistem mempertahankan diri atau dalam sistem serangan. Ada juga yang menimbulkan persoalan atas sifat tumpuan dalam pelajaran lanjutan. Saya tidak berminat untuk membincangkan persoalan berkenaan secara tulisan. Peringkat amanah dalam pembelajaran. Memadai saya katakan betapa pelajaran yang berfokus menjadikan tumpuan pun turut berfokus. Dalam satu tulisan yang terdahulu, saya ada menyentuh prinsip segerak dalam satu gerak. Perlu ada turutan gerak dalam kiraan saat dan ketika yang sama. Itu juga adalah merupakan salah satu asas utama dalam pembelajaran persilatan kita.

Oleh itu, pegangan kita tentang tumpuan perhatian adalah dalam dua situasi. Pertamanya, pelajaran yang berfokas memerlukan tumpuan yang berfokus. Bila tamat silat, tumpuan kita adalah lebih luas dan secara keseluruhan. Keduanya, SC ialah silat gerak. Yang bergerak ialah dua tangan dan dua kaki. Oleh itu fokus kita juga adalah berkisar pada pergerakan dua tangan dan dua kaki, mengikut situasi dan keperluan. Tak perlu tumpu pada bahagian pusat atau perut atau atau yang lain.

Kita lanjutkan lagi perbincangan tentang ungkapan-ungkapan yang ada dalam falsafah gerak Silat Cekak. Ungkapan-ungkapan itu perlu dijadikan pegangan asas kita ketika cuba memahamkan para penuntut yang kita didik. Saya beruntung kerana berpeluang berbincang dengan Ustaz. Banyak masa saya diuntukkan bagi memahami konsep gerak yang ada dalam persilatan SC.

Ada beberapa ungkapan lagi yang berkait erat dengan konsep gerak dalam SC. Ungkapan-ungkapan itu adalah berkait rapat antara satu sama lain. Satu lagi ungkapan tersebut saya namakan sebagai ungkapan kelapan.

UNGKAPAN KELAPAN:

Badan Umpama Raja.

Penuntut SC telah ditanam dengan satu kefahaman mantap bahawa SC tidak mempunyai sifat langkah melangkah umpama silat pulut atau silat permainan. Ketiadaan gerak langkah-melangkah itu memberi makna bahawa dalam sistem pelajaran SC, tidak ada sifat mengelak. Sifat mengelak yang ada dalam persilatan Melayu telah mengundang sifat kedudukan secara berkuda-kuda. Gerak yang sedemikian tidak ada dalam SC.

Selalu saya tegaskan bahawa SC mempunyai cukup kaedah untuk mengawal keseluruhan anggota badan sama ada di bahagian atas, tengah atau di bahagian bawah. Bahagian tengah ada dua kaedah, manakala bahagian atas dan bawah, masing-masing dengan satu kaedah. Kaedah-kaedah itu dikuatkan dengan kaedah gelek. Prinsip gelek telah diajar kepada penuntut SC melalui buah-buah keputusan yang ada dalam sinarai pelajaran SC.

Prinsip SC yang tidak mengelak ketika mengambil buah, telah dilambangkan Ustaz dengan ungkapan tersebut. Ustaz mengkiaskan badan umpama raja. Manakala tangan dan kaki adalah merupakan pengawalnya. Cuba kita bincangkan terlebih dahulu maksud ungkapan Ustaz itu dalam makna berlapis yang boleh dikupas berdasarkan maksud kiasan. Seterusnya saya akan membawa para pembaca untuk memahaminya dalam konteks persilatan SC. Sekali lagi saya tegaskan bahawa isi perbincangan adalah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya selama seadanya dalam persilatan SC.

Dalam perbincangan secara kiasan, mana mungkin raja melarkan diri dengan begitu mudah sekali. Maruah kerajaan yang terbina begitu lama boleh musnah begitu saja jika raja berbuat demikian. Bukan saja kerajaannya hilang maruah, malah raja itu sendiri tidak bermaruah. Raja yang melarikan diri, biasanya kerana dua keadaan. Pertamanya, sengaja melarikan diri akibat pentingkan diri. Banyak makan duit rakyat. Keduanya ialah kekalahan dalam medan perjuangan. Barisan hadapannya tidak berupaya lagi untuk mempertahankan kedudukan rajanya. Lebih teruk lagi, kegagalan tersebut berlaku tanpa adanya perjuangan untuk mempertahankan raja yang disanjung itu. Penakut. Cabur lari.

Kalau raja melarikan diri bermakna, akhirnya para pengawalnya pun akan ‘tumpang sekaki’, turut melarikan diri. Tidak ada sifat melawan dan sifat membela diri. Terpaksa ikut raja. Maka larilah konsep menjaga ‘tuannya’. Kenyataan ini erat kaitan dengan peranan para pengawal raja yang merupakan orang kanan raja yang tersangat penting. Pada dasarnya, peranan orang kanan adalah untuk menjaga dan menasihati rajanya. Kalau orang kanan gagal mempertahankan rajanya, maknanya ada dua kemungkinan yang berlaku pada orang kanan tersebut.

Pertamanya orang kanan yang berupa pengawal raja tak cukup persiapan untuik menghadapi pertempuran. Ilmu peperangan mereka pun kurang. Hal yang demikianlah menyebabkan timbulnya sifat penakut dan tidak yakin untuk menghadapi serangan musuh. Kemungkinan besar semasa menjalankan tugas, sifat mereka adalah selesa kerana berada dalam suasana yang selesa. Kedaan yang sedemikian menyebabkan mereka tidak ada minat untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan berlatih atas ilmu yang ada. Apabila timbul situasi peperangan yang sebenarnya, baru teraba-raba mempergunakan ilmu yang ada. Sesungguhnya ilmu yang ada, tidak berupaya lagi untuk menghadapi musuh yang ada.

Satu lagi sifat yang memungkinkan mereka mengundur diri adalah sifat yang disengajakan. Itulah sifat sabotaj namanya. Buat apa mengorbankan diri pada orang yang tak ambil peduli. Tambah-tambah lagi apabila raja ingin melarikan diri. Tunggu apa lagi. Hatta nampak sangat kedua-dua pihak tidak mementingkan aspek maruah dalam mempertahankan kedaulatan diri.

Oleh sebab itu, golongan barisan hadapan yang berupa orang kanan kepada raja perlu diberi perhatian sepenuhnya supaya sentiasa memperlengkapkan diri dengan ilmu peperangan. Wujudkan konteks yang tersangat rapat dengan mereka atas prinsip adap dan adat. Perkayakan mereka dengan ilmu peperangan yang sesuai dengan tuntutan semasa. Wujudkan kelas-kelas latihan peperangan sepanjang masa. Jangan bermusim. Hal yang demikian bagi mempastikan mereka sentiasa bersiap siaga dalam apa keadaan sekali pun. Merekalah benteng utama untuk mempertahankan maruah raja. Kebajikan mereka perlu dijaga secara sepenuh hati. Jaga pemakanan mereka supaya kelihatan sehat sepanjang masa.

Biarlah Raja duduk diam dalam istananya. Ketika diserang, para pengawalnya akan bertanggung jawab menentang musuh yang tiba. Itulah sifat pengikut setia. Raja yang berdaulat adalah raja yang ada ‘kuasa’ menarik kesetiaan pengawalnya. Keupayaannya itu juga adalah hasil sifat keperihatinannya. Hal yang demikianlah menyebabkan para pengawalnya sanggup berkorban jiwa dan tenaga untuk mempertahankan rajanya.

Sifat yang sedemikian menjadikan raja hidup dalam keyakinan diri. Menentang raja akan ditimpa tulah. Konsep tulah membawa maksud kemalangan yang menimpa pada orang yang berbuat jahat atas perbuatan melanggar atau melakukan sesuatu yang kurang baik. Konsep tulah itu boleh berlaku kerana raja mempunyai benteng pertahanan yang hebat. Kefahaman rohaninya menjadi pegangan. Fizikalnya dibantu oleh para pengawal yang setia.

Hal yang demikianlah saya katakan betapa para pengawal perlu diberi pengetahuan secukupnya dengan ilmu peperangan. Para pengawalnya adalah merupakan orang sekeliling yang paling dekat. Bila berlaku pencerobohan, para pengawal yang merupakan benteng perhananan utama, akan menentang secara habis-habisan. Oleh sebab ilmu para pengawalnya cukup maka dengan mudah dapat mengatasi serangan lawan. Raja yang berdaulat juga membawa makna raja yang mempunyai orang sekeliling yang dapat menegakkan daulatnya.

Secara kesimpulannya, kalau raja zalim dan tidak berdaulat, tidak ada barisan hadapan yang sanggup bermati-matian mempertahankan raja. Apabila berlaku pencerobohan, minat para pengawalnya melarikan diri adalah pasti. Minat memberi sokongan semakin luntur. Mereka akan lebih pentingkan diri secara menyelamatkan diri daripada berkorban mempertahankan raja yang juga bersifat berkepentingan diri. Itulah padahnya apabila raja senang, tidak mahu melimpahkan kesenangan pada rakyatnya terutama orang sekeliling yang menjadi benteng pertahanan dirinya.

Kalau dikiaskan dalam SC, badan yang dianggap sebagai raja tidak perlu ‘mengalah’ secara melarikan diri apabila diserang lawan. Para pengawal yang berupa tangan dan kaki telah diberi latihan yang lengkap. Tugas tangan dan kaki ialah mengawal badan yang umpama raja. Kaki yang ada bukannya untuk ‘langkah seribu’ tapi sebagai sokongan padu pada gerak tangan yang telah membuat tepisan. Kaki akan berguna untuk melangkah dalam gerak yang satu bagi tindakan seterusnya. Begitulah hebat dan cantiknya kerjasama antara tangan dan kaki bagi memelihara badan.

Makna yang lain, kita boleh buat beberapa tanggapan. Bagi memlihara tubuh badan, peranan kaki dan tangan adalah tersangat penting. Kebolehan dan keaktifan kaki dan tangan adalah hasil tubuh badan yang sehat. Oleh itu, kepentingan kesihatan tubuh badan adalah merupakan perkara utama dalam gerak persilatan. Tubuh badanlah salah satu punca yang boleh mempengaruhi gerak kita dalam persilatan SC. Tubuh badan yang sehat berupaya mempengaruhi daya keyakinan dan daya keberanian yang ada pada diri seseorang. Secara langsung, gerak tangan dan kaki akan turut menjadi mantap. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 03/06/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: