RSS

61.5.3. KENALI SILAT CEKAK – sambungan Tumpuan Mata.

30 May

Pegangan Konsep Gerak.

Dalam tulisan yang lalu saya telah menyentuh tentang tumpuan yang perlu dilakukan ketika kita bersilat. Tidak kiralah sama ada dalam proses menunggu serangan atau melakukan serangan. Pada pandangan saya, setelah tamat silat, pandangan kita pada lawan adalah secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, pandangan saya itu ada penegasannya. Ketika proses pembelajaran SC, tumpuan adalah secara berfokus. Hal yang demikian kerana pelajaran SC dalam jangka masa enam bulan adalah secara berfokus.

Saya lanjutkan lagi perbincangan. Cuba kita kenang kembali pengalaman ketika belajar SC dalam proses pembelajaran enam bulan itu. Kita boleh simpulkan bahawa semua pelajaran SC adalah berfokus. Hal yang demikian menyebabkan gerak kita pun berfokus. Dari pelajaran Kaedah kepada pelajaran asas dan seterusnya pelajaran jatuhan, potong dan serang. Pembelajaran yang berfokus menjadikan pandangan kita juga perlu berfokus.

Ketika pembelajaran Kaedah, pandangan kita berfokus pada bahu. Kita diarahkan supaya lihat bahu pasangan kita. Denyut bahu akan memberi isyarat pada pergerakan tangan. Hal yang demikian akan memudahkan tindakan gerak yang bakal kita lakukan. Tepisan lebih mantap dan berkesan.

Apabila masuk pelajaran buah asas dan jatuhan, penekanan tumpuan pada bahu lawan amat jarang diperkatakan. Semakin kurang arahan. Penuntut dilatih secara tidak langsung supaya memandang lawan secara keseluruhan. Tapi masih tertumpu di bahagian tengah badan. Gerak kaki yang berada di bahagian bawah tidak mendatangkan apa-apa tekanan kerana tindakan kaki tidak ada dalam pelajaran demikian.

Ketika itu para Jurulatih pun kurang memberi penekanan pada aspek tumpuan pandangan di mana-mana bahagian tubuh lawan. Matlamat utama ialah mematikan gerak serangan lawan melalui buah-buah jatuhan. Oleh itu, para penuntut mula melatih diri memandang secara meluas dan secara keseluruhan ketika berhadapan dengan lawan. Semuanya berlaku secara tidak langsung dalam proses pembelajaran berkenaan.

Apabila masuk pelajaran potong, pelajaran kita masih lagi berfokus. Tumpuan yang berfokus itu adalah kerana tertumpu pada gerak tepisan lawan. Tak perlu ada arahan supaya membuat tumpuan. Tumpuan adalah secara spontan. Hal yang demikian kerana gerak potong adalah berdasarkan gerak tepisan tangan lawan. Masih lagi tidak ada tindakan gerak dari kaki. Oleh itu, senanglah tumpuan diberi pada gerak bahagian tangan.

Dalam pelajaran tumbuk serang pula, kita difahamkan dengan maksud gerak lawan. Penuntut dididik agar sensitif dengan segala gerak yang bakal dilakukan lawan. Pandangan kita semakin meluas dan secara keseluruhan. Semua bahagian badan lawan dapat dirangkumkan dalam satu pandangan ketika kita melakukan serangan. Pandangan yang sedemikian menampakkan keseluruhan pergerakan lawan, sama ada bahagian kaki atau bahagian tangan.

Kalau badannya mengelak, kaki juga akan bergerak. Gerak kaki juga boleh memberi petanda arah gerak lawan, di samping gerak badannya. Kita perlu sensitif dengan gerak kaki tersebut. Kalau menepis tanpa mengelak, gerak tangan akan memberi petanda. Oleh sebab kita tidak tahu bahagian mana yang akan bergerak, maka tumpuan secara keseluruhan amat penting. Pandangan tidak boleh berfokus lagi. Banyak kelemahannya jika berbuat demikian.

Dalam pelajaran umum, tumpuan kita semakin meluas. Kita tidak dapat menentukan gerak tangan atau gerak kaki. Oleh itu tumpuan kita memerlukan pandangan secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, setelah enam bulan diasuh dengan pelbagai tempat pandangan dan tumpuan yang berfokus, telah banyak membantu kita untuk mengagak gerak lawan.

Dalam sistem mempertahankan diri, kita menunggu serangan lawan. Kita perlu membuat tafisran yang tepat pada gerak lawan sama ada lawan kita menggunakan serangan tangan atau serangan kaki. Tidak kiralah sama ada gerak kanan atau gerak kiri. Hal yang demikian, pandangan secara keseluruhan akan memberi banyak makna.

Begitu juga dalam sistem serangan. Lapangkan fikiran. Pandang secara keseluruhan. Jika kita berfokus pada satu-satu bahagian badan, akan memaksa keseluruhan fikiran tertumpu pada bahagian berkenaan. Hal yang demikian akan mengganggu gerak keseluruhan kita.

Ketepatan mengesan gerak lawan memerlukan latihan. Sesungguhnya, dalam proses pembelajaran SC, hal yang demikian sentiasa dipupuk dalam kalangan penuntut dari masa ke masa. Persembahan serangan empat penjuru dan serangan beramai-ramai adalah juga berbentuk simbolik betapa pengamal SC boleh menghadapi serangan lawan dari pelbagai sudut pandangan. Kepelbagaian sudut pandangan itu mengajar kita atau melatih kita untuk menghadapi serangan dalam pandangan atau tumpuan yang terhad. Kalau musuh berada di sisi, apa bahagian yang boleh dilihat. Tak nampak apapun bahagian badannya secara khusus. Namun begitu, kita masih ada pandangan secara keseluruhan. Apatah lagi di bahagian belakang. Apa pun tak nampak. Betul-betul mengharapkan deria rasa dan deria dengar bagi akal membuat tafsiran.

Kita boleh buat latihan sedemikian dalam kelas-kelas kemahiran. Sebagai maksud berkongsi pengalaman, saya beri dua contoh latihan yang sering saya jalankan untuk maksud tumpuan pandangan. Pertamanya latihan serangan empat penjuru. Dalam kelas kemahiran, saya buat lima penjuru. Tak masuk bahagian belakang. Tumbukan dari depan tak jadi masalah. Boleh nampak keseluruhan badan secara berdepan.

Tumbukan dari bahagian lain memerlukan pandangan keseluruhan. Misalnya serangan di bahagian sisi badan. Mesti ada daya taakulan yang hebat. Orang yang sebegini berupaya membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal. Penglihatan mata dan pendengaran telinga adalah alat untuk akal membuat pertimbangan. Tak perlu lihat mana-mana bahagian anggota badannya secara langsung atau secara berfokus. Tak boleh lihatpun secara tumpuan pada mana-mana bahagian. Biarlah akal yang mempengaruhi tindakan kita. Kemahiran taakulan boleh melatih penglihatan kita untuk melihat gerak lawan secara keseluruhan.

Bila sudah cekap, boleh dibuat latihan kedua. Jangan diatur serangan dari lima penjuru itu secara turutan. Serangan pasangan adalah bebas. Mereka akan berpakat untuk menentukan gerak dulu dan gerak kemudian. Kita uji kemahiran pesilat SC memahami gerak lawan. Prinsipnya, pesilat SC itu tidak dapat memberi tumpuan pada mana-mana anggota badan lawan secara tepat. Sebabnya ialah pasangannya tidak berada di depan. Kalaulah pesilat itu dapat mengatasi serangan lawan berdasarkan tumpuan secara keseluruhan, apatah lagi jika pasangannya berada di depan. Lagi mudah gerak pesilat SC untuk mengatasi gerak lawan.

Oleh itu, pandangan secara keseluruhan amat bertepatan dengan sifat gerak dalam SC. Selama enam bulan, para penuntut telah dilatih menggunakan prinsip pandangan berfokas berdasarkan pelajaran yang berfokas. Setelah tamat silat, para penuntut telah mendapat gambaran sebenarnya tentang corak dan bentuk persilatan SC. Hal yang demikian telah memberi kesan pada daya tumpuan kita pada lawan. Pandangan kita adalah secara keseluruhan. Namun begitu, pandangan secara keseluruhan itu adalah lebih strategik. Hal yang demikian adalah kerana pandangan keseluruhan itu adalah terbentuk dari hasil tumpuan yang berfokus ketika pembelajaran SC selama enam bulan. Pada saya, itulah salah satu kelebihan dan keistimewaa yang ada dalam SC.

Kita boleh ambil contoh yang mudah berdasarkan aktiviti pemanduan kereta. Ketika memandu, tumpuan mata kita tidak tetap pada satu-satu tempat. Misalnya, tumpuan pada kereta yang berada di hadapan. Sebaliknya, tumpuan kita adalah secara luas dan meluas. Tangan dan kaki kita akan bertindak berdasarkan riaksi yang berlaku di sekeliling. Jika berlaku satu-satu kejadian yang jauh di depan, kaki kita tahu menekan brek. Kalau gear kereta secara manual, tangan pula tahu untuk menukar gear. Semuanya berjalan secara serentak tanpa dipaksa-paksa. Secara automatik. Hal yang demikian kerana kita telah diasuh dalam masa pembelajaran memandu kereta akan kegunaan brek, gear dan sebagainya secara berfokus.

Begitulah keadaannya ketika kita bersilat. Tumpuan kita adalah meluas dan secara keseluruhan. Apabila berlaku satu-satu gerak yang mengancam dirinya, dalam proses gerak yang satu itu, pesilat SC boleh bertindak secara sepontan. Pengamal SC akan berupaya menangkis serangan kaki atau tangan jika dia menunggu. Ataupun, ketika menyerang, tindakan geraknya mampu untuk mengatasi gerak tangan atau gerak kaki lawannya. Kebolehan sedemikian bukanlah sesuatu yang pelik. Para pengamal SC telah diasuh dengan gerak-gerak yang berfokus itu dalam masa pembelajarannya. Semua gerak itu telah menjadi sebati dengan dirinya. Oleh itu gerak spontan yang terjadi adalah dalam dasar gerak yang telah diasaskan terlebih dahulu.

Kebolehan kita bergerak secara spontan boleh diasuh dari masa ke masa. Pandangan mata perlu dibantu oleh gerak panca indera kita yang lain bagi membantu akal kita membuat tafsiran gerak. Tidak kiralah sama ada dalam sistem pertahanan diri atau dalam dalam sistem serangan. Latihlah diri supaya memandang atau melihat secara keseluruhan gerak lawan. Tak perlu difokus pada mana-mana bahagian badan. Biarlah tindakan gerak kita berlaku secara semula jadi apabila diperlukan pada bahagian-bahagian yang tertentu.Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 30/05/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: