RSS

61.2.3. KENALI SILAT CEKAK – Gerak Semula Jadi.

02 May

Dalam tulisan yang lalu, saya telah menghuraikan sifat gerak semula jadi yang menjadi amalan persilatan kita. Sifat berdiri betul yang ada dalam pelajaran SC bukan gerak baru dalam tamadun manusia. Itulah sifat gerak semula jadi manusia. Semasa mengerjakan sembahyang pun sifat berdiri betul adalah merupakan satu kemestian. Sifat berdiri yang benar yang dianjurkan pada kita. Sifat semula jadi yang menjadi lumrah perbuatan pada manusia.

Walau bagaimanapun, ada juga persilatan Melayu lain yang mendakwa bahawa persilatan mereka juga adalah berdasarkan pergerakan dalam sembahyang. Mereka merujuk pada hukum gerak yang dibolehkan dalam sembahyang. Pembuktian mereka tentang gerak sembahyang adalah bersandarkan kenyataan, jika bergerak melebihi tiga kali maka akan batal sembahyang. Maka dirujuklah mereka pada persilatan yang mereka amalkan. Satu cara untuk mengaitkan persilatan mereka dengan gerak dalam sembahyang.

Menurut mereka, gerak persilatan yang mereka amalkan dalam tindak balas mengelak serangan lawan adalah tidak melebihi tiga gerak perbuatan dalam langkahan. Mereka mengamalkan tapak tiga. Gerak mengelak tapi masih dalam kiraan tiga gerak langkah. Dalam proses tiga gerak langkah tersebut, mereka akan membuat buah. Oleh itu, mereka juga mendakwa bahawa pergerakan persilatan yang diamalkan adalah juga berdasarkan hukum dalam gerak sembahyang. Maknanya juga, mereka mendakwa bahawa pergerakan mereka adalah berdasarkan pergerakan sembahyang. Tidak melebihi tiga gerak yang dikiaskan boleh membatalkan sembahyang.

Nampaknya, apa yang kita ingin tegaskan tentang keistimewaan gerak silat kita, turut didakwa sebagai sifat persilatan mereka juga. Kita kata gerak persilatan kita berdasarkan gerak semula jadi, maka mereka juga mendakwa bahawa silat mereka juga adalah berdasarkan gerak semula jadi. Kita katakan bahawa gerak SC bersamaan gerak dalam sembahyang, mereka juga mendakwa bahawa gerak silat mereka juga adalah berdasarkan gerak dalam sembahyang. Nampak sangat keinginan bersaing dengan keistimewaan yang ada dalam SC.

Walau bagaimanapun, prinsip pembuktian dakwaan mereka itu pastinya berbeza dengan kita. Logik juga alasan yang diberikan mereka. Oleh itu, berhati-hatilah ketika berbincang dengan mereka. Jangan banyak membuang masa terutamanya pada mereka yang berfaham tegar pada fahaman persilatannya. Sampai ayam berkokok di pagi berikutnya pun, perbincangan tersebut tidak akan ada kesudahannya. Mustahil pada mereka mengubah kefahaman dalam sekelip mata. Buang masa untuk berbincang lama. Cepat-cepat tarik diri kalau nampak tidak ada kesudahan perbincangan. Jika dibiarkan lanjut perbincangan, mungkin akan mengundang perselisihan faham. Lama-lama akan berlaku pergaduhan. Alasan gaduh yang tidak ketahuan puncanya. Buang masa.

Ketika pengamal SC bertindak balas, sifat gerak semula jadi dalam semua geraknya adalah jelas. Hal yang demikian boleh dilihat sama ada dalam gerak mempertahankan diri atau dalam gerak menyerang. Dalam tulisan yang lalu, saya lebih merujuk gerak semula jadi dalam sistem pertahanan diri Silat cekak. Terdapat tiga kompenan penting yang bersepadu dan membentuk sistem tersebut.

Dalam sistem serangan kita, terdapat juga tiga kompenan penting yang juga bersepadu. Kesepaduan komponen-komponen tersebut telah digambarkan dalam ungkapan yang sering kali saya terbitkan dalam tulisan terdahulu. Rujukan ungkapan itu adalah dalam buku Hikayat Malim Deman. “..ingat-ingat, inilah gayung anak piatu, jikalau disambut kena dua, jikalau tiada disambut kena satu.”

Ustazlah yang telah menarik akan perhatian saya tentang ungkapan tersebut. Ustaz sendiri yang menunjukkan muka surat ungkapan itu dalam buku cerita sastera klasik Melayu, sambil membuat huraian. Rupa-rupanya, Ustaz menyimpan buku sastera tersebut. Oleh itu, langkah saya seterusnya ialah ke kedai buku membeli buku Hikayat Malim Deman. Tersimpan hingga sekarang. Maka huraian saya dalam tulisan ini adalah berdasarkan kefahaman saya atas huraian yang pernah Ustaz beri pada saya.

Saya amat tertarik dengan huraian Ustaz atas ungkapan tersebut. Hal yang demikian adalah kerana ungkapan itu sendiri menggambarkan corak dan bentuk serangan SC. Saya tidaklah mengatakan Malim Deman belajar SC. Apapun, konsep serangan SC telah wujud dalam masyarakat Melayu dulu. Itulah ketegasan Ustaz pada saya. SC adalah hak pusaka bangsa Melayu.

Saya akan cuba cerakinkan kesepaduan kompenan yang membentuk sistem serangan tersebut berdasarkan ungkapan tersebut. Kecerakinan saya tentang sistem serangan SC itu adalah berdasarkan ungkapan, “jikalau disambut kena dua, jikalau tiada disambut kena satu.” Saya harap para pengamal SC boleh memahaminya dalam bentuk huraian saya dalam tulisan ini.

Pertamanya ialah cara kita berdiri. Berdiri dalam SC adalah merupakan tunjang utama, baik dalam sistem pertahanan mahu pun dalam sistem serangan. Sifat berdiri SC dalam proses menyerang adalah sama seperti berdiri dalam sistem pertahanan. Cuma, dalam latihan dan pembelajaran SC, kedudukan kaki kanan bersedia ditarik ke belakang untuk membuat tumbukan. Dalam proses pengamal SC ‘menghantar’ tumbukannya, kaki yang melangkah tetap berdiri lurus. Sifatnya seperti gerak orang yang melangkah ketika berjalan. Gerak berjalan biasa manusia. Itulah gerak semula jadi namanya.

Tidak ada langsung gerak tumbukan menggunakan prinsip kaki yang berkuda-kuda. Tidak mungkin orang berjalan secara berkuda-kuda. Akan kelihatan mengengkang. Kecualilah pengamal pejalan kaki yang menggunakan tumit kaki. Suka mengengkang sebagai hobi. Macam masuk jawi. Kena potong, bukan buah potong. Gerak yang dipaksa-paksa dan dibuat-buat. Gerak berkuda-kuda juga adalah merupakan gerak yang dibuat-buat.

Serangan secara menghantar kaki bersifat lurus dan kaki ditarik ke belakang terlebih dahulu, akan memudahkan kita berlatih silat. Ada sifat bantu-membantu untuk menguasai kemahiran bersilat. Sifat sedemikian adalah hanya sewaktu latihan. Dalam suasana pergaduhan, kedudukan kaki tetap berdiri rapat dan dalam keadaan berdiri diam. Lawan sukar mengagak sama ada pengamal SC menunggu serangan lawan atau membuat serangan. Sifat yang sedemikian adalah merupakan komponen pertama dalam sistem serangan.

Komponen kedua ialah pelajaran potong. Penggunaan pelajaran potong amat bermakna seperti yang digambarkan dalam ungkapan, “jikalau disambut kena dua”. Ungkapan itu menggambarkan tindak balas pengamal SC jika tumbukannya dihalang dengan tepisan.

Sentuhan pada penumbuk yang kita hantar bermakna akan berlaku tindak balas secara dua peringkat yang bersepadu. Pertamanya ialah tindakan memotong tepisan lawan. Kita ada pelbagai cara untuk berbuat demikian. Tindakan kita itu sama ada melibatkan gerak kaki melangkah satu langkah ke depan atau tindakan yang tidak melibatkan langkahan. Peringkat kedua ialah bentuk tindakan ‘pemakan’. Tindakan pemakan itu bergantung pada cara potong dan sasaran tempat tindakan. Adatnya, lawan pasti kecundang.

Komponen ketiga adalah tumbuk serang. Inilah pelajaran satu peratus yang sering diperkatakan. “Jikalau tiada disambut kena satu.” Tumbukan yang ‘menjadi’ adalah umpama halilintar. Ada yang kata umpama peluru berpandu. Sukar dikesan. Apatah lagi untuk mengagak hala tujunya. Tumbukan sedemikian amat membantu kita dalam tiga keadaan.

Pertamanya, kecenderungan lawan mengelak ke kiri atau ke kanan, pasti tidak akan kesampaian. Kalau maju ke depan, alamat nampak bintang. Keduanya, jika tumbukan boleh dihalang pun, akan menyebabkan proses lawan membuat buah akan terganggu. Rentak lawan membuat buah akan berjaya dilambatkan. Maka mudahlah pengamal SC membuat tindakan. Ketiganya, kita akan nampak pergerakan lawan. Kadang kala lawan kita tidak sempat menepis. Apatah lagi mengelak atau cuba membuat buah. Ramai yang terpaksa mengundur ke belakang. Dalam SC, ada proses mengatasi gerak lawan yang sedemikian. Kecualilah undur ke belakang mencari basikal.

Ketiga-tiga komponen pelajaran tersebut telah membentuk sistem serang SC. Pelajarannya adalah bersepadu bagi mempastikan serangan Cekak yang berkesan. Sebagai pengamal SC, pastikan kita menguasai ketiga-tiga komponen tersebut. Tiga komponen dalam sistem pertahanan dan tiga komponen dalam sistem serangan.

Dalam tulisan ini, saya tidak memfokuskan perbincangan pada corak sistem serangan itu. Saya lebih menekankan gerak semula jadi yang ada dalam sistem mempertahankan diri dan sistem serangan. Sesungguhnya, sistem pertahanan diri dan sistem serangan SC adalah tetap berdasarkan gerak semula jadi manusia. Gerak asli. Bukan gerak yang dibuat-buat. Gerak-gerak lain yang ada dalam SC, membuktikan bahawa pergerakan SC adalah berdasarkan gerak semula jadi manusia. Telah banyak karangan yang saya tulis tentang gerak semula jadi tersebut.

Sifat gerak yang sedemikian termasuklah perbincangan gerak-gerak kaki sama ada bergerak secara hujung kaki atau secara tumit kaki. Saya tidak akan menyentuh lagi tentang gerak-gerak tersebut dalam huraian tulisan ini. Sesungguhnya, terbukti bahawa gerak yang ada dalam SC adalah berasaskan gerak semula jadi manusia. Kelebihan dan keistimewaan tersebut perlu diberi perhatian yang bersungguh dan kefahaman yang mendalam oleh para pengamal SC. Itulah salah satu kelebihan Pusaka Hanafi. Sekian

 
Leave a comment

Posted by on 02/05/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: