RSS

61.2.2. KENALI SILAT CEKAK- Gerak Semula Jadi.

28 Apr

Dalam tulisan yang lalu saya menegaskan bahawa konsep gerak semula jadi manusia adalah merupakan gerak yang asal. Gerak asal adalah bermakna gerak asli. Istilah asli merujuk juga pada sesuatu yang tulen. Sesuatu yang tulen itu adalah sesuatu yang asal dan semula jadi. Hal yang demikianlah kita mengangap SC adalah merupakan silat yang asli sebab geraknya adalah berdasarkan gerak asal manusia yang bermaksud gerak semula jadi. Bukannya gerak yang dibuat-buat atau direka-reka dan bertentangan dengan gerak semula jadi manusia.

Apabila SC dituntut pembuktian sebagai silat yang asli, perbincangan di atas adalah salah satu bukti sandaran yang sangat berkesan. Selain alasan itu, biasanya kita membuktikan keaslian SC berdasarkan salasilah persilatan SC itu diturunkan seperti mana yang sering dinyatakan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan. Daripada ‘istana’ kepada ‘rakyat biasa’. Daripada seorang guru kepada guru yang lain berdasarkan mandat yang jelas dan benar.

Saya lebih berminat pada pembuktian berdasarkan istilah. Hal yang demikian kerana alasan itu boleh dibuktikan secara lisan dan secara praktik. Senang ingat. “Sesuatu yang asli itu adalah merujuk pada sesuatu yang asal”.

Gerak semula jadi yang ada dalam sistem pertahanan diri SC, dapat juga dikaitkan dengan amalan biasa kita dalam sembahyang. Kenyataan tersebut menegaskan lagi betapa SC adalah berdasarkan gerak semula jadi yang benar. Ustaz telah menjelaskan gerak mempertahankan diri itu dalam tulisannya seperti yang berikut:

“..Mempunyai kaedah A, B, C dan D. Empat pergerakan di tangan kiri dan empat di tangan kanan (kaki tidak bergerak), berdiri lurus seperti dalam keadaan sembahyang (tidak berdiri cara kuda-kuda)”.

Ungkapan Ustaz itu membuktikan gerak yang kita guna pakai adalah bersamaan dengan gerak yang ada dalam keadaan kita bersembahyang. Itulah juga gerak semula jadi dan gerak benar kita dalam amal ibadat tersebut. Bukannya gerak yang dibuat-buat. Tak banyak tenaga dan kekuatan yang diperlukan.

Dalam aspek perkaitan antara sistem pertahanan diri SC dengan gerak yang ada dalam sembahyang, Ustaz menegaskan perbandingan tersebut dengan lebih jelas lagi.

“Dikaji secara mendalam, kaedah atau sistem tangkis-menangkis Seni Silat Cekak, berasaskan pendirian gerak geri sembahyang seperti mengangkat takbir, membuat kiam, rukuk dan membaca doa.”

Ungkapan tersebut dimulakan dengan rangkai kata, ‘dikaji secara mendalam’. Kalau pemerhatian dan pengetahuan kita secara biasa, tidak menampakkan perkaitan antara sistem pertahanan diri SC dengan gerak dalam sembahyang. Pada fahaman saya, kenyataan tersebut bukan bermakna kita mempergunakan gerak sembahyang sebagai gerak dalam persilatan kita. Matlamat gerak dalam sembahyang adalah jelas. Cuma, perbincangan kita yang mengaitkan gerak sembahyang hanyalah sekadar perbandingan betapa berdiri yang betul itu adalah seperti yang kita amalkan dalam sembahyang. Wujudnya persamaan gerak dalam SC dengan gerak dalam sembahyang. Itu pun, kenyataan tersebut hanya boleh terkeluar dari mereka yang boleh berfikir dan mengkaji.

Saya mempunyai pandangan tersendiri ketika kita menegaskan kenyataan tersebut. Kita perlu berhati-hati ketika membuat penerangan atas kenyataan, ‘sifat gerak menghadapi lawan dalam SC adalah berasaskan pendirian gerak geri sembahyang’. Pihak yang tidak berpuas hati atas perkembangan SC tentunya akan mencari kelemahan berdasarkan kenyataan tersebut. Mereka boleh mengeluarkan pendapat yang menyakitkan hati kita. Dakwaan mereka, ‘mengaitkan gerak silat dengan gerak dalam sembahyang dianggap mempergunakan gerak sembahyang untuk kepentingan silat; bukan kerana Allah.’ Itulah kenyataan bagi menidakkan kelebihan atau keistimewaan yang ada dalam sistem pertahanan SC.

Ada juga dalam kalangan yang mendakwa sebagai ‘ahli-ahli agama’, tidak senang hati dengan kenyataan sedemikian. Mereka juga menganggap kita mengutamakan gerak sembahyang untuk tujuan yang lain. Anggapan mereka, tindakan kita itu bukan kerana Allah atau bukan dalam konteks menghambakan diri pada Allah. Mempergunakan gerak sembahyang untuk tujuan bermegah. Sedapnya bercakap. Boleh membaca isi hati seseorang.

Walau bagaimanapun, saya sentiasa berhati-hati. Saya akan cuba elakkan penggunaan kenyataan tersebut dalam suasana tertentu yang mungkin tidak mengizinkan. Malas nak timbulkan sebarang isu. Banyak cara lain yang boleh digunakan bagi maksud memahamkan penonton. Saya lebih suka menggunakan kenyataan tersebut ketika berbincang secara peribadi pada mereka yang bertanya. Dalam majlis penerangan secara terbuka, saya lebih suka menggunakan ayat-ayat yang menunjukkan bahawa SC mempunyai sistem pelajaran yang lengkap seperti yang selalu diuar-uarkan ketika kita membuat majlis penerangan.

“Seni Silat Cekak mempunyai kaedah-kaedah yang tetap, yang tidak boleh diubah-ubah dengan mempunyai buah-buah pukulan yang cukup dan kemas serta kunci-kunci tangkapan yang lengkap.”

Apapun, kita perlu lihat dan mengkaji sifat dan sikap para pendengar yang ada. Jika sesuai, kenyataan tersebut adalah satu kebenaran yang boleh diketengahkan. Bukan niat bermegah atau mempergunakan gerak sembahyang, sebaliknya gerak kita sememangnya berdasarkan gerak dalam sembahyang secara bandingan. Jika tidak sesuai, carilah ayat-ayat lain yang boleh memahamkan para pendengar.

Pada kita, matlamat penggunaan gerak-gerak tersebut dalam SC adalah jelas. Ustaz menegaskan:

“Silat ini mengasuh mentauhidkan diri kepada Allah di bidang gerak geri supaya tidak takbur, bengis dan sombong.”

Dalam perbincangan sesama Jurulatih di cawangan, saya pernah mengeluarkan pendapat. Apa salahnya jika kita menghubungkan SC dengan gerak sembahyang. Sekurang-kurangnya kita dapat menarik perhatian anak didik kita pada sembahyang. Lebih-lebih lagi pada mereka yang culas mengerjakan sembahyang. Hal yang demikian boleh dijadikan faktor dorongan untuk berterusan mengerjakan sembahyang. Kebiasaan yang berulang-ulang akan membentuk sikap yang berterusan dan seterusnya menjadi nilai diri yang akan terus berkekalan mengerjakan perbuatan bersembahyang. Insyaallah.

Teringat saya akan kata-kata pakar motivasi yang berkaitan dengan sifat yang ada pada kanak-kanak. Ketika permulaan, perlu ada hadiah untuk mengiktiraf mereka mencipta kecemerlangan. Setelah dewasa dan apabila aspek kecemerlangan menjadi amalan biasa, tidak perlu lagi bentuk-bentuk hadiah sebagai faktor dorongan. Hal yang demikian adalah kerana aspek kecemerlangan adalah merupakan nilai yang telah terbentuk pada diri mereka.

Berdiri lurus ketika menunggu serangan lawan adalah merupakan gerak semula jadi. Itulah juga dinamakan sebagai berdiri yang betul. Berdiri dalam sembahyang adalah merupakan berdiri betul. Pada kita, berdiri lurus atau berdiri betul adalah melambangkan pendirian yang betul.

Saya telah menulis dalam tulisan yang lalu tentang kelebihan kita berdiri lurus ketika menungu serangan lawan. Kedudukannya lebih kuat dan boleh dipergunakan dalam pelbagai situasi. Orang lain sukar membuat ramalan tentang gerak yang bakal dilakukan. Sifat yang sedemikian juga melambangkan sifat tidak mahu gaduh. Tenang dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Kedudukannya lebih rapat ketika membuat tindak balas ketika perlu. Lebih rapat bermakna lebih berkesan ketika bertindak.

Berdiri yang dibuat-buat adalah merujuk pada sifat berdiri secara kuda-kuda. Banyak kekuatan dan tenaga yang diperlukan ketika berkuda-kuda. Hal yang demikian adalah kerana berdiri yang sedemikian bukanlah sifat berdiri pada kebiasaan manusia. Saya telah menyentuh tentang kelemahan berdiri secara berkuda-kuda secara mendalam dalam tulisan yang lalu.

Umpama rotan yang ingin dibentuk. Rotan yang lurus, tinggi nilainya. Pencari rotan akan sentiasa mencari rotan yang lurus. Kelurusannya akan membolehkan rotan itu dibentuk dalam pelbagai rupa. Sebaliknya, rotan yang bengkok terhad kegunaannya. Rendah nilainya.

Gerak tindak balas kita adalah pantas, ringkas dan padat. Setiap buah pelajarannya adalah lengkap dengan tangkisan, pukulan dan kuncian yang kemas. Gerak sedemikian boleh dilakukan dengan cepat dan pantas. Hal yang demikian adalah kerana SC menggunakan tapak dua dan tidak ada bunga-bunga tari atau langkah-melangkah.

Hal yang demikian juga adalah hasil sifat kita berdiri lurus. Itulah berdiri betul yang boleh kita simpulkan sebagai gerak semula jadi manusia. Gerak betul seperti mana yang ditegaskan ketika kita bersembahyang. Berdiri yang sedemikian membolehkan pengamal SC mara ke hadapan untuk menangkis serangan lawan. Hal yang demikian juga membolehkan SC digunakan di tempat-tempat yang sempit, hatta di atas papan sekeping. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 28/04/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: