RSS

61.2.1. KENALI SILAT CEKAK. Gerak Semula Jadi.

25 Apr

Dalam tulisan yang terdahulu, saya telah memberi gambaran tentang gerak semula jadi yang ada dalam SC. Gerak yang sedemikian banyak manfaatnya pada kita sebagai pengamal SC. Kita boleh berbangga kerana berada dalam persilatan SC. Dalam tulisan seterusnya, saya lanjutkan perbincangan tentang gerak semula jadi dalam konteks persilatan kita. Pandangan saya dalam tulisan ini adalah berdasarkan kaca mata kita sebagai pengamal SC.

Semua pergerakan yang ada dalam SC adalah berdasarkan gerak semula jadi. Sifat gerak semula jadi itu boleh dilihat dalam pelajaran gerak Kaedah, gerak Buah Jatuh, gerak buah Potong dan seterusnya gerak Serangan. Gerak yang sedemikian telah melahirkan ciri-ciri khas yang merupakan prinsip utama dalam gerak-gerak persilatan SC. Gerak itu juga telah mencorakkan rupa bentuk persilatan Silat Cekak.

Tak kenal maka tak cinta. Melalui ciri-ciri khas tersebut, kita akan lebih mengenali Silat Cekak. Bila sudah kenal maka sepatutnya, semakinlah kita sayang akan persilatan SC. Terbit bibit-bibit cinta yang boleh menebalkan komitmen kita pada SC. Perjuangan kita akan lebih terarah dan memberi makna. Kita akan dapat merasai kemanisan mengamal dan menyebarkan ilmu persilatan SC dalam kalangan masyarakat. Hal yang demikian akan menguatkan keyakinan dan ketahanan diri dalam proses penyebaran ilmu SC.

Saya galurkan antara ciri-ciri khas berkaitan prinsip gerak yang boleh melambangkan rupa bentuk SC. Ciri-ciri tersebut juga boleh membawa makna akan prinsip yang ada pada SC.

1. Gerak kita adalah halus dan merupakan gerak seni dalam persilatan. Oleh hal yang demikian, sistem yang ada dalam SC mampu untuk mengatasi pelbagai bentuk serangan lawan. Ukuran badan tidak menjadi halangan utama. Seperti yang Ustaz nyatakan bahawa ahli seni silat yang sebenar boleh menewaskan musuh yang lebih kuat dan bertenaga dengan kaedah yang bijaksana. Itulah salah satu kelebihan dan keistimewaan yang menggambarkan rupa bentuk SC.

2. Sifat gerak sukan tidak ada dalam konsep gerak semula jadi dalam SC. Tidak banyak tenaga dan kekuatan yang diperlukan dalam gerak SC. Ukuran umur tidak menjadi halangan untuk melakukan gerak. Selagi bergerak tangan dan kaki, pengamal SC masih berupaya bersilat. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan persilatan Melayu lain yang bercorak tempur. Banyak kekuatan dan tenaga yang sangat diperlukan. Ketika usia semakin lanjut maka semakinlah terbatas geraknya dalam persilatan. Kurang kemampuan untuk membuat gerak lompatan dan elakan. Stemina mesti bagus. Kalau tidak ada kelebihan seperti orang muda, alamat ketinggalan dalam tandingan gerak.

3. Gerak Kaedah untuk menepis serangan lawan adalah berdasarkan gerak menurut. Maknanya, dalam SC tidak ada istilah gerak membangkang. Gerak membangkang adalah gerak sukan. Gerak menurut adalah merupakan gerak semula jadi manusia dalam konteks menepis serangan tangan lawan. Penggunaan Kaedah kita adalah menurut gerak tangan lawan. Penumbuk yang dilepaskan adalah mempunyai kecenderongan ke arah ‘dalam’ badan. Kaedah kita adalah menumpang gerak tumbukan lawan tersebut. Tidak banyak tenaga dan kekuatan yang diperlukan dalam gerak yang sedemikian berbanding dengan gerak membangkang.

4. Pergerakan kaki dan tangan ketika membuat buah adalah berdasarkan gerak bersahaja. Berdirinya pun bersifat bersahaja. Tak menampakkan kesediaan yang bersungguh bagi menghadapi lawan. Kaedah tepisannya juga adalah bersahaja. Gerak tepisan adalah secara menurut gerak serangan tangan lawan tanpa banyak menggunakan tenaga dan kekuatan. Gerak yang bersahaja membawa makna tidak ada gerak yang dibuat-buat atau gerak yang dipaksa-paksa atau gerak yang ditokok tambah pada gerak kebiasaan tangan dan kaki bagi menghasilkan buah-buah.

5. Pergerakan SC yang bersahaja menyebabkan sifat dan sikap pengamalnya berada dalam keadaan tenang. Tak perlu menjerit-jerit bagi ‘memanggil’ semangat. Semangat sentiasa ada ketika menghadapi lawan. Kita juga tidak perlu melagakkan tangan dan badan ketika melakukan gerak. Ada yang terketar-ketar tangan bagi menakut-nakutkan musuh. Macam ular di padang pasir yang menggetarkan ekornya bagi menakutkan musuh. Orang lain mungkin menganggap gerak kita bersifat biasa. Tak ada ‘penggerunnya’. Bersifat selamba kerana seolah-olah berlagak tidak tahu atau bersifat berpura-pura. Hakikatnya, gerak kita adalah gerak yang bersahaja-sahaja. Hal yang demikian adalah merupakan salah satu keistimewaan yang ada dalam SC.

Sistem mempertahankan diri dalam SC adalah mantap dan amat praktis sekali. Geraknya adalah berdasarkan gerak yang praktik kerana boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira tingkat umur. Maknanya, pelajaran SC adalah sentiasa berfaedah sepanjang masa. Boleh diguna sampai ke tua.

Pada pandangan saya, dalam sistem tersebut terdapat tiga komponen besar yang penting. Saya merujuk istilah komponen untuk memperlihatkan bahagian dalam satu sistem yang amat lengkap dan sempurna itu. Komponen-komponen itulah yang membentuk sistem pertahanan diri dalam Silat cekak. Itulah bentuk kefahaman saya bagi memperlihatkan kemantapan dalam sistem pertahanan diri yang ada dalam SC. Saya akan cuba membincangkan komponen-komponen tersebut berdasarkan sudut tafsiran saya.

Komponen yang pertama ialah Kaedah tepisannya. Kita ada empat Kaedah yang lengkap bagi mengawal bahagian atas, tengah dan bawah badan. Keempat-empat kaedah itu, kita namakan sebagai A, B, C dan D. Bahagian tengah dikawal oleh Kaedah yang kita panggil Kaedah A dan B. Bahagian bawah dikawal oleh Kaedah C dan bahagian atas dikawal oleh Kaedah D. Tak ada istilah bangkang pada pengenalan nama Kaedah-Kaedah tersebut. Fokas kita adalah bahagian-bahagian serangan dengan menggunakan kaedah-kaedah tertentu; bukannya fokas pada kaedah yang boleh membawa kecenderongan kepada pelbagai nama. Kaedah-Kaedah tersebut telah diperkuat dengan gerak gelek yang membentuk ketepatan tindak balas pengamal SC dalam sistem pertahanan diri tersebut.

Komponen kedua ialah sifat menunggu serangan. Sifat menunggu serangan itu adalah secara berdiri lurus. Berdiri lurus adalah merupakan berdiri yang betul. Itulah tuntutan pada kita semasa mengerjakan sembahyang. Kita menaruh keyakinan tinggi bahawa kedudukan yang sedemikian adalah merupakan kedudukan yang benar. Semasa berdiri, gerak pengamal SC adalah secara diam. Tidak ada riak diri untuk memancing gerak lawan membuat serangan. Apatah lagi perbuatan gerak tari silat sebagai usaha menonjolkan kelebihan serta untuk menakutkan lawan. Gerak kita adalah berdasarkan tindak balas lawan.

Komponen ketiga ialah gerak tindak balas. Pada dasarnya, gerak tindak balas tersebut adalah secara maju ke depan. Silat Cekak tidak mengelak sama ada ke kiri atau ke kanan. Apatah lagi gerak yang mengundur ke belakang. Kaedah yang ada sangat memadai untuk mengawal serangan di bahagian atas, tengah dan di bahagian bawah. Tepisan secara kaedah akan disertai dengan tindak balas mematikan gerak lawan. Kesannya amat jelas, bergantung pada jenis buah, jenis pukulan dan sasaran yang difokuskan. Gerak itu lebih dikenali sebagai buah jatuh.

Ketiga-tiga komponen gerak itulah yang membentuk sistem pertahanan kita yang amat lengkap dan sempurna. Kita yakin akan sistem pertahanan yang amat mantap itu. Tak perlu ditokok tambah lagi dengan gerak-gerak moden yang muncul dari masa ke masa. Sistem pertahanan diri SC adalah sentiasa sesuai sepanjang masa. “Tak lapok dek hujan, tak lekang dek panas”. Walau bagaimanapun, hakikatnya, asas sistem tersebut adalah berdasarkan gerak semula jadi manusia.

Gerak yang semula jadi adalah merupakan gerak asal manusia. Gerak yang asal itulah yang dianggap sebagai gerak asli. Bukan gerak dibuat-buat yang boleh ditafsirkan sebagai gerak tiruan. Ustaz telah menegaskan konsep gerak yang asal sebagai gerak asli dalam pantunnya seperti rangkap yang berikut.

Silat Cekak benar-benar asli,
Tidak bercampur hak luar negeri,
Hendaklah belajar bersungguh hati,
Untuk menjaga diri sendiri.

Kita perlu faham bahawa bentuk pantun yang dibentuk Ustaz tidaklah sama sifatnya dengan bentuk pantun biasa. Semua baris ayat adalah membawa makna yang tersendiri. Tidak ada pembayang maksud. Semuanya bermaksud.

Oleh sebab gerak SC adalah gerak semula jadi, hakikat gerak sedemikian perlu dikekalkan sepanjang masa. Kita patut berbangga dengan gerak asal manusia yang bersifat asli itu. Kita sahaja yang memilikinya. Oleh itu, kita tidak perlu memasukkan unsur-unsur gerak persilatan lain terutamanya gerak yang datang dari luar negera.

Jika keyakinan itu telah wujud di hati kita, maka belajarlah SC secara bersungguh-sungguh. Kuasai semua isi pelajarannya dengan penuh berkesan. Amalkan dalam kehidupan. Kita diyakinkan bahawa hal yang demikian, mendatangkan faedah yang amat besar pada diri kita dalam konteks menjaga diri. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 25/04/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: