RSS

61.2.0. KENALI SILAT CEKAK. Gerak Semula Jadi.

22 Apr

Para penuntut SC selalu difahamkan bahawa pergerakan SC adalah berdasarkan gerak semula jadi manusia. Kerap kali istilah gerak semula jadi itu dikatakan sebagai gerak normal manusia. Gerak yang tidak dibuat-buat. Kalau gerak yang dibuat-buat maka terpaksalah menggunakan tambahan kekuatan atau tambahan tenaga. Kita anggap gerak itu juga sebagai gerak sukan. Fahaman yang sedemikian adalah jelas pada kita. Berbeza sangat dengan persilatan kita. SC adalah kaya dengan gerak seni yang berasas pada gerak semula jadi.

Namun begitu, dakwaan gerak semula jadi tidak terhad dalam SC sahaja. Nampaknya, ada juga persilatan Melayu lain yang mendakwa gerak mereka juga adalah berdasarkan gerak semula jadi. Fahaman gerak semula jadi kita tidak sama dengan fahaman gerak semula jadi yang ada pada fahaman mereka. Berhati-hatilah ketika berbincang tentang konsep gerak semula jadi dengan pengamal persilatan Melayu yang lain. Perbincangan tersebut boleh mengundang perbahasan yang akan banyak membuang masa. Tak ada penghujungnya.

Ada juga dalam kalangan persilatan gerak tari silat Melayu yang menganggap bahawa gerak tari silat mereka juga adalah berdasarkan gerak semula jadi manusia. Gerak itu diilhamkan pada gerak bayang tubuh badan di air. Apabila air bergerak kerana tiupan angin atau air bergerak kerana perbuatan manusia, bayang tubuh badan di air akan bergerak. Maka lahirlah ilham untuk mereka gerak tari. Dikatakan bahawa gerak tari itu adalah sifat semula jadi hasil pergerakan badan yang diilhamkan melalui bayang di air. Susah bagi kita untuk memahami dakwaan mereka tersebut.

Apatah lagi jika ada dalam kalangan mereka yang cuba membuktikan gerak semula jadi persilatan mereka hasil ilham dalam mimpi atau diajar oleh makhluk ghaib. Banyak khayalan berbanding dengan fakta. Pada mereka, tidak perlu pembuktiaan. Percaya sahaja. Macam mana kita boleh terima.

Nampaknya, kalau kita berbincang atas fahaman tersebut, banyak masa akan terbuang. Lebih-lebih lagi pada mereka yang berfaham tegar. Tak boleh berbincang secara rasional. Pintu hati telah tertutup. Perkara pastinya, fahaman gerak semula jadi yang ada pada kita tentunya tidak sama dengan fahaman mereka tersebut.

Malah, ada persilatan yang bergelar Silat Semula Jadi. Walau bagaimanapun, dakwaan konsep gerak semula jadi yang diamal mereka adalah tidak sama dengan rupa bentuk persilatan kita. Saya pernah melihat persembahan persilatan yang mendakwa sebagai semula jadi tersebut. Walau bagaimanapun saya tidak berpengetahuan mendalam tentang gerak yang mereka amalkan. Kedudukan menunggu masih berdiri lurus. Namun begitu, ketara juga perbezaan dalam prinsip gerak tindakan seperti yang ada pada persilatan kita.

Oleh itu, dalam tulisan ini saya ingin menyentuh tentang ungkapan seterusnya yang ada dalam fahaman kita. “Pergerakan SC adalah berdasarkan gerak semula jadi manusia.”

UNGKAPAN KETIGA

Pergerakan SC adalah berdasarkan gerak semula jadi.

Saya selalu menyentuh tentang tajuk ini dalam tulisan-tulisan yang terdahulu. Dalam tulisan ini perbincangan saya lebih berfokus tentang gerak semula jadi SC. Isi perbincangan mungkin berulang dengan apa yang pernah saya sentuh dalam tulisan terdahulu.

Pengamal SC telah diyakinkan bahawa gerak yang ada pada sistem pelajaran kita adalah berdasarkan gerak semula jadi manusia. Ustaz pernah menulis seperti berikut:

“Pergerakan dan sistem silat ini sesuai benar dengan gerak geri semula jadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang dan nyata kesesuaiannya dengan prinsip agama Islam.”

Apabila kita mengunakan istilah semula jadi, tentunya ada bandingannya dengan gerak yang dibuat-buat. Gerak yang dibuat-buat mengundang pada penggunaan kekuatan dan tenaga yang banyak. Ketika melakukan gerak sedemikian akan memaksa fikiran memberikan tumpuan pada gerak tersebut. Fikiran akan stress. Ketegangan. Jiwa tidak tenang.

Kefahaman yang diasaskan Ustaz adalah jelas. Gerak semula jadi yang kita maksudkan dalam persilatan SC adalah bersifat ‘selamba’. Geraknya adalah macam biasa sebagai gerak kebiasaan manusia. Tak payah gopoh-gopoh. Tenang sifatnya. Tak perlu menjerit-jerit atau melagakkan gerak tangan, kaki atau gerak badan bagi menakut-nakutkan lawan. Gerak yang sedemikian pun akan mengundang kepenatan. Banyak kalori yang terpaksa digunakan.

Rupa-rupanya gerak biasa atas kebiasaan manusia itulah merupakan keluarbiasaan kita berbanding dengan gerak dalam persilatan Melayu. Ustaz telah menegaskan dalam ungkapannya tentang gerak yang dipakai dalam SC, seperti berikut.

“Seni silat bergerak secara halus sejajar dengan pergerakan semula jadi dan sememangnya sesuai dipanggil seni. Manakala pergerakan silat jenis sukan, bergerak bukan cara normal (pergerakan yang dibuat-buat).”

Ustaz telah menghuraikan bahawa sifat yang bukan seni adalah bergerak secara kasar. Kekuatan menjadi ukuran utama. Saya telah menyentuh secara panjang lebar ketika menulis tentang sifat membangkang dalam gerak persilatan. Tidak ada istilah membangkang dalam prinsip dan konsep persilatan kita.

Sifat membangkang adalah berbeza dengan sifat seni. Gerak seni adalah gerak menurut. Pergerakan yang membangkang memerlukan tenaga yang kuat, berbanding dengan pengamal gerak seni.

“Ahli seni silat yang sebenar boleh menewaskan musuh yang lebih kuat dan bertenaga dengan kaedah yang bijaksana.”

Oleh sebab penekanan gerak dalam SC adalah berdasarkan pada gerak semula jadi, maka menyebabkan kita mudah membuat penegasan tentang faedah penggunaannya. Kita boleh membuktikan bahawa gerak yang ada dalam SC adalah mantap dan berkesan. Sifat gerak semula jadi tentu berbeza dengan sifat gerak yang dibuat-buat. Sesuatu yang ori tentulah tinggi nilainya berbanding dengan sesuatu yang bersifat tiruan.
Dalam tulisan Ustaz seterusnya, Ustaz menegaskan:

“Silat ini diajar secara ilmiah sesuai dengan gerak geri normal manusia dengan menggunakan pancaindera yang sempurna berdasarkan fikiran yang sihat dan jiwa yang tenang.”

Hal yang sedemikianlah memudahkan kefahaman SC disampaikan pada mereka yang boleh berfikir dengan menggunakan pemikiran yang sehat. Kita boleh membuktikan keberkesanan gerak yang ada dalam SC sama ada secara ilmiah atau secara amali. Gerak kita adalah bersistem berdasarkan kenyataan. Tak banyak alasan yang perlu diberi sebagai maksud pembuktian tersebut. Hal yang demikianlah menyebabkan penegasan saya. Letakkan kepercayaan mutlak pada Silat Cekak sebagai pusaka bangsa yang amat berkesan. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 22/04/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: