RSS

61.1.0 KENALI SILAT CEKAK. Pakai Tak Pakai.

18 Apr

Dalam tulisan yang lalu, saya menegaskan betapa pengamal SC tidak memperlihatkan dirinya sebagai pengamal silat. Nampak macam boleh makan; tapi bila dalam situasi sebenar kehebatannya sukar dijangka. Sukar dibaca lawan. Akhirnya mereka yang kecundang.

Dalam hal ini, isi pelajaran SC itu sendiri yang membolehkan diri pengamalnya bertindak ke arah kemenangan dalam saingan gerak. Pelajarannya amat berguna dan boleh bertanggungjawab menjaga diri. Para pengamal SC ditanamkan fahaman atas falsafah yang jelas. Maka lahirlah ungkapan kedua yang ingin saya ulas dalam tulisan ini. Ulasan saya hanyalah dari sudut gerak persilatan sahaja.

UNGKAPAN KEDUA:

PAKAI TAK PAKAI. TAK PAKAI PAKAI.

Ungkapan tersebut adalah tidak asing pada kita. Istilah pakai juga boleh disamaertikan dengan istilah guna. Kita lebih kenali ungkapan itu sebagai falsafah Silat Cekak. Falsafah adalah bermakna suatu kebenaran pada kita. Oleh itu falsafah tersebut adalah merupakan suatu kebenaran yang ada pada SC dan falsafah itu adalah merupakan ajaran kepada ahli yang telah tamat. Sebagai penuntut SC, mereka mesti menjiwai falsafah tersebut. Penguasaan kefahaman itu akan menjadikan mereka lebih berkeyakinan pada isi pelajaran SC untuk membolehkan mereka menjaga diri.

Pada fahaman biasa atau fahaman selapis, falsafah tersebut membawa makna pelajaran buah jatuh adalah gerak yang kita pakai. Penuntut akan diajar tentang cara menewaskan musuh sekiranya buah-buah tadi dipakai terhadapnya. Maknanya, buah yang dipakai tadi tidak boleh dipakai. Buah yang tidak dipakai akan dipakai bagi menidakkan buah-buah yang diguna untuk membela diri. Dalam kupasan yang lain, buah-buah yang kita guna pakai akan menjadi tidak terpakai apabila dipotong oleh pasangan kita. Dari segi yang lain, buah jatuhan yang tidak menjadi ketika kita menggunakannya telah dipakai semula oleh pasangan kita.

Falsafah ini melambangkan bahawa sesama ahli SC tidak boleh bergaduh kerana buah-buah itu tidak dapat digunakan. Ketika pasangan mematikan buah jatuh dengan kaedah potong, pesilat masih boleh pintas semula menjadikan gerak buah pasangannya tak terpakai. Begitulah seterusnya menjadikan gerak yang berulang-ulang, Pakai tak pakai, tak pakai pakai dan berterusan pakai tak pakai, tak pakai pakai. Gerak berkenaan hanya dapat dimuktamadkan melalui kaedah Enam Tolak Enam. Pesilat yang menyerang dan diserang dalam kedudukan yang sama.

Kefahaman tersebut adalah bersesuaian jika pesilat itu adalah sesama ahli persilatan SC. Namun begitu, fahaman pada falsafah tersebut boleh diluaskan pada kefahaman yang berlapis. Dalam tulisan ini saya akan cuba membincangkan hal kefahaman yang sedemikian berdasarkan fahaman saya atas percakapan dan penulisan Ustaz dari segi persilatan sahaja.

SC adalah sejenis silat yang amat sesuai sebagai seni bela diri. Kita sering diuar-uarkan bahawa konsep atau pelajaran SC terbahagi kepada dua. Mempertahankan diri dan menyerang. Walau bagaimanapun, dikatakan bahawa pelajaran SC amat mementingkan aspek mempertahankan diri. Penuntut yang baru menceburi SC akan diperkenalkan aspek mempertahankan diri terlebih dahulu. Ada pendidikan yang amat dititikberatkan. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang terdahulu.

Demi menjaga keselamatan diri apabila terancam maka barulah Cekak menyerang. Pelajaran satu peratus adalah merupakan pelajaran yang banyak membantu Cekak apabila menyerang. Saya juga telah banyak menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang terhadulu.

Apabila pengamal SC mengguna pakai pelajaran tumbukan istimewanya ketika menyerang maka semua pelajaran lawannya akan tidak berguna atau tidak terpakai lagi. Maka lahirlah konsep, ‘Pakai Tak Pakai”. Maknanya, ‘Kita pakai pelajaran kita, akan menyebabkan musuh tak terpakai pelajaran yang ada padanya.’ Fahaman Pakai Tak Pakai itu memperlihatkan ajaran teknik menyerang lawan dan membunuh buah-buah seni yang cuba diguna lawan. Pelajaran itu juga adalah merupakan salah satu keistimewaan kita. Peliharalah keistimewaan tumbukan tersebut secara belajar menguasainya dengan bersungguh-sungguh.

Dalam hal ini, SC menyerang sambil menangkap. Pergerakan lawan kita akan terhenti. Dengan mudah pengamal SC akan menguasai gerak lawan. Sesungguhnya pelajaran yang sedemikian hanya dimiliki oleh SC. Kita yakin atas kenyataan tersebut seperti mana yang ditegaskan Ustaz. Kalau kita saja yang ada dan orang lain tidak ada maka itulah satu keistimewaan yang luar biasa. Kuasai pelajaran tersebut dengan bersungguh hati.

Fahaman Pakai tak pakai juga boleh dilihat dalam ajaran menggunakan parang lading ketika menunggu serangan senjata pendek dari pihak lawan. Ketika pengamal SC menggunakan lading, serangan pisau atau tongkat pendek, tidak menjadi hal. Seranglah dari sudut mana sekali pun. Dengan mudah serangan tersebut dapat ditumpaskan dengan menggunakan lading. Begitulah hebatnya SC seperti yang digambarkan dalam ungkapan tersebut.

Peranan buah-buah jatuh juga sangat bermakna untuk mematikan serangan lawan. Gerak yang dipakai mereka menjadi tidak terpakai. Hal yang demikian adalah kerana gerak buah yang kita gunakan atau kita pakai telah menyebabkan gerak mereka tidak berguna atau tidak terpakai.

Walau bagaimanapun, ketika kita melakukan buah-buah jatuhan ke atas lawan kita, mungkin ada beberapa halangan yang kita hadapi. Halangan itu adalah atas pelbagai alasan. Dalam kiraan saat dan ketika, pengamal SC boleh menukar buah iaitu mengguna pakai buah yang lain untuk mengatasi halangan tersebut. Saya ambil satu contoh yang mudah yang melibatkan buah Pertama. Ketika pengamal SC ingin menjatuhkan pelipat lawan, mungkin terdapat halangan. Dengan secepat kilat, pengamal SC boleh menukar buah tersebut dengan Buah Paras. Perbuatan tersebut adalah merupakan kepelbagaian buah bagi mengatasi gerak lawan. Buah yang bukan menjadi tujuan utama telah diguna pakai untuk menggantikan buah yang cuba diguna pakai. Wujudlah konsep lain yang berkaitan dengan falsafah tersebut. “Tak Pakai, Pakai”. Maknanya, ‘ Ketika pelajaran kita tak dapat dipakai menyebabkan kita pakai pelajaran lain yang tak terpakai pada awalnya’.

Gerak buah yang baru dipakai atau diguna itu adalah berdasarkan gerak asal buah yang tidak dapat diteruskan lagi penggunaannya. Maknanya, gerak buah yang baru itu adalah menumpang gerak pada buah asal yang tidak boleh diguna pakai.

Dalam tafsiran yang lain, ketika kita mengguna pakai buah untuk mengatasi gerak lawan dan gerak kita itu cuba dimatikan lawan, kita berupaya bertindak dengan menggunakan buah yang lain. Dalam huraian falsafah pakai tak pakai dan tak pakai pakai berdasarkan situasi tersebut, membawa makna “ketika mengatasi serangan lawan, buah yang kita pakai diatasi lawan, maka dengan sistem pelajaran kita, pengamal SC masih berupaya menggunakan buah lain untuk mengatasi gerak lawan”.

Satu lagi bentuk tafsiran yang kita boleh buat adalah membawa makna bahawa buah-buah yang kita pakai, tidak boleh dipakai oleh orang lain ke atas diri kita. Buah-buah jatuh dan ajaran menangkis semua pukulan tongkat dan tikaman dengan tangan kosong yang kita pakai, tidak boleh digunakan oleh orang lain ke atas kita. Hal yang demikian kerana kita ada sistem potong yang tidak ada pada orang lain. Begitulah fahamnya Pakai Tak Pakai Tak Pakai Pakai. Ahli-ahli yang telah tamat akan dipupuk dengan falsafah ini secara praktikalnya.

Berdasarkan perbincangan di atas, sacara kesimpulan saya berpendapat bahawa falsafah tersebut boleh membawa beberapa makna. Pertamanya sesama ahli tidak boleh bergaduh. Konsep tidak boleh bergaduh bukanlah merujuk pada prinsip tegahan. Sebaliknya konsep tidak boleh bergaduh itu adalah merujuk pada sistem pelajaran SC yang menyebabkan sesama ahli tidak boleh bergaduh. Jika bergaduh maka tidak ada yang menang dan tidak ada siapa yang kalah. Oleh itu tidak boleh bergaduh membawa makna perbuatan yang sia-sia.

Keduanya, kita perlu yakin dengan keistimewaan yang ada dalam SC. Tumbuk serangnya amat membantu dalam aspek serangan. Lebih-lebih lagi dengan adanya sistem potong maka lengkaplah kaedah serang dalam SC. Serangan SC akan mempastikan kemenangan mutlak. Berilah keyakinan tersebut tanpa ada perasaan ragu-ragu. Konsep ‘calit kapur’ adalah menandakan ketepatan serangannya. Segala pelajaran lawan kita akan tidak terpakai apabila kita memakai kaedah serangan kita. Bila kita pakai maka pelajaran orang lain akan tak pakai.

Konsep serangan kita pernah digambarkan dalam sastera rakyat Hikayat Malim Dewan. Serangan kita banyak dibantu oleh tumbukannya dan sistem potong yang ada. Hal yang demikianlah menyebabkan musuh akan tertewas dengan mudahnya. Saya petik semula konsep serangan SC dalam cerita tersebut.

“..ingat-ingat, inilah gayung anak piatu, jikalau disambut kena dua, jikalau tiada disambut kena satu.”

Di samping aspek serangan SC yang lengkap, pelajaran kita juga ada keistimewaanya dalam aspek pertahanan diri. Buah-buah jatuhnya adalah lengkap dan kemas dengan pukulan dan kuncian. Ketika serangan dilakukan musuh, apabila pengamal SC mengguna atau memakai buah-buah tersebut, akan menyebabkan gerak lawan tidak terpakai. Pihak lawan tidak akan berupaya mematikan gerak yang dilakukan oleh pengamal SC. Begitu juga dengan penggunaan senjata parang lading. Penggunaannya akan menyebabkan serangan senjata lawan akan gagal.

Oleh itu, falsafah Pakai Tak Pakai, Tak Pakai Pakai perlulah dihayati dengan sepenuh hati oleh penuntut SC yang telah tamat pembelajarannya. Kafahaman padanya akan memupuk sifat yakin diri yang menjurus kepada sifat keberanian yang berasas. Bukan khayalan semata-mata. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 18/04/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: