RSS

61.0. KENALI SILAT CEKAK. Silat Gaduh

15 Apr

Ustaz telah menerima mandat sebagai Guru Utama untuk meneruskan perkembangan Silat Cekak. Konsep penerimaan mandat itu membawa makna bahawa Ustaz telah mewarisi SC daripada guru SC yang terdahulu. Seperti yang telah saya bincangkan, Ustaz telah membuat penyusunan atau pelarasan semula pada isi pelajaran yang diwarisinya itu. Hasil pelarasan itulah maka Ustaz meneruskan kesinambungan pembelajaran kepada anak muridnya. Setelah pemergian Ustaz, ilmu dan persilatan SC telah diwariskan pada Guru Utama yang sedia ada. Ilmu yang diwariskan itulah dinamakan sebagai Pusaka Hanafi.

Untuk mengenali Silat Cekak yang telah diwarisi Ustaz Hanafi itu maka fahamilah ungkapan-ungkapan yang pernah ditulis atau diucapkan Ustaz. Ungkapan-ungkapan itu boleh ditafsirkan dalam bentuk prinsip atau konsep atau falsafah persilatan Silat Cekak itu sendiri. Pelbagai ungkapan itulah yang membolehkan kita memberi gambaran tentang rupa bentuk SC yang telah diwariskan Ustaz.

Dalam tulisan ini, perbincangan saya tentang SC adalah secara umum dengan merujuk pada persilatan Silat Cekak yang kini sedang dikendalikan oleh pelbagai persatuan. Asas perbincangan adalah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya. Tafsiran saya adalah berdasarkan ungkapan yang pernah ditulis atau diucapkan Ustaz.

Huraian pada ungkapan-ungkapan tersebut mungkin bertindih. Hal yang demikian adalah kerana pentafsiran tentang SC boleh dilakukan dari pelbagai sudut.

UNGKAPAN PERTAMA

“Silat Cekak bukanlah sejenis silat permainan seperti silat pulut atau silat pengantin, sebab itu tidak ada gendang dan tari menari dan melangkah ke kiri dan ke kanan”.

Saya rasa, ungkapan di atas adalah tidak asing lagi pada para pembaca. . Saya telah menulis huraiannya secara jelas dan panjang lebar dalam tulisan-tulisan yang lalu. Ungkapan itu sering diperkatakan dalam setiap majlis penerangan tentang SC kerana secara umumnya telah melahirkan konsep yang jelas tentang rupa bentuk SC.

Secara keseluruhan, ungkapan tersebut menggambarkan beberapa prinsip yang boleh melambangkan rupa bentuk SC. Berpeganglah pada prinsip tersebut bagi mengekalkan kefahaman kita pada rupa bentuk SC. Kalau ada usaha-usaha menjadikan SC sebagai bahan ‘hiburan’, maka hilanglah keaslian rupa bentuk SC. Lebih-lebih lagi apabila SC dicorakkan dengan gerak tari dan sifat langkah-melangkah serta diiringi dengan gendang silat, maka akan berubah langsung rupa bentuk SC. Seolah-olah berlaku ‘pembedahan plastik’ bagi mengubah rupa bentuk SC.

Ungkapan tersebut telah diperkuatkan dengan beberapa konsep yang amat besar dan jelas setelah kita meneliti isi pelajarannya yang ada. Pertamanya, ungkapan itu mengesahkan bahawa SC mempunyai kaedah-kaedah tertentu yang tepat dan lengkap. Kaedah yang empat telah diperkuatkan dengan kaedah gelek. Kita menaruh keyakinan bahawa kaedah-kaedah yang ada, sangat mampu untuk menjaga diri kita. Pergerakannya adalah menurut gerak lawan. Tidak ada istilah membangkang dalam SC. Apatah lagi sifat langkah-melangkah untuk menangkis atau mengelak serangan lawan.

Keduanya, buah-buah pukulan SC adalah mencukupi dan amat kemas. Hal yang demikian juga melambangkan keistimewaan yang ada dalam SC. Sesungguhnya, salah satu kelebihan silat kita adalah kerana SC mementingkan gerak pukulan. Pukulannya boleh membawa kecederaan yang amat, termasuk boleh membawa kepada kematian.

Para penuntut SC ditunjukkan tentang bentuk-bentuk pukulan yang ada. Istilah tetak, tampar, tumbukan atau ‘jab’, cucukan dan sebagainya, melambangkan bentuk-bentuk pukulan kita. Kegunaannya adalah tertumpu pada tempat-tempat khas yang tertentu. Lain tempat maka mungkin lain bentuk pukulannya. Sasaran pukulan pula amat diberatkan SC. Ada tempat-tempat tertentu yang menjadi sasaran. Istilah ‘Pukulan Sejengkal’ tentunya memberi panduan khusus pada para penuntut SC.

Ketiganya, kuncian buah SC adalah lengkap. CUkup untuk menewaskan musuh. Boleh menyebabkan patah atau pengsan. Malah, boleh menyebabkan kematian. Tidak perlulah kita mempelajari kuncian-kuncian lain. Pelajaran kuncian dalam buah umum adalah sebagai maksud ‘memusnahkan’ buah-buah kuncian tersebut. Oleh itu, tidak perlulah kita menguasai kuncian-kuncian dalam pelajaran umum dengan bersungguh hati. Cukup sekadar tahu melakonkannya bagi membolehkan pasangan kita membuat latihan bagi mematikan gerak kuncian itu.

Walaupun kita tidak mempunyai kaedah khusus bagi membuka kuncian, prinsip pembelajaran kita adalah jelas. Jangan benarkan musuh kita membuat kuncian. Prinsip kita tersebut membawa makna, “mencegah lebih baik daripada menyembuh.” Maknanya, sistem pembelajaran yang sedia ada dalam SC telah membolehkan kita tidak membenarkan musuh membuat kuncian. Itulah pelajaran potong namanya. Malah kerap kali kita tak payah buat potong pun. Sekali kita lepaskan tumbukan maka berkali mendatangkan kemudaratan pada lawan. Tak sempat membuat kuncian.

Berdarkan sifat-sifat tersebut, mana mungkin SC setaraf dengan jenis silat permainan. Geraknya serius. “Jangan main-main” dengan SC. Walaupun nampak macam pengamalnya tidak menunjukkan sifat sebagai ahli silat, tapi ketika bersilat, hebat jadinya.

Teringat saya pada dua kiasan yang pernah diucap Ustaz mengenai kehebatan SC. Pertamanya, gerak kita umpama burung merpati. Jinak-jinak merpati, bukan senang ditangkap. Helang yang mudah menangkap sebarang jenis burung di udara, tidak mudah menangkap burung merpati. Pasti gagal. Keduanya, gerak kita umpama anu. Bila nak, pasti menjadi. Kalah tedung sela. Tapi bila tak nak, pasif sifatnya.

Ungkapan tersebut juga menggambarkan bahawa pelajaran SC adalah mengutamakan segi mempertahankan diri. Keutamaan itu digambarkan melalui penyampaian isi pelajarannya. Penuntut diperkenalkan dengan kaedah menepis terlebih dahulu. Kita hanya belajar menumbuk setelah ada ijazah khas. Setelah tamat silat baru diajar cara tumbuk SC.

Umumnya, sifat yang sedemikian amat berbeza dengan persilatan Melayu yang lain. Para penuntut yang baru menceburi persilatan berkenaan, diperkenalkan dengan gerak menumbuk terlebih dahulu. Tumbukan itu diperkuat dengan kuda-kuda yang dikatakan sangat hebat. Setelah tumbukan mantap maka baharulah diperkenalkan buah-buah dalam silat berkenaan untuk menghadapi musuh.

Persembahan atau pertunjukan SC menggambarkan bahawa geraknya adalah berdasarkan tindak balas lawan. Tindak balas itu dilakonkan melalui persembahan Kaedah A hingga D. Kalau tidak ada tindakan lawan, SC akan duduk diam. Kalau ada serangan maka adalah tindak balas dari pengamal SC. Hal yang demikianlah dapat disimpulkan bahawa SC bukanlah sejenis silat permainan atau silat pulut.

Tentunya gerak SC itu berbeza dengan silat pulut atau silat permainan. Penulisan saya ini akan mudah difahami oleh mereka yang ada pengalaman dalam permainan silat tersebut. Sebelum ‘bertarung’, mereka akan menonjolkan sifat ‘kejantanan’. Masing-masing dengan tari silatnmya. ‘Berkepaklah’ mereka umpama ayam jantan yang sedang mengorat ayam betina. Setelah menonjolkan sifat kejantanan maka bertarunglah ayam jantan itu dengan ayam betina. Begitu juga dalam pertandingan Silat Olahraga. Sebelum bertarung, para pesilat perlu menonjokkan diri. Persembahan tari silat. Konsepnya ialah “Berkepak macam ayam jantan.”

Nampaknya, tari silat juga amat bermakna sebagai gerak untuk menonjolkan diri sebelum bertarung. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan Silat Cekak. Tidak perlu menonjolkan diri. Apabila ada serangan atau tindakan musuh, maka barulah SC bertindak. Silat Cekak bukanlah calang-calang silat. Kita menyimpulkan bahawa persilatan kita adalah sebagai silat gaduh. Bukannya silat permainan atau silat untuk olahraga atau silat yang berkepak seperti ayam. Itu sebabnya kita tak ada tari bagi maksud penonjolan diri. Jadi, bagaimana pulak tentang tari yang ada dalam persembahan silat kita. Saya tak ada komen sebab saya tak pernah terlibat dengan perkara tersebut. “Masih dara, tidak ternoda”.

Ungkapan di atas juga dapat menggambarkan betapa SC amat memberatkan sifat membela diri supaya anak didiknya terlatih dengan keberanian, bukan sifat mengganas atau menceroboh. Sifat yang demikian adalah merupakan satu bentuk pendidikan yang amat tinggi nilainya.

Dari segi psikologi, kita dapat rasakan kalau anak didik kita diasuh dengan sifat menyerang, akhirnya akan banyak miripnya pada sifat ganas dan suka membuat kacau. Diri mereka akan berasa hebat. “Kira nak tampar orang saja tanpa mengira tamparan orang lain padanya”. Sebaliknya, kalau diasuh dengan sifat menepis dan menanti serangan, akan mendidik mereka bersifat berhati-hati. Bukan senang menangkis serangan tanpa ada sifat yakin diri dan sifat keberanian.

Dalam pelajaran SC, kita hanya menyerang bila terpaksa. Demi menjaga keselamatan diri barulah Cekak menyerang. Begitulah hebatnya bentuk pendidikan yang ada dalam SC. “Kalau orang tak kacau kita, apa perlunya kita kacau orang”. Hal yang demikianlah menyebabkan kita tidak perlu menonjolkan diri. Tak payah membesarkan dada atau mendepankan dada atau mendada bagi membuktikan kita hebat bersilat. Saya selalu katakan bahawa pengamal SC macam tak nampak belajar silat. Tidak mengepak tak tentu hala. Bukan macam ayam jantan yang sentiasa suka mengereng. Dikuasai nafsu. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 15/04/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: