RSS

60.2. RUPA BENTUK SILAT CEKAK. Asas Pegangan Saya.

11 Apr

Dalam tulisan yang lalu, saya menegaskan betapa guru yang memimpin persilatannya adalah berhak membuat sebarang perubahan. Dari segi persilatan, tanggungjawabnya sebagai guru membolehkannya berbuat demikian. Hal yang demikian juga adalah merupakan satu amalan dalam kepimpinan persilatan SC. Walau bagaimanapun, pada pendapat saya, jika membuat perubahan sama ada menambah atau mengurangkan warisan ilmu SC dari Ustaz, elok juga berfikir kembali tentang penggunaan istilah Pusaka Hanafi. Eloklah guna pakai istilah Pusaka dan diikuti dengan nama diri sendiri.

Nampaknya ada juga dalam kalangan yang mendakwa sebagai guru SC, cuba mengekalkan ‘keaslian’ yang ada dalam SC. Hinggakan ejaan Cekak pun dikekalkan dengan ejaan lama iaitu “Chekak”. Isi pelajaran belum tahu lagi. Pada hal, pertukaran ejaan itu telah berlaku di zaman Ustaz sendiri. Kalau terlalu ‘tertutup’ dan tidak ingin langsung perubahan, akan nampak kelemahan diri sendiri.

Saya sentiasa terkenang akan penglibatan mula saya dalam SC hingga membolehkan saya membentuk kefahaman dan pegangan tentang SC hingga sekarang. Pegangan yang terbentuk menjelaskan bahawa sesungguhnya SC adalah sejenis silat yang mempunyai banyak keistimewaan. Hal yang demikianlah sering saya katakan telah menyebabkan SC merupakan sejenis silat yang luar dari kebiasaan persilatan silat Melayu. Kita perlu berasa bangga atas keistimewaan yang ada pada silat kita. Peliharalah keistimewaan tersebut. Itulah jenis pusaka yang ditinggalkan Ustaz yang dikenali sebagai Pusaka Hanafi. Lengkap dan tidak perlu penambahan atau pengurangan.

Saya amat berminat dengan persilatan Melayu. Setiap perkembangan persilatan Melayu akan menjadi bahan bacaan atau bahan perbincangan. Akhirnya saya terbaca tentang kemunculan SC dalam persada persilatan Melayu. Pembacaan pertama saya tentang SC adalah bermula pada tulisan Ustaz dalam majalah Dewan Masyarakat. Tulisan Ustaz tersebut amat menarik perhatian saya. Itulah pertama kalinya saya mengenal SC. Perasaan dan minat saya melonjak-lonjak untuk mengetahui tentang SC secara Jelas. Ketika itu saya telah ada serba sedikit pengetahuan tentang rupa bentuk SC. Matlamat saya seterusnya ialah menambahkan pengetahuan tentang SC yang dianggap sebagai luar biasa tersebut. Nampaknya, saya memperoleh ‘habuan’ untuk mempelajari SC.

Ayat-ayat yang ada dalam tulisan Ustaz membawa makna yang tersendiri. Ungkapan yang ada, melambangkan rupa bentuk SC. Luar biasa dari kebiasaan yang ada. Hal yang demikian telah manarik perhatian saya dari dulu hingga sekarang. Oleh sebab keluarbiasaan yang ada pada SC telah menyebabkan saya sanggup meninggalkan amalan persilatan saya yang sedia ada. Ingin memperoleh ilmu yang saya rasakan lebih bermakna.

Hal yang demikian telah mendorong saya menganjurkan pertunjukan di Universiti Malaya dan membuka kelas di sana. Itulah kelas yang pertama tertubuh di pusat pengajian tinggi. SC mendapat perhatian hebat daripada penuntut di pusat pengajian tinggi. Setelah bertapak di Universiti Malaya, SC mula berkembang kemudiannya di pusat-pusat pengajian tinggi yang lain iaitu UTM, UPM, UKM dan UTK. Kini, perkembangannya semakin meluas.

Teringat saya akan kisah lama. Untuk membuka kelas di Universiti Malaya, saya sering bertemu Ustaz bagi mendapatkan penerangan lanjut mengenai Falsafah, Konsep dan Prinsip Silat Cekak. Kata-kata Ustaz dalam perbincangan dengan saya, amat menarik dan telah saya jadikan satu pegangan dan kefahaman saya pada SC. Pegangan itu berterusan hinggalah dekarang.

Dalam tulisan ini, saya cuba menyingkap sejarah tentang minat pertama saya pada SC. Semuanya bermula ketika saya masih menuntut sebagai mahasiswa Universiti Malaya. Elok juga saya ceritakan pengalaman saya berbincang dengan Ustaz dalam proses membuka kelas di UM. Hasil perbincangan tersebut telah memberi gambaran jelas pada saya tentang rupa bentuk Silat Cekak. Perbualan Ustaz amat menarik perhatian saya dan hal yang demikian menyebabkan saya semakin mengenali SC. Tak kenal maka tak cinta. Bila sudah kenal maka mulalah lahirnya bibit- bibit cinta. Cinta pada Silat Cekak.

Saya telah menulis surat pada Ustaz untuk mendapatkan kebenaran menganjurkan majlis penerangan di Universiti Malaya. Surat saya dibalas Ustaz melalui setiausaha kerja persatuan. Saya tulis kembali salinan surat berkenaan. Gambar yang di bawah adalah gambar asal surat berkenaan.

Persatuan Seni Silat Chekak Malaysia,
32 Jalan Haji Sirat
Kampung Baharu,
Kuala Lumpur.
16 hb. November 1973.

Saudara Mohd Rauhi
Koleh Ketiga,
Universiti Malaya.

Saudara,

Per: Perbincangan Mengenai Pertunjukan Seni Silat Chekak.

Surat saudara yang bertarikh 10hb November telah kami terima. Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas minat yang telah pihak saudara tunjukan itu.

Mengenai cadangan saudara tentang tempat dan tarikh serta masa agar pertunjukan itu dapat diadakan, pada dasarnya kami terima. Tetapi kami rasa agar lebih elok lagi saudara datang ke ibu Pejabat kami yang beralamat seperti di atas untuk mengadakan perbincangan agar segala matlamat dan tujuan-tujuan cita-cita tersebut dapat diselaras dan diperlicinkan. Dengan maklumat yang saudara telah berikan di dalam kandungan surat saudara tempuh hari saya kira tarikh yang elok untuk tujuan perbincangan tersebut ialah 3hb Dec 1973, lebih kurang pukul 8.00 malam. Ini bererti kita masih mempunyai tempoh selama satu minggu untuk mengaturkannya.

Sekiranya ada perubahan-perubahan yang terpaksa saudara lakukan harap kiranya dapat saudara memberi tahu pihak kami.

Sdekian. Terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

……………………………………
(bp Ghazali bin Abu Noh,
Setiausaha Kerja PSSCM).

Melalui Pengetahuan Yang Di Pertua,

……………………………………..
(Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad,
Yang Di Pertua PSSCM).

Saya memenuhi undangan tersebut. Saya anggap bahawa pelawaan berjumpa Ustaz sangat memberi makna pada saya untuk lebih mengenali SC. Sesungguhnya, perbincangan yang diadakan itu telah mendekatkan saya dengan SC secara lebih mendalam. Ketika itu, Setiausaha Persatuan SC ialah Ghazali bin Abu Noh. Beliau telah meninggalkan SC dan kini nampaknya bergiat cergas dalam lakonan drama.

Perbincangan dengan Ustaz telah benar-benar mendatangkan faedah buat diri saya sendiri. Kefahaman saya tentang SC semakin bertambah. Ungkapan, “Silat Cekak bukanlah sejenis silat permainan seperti silat pulut atau silat pengantin, sebab itu tidak ada gendang dan tari menari dan melangkah ke kiri dan ke kanan”, adalah merupakan asas perbincangan.

Ungkapan itu amat menarik perhatian saya kerana ungkapan itu dapat menggambarkan rupa bentuk atau wajah persilatan SC. Hal yang demikianlah menyebabkan hati saya terlalu asyik untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang SC. Ungkapan itulah yang telah mewujudkan satu tanggapan jelas saya pada SC. Maknanya, ungkapan tersebutlah yang meletakkan SC teristimewa berbanding dengan silat-silat Malayu lain yang saya pelajari dan yang saya ketahui. Ungkapan itu juga menggambarkan prinsip, konsep dan falsafah SC yang dapat dijadikan asas kefahaman kita tentang SC.

Sepanjang saya bersama Ustaz, ada banyak lagi ungkapan-ungkapan Ustaz yang menggambarkan rupa bentuk SC. Semua ungkapan itu adalah melambangkan prinsip, konsep dan falsafah SC. Saya telah menjadikan aspek-aspek tersebut sebagai pegangan saya bagi mentafsir akan rupa bentuk SC yang dibawa Ustaz.

Dalam tulisan yang seterusnya, saya akan menulis tentang konsep-konsep dan falsafah yang ada dalam SC seperti mana yang saya faham dan sering dinyatakan Ustaz pada anak muridnya. Pada pendapat saya, kita perlu ada asas yang kukuh untuk memupuk kefahaman tentang SC. Kefahaman itu amat penting apabila ada pihak yang mendakwa masih mengekalkan Pusaka Hanafi.

Walaupun SC telah ‘dibawa’ oleh pelbagai persatuan dengan gurunya yang tersendiri, kefahaman kita adalah jelas. Syaratnya ialah kita memahami prinsip, konsep dan falsafah yang ada dalam SC. Prinsip, konsep dan falsafah itu dilahirkan melalui ungkapan-ungkapan Ustaz secara tulisan atau secara ucapan. Atas kefahaman yang kukuh itu maka saya yakin bahawa kita akan dapat buat tafsiran sama ada dakwaan Pusaka Hanafi itu palsu atau bersifat berpura-pura. Sekian.

20130411-082859.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 11/04/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: