RSS

60.1. RUPA BENTUK SILAT CEKAK. Asas Pegangan Saya.

08 Apr

Dalam tulisan yang terdahulu, saya telah membincangkan betapa silat yang sama tapi dibawa oleh guru yang berbeza telah menampakkan perbezaan dalam persilatan tersebut. Maka tidak hairan juga, SC yang dibawa oleh pelbagai persatuan yang ada, akan turut memberi wajah yang berlainan pada persilatan SC yang ‘dikendung’. Saya memberi pendapat secara keseluruhan atas nama perkembangan Silat Cekak dari dahulu hingga sekarang. Sudah tentu saya tidak dapat mengelak daripada membuat bandingan atas apa yang pernah saya pelajari.

Walau bagaimanapun, saya tetap berharap dan menaruh keyakinan bahawa Guru Utama kita yang merupakan pewaris mutlak Silat Cekak akan tetap juga merupakan pewaris mutlak Pusaka Hanafi. Hal yang sedemikianlah merupakan harapan saya selaku ahli yang begitu lama berkecimpung dalam persilatan SC. Sudah melebihi tiga dasawarsa.

Saya tidak yakin SC yang dibawa oleh Persatuan Silat Cekak yang lain, berupaya mengekalkan ‘keaslian’ persilatan SC atas konsep Pusaka Hanafi. Saya dapat rasakan betapa ‘roh’ persilatan SC yang sebenarnya semakin jauh daripada mereka. Adat dan adab yang diasaskan Ustaz semakin berubah dari masa ke masa. Pada saya, hal yang sedemikian tidaklah menghairankan kita. Salasilah guru telah terputus. Apabila guru berganti guru maka hubungan persilatan SC mereka akan semakin jauh dengan ilmu SC sebenar yang pernah ditinggalkan Ustaz. Ilmu dari Ustaz yang juga dikenali sebagai Pusaka Hanafi hanya gah sebagai sebutan bagi mengaitkan persilatan mereka yang berasal dari Ustaz Hanafi.

Misalnya persatuan SC asal yang diamanahkan oleh Ustaz sendiri. Umumnya, mereka kekurangan barisan kepemimpinan yang rapat dengan Ustaz dalam konteks pengurusan persatuan. Malah, barisan kepemimpinan yang ada setelah ‘mengasingkan persatuan’, tidak pernah memainkan peranan penting secara langsung bersama Ustaz. Hal yang demikian adalah dalam konteks untuk mengenengahkan SC dalam kalangan masyarakat pada zaman awal perkembangan SC. Kebanyakan peneraju utama persatuan berkenaan setelah berpecah adalah merupakan golongan pelaksana dan bukannya golongan perancang. Sudah tentulah strategi pelaksanaan persilatan dan persatuan seperti mana yang diharapkan Ustaz adalah jauh daripada pengetahuan mereka. Oleh itu, hala tuju persilatan dan persatuan yang dibawa mereka adalah berdasarkan kemampuan berfikir yang ada pada diri sendiri seadanya.

Maka tidaklah menghairankan saya jika perasaan sensitif pada ilmu yang ditinggalkan Ustaz tidak begitu menebal dalam kalangan mereka. Semuanya boleh berubah dan diubah. Gerak tari SC pun boleh ditambah-tambah maka tidak hairanlah jika gerak sebenar isi pelajaran SC juga turut berubah. Termasuk juga adat dan adab yang diasaskan Ustaz. Pasti berubah. Konsep Pusaka Hanafi akan berubah wajah kepada konsep pusaka yang baru, menurut pegangan gurunya yang baru.

Sebelum kita berpecah pada pepecahan gelombang pertama, saya sering kali melihat akan wujudnya perubahan dalam gerak persilatan SC yang mereka bawa. Ketika itu, Jurulatih yang berasa diri mereka telah lama dan berpengalaman, turut menonjolkan diri dengan ilmu persilatan SC yang mereka ada. Apabila pengawalan dari Guru Utama agak longgar, maka ruang itu digunakan mereka sepenuhnya untuk menonjolkan kefahaman diri.

Tidak hairanlah berlaku pelarasan pada gerak SC hinggakan ada ketikanya Guru Utama telah terketepi. Seperti yang saya katakan, setiap kali pelarasan maka akan adalah perubahan. Perubahan itu sama ada berbentuk penambahan atau berbentuk pengurangan. Hal yang demikian mula berlaku dalam era kepimpinan PA. Seperti yang pernah saya tulis, saya hanya menyedari akan wujudnya perubahan yang ketara dalam SC apabila berlakunya kedatangan para penuntut lain ke Cawangan saya. Terutamanya mereka yang menuntut SC di pusat-pusat pengajian tinggi.

Sebelum itu memang ada beberapa perubahan dalam isi pelajaran SC. Kecenderungan perubahan adalah lebih banyak pada pengurangan isi pelajaran. Kalau alasan masa, tentu kurang bermakna. Pembelajaran saya yang tidak sampai empat bulan pun boleh mempelajari semua isi pelajaran yang ada. Apatah lagi jika pembelajaran mengambil masa melebihi enam bulan.

Saya ambil beberapa contoh mudah. Oleh sebab pelarasanlah maka pelajaran potong buah Kuntau Jatuh secara tidak melangkah telah ditiadakan. Potong Paras yang ada dua cara pada pecahan pertama, telah dijadikan satu cara. Buah jatuh yang terkeluar dari senarai telah dimasukkan dalam senarai pembelajaran. Nak bagi cukup angka dua puluh satu. Sepakan kaki yang diambil dengan kaki, juga menjadi mangsa. Tidak diajar lagi dengan pelbagai alasan. Prinsip “Sambil Cekak menyerang maka Cekak juga menangkap”, turut menjadi mangsa pelarasan. Pelajarannya telah dikesampingkan.

Saya pernah timbulkan hal yang demikian dalam perjumpaan antara pihak Jawatankuasa Negeri dengan Jawatankuasa Pusat dalam satu majlis perjumpaan di Pulau Pinang. Peristiwa berlaku tatkala kita mengadakan mesyuarat agung di sana. Zaman Guru Utama yang lalu. Tak pasti sama ada sebelum atau selepas majlis foram tentang kepimpinan guru.

Ada banyak lagi. Belum lagi kita membincangkan tentang proses membuat buah. Telah wujud pelbagai cara. Ikut kebolehan dan kemampuan diri Jurulatih; bukannya ikut apa yang diterima dari Ustaz. Walau bagaimanapun, dengan megah mereka tetap mendakwa bahawa pelajaran yang ada adalah merupakan Pusaka Hanafi. “Buatlah mana yang patut tapi aku tak akan ikut.” Hanya ayat itu sahaja yang boleh saya ucapkan dalam hati.

Begitu juga dengan persatuan yang baru saja kita tinggalkan. Saya berpendapat bahawa gelaran akademik pada persatuan berkenaan adalah melambangkan konsep ilmiah. Ramai pakar penyelaras yang berada di sebelah sana. Kepakaran itu telah berterusan sejak mereka berada di zaman PA lagi. Eloklah kita berhati-hati dengan ilmu dalam pelarasan yang ditinggalkan mereka.

Difahamkan bahawa sistem penyampaian pelajaran mereka juga turut dibuat secara ilmiah. Kini, saya yakin bahawa mereka akan tetap berterusan gagal untuk mempertahankan Pusaka Hanafi kerana hobi menyelaras. Konsep “Taat pada guru yang ada”, pasti akan menjadi moto utama bagi memudahkan perubahan dilakukan pada gerak SC dari masa ke masa. ‘Yang’ berlalu lupakan saja. Tumpukan pada ‘yang’ ada. Kata-kata keramat mereka. Namun begitu, konsep ‘Pusaka Hanafi’ tetap menjadi sandaran utama. Nampak sangat perbezaan antara cakap dan perbuatan.

Saya tidak menafikan bahawa setiap guru yang menerajui satu-satu persatuan SC, mempunyai hak untuk melakukan sebarang perubahan pada SC yang dibawanya. Hak tersebut adalah bersandarkan pada jawatan yang mereka sandang. Kalau sudah menganggap diri sebagai guru, secara langsung merekalah yang berkuasa sepenuhnya pada persilatan yang didakwa hak mereka itu. Siapa yang berani membantah. Persilatan adalah berkait rapat dengan gurunya. Berbeza dengan persatuan yang berkait dengan kehendak para ahlinya.

Cuma, saya berpendapat bahawa mereka tidak ada hak untuk mendakwa isi pelajaran SC tersebut sebagai Pusaka Hanafi lagi jika telah membuat perubahan pada isi pelajaran SC yang ditinggalkan Ustaz. Termasuk juga adat dan adab persilatan SC. Hal yang demikian juga, termasuklah sistem penyampaian SC pada para penuntut. Saya telah menulis betapa sistem penyampaian pelajaran yang wujud di zaman Ustaz adalah hasil pemikiran dan kajian Ustaz sendiri. Maknanya, sistem penyampaian dan isi pelajaran SC yang ditinggalkan Ustaz adalah lengkap hasil dari kajian yang Ustaz lakukan. Saya pernah menulis ungkapan Ustaz dalam tulisan sebelum ini.

“Dengan pengalaman sejak usia lapan belas tahun dalam seni silat dan kebatinan Islam sejati, saya buat kajian dan menapis segala seni silat untuk disesuaikan dengan tujuan bersilat dan sejajar pula dengan peraturan agama Islam”.

Sesungguhnya, ramai para ‘pendekar’ SC yang lahir berdasarkan sistem tersebut. Tidak ada alasan untuk menafikan keberkesanan sistem yang terbentuk itu. Telah ada bukti yang jelas. Oleh itu, tidak ada sebab atau alasan bagi membolehkan perubahan jika konsep SC yang dikendung mereka adalah dianggap Pusaka Hanafi.

Lebih baiklah gunakan istilah pusaka diri sendiri atau jangan guna langsung istilah tersebut. Kurang sesuai penggunaan istilah Pusaka Hanafi. Pada saya, kalau ingin terus menegakkan Pusaka Hanafi, pastikan segala isi pelajaran, adat dan adab yang ditinggalkan Ustaz, disampaikan secara benar tanpa ada penambahan atau pengurangan. Itulah konsep ‘Pusaka’. Konsep pusaka adalah merujuk pada sesuatu yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia. Pusaka juga merupakan sesuatu yang diwarisi dan menjadi warisan. Maknanya, warisan yang dikekalkan rupa bentuknya adalah merupakan pusaka yang hakiki. Kalau rumah papan yang ditinggalkan dipinda atau dibina rumah baru, warisan apa namanya lagi. Setakat waris tapak ilmu. Bukannya ilmu itu sendiri.

Saya berpendapat, jika tidak mampu mengekalkan pusaka yang ditinggalkan Ustaz, eloklah buat istilah sendiri. Guna istilah lain. Umpamanya istilah ‘Pusaka’ dan dituruti dengan nama guru baru yang membawa perubahan pada persilatan berkenaan. Kalau nanti nama gurunya Si-A maka gunakan istilah Pusaka Si-A. Mungkin tidak sesuai lagi untuk menggunakan nama Pusaka Hanafi lagi bagi mengelakkan kekeliruan. Pendapat saya sahaja. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 08/04/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: