RSS

60.0. RUPA BENTUK SILAT CEKAK. Asas Pegangan Saya.

04 Apr

Silat Cekak telah berpecah persatuan. Setiap persatuan ada hala tujunya. Pastinya hala tuju tersebut akan mempengaruhi perkembangan persilatan SC. Saya menaruh keyakinan bahawa persatuan yang pelbagai akan turut memberi wajah baru pada rupa bentuk persilatan SC yang dinaunginya. Maka setiap persatuan itu akan mempunyai wajah persilatan SC yang tersendiri. Mereka yang mendakwa menjadi guru, akan cuba menonjolkan kewibawaannya sebagai guru. Salah satu daripada caranya ialah mencorakkan identiti yang tersendiri pada persilatan SC yang dibawanya.

Maknanya, jika diteliti persilatan SC yang ada, maka setiap bidang persilatan SC yang dibawa oleh persatuan yang pelbagai itu akan menampakkan perbezaan. Secara kasar, nampak saja Silat Cekak yang dibawa mereka sama saja. Hakikatnya jika dihalusi, akan menampakkan perbezaan pada gambaran rupa bentuk persilatan SC itu. Perbezaan yang demikian adalah erat kaitannya dengan penekanan yang diberi pada gerak-gerak seni, adat dan adab yang ada dalam persilatan SC tersebut. Walau bagaimanapun, masing-masing akan terus mendakwa bahawa SC yang dibawa mereka adalah merupakan Pusaka Hanafi.

Pada pandangan saya, gambaran rupa bentuk SC itu boleh dilihat dalam pelbagai aspek. Dari segi pengurusan persatuan pun kita boleh nampak akan perbezaan yang jelas pada rupa bentuk persilatan SC. Tuntutan berpersatuan telah menuntut akan keperluan perubahan tersebut. Hal yang demikian menyebabkan wujud lambang persatuan yang tersendiri bagi mengaitkan dengan persilatan mereka. Kedudukan lambang pada pakaian silat adalah disesuaikan dengan kehendak para pemimpin persatuan.

Setakat ini, semua persilatan SC masih menggunakan pakaian biru hitam. Namun begitu, ‘kuat’ atau tidak warna berkenaan adalah bergantung pada tafsiran dan kehendak masing-masing. Perkara pentingnya ialah wujudkan perbezaan yang merupakan satu keperluan. Tidak hairan pada satu masa nanti, warna pakaian silat juga akan turut berubah. Mungkin warna biru hitam masih dikekalkan. Namun begitu ‘kekuatan’ warna tersebut boleh menampakkan perbezaan.

Gambaran rupa bentuk SC itu juga boleh berbeza dari segi sistem penyampaian pelajaran SC pada para penuntutnya. Saya difahamkan, memang telah wujudpun perubahan. Ada persatuan SC yang menyampaikan pelajaran secara mengumpul buah. Saya difahamkan setiap kumpulan buah yang diajar, mengandungi lima buah dan diajar sekali gus meliputi asas dan jatuhan. Tentu ada alasan tersendiri atas sistem berkenaan. Sekurang-kurangnya atas alasan ‘senang ingat’. Maknanya, sistem penyampaian pelajaran di zaman Ustaz susah nak ingat akan pelajaran yang disampaikan.

Saya yakin, perubahan akan terus berlaku. Akan berlaku nanti, buah-buah jatuhan akan diajar berdasarkan kaedah. Kalau Kaedah A, maka akan dikumpul semua buah yang menggunakan kaedah tersebut. Buah-buah jatuhan yang menggunakan kaedah B akan terkumpul dalam satu kumpulan. Begitu juga dengan kaedah C dan D. Buah-buah yang dikatakan menggunakan ‘Kaedah Bangkang’ yang dicipta mereka, akan terkumpul dalam kumpulan lain yang dianggap istimewa. ‘Macam, nasi goreng istimewa’. Tidak hairan nanti, senarai buah yang ditinggalkan Ustaz akan berubah susunannya. Apa pun, mereka tetap mendakwa bahawa persilatan mereka adalah merupakan Pusaka Hanafi.

Adat dan adab yang ditinggalkan Ustaz juga boleh berubah. Ada persatuan yang mula menafikan upacara ayam penunjuk. Tentulah ada alasannya tersendiri. Dalam upacara ijazah, saya kurang pengetahuan tentang ayat-ayat yang dibaca. Mungkin ada perbezaan dengan ayat-ayat yang dibaca Ustaz. Saya juga yakin, bentuk ijazah antara persilatan SC yang berbeza persatuan itu akan turut menunjukkan perbezaan dalam adat dan adabnya. Agaknya, di satu masa nanti ijazah secara beramai-ramai akan menjadi amalan pada salah satu pesilatan SC yang berbagai itu. Kalau warisan guru tak menjadi masalah, akan boleh berlaku juga ijazah secara siaran langsung menggunakan alat teknologi yang hebat ketika ini.

Begitu juga dalam gerak seni Silat Cekak itu sendiri. Dari segi isi pelajaran dan gerak seninya, penekanan yang berbeza boleh dilihat dalam hal-hal yang berkaitan dengan pukulan, tangkapan, serangan, cara mengambil buah-buah jatuhan dan persembahan silat yang sekarang ini bertambah acara dengan gerak tarinya. Penekanan yang berbeza-beza ini erat kaitan dengan lembaga pelajaran yang ada pada setiap persatuan persilatan SC itu. Ikut kepala angin sendiri. Malah, gelaran lembaga pelajaran pun adalah berbeza antara persatuan-persatuan persilatan SC yang ada.

Berdasarkan perkembangan tersebut, SC akan terus berkembang dari masa ke masa dalam cabang pengenalan persatuan yang pelbagai. Masing-masing akan ‘mencipta’ rupa bentuk persilatan SC yang tersendiri bagi menonjolkan kebiwaan guru yang ada. Semuanya tetap mendakwa bahawa ilmu SC yang diperoleh adalah dari Ustaz Hanafi. Pusaka Hanafi. Generasi baru ahli-ahli mereka pasti tidak mampu untuk mempersoalkan kebenaran asal usul persilatan SC yang ditinggalkan Ustaz. Pengetahuan akan rupa bentuk SC yang sebenar tentunya tidak ada dalam pemikiran mereka. Oleh itu, mereka akan terima saja seadanya. Apa yang diberi maka itulah yang diterima. “Orang kata itu, maka itulah jawabnya. Kalau kata ini maka inilah jawabnya.”

Maka saya mengambil inisiatif untuk berkongsi ilmu pengetahuan tentang isi pelajaran dan pelbagai aspek adat dan adab SC yang ditinggalkan Ustaz. Penekanan saya dalam tulisan ini adalah berdasarkan gerak seni yang ada dalam isi pelajaran SC. Lain masa mungkin saya akan memberi penekanan dalam aspek adat dan adab yang mula berubah dengan apa yang saya alami. Walau bagaimanapun, ketegasan saya ialah isi perbincangan saya dalam tulisan ini adalah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya bersama Ustaz. Sekurang-kurangnya dapatlah saya memberi sumbangan untuk menerangkan persilatan SC yang didakwa sebagai Pusaka Hanafi.

Sebenarnya, apa yang berlaku dalam proses perkembangan persilatan SC, telahpun berlaku pada persilatan Melayu yang lain. Perbezaan gerak pada silat-silat Melayu yang berpecah, bukan perkara baru. Saya mempunyai pengalaman dalam hal yang demikian. Silat Melayu yang saya pelajari sebelum ini juga menampakkan perbezaan gerak apabila Mahagurunya meninggal dunia dan silat itu berpecah persatuan. Gerak silat itu di Utara Malaysia tidak sama dengan pembawaan gerak yang ada di negeri-negeri lain. Ramai guru yang mendakwa sebagai pewaris sah dari Mahaguru yang telah meninggal dunia itu. Bagi menonjolkan kewibawaan diri sebagai guru, silat yang dibawa mereka telah menjadi ‘mangsa’.

Begitu juga dengan silat-silat lain yang ada di tahap negeri. Saya dapat lihat betapa silat-silat tersebut tidak sama pergerakannya walaupun sepancar; dari satu guru. Lagi banyak guru yang wujud dan mendakwa bertanggungjawab mengembangkan silat berkenaan, maka lagi banyak perbezaan gerak yang timbul sesama silat yang dibawa mereka. Tidak kiralah sama ada pengenalan silatnya masih sama atau diubah nama asalnya. Setiap guru itu tetap mendakwa bahawa mereka menerima ilmu silat itu daripada guru yang asal secara sepenuhnya. Walau bagaimanapun, bagi mengekalkan perbezaan telah menyebabkan mereka telah cuba mereka identiti sendiri dalam gerak persilatan yang dibawa. Satu usaha menonjolkan kewibawaan diri dalam persilatan yang dikuasai mereka. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 04/04/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: