RSS

59.0.1. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. Kesimpulan Rupa Bentuk Silat Cekak.

01 Apr

Saya selalu menekankan betapa pentingnya kita berhati-hati dengan maksud pelarasan atas prinsip dan konsep Pusaka Hanafi. Selalunya, pelarasan mengundang kepada perubahan. Banyak yang kena potong atau ditambah. Kalau asyik kena potong, ‘apa lagi’ keaslian yang tinggal. Tinggal tunggul.

Kita perlu ada satu badan khas untuk mengawasi pelajaran SC. Dulu kita ada LPT. Namun begitu pada zaman PA, peranan LPT telah ‘ditelan’ oleh beberapa orang Jurulatih yang pandai bersuara dan pandai berbicara. Merekalah yang menguasai perjalanan aktiviti pelarasan. Kadang kala, Guru Utama sendiri yang terketepi.

Oleh sebab mereka yang menganggotai LPT adalah juga mereka yang ada dalam Jawatankuasa Pusat maka pembahagian kuasa tidak jelas. Aktiviti persatuan yang sepatutnya dijalankan oleh jawatankuasa pusat turut dibincang dalam mesyuarat LPT. Hal yang demikian perlu diberi perhatian dalam organisasi yang ada sekarang.

Terus terang saya katakan betapa saya tidak pernah mengikut sebarang pelarasan yang dibuat selepas pelarasan muktamad di zaman Ustaz. Saya tetap dengan pengetahuan dan pengalaman bersilat yang ada. Itulah pengalaman dan pengetahuan saya bersama Ustaz yang sangat saya pelihara. Saya telah menulis tentang pengetahuan saya itu dalam blog Sepak Minang.

Dalam blog yang terbaharu ini, saya meneruskan penulisan tentang pelajaran SC. Penekanannya ialah pada bahagian-bahagian utama yang belum disentuh teliti dalam tulisan terdahulu. Mungkin ada juga perulangan cerita dalam tulisan ini. Walau bagaimanapun, hal yang demikian adalah merupakan satu teknik untuk meneguhkan fakta dan ingatan dalam proses pembacaan kita. Perkara yang berulang akan mudah ‘lekat’ dalam pemikiran. Kalau sekali baca, mudah lupa. Berkali-kali baca akan menjadikan bahan-bahan tulisan tersebut lebih membawa makna. Sekurang-kurangnya boleh dijadikan bahan rujukan ketika ada keperluan.

Semasa saya mengendalikan kelas di cawangan, isi pelajaran yang disampaikan adalah berdasarkan pada pelajaran asal yang tidak diubah. Apa yang saya terima secara langsung dari Ustaz, tetap saya pertahankan. Pelarasan di zaman Ustaz dijadikan satu prinsip kawalan mutu SC yang disampaikan pada para penuntut yang diamanahkan pada saya.

Saya yakin bahawa pelarasan yang mengundang perubahan dalam pelajaran SC erat kaitannya dengan ‘kepala angin’ Jurulatih yang mengendalikan pelarasan tersebut. Mereka membuat gerak atas minat dan kebolehan yang ada. Kalau kaki tak dapat diangkat kerana PMD; “Perut Maju Depan” maka pelajaran yang berkaitan telah dibuat penyesuaian. Semuanya gara-gara kebolehan diri yang ada pada mereka. Malangnya, kemampuan diri mereka telah cuba dipaksa pada orang lain supaya mengikuti kebolehannya. Hal yang demikian telah mengundang perubahan sama ada pelajaran asal SC dipotong atau ditambah. Semuanya gara-gara kebolehan Jurulatih Kanan yang seadanya.

Saya rasa, contoh yang jelas dapat dilihat pada buah Pasung Kemanga. Bukan semua Jurulatih yang berkemampuan membuat buah berkenaan secara kemas dan tepat. Apatah lagi jika tangan dan kakinya agak ‘pendek’. Bagi memudahkan dirinya membuat buah, tumbukan lajak adalah merupakan salah satu caranya. Pada kesimpulan saya, maka disuruhlah anak didiknya membuat tumbukan lajak. Hal yang demikian semata-mata untuk memudahkan dirinya mengambil buah. Maka dicananglah gerak tumbukan yang sedemikian. Akhirnya termaktub apabila ada pelarasan. Kepala angin sendiri atas kebolehan diri yang terhad.

Saya pernah menghadiri satu kursus yang berkaitan dengan komunikasi. Kami dibahagi dalam beberapa kumpulan. Setiap kumpulan ada lapan orang peserta. Peserta pertama yang bertindak sebagai ketua diberikan satu ayat yang mengandungi lebih kurang sepuluh perkataan ayat pesanan. Beliau dikehendaki menghafal ayat berkenaan dan menyampaikan pesanan itu kepada peserta berikutnya. Peserta yang baru menerima pesanan, dikehendaki pula menyampaikan pesanan berkenaan kepada rakannya yang lain. Hinggalah kepada peserta yang kelapan yang merupakan peserta terakhir. Peserta terakhir disuruh menyampaikan pesanan itu dengan suara yang kuat. Nampak sangat perbezaanya dengan pesanan yang mula-mula.

Banyak perkara yang cuba dibuktikan daripada ‘mainan’ tersebut. Salah satunya, jika mereka diberi kebebasan tanpa kawalan, maka maklumat yang diberi adalah berdasarkan kemampuan diri sendiri. Penyampaian maklumat sesuka hati. Itulah kemampuan berfikir yang ada pada diri sendiri seadanya.

Apa yang saya perhatikan, perubahan dalam gerak-gerak yang ada dalam SC adalah disebabkan oleh beberapa faktor utama. Salah satu daripada faktor utama tersebut ialah pelarasan yang dilakukan dari masa ke masa. Setiap kali adanya pelarasan maka adalah perubahan. Lebih malang lagi, perubahan itu adalah atas pengetahuan dan kebolehan seadanya pada Jurulatih berkenaan. Saya telah banyak menyentuh hal ini dalam tulisan yang terdahulu.

Kesimpulan saya adalah jelas. Kebolehan Jurulatih seadanya banyak memainkan peranan dalam mencorak proses penurunan ilmu seterusnya pada penuntut dari masa ke masa. Penyampaian pelajaran SC adalah bergantung pada pengetahuan dan pengalaman Jurulatih yang mengendalikan kelas berkenaan. Istilah-istilah yang digunakan ditafsirkan berdasarkan kemampuan berfikir dan pengalaman yang ada pada dirinya. Saya telah banyak membincangkan tentang gelagat Jurulatih yang boleh mempengaruhi gerak para penuntutnya.

Satu lagi faktor terbesar yang mempengaruhi perubahan pada pelajaran SC ialah persembahan atau pertunjukan SC. Kerap kali berlaku, kerana ingin memuaskan hati penonton maka dibuat penyesuaian pada buah-buah yang ada dalam SC. Penyesuaian itu jika selalu sangat diulang-ulang akan membentuk sifat gerak yang kekal. Maka kekallah perubahan yang berlaku itu pada buah-buah SC. Pada hal, perubahan itu tidak ada asas langsung dalam pelajaran SC.

Saya ambil contoh pada buah-buah Kuntau Kiri dan Kidung Kiri atau buah-buah lain yang mempunyai persamaan jatuh dengan buah-buah tersebut. Ketika buat jatuhan, kaki kanan tidak perlu berubah tempat. Namun begitu, kerana penyesuaian dalam pertunjukan silat, kaki kanan melangkah untuk menyesuaikan jatuhan dengan pandangan penonton. Kalau membelakangkan penonton ketika membuat jatuhan maka kaki kanan di tarik ke belakang atau ke depan untuk menyesuaikan jatuhan. Perbuatan yang sedemikian telah berulang-ulang. Akhirnya perbuatan tersebut menjadi kekal dalam gerak Jurulatih berkenaan. Gerak yang kekal itulah yang disampaikan pada anak didiknya. Maka ‘larilah’ gerak asal yang ada dalam SC.

Saya telah menyentuh banyak perkara dalam proses pengajaran dan pembelajaran SC berdasarkan pengalaman saya bersilat dulu. Saya tidak memaksa para pembaca untuk bersetuju dengan pendapat saya. Perkara pentingnya ialah berkongsi pengetahuan, fikiran dan kefahaman saya yang ada dan saya pertahankan selama ini. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 01/04/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: