RSS

59.0.0. KONSEP PERSILATAN SC. Rupa bentuk Silat Cekak.

28 Mar

Saya tetap menegaskan betapa pentingnya kita faham pada isi pelajaran SC. Kefahaman yang jitu akan memungkinkan sekatan ‘pencemaran’ gerak dalam SC dari masa ke masa. “Demi menjaga Pusaka Hanafi”. Satu ketika lalu, ungkapan di bawah adalah menggambarkan rupa bentuk Silat Cekak itu sendiri. Penegasan kita pada sifat-sifat dalam ungkapan itu adalah tetap. Tidak berubah-ubah. Ungkapan itu tidak pernah ketinggalan dalam setiap ceramah penerangan tentang SC. Saya petik semula ungkapan tersebut.

“Silat Cekak bukanlah sejenis silat permainan seperti silat pulut atau silat pengantin, sebab itu tidak ada gendang dan tari menari dan melangkah ke kiri dan ke kanan”.

Seperti yang saya tegaskan terdahulu, terdapat empat perkara atau empat prinsip SC yang yang menggambarkan rupa bentuk SC. Sifat-sifat itu adalah seperti berikut.
i. SC bukanlah silat untuk pertunjukan di depan pengantin atau sebagai silat pulut yang memberatkan gerak tari berbentuk permainan.
ii. SC tidak ada gendang.
iii. SC tidak ada tari menari
iv. dan SC tidak melangkah ke kiri dan ke kanan.

Mungkin zaman telah berubah. Tuntutan pada perubahan amat hebat. Saya juga yang tidak mahu berubah. Walau bagaimanapun dulu-dulu, sifat-sifat istimewa yang ada pada SC tersebut adalah merupakan satu kebanggaan pada penuntut SC. Hal yang demikian kerana sifat-sifat itulah yang membezakan SC dengan silat-silat Melayu yang lain. Kita berbangga dengan perbezaan yang ada. Kita ada, orang lain tak ada. Perbezaan itu adalah lambang keluarbiasaan yang ada pada SC.

“Perbezaan antara sesuatu yang biasa dengan sesuatu yang luar biasa ialah keluarbiasaannya.”

Cuba kita rujuk semula pada sifat-sifat SC tersebut. SC bukan tujuan pertunjukan di depan pengantin atau sebagai silat yang memberatkan gerak permainan. Hal yang demikian menegaskan bahawa persembahan SC bukannya bertujuan hiburan; melainkan maksud menyampaikan kefahaman. Tugas kita adalah memberi kefahaman. Masuk atau tidak masuk SC, bukannya urusan kita. Segala-galanya bergantung pada ‘konsep habuan’ seperti mana yang saya tegaskan terdahulu.

Penggunaan muzik dalam persembahan mungkin ada keperluannya. Sesuailah dengan kehendak dan tuntutan semasa yang sukakan hiburan dalam persembahan. Saya telah buktikan betapa penggunaan muzik tidak mengongkong gerak persembahan SC. Walau bagaimanapun, kepimpinan kita perlu berhati-hati atas penggunaannya. Pengawasan perlu ada. Jika tidak dikawal, boleh memungkinkan penggunaan alat muzik secara ‘hidup’ atau secara ‘life’ bagi mengiringi persembahan SC. Lebih malang lagi apabila kita dijemput membuat persembahan dalam kalangan persilatan Melayu. Ketegasan perlu ada. Janganlah kita membiarkan iringan gendang silat mereka mengiringi persembahan SC dalam satu-satu majlis tertentu tersebut. Semuanya boleh terjadi jika tidak ada penegasan yang jitu.

Sifat langkah melangkah tidak ada dalam SC. Seperti yang saya katakan, tapak SC adalah tapak dua. Mungkin ada sedikit persoalan pada buah Pasung Kemanga. Nampak seolah-olah sifat mengelak. Walau bagaimanapun, fahaman kita adalah jelas. Gerak yang sedemikian adalah merupakan gerak gelek. Masih lagi berdasarkan gerak semula jadi manusia. Tambahan pula buah tersebut adalah merupakan suatu gerak keputusan yang kita ambil daripada gerak yang ada dalam alam persilatan Melayu.

Namun begitu, penggunaan tari silat dalam SC perlu berhati-hati. Gerak tari yang dipertontonkan tidak membawa apa-apa makna bagi membuktikan prinsip dan konsep persilatan SC. Tak ada tari silatpun, persembahan SC masih berupaya menarik minat penonton.

Pada pendapat saya, lakonan gerak A hingga D adalah memadai bagi menimbulkan maksud gerak dalam SC. Gerak kita bukannya gerak suka-suka hati. Gerak kita adalah bermatlamat. Kita akan bergerak jika ada yang bertindak. Itulah lambang lakonan Kaedah kita. Bukannya gerak tari yang melambangkan gerak berhibur.

Berdasarkan empat sifat yang dinyatakan di atas, sifat gerak tari agak sukar dilogikkan penggunaannya dalam persembahan SC. Tidak ada asas dan tidak ada perkaitan dengan rupa bentuk SC. Gerak tari akan mengundang sifat gerak yang melangkah. Tidak kiralah arah mana dan tujuan melangkah tersebut. Hakikatnya ialah langkah-melangkah. Kalau diiringkan persembahan sedemikian dengan gendang silat, alamat ‘hancurlah’ makna ungkapan yang selama ini cuba dipertahankan. Hal yang demikian boleh terjadi jika tidak ada pengawalan tegas dari masa ke masa.

Kadang-kadang saya terfikir kenapa kita terlalu berminat dengan tari silat yang berlambangkan dengan Gerak Hanafi. Kini, boleh dikatakan setiap persembahan SC, pasti ada tari silat. Nampaknya sudah semacam tidak sah persembahan SC tanpa ada tari silat. Saya masih tak nampak akan faedah dan tujuannya dalam persembahan kita tersebut. Apakah yang cuba dibuktikan. Tak boleh komen banyak. Sudah menjadi sebahagian daripada SC.

Saya rasa, untuk memahami sifat menerima tari silat dalam SC, saya cuba menyingkap kembali kenangan lama bersama Ustaz. Dalam tulisan terdahulu, ada dinyatakan tentang pertemuan penuntut-penuntut SC kelas saya dengan Ustaz. Saya ceritakan betapa wujud perasaan ‘rendah diri’ dalam kalangan kumpulan kami ketika menghadiri majlis-majlis perhimpunan persilatan Melayu. Orang lain tahu kita ahli silat tapi tak tahu membuat tari silat. Makna tersiratnya, dalam hati kecil ada perasaan inginkan tarian silat bagi menutup kelemahan diri atas sifat mengambil hati orang lain.

Ketika itu umumnya, sifat silat digambarkan melalui tari silatnya. Tari silat dalam persilatan Melayu adalah umpama nada dan irama. Ketiadaan salah satunya akan menjadikan pincang lagunya. Begitulah juga dengan persilatan Melayu. Bukan senang untuk memisahkan tari dalam gerak yang ada dalam persilatan Melayu. Ada persilatan Melayu yang tidak ada tari silat. Mereka berbangga dengan gerak pukulan yang menjadi teras pembelajaran silat mereka. Namun begitu, apabila silat mereka dipertontonkan dalam istilah ‘pentas silat’, tari silat terjadi dengan sendirinya. Wujud tari silat secara langsung dalam pertunjukan pentas silat tersebut walaupun mereka mendakwa tidak ada tari silat.

Nampaknya bukan mudah pada penggemar SC untuk ‘melarikan diri’ dari tari silat. Mulut menafikan gerak tari tapi hati masih terpaut lagi. Dari segi psikologi, nampaknya memang ada keinginan pada tarian silat seperti yang saya nyatakan dalam perbincangan rakan seangkatan saya dengan Ustaz. Bila ada ruang dan kesempatan, pautan pada tari silat cuba disahkan kemenjadiannya.

Agaknya, nak latih sorang-sorang tak tahu nak buat apa. Latih tangan dah macam tumbuk sambal atau macam tebar roti canai. Tak dapat nak lambangkan sebagai seorang pendekar. Maka tari silatlah sebagai pelarian dan jawapan pada persoalannya. Maka berminatlah mereka pada gerak tari silat untuk melambangkan diri sebagai seorang pendekar silat. Bukannya pendekar ‘tebar roti canai’ atau pendekar ‘tumbuk sambal’. Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 28/03/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: