RSS

58.17.1. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. Gerak Tari Dalam SC.

25 Mar

Dalam tulisan yang lalu, saya menegaskan bahawa rekaan tari silat dalam SC adalah semata-mata untuk memenuhi keperluan penyertaan dalam SOR. Maknanya tari silat yang direka itu adalah tetap sifatnya sebagai tari silat. Khas untuk persembahan dalam pertandingan SOR. Hal yang demikian adalah merupakan satu fakta yang tidak boleh dinafikan. Cuma, yang berbeza antara tari silat dalam SC dengan tari silat dalam kebanyakan persilatan Melayu adalah berdasarkan geraknya. Setakat ini, tari silat kita adalah berasaskan gerak lakonan kaedah dan lakonan gerak buah-buah yang tertentu. Hal yang demikianlah menyebabkan tari silat kita agak berlainan dengan tari silat yang lain. Hakikatnya tetap tari silat.

Ustaz memberi panduan tentang rekaan gerak tari tersebut. Tujuannya adalah khusus untuk membolehkan SC memasuki SOR. Saya difahamkan, ramai ahli yang terpegun dengan rekaan tari tersebut. Kagum. Pada saya, hal yang demikian itu adalah perkara biasa sebab Ustaz pernah berbincang tentangnya dulu. Ketika tari itu direka, tak disebut pun Gerak Hanafi. Tegasnya, saya ulang sekali lagi, gerak tari yang direka tersebut adalah semata-mata untuk memenuhi syarat pertandingan dalam SOR.

Jelaslah pada kita bahawa gerak itu adalah gerak tari. Gerak yang direka itu adalah semata-mata untuk memenuhi syarat tari silat yang perlu dalam pertandingan SOR. SC telah melibatkan diri dalam pertandingan SOR pada tahun 1984. Itulah tahun bermulanya pertandingan SOR di peringkat kebangsaan. Selain daripada SC dan majlis silat di peringkat negeri-negeri yang terlibat, persatuan silat peringkat kebangsaan yang lain ialah Gayung, Lincah dan Gayung Patani. Peranan saya dalam pertandingan SOR diperingkat kebangsaan itu adalah sebagai Ketua Pengadil dalam salah satu gelanggang pertandingan.

Pada mereka yang pernah terlibat dalam pertandingan SOR, tentunya mudah memahami maksud perbincangan saya. Dalam pertandingan SOR, sebelum pesilat ditemukan dalam gelanggang, mereka akan diperkenalkan terlebih dahulu. Apabila nama mereka dilaungkan,”Panggilan pada pesilat dari sudut…” maka pesilat berkenaan perlu tampil ke tengah gelanggang dan memperkenalkan diri secara melakukan gerak tari. Hal yang demikianlah menyebabkan ahli SC yang memasuki SOR perlu mempunyai gerak tari. Maknanya, gerak tari yang direka bukannya sedia ada wujud dalam pelajaran SC. Perkara baru untuk memperkenalkan diri dalam gelanggang sebelum pertandingan SOR bermula.

Semasa pertandingan SOR di peringkat negeri Perak, SC cawangan saya turut serta mengambil bahagian. Hal yang demikian menyebabkan tari silat lakonan kaedah dan buah terpaksa juga dilakukan. Walau bagaimanapun, kami melakukan gerak tari itu secara berpada-pada. Tidak berlebih-lebihan. Kami tidak ikutpun gerak tari yang ada di pusat. Tak pernah tahu akan corak rekaan tari mereka. Ikut buat apa. Bukannya wajib dipelajari dalam SC.

Saya hanya menggunakan kepakaran atas pengetahuan saya yang pernah berbincang dengan Ustaz. Buat tari secara ala kadar. Setakat lakonan Kaedah A untuk Kidung Kiri, diikuti dengan lakonan buah Sendeng Atas, Gayung Patani dan ditutup dengan lakonan Kaedah D. Ada juga kalangan persilat saya yang menambah-nambah gerak. Ikut suka hatinya. Buat suka-suka hati. Prinsipnya, setakat ala kadar. Bukan pelajaran kita. Hakikatnya, perbuatan tarinya adalah semata-mata untuk memenuhi kehendak syarat pertandingan SOR. Buat secara seronok-seronok. Main-main. Orang yang tengok mungkin berasa kagum. Pada kita, “Tak ada hal-lah”.

Pada pengetahuan dan pemerhatian saya, gerak tari yang direka di pusat lebih ‘rencam’. Kami mengetahui atau menyaksikannya ketika pertandingan SOR di peringkat kebangsaan itu. Ketika itu, SC cawangan saya mewakili negeri Perak dalam beberapa kategori. Gerak tari SC yang mereka reka adalah tidak sama dengan gerak tari yang kami reka. Saya katakan gerak tari mereka lebih rencam kerana adanya gerak tambahan dalam gerak penutupnya.

Kami tutup gerak tari SC dengan kaedah D. Akan tetapi gerak tari mereka ada penambahan supaya nampak cantik agaknya. Tapi, saya tengok tak cantik langsung. Tangan digoyang-goyang sebelum duduk, umpama sedang membasuh anu selepas ‘pansai’. Nampak buruknya. Saya pernah tulis bahawa orang yang mempopularkannya ialah Maidin. Itu sebabnya kami menggelarkan gerak itu sebagai Gerak Maidin. Masa itu tak ada lagi istilah Gerak Hanafi.

Pada pemerhatian saya, kini kebanyakan pertunjukan SC yang saya hadiri, gerak yang goyang-goyang tangan dalam tari silat SC, sudah tiada. Tapi diganti dengan gerak tari tangan yang lain. Semakin menampakkan unsur-unsur gerak tari kebanyakan persilatan Melayu yang lain dalam gerak tari SC. Nampaknya sudah mula ditambah unsur-unsur persilatan Melayu lain dalam gerak tari silat SC.

Saya yakin dan saya percaya, jika gerak tari ini tidak dikawal, penempelan unsur-unsur gerak tari persilatan lain akan bertambah dari masa ke masa. Sekurang-kurangnya di permulaan dan di akhiran persembahan tari SC tersebut. Tengah-tengahnya tetap lakonan gerak tari kaedah dan lakonan gerak tari buah. Tidak hairan nanti, tari silat dalam SC akan melibatkan gerak tari yang pelbagai gerak dengan gerak tapak yang pelbagai. Lebih-lebih lagi apabila ada dalam kalangan Jurulatih yang mempunyai kepala angin gerak tari. Bila ada peluang maka adalah pelarasan. Ada pelarasan maka akan adalah perubahan dan penambahan. Satu perbuatan yang amat sia-sia kerana tidak ada dalam pelajaran SC. Semuanya berlindung atas satu konsep gerak. Gerak Hanafi. Mainan istilah orang-orang kanan Guru Utama untuk membenarkan perbuatan mereka.

Sepatutnya, setelah kita tidak melibatkan SC dalam sebarang bentuk pertandingan SOR, gerak tari yang berkenaan tidak perlu dipopularkan lagi. Tamat Silat Olahraga maka tamatlah rekaan tari untuk SOR itu. Tapi, lain jadinya. Gerak tersebut terus dipopularkan. Saya difahamkan, bagi mengesahkan penggunaanya, maka dinamakan gerak tari itu sebagai Gerak Hanafi. Saya yakin bahawa Ustaz tidak mungkin mengarahkan gerak tari itu mengikut namanya. Tentunya kepala angin Jurulatih tertentu untuk mengesahkan penggunaan tari silat dalam SC. Kepimpinan saya di cawangan tak pernah ambil peduli. Tak ada sebab untuk menjadikan gerak tersebut sebagai sebahagian pelajaran SC. Itulah pendapat dan kefahaman saya tentang asal usul tari silat tersebut.

Namun begitu, sepanjang ingatan saya, cawangan saya tak pernah menggunakan gerak tari tersebut dalam sebarang persembahan SC demi menjaga ‘keaslian’ SC. Tak ada asal usulnya. Pegangan kami jelas. Terciptanya gerak tersebut hanyalah atas keperluan Silat Olahraga semata-mata. Habis SOR maka habislah gerak tari yang bersifat sementara itu.

Dalam persembahan SC, lakonan gerak Kaedah A hingga D adalah sangat mencukupi. Gerak yang sedemikian adalah menyamai gerak pelebat dalam kebanyakan silat Melayu. Cuma yang berbezanya, dalam persilatan Melayu, gerak pelebat mereka diiringi dengan suara ‘ah’ atau ‘eyah’ dan sebagainya. Sebaliknya, dalam gerak kita, pesilat SC hanya diam. Tidak kedengaran suara dari mulutnya. Melainkan suara pemimpin persembahan tersebut yang memberi arahan melakukan gerak Kaedah A hingga D.

Pada saya, itulah salah satu keistimewaan yang ada dalam SC. Kita tidak ada tari silat. Kedudukan kita adalah berdiri diam. Macam orang tak hendak bergaduh. Gerak selamba. Kita hanya bergerak kalau lawan kita bergerak. Itulah hakikat gerak yang ada dalam SC. Kebenaran gerak itulah yang kita sampaikan pada masyarakat yang menonton persembahan SC.

Gerak tari yang kita pertontonkan, bukanlah gerak benar dalam SC. Gerak yang dibuat-buat. Tak boleh pakaipun dalam pergaduhan. Saya pun tak jelas apakah kefahaman yang ingin kita sampaikan. Melainkan untuk memuaskan hati penonton. Agaknya.

Kini, pandangan umum dalam kalangan ahli kita, berterusan menganggap bahawa seni ‘tari’ yang popular dalam SC sebagai Gerak Hanafi. Mereka menjadikan gerak tari itu sebagai sebahagian daripada pembelajaran SC yang mesti. Satu segi kita menafikan jenis tari silat. Satu segi yang lain, kita menerima kehadirannya dalam SC atas nama yang lain. Pada hal, gerak tari tersebut mengundang sifat melangkah ke merata tempat. Kita mungkin faham akan maksud langkah melangkah tersebut. Walau bagaimanapun, pada masyarakat silat lain, mereka menganggap SC telah ada seni tarinya. Dakwa mereka, “Cakap tak serupa bikin”. Tapi kata tak ada tari. Ada tari pulak. Ada iringi muzik lagi!

Pada mereka yang bertanya atau membuat persoalan, bolehlah kita jelaskan maksud gerak tari berkenaan. Akan tetapi kita tidak berupaya memenuhi penjelasan pada mereka yang lain. Ada juga dalam kalangan ahli yang mempersoalkan perkara tersebut ketika membandingkan kenyataan tentang SC seperti yang tertera dalam ungkapan yang mula-mula dalam tulisan yang lalu. Mereka menjadi keliru. Pada mereka yang berfikir, hendak bertanya, rasa tak berani. Maka tertanamlah persoalan tentang gerak tari tersebut di dada mereka.

Sebagai Jurulatih, pandai-pandailah buat penjelasan. Asal usul gerak berkenaan telah saya tulis sebagai pengetahuan. Berhati-hatilah ketika membuat penerangan yang berdasarkan kemampuan seadanya. Pada dasarnya, gerak sedemikian telah diterima dalam rupa bentuk persilatan SC. Mungkin tak banyak persoalan daripada generasi baru. Namun begitu, sebagai Jurulatih, kita telah ada sedikit pengetahuan mengenai gerak tari dalam SC. Gunakan pengetahuan itu jika benar-benar ada yang bertanya. Habuan sesak sahaja. Sekian.

Gambar menunjukkan pasukan SOR Cawangan Perak yang mengendalikan pertandingan SOR peringkat negeri Perak tahun 1985. Mereka yang berbaju hitam dan bersongkok ialah pasukan gendang silat dari satu pertubuhan silat lain. SC tak buat persembahan tari silat. Tak ada pun tari silat dalam SC.

20130325-052919.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 25/03/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: