RSS

58.17.0. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. Gerak Tari Dalam SC.

21 Mar

Sekarang ini, apa yang saya perhatikan penggunaan muzik dalam persembahan SC telah menjadi satu perkara biasa dan mesti. Mana-mana persembahan SC yang saya saksikan, mesti ada muzik. Malah, sepanjang pengetahuan saya, tidak ada sebarang bentuk persembahan SC yang dibuat tanpa ada latar muzik. Mesti ada iringan muzik. Tak kiralah iramanya. Saya tidak ada halangan. Persembahan di cawangan saya dulu pun berbuat demikian.

Dalam kalangan anak didik saya, penekanan yang saya berikan adalah berdasarkan dua prinsip utama. Pertamanya, penggunaan muzik adalah sebagai latar persembahan. Muzik tidak digunakan untuk mengiringi gerak persembahan. Tanpa ada muzik pun, SC masih lagi boleh dipersembahkan dalam mana-mana majlis. Tidak kiralah sama ada majlis pertunjukan atau majlis penerangan. Prinsip muzik berkenaan boleh juga dianggap sebagai salah satu usaha untuk memupuk minat yang lebih pada persembahan SC. Lebih-lebih lagi generasi sekarang sememangnya amat berminat dengan muzik.

Keduanya, gerak persembahan SC tidak terikat langsung dengan rentak muzik latar berkenaan. Gerak persilatan SC adalah bebas dari ikatan rentak atau irama muzik yang dialunkan. Hal yang demikian menyebabkan pelbagai rentak muzik boleh dipilih. Kerap kali saya mendengar muzik latar lagu-lagu Semerah Padi, Kung Fu Panda dan sebagainya. Pada saya, buatlah mana yang patut.

Walau bagaimanapun, mainan muzik itu adalah atas sifat faham akan prinsip atau keperluan penggunaan muzik dalam persembahan SC. Sekurang-kurangnya boleh menaikkan minat dan ‘semangat’ para penonton. Ingat. Bukannya mengiringi rentak atau gerak persembahan. Hanya sebagai latar persembahan. Pada pemerhatian saya, hanya SC yang ada bentuk iringan muzik sedemikian. Masih lagi bersifat luar dari kebiasaan. Sesuailah dengan perkembangan semasa yang juga mementingkan muzik dalam kehidupan seharian.

Satu sifat lagi yang ada dalam persembahan kita sekarang ialah gerak tari. Satu perubahan yang baru. Dikatakan gerak tari yang ada sekarang dalam SC bukanlah jenis gerak tari silat biasa. Pada saya, itulah satu bentuk pelarian pendapat pada kenyataan atau hakikat kebenaran. Apa yang saya perhatikan, tari tersebut adalah merupakan satu bentuk mukadimah persembahan yang memperlihatkan gerak kaedah atau buah yang ada dalam SC. Daripada gerak kaedah dan gerak buah itu, telah dikembangkan bentuk gerak persembahan yang berbentuk tari. Dulu-dulu, tidak ada tari silat sedemikian dalam SC. Tapi kini telah ada tari silat yang dikenali sebagai ‘Gerak Hanafi’. Nampaknya, sudah menjadi perkara mesti gerak tari digunakan untuk memulakan persembahan SC dalam satu-satu majlis pertunjukan.

Gerak tari tersebut agak berbeza dengan tari silat yang lain. Bentuknya luar dari kebiasaan persilatan Melayu. Tapi tetap gerak tari. Gerak yang ada hanya bentuk lakonan kaedah daripada A kepada D serta gerak beberapa buah yang terpilih. Perkara jelasnya, wujud pergerakan yang ‘dibuat-buat’. Konsep pengamal SC berdiri diam mula berubah tafsiran.

Selama ini, corak persembahan kita adalah terikat atas pertalian persembahan antara kaedah, asas, jatuh dan aplikasi buah-buah jatuh. Hal yang demikian adalah merupakan satu bentuk kefahaman yang ingin disemai dalam pemikiran penonton. Kini, tari silat yang dipertontonkan mula terkeluar dari prinsip persembahan tersebut. Pada kesimpulan saya, bentuk kefahaman telah diganti dengan bentuk hiburan. Lakonan pada gerak kaedah dan buah dalam SC. Selepas lakonan tersebut maka barulah persembahan diteruskan dengan gerak buah-buah yang ada dalam pelajaran SC.

Saya tidak berminat untuk menyatakan pendapat sama ada perbuatan tersebut sesuai atau tidak. Perkara penting dalam tulisan ini adalah semata-mata untuk melahirkan kefahaman saya selama ini sejak dilantik sebagi ‘wakil’ bagi menurunkan ilmu SC yang diamanahkan Guru Utama.

Ramai dalam kalangan ahli yang menafikan Gerak Hanafi sebagai gerak tari silat. Walau bagaimanapun, tidak ternafi akan adanya pergerakan pada tapak pesilat SC yang melakukan gerak berkenaan. Tak berdiri diam lagi; yang hanya bertindak berdasarkan tindak balas lawan, seperti yang digambarkan melalui gerak kaedah. Dalam hal ini, mereka tetap tidak menganggap gerak tari itu sebagai gerak tari SC. Sebaliknya ramai yang menganggap bahawa gerak tari itu adalah Gerak Hanafi, bukan tari silat. Saya susah nak komen. Bercelaru dari segi tafsiran. Pada nama, demikianlah maksudnya. Hakikatnya, gerak sedemikian tetap merupakan tari silat.

Kebiasaannya, gerak tari silat persilatan Melayu mengundang sifat langkah melangkah sama ada ke kiri atau ke kanan, ke depan atau ke belakang. Gerak tersebut selalunya diiringi gendang silat sama ada secara langsung penggunaan alat-alat muzik silat atau secara rakaman muzik. Kadang kala, ada juga persembahan tari yang dibuat tanpa ada sebarang iringan muzik. Hanya gerak tari sahaja. Bentuk pergerakan tari silat itu ada maknanya tersendiri. Bergantung pada latar masyarakat sama ada masyarakat petani atau nelayan. Gerak tari itu dihiasi dengan pergerakan kaki dan ayunan tangan yang melambangkan sesuatu gerak. Sedap juga mata memandang.

Namun begitu, gerak tari dalam SC adalah berdasarkan gerak kaedah dan gerak buah yang ada dalam SC. Nampak perbezaan dalam bentuk tari tersebut. Seperti yang dikatakan, kita tetap tidak menganggap bahawa gerak yang sedemikian sebagai tari silat. Anggapan kita ialah Gerak Hanafi. Walau bagaimanapun, sepanjang jawatan saya sebagai Jurulatih dan pemimpin cawangan, saya tidak galakkan langsung penggunaan gerak sedemikian dalam persembahan SC cawangan saya. Tak ada asal usulnya dalam pembelajaran SC. Kepala angin Jurulatih lama yang memasukkan faham Silat Olahraga dalam pembelajaran SC. Itulah kesimpulan saya.

Dalam tulisan ini saya ingin menerangkan kefahaman dan pegangan saya tentang tari silat yang sedemikian. Sekali lagi saya tegaskan, tulisan ini adalah untuk menambahkan pengetahuan para pembaca. Jangan melenting tak ketahuan. Penulisan saya adalah berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan pemerhatian saya sepanjang berada dalam SC di zaman Ustaz. Berdasarkan ingatan, saya cuba menyingkap semula pengetahuan saya tentang asal usul tari silat dalam SC.

Saya telah menerangkan dalam tulisan terdahulu betapa ahli-ahli yang seangkatan belajar SC bersama saya, ramai yang mewarisi persilatan Melayu yang lain. Rata-ratanya persilatan mereka mempunyai tari silat yang tersendiri. Saya cuba menyingkap kisah lalu sepanjang ingatan saya.

Pada satu ketika, kami pernah berbincang dengan Ustaz tentang tari silat. Ada dalam kalangan ahli yang menimbulkan persoalan pada Ustaz betapa pengamal SC akan berada dalam situasi serba salah apabila disuruh memperlihatkan gerak persilatannya. Tak boleh buat persembahan tari silat. Walau pun orang tahu kita ahli silat, kalau ditolak ke tengah gelanggang persembahan, kita akan berasa kaku. Berdiri diam. Penonton bukannya tahu bahawa silat kita tak ada tari. Pada mereka, kalau ahli silat mesti ada tarinya.

Ustaz tersenyum akan persoalan yang ditimbulkan itu. Sebagai pengamal SC, sememangnya kita tidak dapat memperlihatkan silat kita. ‘Kita hanya membeli jika ada yang menjual’. Ketika itulah saya mengikuti perbualan Ustaz yang menegaskan betapa SC boleh dibuat tarinya. Ustaz menegaskan bahawa buah-buah yang ada dalam SC boleh dijadikan tari. ‘Kalau nak jadikan tari’. Maknanya, kalau kita hendak buat tari silat, kita boleh buat. Bukannya susah. Tak ada masalah. Perkara gampang. Ustaz sendiri menunjukkan beberapa gerak berdasarkan kaedah dan buah dalam SC yang boleh dijadikan tari silat.

Penegasan Ustaz adalah tetap iaitu SC tidak ada tari. Tapi kalau nak buat tari silat, SC masih berkemampuan berbuat demikian. Kami yang mendengar penerangan Ustaz, faham akan maksudnya. Jelas kesimpulan dan ketepatan kefahaman pada kami. SC tidak ada tari. Hal yang demikianlah merupakan salah satu keistimewaan yang ada pada SC. ‘Mencarik adat’ atas kebiasaan gerak tari yang ada dalam persilatan Melayu.

Itulah pertama kali saya lihat dan saya dengar tentang tari silat berdasarkan kaedah dan buah SC. Dan itulah kali terakhir Ustaz menyebut tentang kaedah dan buah SC yang boleh dibuat tari silat. Hal yang demikian kerana tari bukanlah sesuatu yang penting dalam persilatan SC. Sememangnya SC tidak ada tari silat. Oleh itu, tidak ada keperluan langsung untuk berbincang tentang tari silat. Ustaz juga tidak berminat untuk melanjutkan perbincangan akan hal yang demikian. Walau bagaimanapun, jelas pada kami bahawa buah-buah dalam SC boleh dijadikan tari dalam silat. ‘Kalau nak buat tari silat’. Hal yang demikian tidak bermakna SC ada tari.

Selepas itu, persoalan mengenai tari senyap begitu sahaja. Sebabnya, semua ahli faham dan menerima konsep bahawa SC tidak ada tari. Gerak SC adalah ringkas. Tak berbelit-belit.

Kisah tari mula timbul kembali ketika SC terlibat dengan kegiatan Silat Olahraga. “SOR”. Tahunnya ialah 1983/1984. Dalam pertandingan SOR, peraturannya memerlukan gerak tari sebelum memulakan pertandingan sesama pesilat. Mesti buat tari silat sebagai syarat pertandingan. Kalau tak ada tari, tak boleh masuk SOR.

Hakikatnya, SC tak ada tari silat. Akan tetapi ketika itu ada keperluan SC untuk mengambil bahagian dalam SOR. Oleh itu, kenalah reka tari silat bagi maksud penyertaan. Hal yang demikianlah maka gerak tari silat mula direka dalam persembahan SC untuk pertandingan Silat Olahraga. Rekaan gerak yang berfokas bagi memenuhi satu tujuan yang tertentu. Tujuan Silat Olahraga. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 21/03/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: