RSS

58.16. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. Penggunaan Muzik Dalam Persembahan.

18 Mar

Oleh sebab SC bukanlah merupakan silat pulut atau silat pengantin maka secara langsung persilatan SC tidak mempunyai gendang, tari menari dan langkah melangkah. Sifat gendang silat, tari silat dan langkah melangkah silat adalah merupakan prinsip silat tari atau silat pengantin. Tarafnya adalah lebih cenderong sebagai hiburan bagi memuaskan hati para penonton. Seperti yang saya tegaskan, persembahan SC bukan bermaksud menghibur, sebaliknya bertujuan kefahaman tentang prinsip, konsep dan falsafah persilatan SC.

Hal yang demikian tentunya berbeza dengan bentuk persembahan kita seperti yang saya nyatakan dalam tulisan yang terdahulu. Dalam majlis penerangan kita tentang SC, setelah dibuat penerangan, kita terus buktikan melalui persembahan silat. Penonton boleh berfikir dan mengaitkan persembahan tersebut dengan penerangan yang telah diberi terlebih dahulu.

Begitu juga dalam majlis-majlis persembahan pelbagai seni bela diri. Apabila tiba giliran kita membuat persembahan, kita terus saja mengadakan persembahan. Suasana persembahan SC adalah dalam bentuk yang senyap. Usahkan gendang, iringan muzik dan lagu pun tak ada. Suara pesilat senyap sahaja. Sekali sekali mungkin ada bunyi suara ‘penjahat’ dalam adegan serangan beramai-ramai.

Suasana yang sedemikian amat sesuai bagi membolehkan para penonton berfikir. Fokas mereka tentunya pada gerak pesilat SC. Itulah tuntutan yang ada pada masa saya dulunya. Mungkin sekarang ini segala-galanya telah berubah. Penggunaan muzik telah diangap sebagai satu keperluan bagi menarik minat para penonton.

Dalam tulisan ini, saya akan menyentuh tetang proses perkembangan penggunaan muzik dalam persembahan SC. Saya berharap, generasi baru akan dapat memahami perkembangan yang berlaku dari dulu hingga sekarang. Bolehlah dijadikan sandaran bagi maksud memahami setiap perubahan yang ada dalam SC. Bukanlah tulisan ini bersifat pendapat yang menyanggah. Perkara pentingnya ialah para Jurulatih yang ada dapat memahami asal usul penggunaan bunyi muzik yang ada dalam persembahan kita.

Sepanjang pengetahuan saya, persembahan SC yang ada latar bunyi sebagai latar belakang persembahan termasuk muzik, telah lama berlaku. Hal yang demikian bermula ketika kita membuat persembahan secara besar-besaran dalam Perayaan Sepuluh Tahun Silat Cekak di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru. Tahunnya tak salah saya ialah 1976. Adegan mengenang kembali sejarah SC dialun suara oleh Ahmad Tamimi Saregar yang memperdengarkan kata-kata puitis secara rakaman.

Seingat saya, beliau bukan ahli SC. Beliau merupakan seorang pelakon yang sedang popular ketika itu. Suaranya lantang dan menusuk jiwa serta boleh menarik perhatian para penonton. Rakaman kata-kata puitisnya itu diiringi oleh muzik latar yang amat bersesuaian dengan kisah persejarahan SC. Selesai dendangan rakaman kata-kata puitis tersebut, muzik dialunkan tanda persembahan SC bermula.

Persembahan muzik tersebut amat berkesan kerana boleh memberi ‘semangat’ para pendengar. Orang kata macam bunyi muzik ‘Kitaro’ yang menarik ketika itu, sesuai dengan rentak jantung kita. Bukan macam muzik dangdut atau jenis-jenis muzik lain yang bersifat menghibur.

Itulah buat pertama kalinya saya melihat dan mendengar adanya persembahan SC yang diiringi kata-kata puitis dan alunan muzik. Dendangan muzik terus dialun sepanjang persembahan SC seterusnya sebagai latar persembahan bagi menunjukkan SC terus berkembang dalam persada kebangsaan. Penggunaan muzik itu bukan bermaksud mengiringi gerak silat kita, melainkan latar persembahan silat dalam keseluruhan pertujukan SC.

Gerak SC kita tidak mengikut rentak muzik. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan penggunaan muzik atau alat muzik pada silat-silat Melayu yang lain. Gerak silat mereka adalah berdasarkan alunan muzik yang dimainkan. Maknanya, gerak silat dan alunan muzik adalah bersepadu. Laju nada muzik, maka lajulah gerak silatnya. Jika gerak muzik itu perlahan, maka gerak silat yang dipersembahkan turut perlahan. Hal yang demikian menampilkan imej persembahan tersebut sebagai gerak silat permainan yang sering kita nyatakan. Prinsip penggunaan muzik sedemikian tidak ada dalam persembahan SC.

Pergerakan SC tidak langsung bergantung pada irama muzik. Tak ada gendang silat atau bunyi muzik pun, SC masih berupaya mengadakan persembahan silatnya. Oleh itu, konsep SC tidak ada gendang silat adalah masih tepat. Sebagai Jurulatih SC, kita mesti faham akan konsep persembahan SC yang menggunakan latar muzik. Tetapkan pegangan. Tak ada muzik pun kita boleh buat persembahan silat.

Hal yang demikian adalah kerana pada dasarnya persembahan kita adalah berasaskan penerangan dan kefahaman. Ketika membuat persembahan secara rasmi, ketiadaan muzik bukannya satu halangan. Pada zaman sebelum adanya muzik, persembahan kita tetap macam biasa. Tak ada suara. Senyap belaka. Mulut pesilat pun diam sahaja. Tak kedengaran sebutan ‘ah’ atau ‘uh’ atau ‘eeyahh’ atau sebagainya. Semua orang tahu, ketika SC membuat persembahan, sifat peserta adalah selamba dan tenang sahaja. Cuma, kadang kala kedengaran bunyi tongkat yang dipukul di lantai tanda SC membuat pukulan atau bunyi suara ‘penjahat’ ketika menyerang pengamal SC.

Walau bagaimanapun, SC ada juga dipersembahan dalam majlis-majlis tertentu tanpa ada sebarang penerangan. Hal yang demikian masih lagi menepati sasaran. Dengan cara itu, SC dapat diperkenalkan dalam kalangan masyarakat. Biasanya, SC akan membuat syarat ketika diminta membuat persembahan dalam majlis-majlis keramaian tersebut. Syarat kita ialah membuat persembahan terus selepas perasmian jika majlis itu dirasmikan oleh seseorang tetamu jemputan.

Saya juga meletakkan syarat semasa mengetuai cawangan. Guru Utama juga perlu dijemput bersama dalam majlis jamuan bersama perasmi. Duduk bersama. Strategi saya ialah untuk merapatkan Ustaz dengan orang kenamaan itu yang merupakan tetamu khas jemputan. Di samping itu, tindakan yang demikian akan membolehkan para hadirin memberi tumpuan pada persembahan SC. Satu bentuk iklan kefahaman.

Seperti yang saya tegaskan dalam tulisan terdahulu, jika persembahan kita melibatkan seni bela diri yang lain dalam satu-satu program persilatan, biasanya kita akan meletakkan syarat. Kita memohon persembahan SC sama ada di awal keseluruhan atur cara persembahan atau di akhir atur cara persembahan. Ada sebabnya. Kalau ditonton persembahan kita terlebih dahulu, persembahan lain akan berasa tawar untuk ditonton. Jika persembahan kita dibuat di akhir acara persembahan, secara langsung SC telah membuat kesimpulan pada gerak seni bela diri. “Tak boleh pakai gerak melainkan gerak SC.”

Pada kesimpulan saya, muzik dalam SC bermakna suara latar yang boleh menarik perhatian penonton. Muzik itu adalah merupakan rakaman. Setakat ini, kita masih lagi mempertahankan prinsip tidak menggunakan sebarang bentuk alat muzik bagi menghasilkan bunyi dalam persembahan SC. Rakaman muzik yang sedia ada hanya berupa alat untuk menaikkan semangat dan menarik perhatian penonton pada persembahan SC. Hal yang demikian akan membolehkan mereka tertarik untuk mempelajari SC.

Kalau tak salah saya, hanya di hujung zaman Ustaz, mula timbul satu tred baru. Nampaknya, sudah ada satu kecenderongan dalam SC untuk membuat pengisian acara pertunjukan SC melalui persembahan para artis yang dijemput. Satu bentuk tarikan penonton melalui hiburan. Saya tak dapat cerita panjang kerana tidak pernah hadir dalam majlis yang sedemikian. Difahamkan, artis yang selalu dijemput ialah Amy Mastura. Saya tak pasti sama ada beliau adalah ahli SC atau pun tidak. Kecenderongan demikian telah berlaku sejak dulu lagi.

Nasib baik ketika itu minat pada perkara lain tidak dimasukkan dalam SC. Kalau tidak, lagi tak ketahuan. Kalau minat bola, tentu mereka akan menganjurkan permainan bola sebelum persembahan SC. Tak kiralah bola apa. Kalau minat drama, tentu mereka akan masukkan unsur drama dalam persembahan SC. Ikut suka hati. Kepala angin orang-orang kanan Ustaz yang suka akan hiburan atau perkara-perkara lain. Silat pun minat dan perkara lain pun minat. Rojak buah.

Minat pada hiburan tersebut diterap dalam SC dengan alasan untuk menarik kedatangan penonton. Lagi ramai penonton maka lagi bersemangat membuat pertunjukan. Agaknya, konsep ‘habuan’ mungkin tidak lagi diberatkan dalam proses penerimaan ilmu pada bakal penuntut. Seolah-olah hiburan artis menentukan sambutan pada SC. Tidak ada lagi keyakinan diri.

Sebaliknya, zaman dulu-dulu, perkara utama ialah menyampaikan kefahaman SC. Tak kira berapa ramai yang menonton dan tak kira berapa ramai yang ingin menceburi SC. Semuanya berkait erat dengan faktor habuan. Ada habuan maka bolehlah mereka mempelajari SC. Kalau tak ada habuan maka setakat tengoklah sahaja. Segala-galanya adalah ketentutan Allah. Kita tak rasa rugi apa-apa.

Saya tidak pasti, adakah selepas hiburan artis tersebut para penonton terus menunggu atau ‘belah’ dari situ. Tak ada kajian. Tak berminat nak ambil tahu. Sebabnya, tindakan panggil artis tak pernah saya setuju. Alhamdulillah. Tak pernah saya buat dan tak pernah terlibatpun dalam corak persembahan sedemikian. Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 18/03/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: