RSS

58.15.2. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. Rupa Bentuk Proses Persembahan SC

14 Mar

Saya telah tegaskan bahawa konsep pertunjukan SC bukanlah bertujuan untuk menghibur atau memuaskan hati penonton. Susunan persembahan kita pun tidak berhasrat untuk ‘mengambil hati’ para penonton. Maknanya, kalaulah konsep persembahan kita bercorak menghibur, persembahan kita akan lebih banyak untuk memuaskan hati dan perasaan mereka berasaskan sifat ‘ambil hati’ penonton. Penonton yang terhibur akan bertepuk tangan tanda puas. Kesannya kurang. Lepas puas berhibur, akhirnya mereka akan mudah lupa akan persembahan yang kita lakukan. Kepuasan yang tidak kekal.

Ketika itu kami tidak digalakkan membuat persembahan bercorak menyerang. Pelajaran menyerang tersangat rahsia. Ahli-ahli yang belum tamat pun tidak bepeluang melihat pelajaran tersebut. Walau bagaimanapun, pernah juga berlaku kami membuat persembahan bercorak sedemikian atas keizinan Ustaz. Tapi bukanlah serangan peluru berpandu yang kita ada, melainkan kaedah potong. Sepanjang ingatan saya bersama ustaz, sebanyak dua kali persembahan yang memperlihatkan SC membuat serangan.

Pertama kalinya ialah ketika kita menyambut Perayaan Sepuluh Tahun SC di Padang Kelab Sulaiman, Kampung Baru. Dalam persembahan itu, kita memperlihatkan kebolehan SC mengatasi buah-buah silat lain termasuk tomoi. Pernah saya ceritakan dalam tulisan yang lalu, akibat persembahan itu, kita menerima cabaran ‘berentap’ dari seseorang yang dikatakan pengamal Tomoi Siam.

Saya terkenang kembali peristiwa cabaran berkenaan yang pernah saya ceritakan dalam tulisan yang lalu. Pada petang setelah tamat persembahan dalam perayaan tersebut, saya ada di pejabat silat di Lorong Haji Sirat. Turut ada di pejabat silat ketika itu ialah Ustaz dan Pak Wan. Telefon yang berdering diangkat Pak Wan. Saya ada di sebelahnya ketika Pak Wan bercakap. Percakapan Pak Wan adalah dalam nada yang yakin. Berdasarkan suara bualannya, tak ada rasa gementarpun.

Rupa-rupanya ada cabaran untuk berentap. Cabaran dari pengamal tomoi yang terkenal pada masa itu. Beliau popular dengan sepakan kakinya umpama roket. Kata orang saja, tapi tak pernah tengok. Ketika sedang berbicara, Pak Wan menutup ganggang telefon dan menyatakan tentang hasrat cabaran itu pada Ustaz. Lantas Ustaz bersetuju menerima cabaran dan meletakkan syarat. Tak ada fakir-fikir lagi. ‘Timbang sama berat. Tanda kalah adalah berdasarkan patah, pengsan atau mati’. Oleh sebab mereka yang mencabar, Ustaz juga meletakkan syarat supaya mereka sendiri mendapatkan permit. Syarat Ustaz disampaikan Pak Wan dalam waktu yang sama semasa bercakap dengan pencabar kita itu.

Selepas Pak Wan meletakkan ganggang telefon ada perkara yang dibincangkan Ustaz. Saya hanya mendengar sahaja. Tak boleh cerita. Namun begitu, selepas itu saya tak dengar sebarang berita, lanjutan cabaran tersebut. Senyap begitu saja.

Satu lagi persembahan yang melibatkan bentuk menyerang adalah ketika SC dijemput mengadakan persembahan bersama-sama seni bela diri yang pelbagai. Tampatnya ialah di UTM, Shah Alam. Saya berpeluang mengiringi Ustaz hinggalah majlis jamuan bersama Dr. Mahathir yang menjadi menteri pelajaran ketika itu.

Pada pemerhatian saya dalam majlis pertunjukan tersebut, rata-rata seni bela diri yang lain nampaknya tidak ‘sebulu’ dengan kita. Pada anggapan saya sahaja. Tidak hairanlah jika kita bertindak membuktikan kehebatan SC pada mereka. SC bukannya calang-calang silat. “Seseorang yang melampaui batas atas kamu maka hendaklah kamu melampai batas ke atasnya pula sebagaimana mereka melampaui batas ke atas kamu. Tapi hendaklah kamu dalam keadaan bertakwa.” Itulah kesimpulan saya atas corak persembahan SC pada hari tersebut.

Sepanjang ingatan saya, selepas kedua-dua persembahan itu, Ustaz tidak lagi membenarkan persembahan yang melibatkan SC membuat serangan. Saya beranggapan bahawa persembahan yang sedemikian banyak rugi dari untungnya. Di sebalik penonton yang berasa kagum, hal yang demikian telah mengundang para pengamal seni bela diri yang lain berasa tersinggung dan tak puas hati. Tidak hairanlah jika Ustaz tidak membenarkan lagi persembahan yang berbentuk sedemikian. SC tetap menghormati persilatan Melayu yang lain. Tidak ada niat untuk menyakiti hati mereka.

Malah, pernah juga berlaku satu ketika Ustaz melarang kami membuat persembahan SC secara ‘berlebih-lebihan’. Ketika itu wujud keghairahan untuk membuat persembahan bagi meyakinkan penonton. Hinggakan boleh ditafsirkan persembahan sebegitu semata-mata untuk memuaskan hati penonton; bukannya meletakkan kefahaman penonton sebagai tujuan utama. Adalah kejadiannya yang menyebabkan Ustaz bertindak demikian. Kami diarah buat persembahan secara memberi penerangan. Kemudiannya jemput pasangan silat membuat persembahan berdasarkan penerangan. Habis penerangan dan persembahan itu maka habislah acara pertunjukan. Kalau berminat pada SC, masuk belajar. Kalau tak berminat, tak payah belajar. Arahan Ustaz tersebut menyebabkan kami serba salah. Alhamdulillah. Akhirnya larangan Ustaz kembali reda. Maka dapatlah kami membuat persembahan selengkapnya berdasarkan format persembahan sedia ada.

Itulah juga bentuk penerangan yang pernah Ustaz lakukan ketika majlis penerangan mencari ahli baru buat pertama kalinya diadakan di Universiti Malaya. Selesai penerangan Ustaz, majlis diteruskan dengan persembahan silat. Tapi bilangan ahli yang membuat persembahan adalah seramai dua pasangan, empat orang. Itulah suasananya, kalau tak salah ingatan saya.

Penekanan Ustaz pada persembahan yang bercorak kefahaman adalah merupakan satu keutamaan. Kita tak akan suka-suka hati membuat persembahan SC tanpa ada kepentingan untuk memahamkan penonton pada SC. Kefahaman itu boleh dilakukan melalui penerangan SC sebelum persembahan ataupun dalam bentuk persembahan SC yang secara langsung akan menerangkan tentang prinsip dan konsep SC. Penonton boleh menilai sendiri maksud SC melalu persembahan yang kita buat.

Walau bagaimanapun, teguran Ustaz itu telah menjadikan kami sentiasa berfokas ketika melakukan persembahan silat. Matlamat utama ialah memberi kefahaman. Kepuasan para penonton adalah merupakan tujuan sampingan. Perkara pentingnya ialah mereka memahami akan rupa bentuk SC dan tertarik untuk belajar. Itulah sasaran kerja utama kami. Ketika itu.

Oleh sebab maksud pertunjukan atau persembahan SC adalah jelas, kami berhati-hati dengan mutu persilatan yang ditunjukkan. Tidak ada apa yang ingin dibuktikan melainkan memberi kefahaman kepada mereka. Oleh itu, sifat mengambil hati para penonton hingga mengorbankan mutu persilatan kita, tidak pernah diutamakan.

Di cawangan, ketika membuat pertunjukan, saya sentiasa berhati-hati dengan mutu persilatan SC. Perdunya, tak ada perasaan untuk memuaskan hati penonton. Kalau kita ambil hati penonton, kita mungkin mengutamakan kehebatan gerak, dengan mengorbankan kehebatan gerak kita yang sedia ada. Misalnya acara serangan beramai-ramai. Nampaknya, kehebatan persembahan banyak bergantung pada aksi ‘penjahat’. Penjahat saja yang boleh beraksi hebat. Sebaliknya, pengamal SC yang berwatak hero hanya berdiri diam. Tenang dan berdiri yakin. Dalam hal ini, saya lebih berhati-hati menyusun persembahan supaya penonton boleh berfokas pada hero tersebut yang merupakan pengamal SC. Kita tidak mahu para penonton melihat kehebatan SC berdasarkan aksi ‘penjahat’. Mungkin hati mereka berasa puas dan gembira melihat keseluruhan persembahan tersebut tanpa sempat berfikir tentang kehebatan SC.

Berdasarkan matlamat demikian, persembahan serangan beramai-ramai saya hadkan bilangan ahli tidak melebihi enam orang. Unggulnya lima orang. Maka mudahlah kita menunjukkan keupayaan pengamal SC mengatasi serangan yang pelbagai dengan menggunakan kaedah dan pukulan yang betul. Kalau dah ramai, tak hairanlah ‘pukulan tolak’ pun musuh akan kecundang. Hal yang demikian akan merugikan diri sendiri kerana diri diasuh dalam gerak ‘khayalan’.

Begitu juga dengan persembahan mengambil buah-buah SC. Kalau jatuhan membelakangkan penonton, saya tidak akan membuat penyesuaian jatuh semata-mata memuaskan hati penonton. Hal yang demikian akan ‘merosakkan’ gerak jatuhan sebenar SC semata-mata untuk memuaskan hati penonton. Saya ambil contoh pada buah Kuntau Kiri. Oleh sebab tidak mahu membelakangkan penonton, maka pesilat akan membuat penyesuaian jatuhan. Hal yang demikian telah memaksa kaki kanannya berubah tempat bagi memudahkan pasangannya jatuh mengikut kehendaknya, tanpa mengambil kira atas situasi yang benar. Tidak hairanlah sifat gerak yang berkenaan terbawa-bawa dalam geraknya sendiri.

Seperti yang saya katakan, zaman telah berubah. Mungkin sekarang ini masyarakat telah faham tentang prinsip dan konsep SC. Yuran tidak lagi menjadi kayu ukur dalam proses mendapatkan ilmu. Oleh itu, bentuk persembahan kita sekarang ini perlu berubah. Agaknya. Maka berlakulah perubahan dalam corak persembahan sekarang.

Persembahan SC sekarang ini mungkin tidak lagi terhad pada matlamat memberi kefahaman kepada penonton. Masyarakat dah faham. Kehebatan SC perlu ditonjolkan untuk menarik minat masyarakat mempelajari SC. Perkara yang penting, buah jadi. Buah apa ya. ‘Sekali tolakan, lawan akan jatuh bergolek sebanyak tiga kali di udara’. Lawan yang hebat. Hal yang demikian akan membolehkan penonton berasa kagum dengan SC. Maka akan terbukalah hati mereka untuk mempelajari SC. Ada gambor di bawah. Jenuh teman pikiau. Buah apa deme ngambek. Sekian.

20130314-093709.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 14/03/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: