RSS

58.15.1. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. Rupa Bentuk Proses Persembahan SC.

11 Mar

Ketiadaan gendang dan tari silat tidak bermakna SC adalah sejenis silat yang kasar dan tiada arah pergerakan. Sebaliknya, SC adalah sejenis silat yang kaya dengan sifat gerak yang halus atau berseni dan setiap pergerakannya adalah membawa makna. Hal yang demikian adalah merupakan salah satu cirinya yang luar biasa. Saya telah menulis hal ini dalam tulisan yang terdahulu.

Silat yang kasar selalunya cenderong ke arah gerak sukan. Bukannya gerak seni. Sebaliknya, ‘kelembutan’ semula jadi manusia masih kekal dalam SC. Saya selalu tegaskan betapa SC adalah berdasarkan gerak semula jadi manusia. Pengamal SC akan bertindak jika difikirkan satu keperluan. Apatah lagi jika pengamal SC diserang. Setakat orang lain terpijak kaki, itu tak menjadi hal. Tindak balas kita hanya akan berubah menjadi ‘garang’ sesuai dengan sifat mempertahankan hak yang hakiki.

Pada adatnya, kita sukar ‘mengesan’ pengamal SC sebagai ahli silat yang mahir. Tak nampak macam orang silat pun. Jalannya macam biasa. Tidak jalan secara luar biasa atas tumit. Bentuk tangannya juga adalah biasa. Tak ada bahagian tangan yang kematu akibat latihan untuk memecah batu. Penumbuknya tidak berbuku sebab tak ada latihan menumbuk sesuatu. Sifat sabarnya juga macam biasa. Kalau bersifat panas baran, sifat itu adalah sifat semula jadinya. Bukannya kerana SC maka sifatnya menjadi sedemikian rupa.

Ustaz sendiri pernah menegaskan,”Bakat seni silat ialah keras lembut yang bermaksud tetap pendirian bukan degil. Lemah lembut pada zahirnya bererti tidak bongkak (ego) dan menerima kebenaran. Tetapi akan berkeras untuk menegakkan yang hak. Bakat asli ini jika diasuh dan dididik akan mencapai kebolehan istimewa, tetapi yang tidak berbakat tetapi ada kemahuan hanya mencapai sekadar ‘dapat’ sahaja.”

Berdasarkan pernyataan di atas, para pengamal SC ditegaskan jangan berasa risau atas keupayaan diri sendiri yang mungkin dianggap ‘lemah’. Yakinlah pada diri sendiri setelah mempelajari SC. Sesungguhnya SC adalah sejenis silat yang boleh bertanggungjawab pada pengamalnya. Ketika pengamal SC menegakkan yang hak, pasti geraknya akan ‘menjadi’. Perkara pentingnya ialah ketegasan diri. Mempunyai pendirian yang tidak mudah di ganggu gugat. Percayalah pada kelebihan yang ada pada SC.

Peranan utama pada kita ketika menuntut SC ialah mendidik diri supaya bergiat dalam SC secara bersungguh hati. Ikhlas pada tindakan dan jujur pada diri. Keikhlasan dan kejujuran itu juga meliputi hubungan diri sendiri dengan Tuhan, kedua ibu bapa, guru dan wakil guru, rakan-rakan seperjuangan dan sebagainya. Beri tumpuan dan galakkan budaya berfikir ketika menerima pelajaran. Hal yang demikian akan membolehkan kita mencapai ‘kebolehan istimewa’ seperti yang dimaksudkan Ustaz.

Berbalik pada corak pesembahan yang ada pada masa dulu. Matlamat akhirnya, kita mengharapkan para penonton menceburi bidang persilatan SC. “Tidak ada gunanya penonton yang ramai dengan tepukan yang bergema, jika akhirnya mereka yang ingin belajar SC tidak seberapa.” Itulah tanggapan umum dalam kalangan pencinta SC ketika itu.

Sebenarnya, bukan mudah untuk mencari ahli yang ingin belajar SC ketika itu. Banyak sangat karenahnya pada pemulaan perkembangan SC. Pada masa itu, masyarakat masih lagi meletakkan yuran sebagai salah satu kayu ukur hingga membantutkan minat mereka mempelajari SC. Pada mereka, ilmu silat perlu disampaikan secara ikhlas tanpa ada apa-apa bayaran. Pada pengetahuan saya, ketika itu hanya SC sahaja yang meletakkan yuran pengajian yang tinggi berbanding dengan silat-silat Melayu yang lain.

Pernah saya berpengalaman dalam hal yang demikian ketika mencari ahli-ahli baru. Dalam tulisan yang lalu, saya pernah menyentuh soal tersebut. Pada satu ketika, kami pernah mengadakan majlis penerangan dan pertunjukan di Taman DR.Seenivasagam, Ipoh. Tahunnya 1977 dengan tujuan mencari ahli baru. Seramai lebih daripada tiga ribu orang yang menyaksikan majlis pertunjukan tersebut. Selesai majlis, para penonton ‘cabut lari’. Tak mampu belajar. Alasan kukuh mereka ialah yuran yang mahal.

Kegagalan membuka kelas telah menyebabkan saya ‘dikecam’ dalam satu mesyuarat agung. Masih teringat kata-kata perli antara ahli yang hadir. “Kata hebat tapi gagal buka kelas”. Walau bagaimanapun, semangat kembali pulih apabila Ustaz yang bertindak sebagai pengerusi dalam mesyuarat itu membela permasalahan saya. Antara lain kata-katanya yang saya ingat. “Lambat buka kelas maka tak mudah tutup kelas.”

Walau bagaimanapun, akhirnya kelas SC di cawangan berjaya diasaskan melalui hubungan rapat dengan individu yang berminat dengan SC. Mengharapkan kemasukan ahli melalui pertunjukan, nampaknya tak menjadi langsung. Kelas tersebut masih bertahan hinggalah berlaku pepecahan gelombang pertama. Bukannya tutup kerana ancaman luar. Sebaliknya cawangan saya diarah bubar oleh orang-orang kanan Ustaz yang selama itu berpura-pura rupanya.

Seperti yang saya nyatakan bahawa bukan mudah pada kami membuka kelas-kelas SC pada peringkat awal perkembangan SC. Zaman dulu, kefahaman masyarakat pada konsep SC masih belum meluas. Rupa bentuk SC yang sedia ada masih amat sukar diterima. Hinggakan ada yang membuat kesimpulan sendiri bahawa SC bukanlah warisan silat orang-orang Melayu. Hal yang demikianlah menyebabkan kami perlu membuat kempen-kempen strategik bagi menyebarkan kefahaman SC dalam kalangan masyarakat.

Pada pengamal SC, sambutan dingin masyarakat pada SC tidaklah merupakan satu masalah besar. Tugas para pendokong SC ketika itu tetap menyebarkan fahaman SC kepada masyarakat. Pegangan kami adalah jelas. Tanggungjawab kami adalah menyedarkan masyarakat Melayu tentang keistimewaan SC. Soal mereka hendak belajar atau tidak, bukannya menjadi hal. Semuanya bergantung pada ‘habuan’. Kalau mereka belajar SC bermakna mereka ada habuan. Kalau mereka tidak dapat belajar SC bermakna mereka tidak ada habuan. Habuan adalah merujuk pada sifat untung atau faedah. Belajar SC bermakna mereka akan beruntung atau lebih berfaedah. Sebaliknya kegagalan menceburi SC akan menjadikan mereka tersangat rugi dan penglibatan pada seni bela diri yang lain adalah kurang berkesan berbanding dengan SC.

Berdasarkan suasana yang saya terangkan di atas, maka konsep persembahan SC adalah bagi maksud memaham dan bukannya maksud menghibur. Maknanya, persembahan yang kita lakukan adalah untuk memahamkan para penonton tentang prinsip dan konsep SC. Secara langsung akan membolehkan para penonton berfikir tentang kehebatan dan keluarbiasaan SC sebagai satu jenis persilatan Melayu.

Kita sangat yakin ketika itu bahawa penerangan secara memberi kefahaman, akan membuka ruang di hati mereka untuk mempelajari SC. Oleh sebab konsep persembahan kita bercorak kefahaman, itu sebabnya setiap kali persembahan SC, kita akan memulakannya dengan penerangan. Sepanjang pengetahuan saya ketika itu, tidak ada persilatan lain yang berbuat demikian. Setelah kita fahamkan para penonton, barulah kita buktikan kehebatan SC melalui persembahan.

Walau bagaimanapun, ada juga persembahan SC yang berbentuk persembahan tanpa penerangan. Dalam hal ini, format persembahan disusun dengan matlamat yang sama iaitu untuk memahamkan para penonton tentang SC. Persembahan akan dimulakan dengan kaedah dan diikuti dengan buan jatuh. Persembahan seterusnya ialah berbentuk aplikasi pada buah-buah jatuh yang ada. Hal yang demikian mungkin nampak perbezaannya dengan corak persembahan sekarang. Gerak tari yang dikatakan sebagai Gerak Hanafi telah dijadikan persembahan mesti. Dulu-dulu tak pernah ada. Saya akan sentuh hal yang demikian seterusnya.

Seperti yang saya jelaskan terdahulu, Ustaz juga tidak membenarkan SC dipertontonkan semasa majlis perkahwinan. Tidak banyak faedahnya. Ketika itu, perhatian orang ramai adalah tertumpu pada majlis perkahwinan tersebut. Hal yang demikian tentunya tidak mendatangkan banyak faedah jika SC dipertontonkan dalam majlis yang berkenaan.

Namun begitu, kita dibenarkan membuat persembahan SC dalam majlis yang berkaitan dengan pertunjukan seni bela diri. Tak ada penerangan yang boleh dibuat. Walau bagaimanapun, kita tetap meletakkan syarat pada senarai persembahan pada majlis tersebut. Sama ada membuat persembahan di permulaan atur cara majlis atau di akhir atur cara majlis berkenaan. Nampak semacam satu karenah yang kita syaratkan. Rupa-rupanya hal yang demikian adalah merupakan satu bentuk strategi bagi memberi ruang kepada penonton untuk berfikir bagi memahami konsep SC.

Ketika itu, semua hadirin akan memberi tumpuan pada persembahan silat. Kesempatan dan situasi yang demikian boleh menguntungkan kita dari segi persembahan silat. Mereka yang menonton SC boleh membuat penilaian dalam suasana yang wujud itu.

Kalau persembahan kita di awal acara, tentunya persembahan kita adalah merupakan satu kayu ukur kepada para penonton untuk membuat bandingan pada persembahan seni bela diri yang berikutnya. Kalau persembahan kita di akhir acara, bolehlah dijadikan sebagai satu kesimpulan buat para penonton betapa persembahan seni bela diri sebelumnya ‘terpukul’ dengan persembahan SC. Ada kesimpulan pada gerak. Itulah keputusan silat namanya. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 11/03/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: