RSS

58.15.0. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. Rupa Bentuk Proses Persembahan SC.

06 Mar

Setiap kali saya berpeluang menonton persembahan SC, ternampak hebatnya persembahan mereka. Sesuailah dengan tuntutan semasa yang managih persembahan mantap yang melambangkan kepantasan dan kecekapan pesilat SC. Saya tak banyak komen tentang corak persembahan sekarang. Apabila saya menggunakan istilah ‘corak’ bermakna rujukan saya adalah berdasarkan pada dua perkara. Pertamanya merujuk pada bentuk persembahan dan keduanya pada pengisian persembahan. Bentuk persembahan dan pengisian persembahan itulah yang mencorakkan persembahan sama ada hebat atau kurang hebat.

Namun begitu, sebagai pengamal SC yang telah bergiat begitu lama dalam persilatan SC sejak zaman Ustaz Hanafi, pasti sedikit sebanyak akan mendorong saya membuat perbandingan dari segi bentuk persembahan dan pengisiannya. Bukan sifat ingin menyatakan siapa yang lebih baik, melainkan hal yang demikian adalah merupakan sifat semula jadi manusia. Secara automatik, bandingan tersebut pasti berlaku. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya corak persembahan yang sedia ada sekarang adalah berasaskan corak persembahan dulu-dulu.

Masa telah berubah. Aspek kepimpinan juga turut berubah. Oleh itu tentunya corak persembahan atau pertunjukan SC juga turut berubah. Tentulah ada perbezaan dalam semua aspek persembahan. Pokoknya, wujud tuntutan perubahan atas sifat tuntutan semasa. Irama dan lagu zaman-zaman enam dan tujuh puluhan tentunya tak sama dengan irama dan lagu tahun-tahun yang ada sekarang.

Dalam tulisan ini, elok juga bagi pengamal SC yang ada, memahami proses perkembangan corak persembahan SC dari dulu hingga sekarang. Sekali lagi ingin saya tegaskan. Penulisan ini adalah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya bergiat sejak bersama Ustaz dulunya. Penulisan saya juga adalah berdasarkan suasana atau situasi yang ada pada masa dulu.

Mungkin ada persamaan atau perbezaan dalam corak persembahan dulu-dulu dengan yang ada sekarang. Sekadar perkongsian pengetahuan dan pengalaman bagi menambahkan kefahaman buat generasi baru yang ada tentang proses perkembangan SC.

Dulu-dulu, setiap kali membuat penerangan, kami selalu membuktikan bahawa SC adalah berbeza dengan kebiasaan silat-silat Melayu yang lain. “Silat Cekak bukanlah sejenis silat permainan seperti silat pulut atau silat pengantin, sebab itu tidak ada gendang dan tari menari dan melangkah ke kiri dan ke kanan”.

Itulah ayat-ayat yang mesti kami ungkapkan. Malah, ungkapan itu juga sering diucapkan Ustaz dalam majlis-majlis penerangannya tentang SC. Setiap kali kami membuat penerangan untuk mengambil penuntut baru atau untuk memperkenalkan SC dalam majlis-majlis tertentu, ayat-ayat itu semacam ‘wajib’ dinyatakan. Tak ‘sah’ penerangan tanpa ungkapan ayat itu.

Penerangan tentang SC, akhirnya menjurus kepada satu kesimpulan bahawa SC adalah merupakan silat Melayu yang luar dari kebiasaan persilatan Melayu yang ada. Ada empat perkara yang kita tekankan dalam ungkapan di atas. Itulah konsep SC yang ingin kita ketengahkan pada masyarakat umum.

Pertamanya, kita menegaskan bahawa SC bukanlah silat untuk pertunjukan di depan pengantin atau sebagai silat pulut yang memberatkan gerak tari berbentuk permainan. Itu sebabnya Ustaz tidak menggalakkan persembahan SC dalam majlis-majlis perkahwinan. Dalam majlis yang sedemikian, pemikiran penonton lebih kepada hiburan. Suasana suka-suka. Tak ada masa dan tidak ada ruang untuk mereka berfikir tentang kelebihan yang ada dalam SC. Malah, pengantin yang ada pun tak ada masa berfikir tentang persembahan SC di depan mata mereka. Betul juga. Lebih baik mereka berfikir tentang konsep ‘berkenot’ daripada memeras otak memikirkan konsep persilatan SC.

Keduanya, dalam SC tidak ada gendang. Konsep gendang adalah merujuk pada muzik yang dialunkan ketika pesilat SC membuat persembahan. Tidak kiralah bentuk muzik itu sama ada secara langsung melalui alat-alat muzik yang ada atau secara rakaman terlebih dahulu. Alat-alat muzik itu selalunya diistilahkan sebagai gendang silat. Biasanya pasukan gendang silat mengandungi dua gendang, satu serunai dan satu gong. Kalau silat Jawa, tak ada serunai. Nampaknya, sekarang ini pasukan gendang silat semakin kurang. Hal yang demikian telah menyebabkan ada juga persembahan mereka yang turut menggunakan keset yang merakamkan irama gendang silat tersebut terlebih dahulu.

Hal yang demikian tentunya berbeza dengan bentuk persembahan SC. Dalam majlis penerangan kita tentang SC, setelah dibuat penerangan, kita terus buktikan melalui persembahan silat. Penonton boleh berfikir dan mengaitkan persembahan tersebut dengan penerangan yang telah diberi terlebih dahulu. Begitu juga dalam majlis-majlis persembahan pelbagai seni bela diri. Apabila tiba giliran kita membuat persembahan, kita terus saja mengadakan persembahan. Suasana persembahan SC adalah dalam bentuk yang senyap. Usahkan gendang, iringan muzik dan lagu pun tak ada. Suara pesilat senyap sahaja. Sekali sekali mungkin ada bunyi suara ‘penjahat’ dalam adegan serangan beramai-ramai.

Konsep ketiga yang dapat kita ambil dari ungkapan di atas, dalam SC tidak ada tari menari. Maknanya kita tak ada bunga-bunga silat. Biasanya silat tari banyak tapaknya. Sekurang-kurangnya tapak empat. Ada yang menghubungkan tari sebagai pencak silat. Dalam konteks tafsiran pencak silat itu, gerak SC membawa makna bahawa SC tidak berpencak. Kedudukannya berdiri lurus sama ada menunggu serangan atau melakukan serangan. Sifat diam pengamal SC akan berubah kalau ada serangan lawan atau diri pengamal SC itu sendiri ingin memulakan serangan.

Itu sebabnya pergerakan SC bukan mudah ditiru-tiru. Tak boleh tiru pun. Pergerakan kita adalah bersistem. Bukan ikut suka-suka hati. Dalam persilatan Melayu ada jenis silat yang dinamakan sebagai ‘Silat Seru’. Habis gerak persilatan Melayu ditiru mereka. Adalah baca-bacanya. Ayat-ayat Al-Quran pulak tu. Pastinya ada jin yang terlibat sama. Walau bagaimanapun, apabila disuruh tiru gerak SC, Jin yang ada jadi ‘bingung’. Tak tahu nak buat apa. Mundar mandir ke sana sini. Tak tahu nak tiru apa. Oleh itu, macam-macam cara pesilat berkenaan ‘berseru’. Tak menjadi secara baca, dijampi pula pada air untuk diminum. Semuanya tak menjadi. Semuanya berpunca kerana kita tak ada gerak. Gerak tari dalam pengenalan Gerak Hanafi masih belum ada lagi. Saya menulis adalah berdasarkan pengalaman bersama mereka.

Pengamal SC akan bergerak atas tujuan mengatasi pihak lawan atau kerana hendak menang dalam ‘pergaduhan’. Tak kiralah dalam konsep dan prinsip menunggu atau menyerang. Kalau pengamal SC ‘malas’ nak bergaduh, mereka hanya berdiri diam. Suarapun diam. Tapi, diam-diam pengamal SC adalah diam berisi. Bukan sesaja diam. Ada makna dan ada strateginya.

Tapi, agaknya jin yang ada sekarang mungkin tak lagi akan hampakan tuannya kalau diseru. Ada idea pada mereka untuk memperlihatkan rupa bentuk SC.Ada gerak yang boleh ditiru. Hal yang demikian kerana sekarang ini SC telah mula bergerak dalam bentuk yang tersendiri. Telah ada tari silatnya. Ada yang kata bukan tari silat tapi Gerak Hanafi. No komen. Kalau ada para pembaca yang berpengalaman atau ada kawan dengan silat seru, suruhlah mereka buat seru untuk dapatkan gerak SC. Kalau mereka bergerak, lihatlah bentuk gerak yang ada itu. Tak boleh ulas panjang.

Berdasarkan ungkapan itu juga, prinsip keempat yang boleh kita ambil ialah SC tidak melangkah ke kiri dan ke kanan. Maknanya, SC tidak mengelak sebagai kaedahnya. Kaedah menanti serangan yang ada dalam SC adalah mantap. Memadai dengan empat kaedah yang ada. Namun begitu, kaedah yang empat itu dikuat pula dengan kaedah gelek. Kaedah gelek tersebut bukannya melarikan badan. Badan masih lagi berada di tempat yang sama. Seperti yang pernah saya tulis. Kalau ibarat badan umpama raja, mana boleh raja melarikan diri begitu saja. Ada pahlawannya yang sanggup membela. Itulah kedua tangan dan kedua kaki yang sangat setia.

Hal yang demikian membuktikan bahawa SC sememangnya sejenis silat yang luar biasa. Itulah juga salah satu prinsip yang membezakan SC dengan silat-silat Melayu yang lain. “Perbezaan antara silat biasa dengan silat yang luar biasa ialah keluarbiasaannya”. Sesungguhnya SC adalah sejenis silat yang sangat luar biasa.

Keempat-empat prinsip yang ada dalam ungkapan di atas, telah membentuk konsep SC pada tanggapan kita. Hal yang demikian menyebabkan pertunjukan SC bukanlah sesuatu yang dibuat sebagai pengisian hiburan kepada penonton, sebaliknya untuk menyebarkan kefahaman tentang gerak SC yang luar biasa kepada masyarakat. Kita menyediakan ruang supaya masyarakat kita boleh mewarisi SC yang luar biasa tersebut.

Walau bagaimanapun, bukan mudah persilatan SC dapat diterima mayarakat. “Benda baru’ pada mereka. Hal yang demikianlah menyebabkan para pendokong SC perlu bekerja keras untuk menyebarkan kefahaman tentang SC pada masyarakat kita. Bukan mudah. Banyak tentangan dan cabarannya. Namun begitu segala rintangan dan cabaran itu telah dapat diatasi. Cuma, pada masa sekarang timbul pula rintangan dan cabaran dari ‘dalam’. Dari ahli-ahli yang pernah berdamping erat dengan Ustaz. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 06/03/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: