RSS

58.14. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. Konsep Berkuda-Kuda.

04 Mar

Kita tetap mendakwa bahawa gerak yang ada dalam SC adalah berdasarkan gerak semula jadi. Sesuatu yang bertentangan dengan gerak tersebut maknanya gerak itu adalah gerak membangkang. Gerak membangkang itu kita kaitkan sebagai gerak sukan. Oleh itu, secara kesimpulannya, bolehlah kita anggap bahawa gerak membangkang itu bermaksud gerak yang bertentangan dengan pergerakan semula jadi manusia.

Pada zaman dahulu, perkataan membangkang adalah merupakan ‘musuh’ dalam konsep gerak SC. Semua pesilat SC dapat menerima konsep tersebut. Kita tak pernah langsung menghubungkan gerak yang ada dalam SC sebagai gerak membangkang. Semua ahli menerima kenyataan bahawa gerak membangkang itu bermakna gerak sukan. Itulah kesimpulan yang ada pada pemikiran setiap ahli persilatan SC ketika itu.

Namun begitu, kita mungkin terkeliru kerana gerak membangkang itu seolah-olah ada juga pada gerak semula jadi persilatan kita. Nampak macam ada. Berhati-hatilah. Bila nampak macam ada membangkang, jangan terus membuat kesimpulan bahawa gerak yang berkenaan dianggap sebagai membangkang. Hal yang demikian boleh menjadikan kita langsung tak dapat memahami konsep membangkang dalam gerak persilatan.

Oleh itu, wujudkan pegangan dan kefahaman. Selagi gerak itu tidak memerlukan kekuatan dan bukannya dibuat-buat, maka gerak sedemikian tetap dianggap gerak seni. Bukannya gerak membangkang. Walaupun nampak macam membangkang. Nampak sahaja.

Seperti yang saya tegaskan terdahulu, gerak membangkang adalah merupakan gerak yang menggunakan kekuatan. Kalau dah bertentangan dengan gerak semula jadi maknanya gerak kita adalah gerak yang dibuat-buat. Sesuatu yang dibuat-buat akan menyebabkan keperluan menggunakan tenaga atau kekuatan. Kalau buat buah menggunakan kaedah membangkang bermakna pesilat itu perlu menggunakan kekuatan dan dianggap gerak sukan.

Jadikan persoalan pada diri sendiri. Ketika mengambil buah Lintau misalnya, adakah Jurulatih memerlukan kekuatan untuk menolak serangan tangan. Hinggakan, kaedah tepisan dikaitkan dengan kaedah membangkang. Kalau jawapannya ‘ya’, sahlah betapa Jurulatih berkenaan perlu dibengkelkan bagi menyepuh kefahaman gerak yang ada pada dirinya.

Jurulatih juga perlu berhati-hati ketika menjelaskan maksud kuda-kuda. Kita selalu menegaskan bahawa SC tidak berkuda-kuda. Sudah tentulah penerangan kita tentang konsep berkuda-kuda itu adalah bandingan dengan persilatan Melayu yang lain. Kebanyakan persilatan Melayu yang ada adalah menggunakan kuda-kuda. Kalau kita biasa melihat silat Melayu yang berkuda-kuda, tentu kita faham akan maksud berkuda-kuda itu. Prinsip berkuda-kuda akan menjelaskan pergerakan mereka. Lagi ke bawah, maka lagi hebat kuda-kudanya.

Sebagai seorang Jurulatih, elok juga memahami maksud kuda-kuda dalam persilatan Melayu. Kalau sudah memahaminya maka akan menyenangkan kita untuk membuat penerangan tentang konsep kuda-kuda dalam fahaman pesilat Silat Cekak. Kefahaman yang ada asas. Kalau kurang memahami konsep kuda-kuda, sesuatu yang bengkok di bahagian kaki, mungkin akan terus dianggap sebagai kuda-kuda. Hal yang demikian boleh mempengaruhi gerak persilatan penuntut dalam pelajaran SC.

Dalam persilatan Melayu, kedudukan kuda-kuda adalah merupakan satu perbuatan yang menunjukkan sikap bersiap sedia. Dalam situasi itu, wujud ketentuan kedudukan tubuh dan kaki yang bersedia menerima serangan lawan. Maknanya, sifat kaki, tangan dan badan perlu diubah dalam bentuk yang lain. Kaki kena dibengkokkan. Lagi bawah maka lagi baik. Tangan pula perlu beraksi dengan sesuatu gerak. Gerak tangan itu boleh juga membawa maksud ‘mengumpan’. Ada yang terketar-ketar tangannya. Sengaja dibuat sedemikian sebagai maksud penggerun. Badan pula perlu ditegapkan dengan kekuatan dan tenaga. Dada dikembang dan dikeraskan macam dada burung. Bentuk yang dibuat-buat.

Jelas pada kesimpulan fahaman kita bahawa kedudukan berkuda-kuda itu adalah merujuk pada perbuatan yang dibuat-buat. Bukannya perbuatan semula jadi atas sifat sebagai manusia. Selalu saya tegaskan betapa pergerakan atau perbuatan yang dibuat-buat itu adalah terlarang, malah tidak ada dalam isi pelajaran SC. Menyanggah pergerakan semula jadi. Gerak yang dibuat-buat. Kena guna tenaga untuk maksud keseimbangan badan. Bukannya gerak halus yang berseni lagi. Bukan senang untuk berkuda-kuda. Kekuatan kaki perlu ada. Otot peha kena kuat. Badan mesti berada dalam keadaan bertenaga sepenuhnya.

Ustaz pernah mengiaskan sifat berkuda-kuda itu dengan rotan yang bengkok. Pencari rotan akan sentiasa mencari rotan yang lurus, berbanding dengan rotan yang bengkok. Hal yang demikian kerana rotan yang lurus akan mudah dibentuk dalam sebarang bentuk yang dikehendaki. Tentunya hal yang demikian berbeza dengan rotan yang bengkok. Dengan tegasnya kita mengatakan bahawa rotan yang bengkok hanya sesuai dijadikan ‘kayu api’ sahaja. Itulah satu bentuk penerangan yang menyakinkan walaupun pada sesetengah orang, penerangan yang sedemikian diangap sebagai membesar diri atau membangga diri.

Kiasan Ustaz itu meyakinkan para pengamal SC betapa konsep berdiri lurus tersangat banyak faedahnya. Berdiri lurus adalah merupakan perbuatan semula jadi manusia. Sifat berdiri lurus adalah berdiri normal manusia. Bukannya perbuatan yang dibuat-buat. Kita akan sentiasa berada dalam situasi yang sentiasa bersiap sedia. Orang lain tidak nampak akan sifat siap sedia tersebut. Nampak selamba sahaja. Itulah sifat semula jadi kita.

Sifat berdiri lurus juga adalah bersifat kemudahlenturan dalam pergerakan gerak semula jadi manusia. Orang lain tidak tahu akan tindak balas kita. Kaki dan tangan boleh ‘hidup’, terutamanya ketika kita menunggu serangan lawan. Sifat berdiri lurus juga bukannya bergerak secara dipaksa atau dibuat-buat. Satu bentuk kefahaman yang jitu dalam pengamalan persilatan SC. Badan tak terasa penat pun. Nafas boleh berjalan seperti biasa. Tak payah teran-teran kekuatan.

Namun begitu, terdapat sifat semula jadi manusia yang terbengkok kaki ketika berdiri atau bergerak. Di sinilah kita harus faham konsep berkuda-kuda atas sifat dibuat-buat atau berkuda-kuda atas sifat semula jadi manusia. Dalam persilatan SC, jangan mudah kita membuat kesimpulan atas gerak yang sedemikian dalam konteks persilatan kita. Nampak saja kaki bengkok sikit, terus dicap berkuda-kuda. Terus dilarang penuntut berkenaan dari sifat gerak berkenaan. Alangkah malangnya arahan sedemikian. Penuntut boleh terkeliru akibat arahan yang tiada asas dalam budaya persilatan SC.

Ada dalam kalangan Jurulatih yang menentang keras pergerakan yang menampakkan kaki yang bengkok ketika membuat buah. Dikatakan bahawa gerak sedemikian adalah pergerakan berkuda-kuda. Pada hal, pergerakan itu adalah merupakan pergerakan semula jadinya. Bayangkan pergerakan pesilat kita yang tidak boleh langsung membengkokkan kaki ketika membuat jatuhan. Geraknya umpama robot. Sungguh menyeksakan.

Itulah akibatnya jika kita kurang pengalaman atau kurang pengetahuan tentang prinsip yang ada pada setiap buah SC. Penerangan kita hanya berbentuk sehala tanpa merujuk sifat semula jadi yang ada pada pergerakan manusia. “Lurus bendul’.

Saya tak pernah lihat gerak robot penuntut SC yang tersangat sensitif dengan sifat kuda-kuda. Tapi ada juga dalam kalangan penuntut yang bercerita. Apabila kaki pesilat bengkok sikitpun, terus dikatakan kuda-kuda. Saya cuba membuat gambaran tatkala mereka mengambil buah tanpa kaki bersifat kemudahlenturan.

Bayangkan saja buah Pertama. “Kaki kiri pesilat tetap tegak umpama tiang. Kaki kanan terpaksa lurus. Oleh itu, punggung pesilat terpaksa dijungkitkan bagi meluruskan kaki kanan. Setelah dibuat jatuhan, pesilat akan mara dengan kaki terus tegak umpama tiang. Setelah lawan jatuh telentang, pesilat yang berminat membuat tumbukan akan tetap menumbuk, tapi kaki tetap tegak.” Begitulah gambaran saya pada pesilat yang dilarang membengkokkan kaki. Takut dianggap menggunakan kuda-kuda. Sungguh meyeksakan penuntut.

Kadang-kadang saya bayangkan juga dengan buah-buah yang lain. Macam mana agaknya jatuhan Kuntau Kiri dalam keadaan dilarang bengkok kaki. Begitu juga dengan buah-buah yang lainnya. Tapi, saya yakin mereka ada jawapannya. Pastinya mereka akan mengatakan, “Adalah kekecualiannya.” Cerdik.

Biasanya, penggunaan kuda-kuda ketika menunggu serangan sangat popular dalam pesilatan Melayu yang lain. Ada juga elatnya mereka berbuat demikian. Sebagai pengamal SC, kita ada sistem untuk mengatasi sifat sedemikian.

Saya sertakan sekeping gambar yang menjelaskan maksud kuda-kuda. Bukan setakat tumbukan mereka berkuda-kuda, buah-buah yang diambil pun tetap berkuda-kuda. Pada pengamal SC, jika lawan kita membauat buah yang sedemikian, alangkah ‘sedap’nya kita melepaskan tumbukan. Buah yang cantik akan menjadi tak cantik jika ‘peluru berpandu’ yang kita lepaskan. Sekian untuk tajuk ini.

20130304-051250.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 04/03/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: