RSS

58.13. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. Memahami Gelaran Buah Dalam SC.

28 Feb

Dalam tulisan lalu, saya telah membincangkan tentang nama-nama buah SC yang didakwa ada perkaitan dengan pesilatan Melayu lain. Kesimpulannya, tidak timbul pun sifat cedok-mencedok. Kewujudan persatuan-persatuan silat yang pelbagai, telah menyebabkan persoalan ‘mencedok’ itu timbul. Lebih-lebih lagi apabila gelaran persatuan silat itu berkaitan dengan nama-nama buah yang ada pada kita.

Kadang-kadang saya terfikir juga. Dari segi budaya berpakaian, nasib baiklah tak ada ‘persatuan baju kurung’ atau ‘persatuan baju kebaya’. Kalau ada, pasti timbul persoalan apabila bukan ahlinya memakai pakaian baju kurung atau kebaya. Pasti akan dikatakan meniru ‘pusaka’ persatuan mereka. Pada hal, jenis baju tersebut adalah ciptaan masyarakat Melayu.

Satu lagi persoalan yang sering ditimbulkan dalam kalangan ahli ialah nama-nama buah yang ada dalam SC. Bukan asal usul buahnya, tapi pengertian atau tafsiran pada namanya. Dalam tulisan ini, saya cuba membincangkan persoalan tersebut berdasarkan pengalaman masa silam saya ketika berbicara sebagai seorang Jurulatih.

Nama-nama buah yang jelas namanya, tidak ada persoalan. Misalnya, nama-nama seperti Gayung Patani, Sendeng, Lintau, Terlak, Pasung Kemanga, Harimau dan Kuntau. Nama-nama buah itu adalah biasa penggunaannya dalam persilatan Melayu dan sering diguna pakai. Ada asal usul penggunaannya. Hal yang demikian tidaklah menarik minat para penuntut untuk bertanyakan soalan.

Begitu juga pada nama-nama buah yang boleh dihubungkan dengan perkara umum dalam bahasa pertuturan kita. Perkataan-perkataan kilas, paras, kidung, hempuk dan selendang mungkin tak ada persoalan. Biasa juga didengar. Penuntut juga boleh menghubungkan nama-nama tersebut dengan gerak buah SC yang sedia ada. Mempunyai asas ketika membuat tafsiran.

Persoalan yang pernah saya dengar ialah Gari dan Ali. Istilah gari pada buah Gari dan istilah ali pada buah Ali Patah Atas dan Ali Patah Sudah. Kedua-dua istilah itu boleh menimbulkan persoalan dan perasaan ingin tahu yang mendalam dalam kalangan segelintir penuntut. Walaupun keperluan pengetahuan mengenai nama-nama buah tersebut bukannya mendesak, akan tetapi sedikit sebanyak keinginan mengetahuinya akan menganggu proses mereka menimba ilmu pengetahuan SC. Elok juga dilayan persoalan mereka itu supaya fikiran mereka berada dalam suasana yang ‘tenang’.

Dalam hal ini, Jurulatih perlu berilmu dan perlu sangat berhati-hati kalau ingin berbincang. Jangan buat penerangan atau membuat kesimpulan kalau tak ada ilmu. Kalaupun ingin memberi penjelasan, perlu ada sandaran. Sandarannya mesti dari pandangan Guru Utama. Kalau tidak ada, buatlah penjelasan secara ilmiah. Sekurang-kurangnya, rujuklah pada kamus yang ada. Ada sandarannya. Bukan memberi makna atau membuat kesimpulan secara mudah melainkan sebagai maksud menggalakkan perbincangan.

Misalnya, perkataan atau istilah gari dalam buah Gari. Dalam bahasa kita, gari membawa dua makna. Makna pertama merujuk pada sepasang gelang daripada logam untuk membelenggu pergelangan tangan. Makna kedua adalah merujuk pada pandangan mata yang masih jelas dan nyata walaupun telah berumur. Kalau sengaja difikir-fikirkan, tidak mungkin zaman dulu-dulu pahlawan-pahlawan kita menggunakan gari menangkap penjenayah macam yang ada sekarang. Susah pada akal untuk menerima perbuatan sedemikian.

Buatlah perbincangan kalau ada yang bertanya. Tapi jangan sesekali membuat pendirian. Hal yang demikian disebabkan kesimpulan kita itu adalah berdasarkan andaian. Tidak ada kata putus. Walau bagaimanapun, tegaskan pada penuntut kita. Perkara pentingnya ialah ketepatan, ketangkasan dan kebenaran membuat buah. Tak ada tambah-tambah pada mana-mana gerak ikut suka-suka hati.

Istilah ‘Ali’ dalam buah Ali Patah Sudah dan Ali Patah Atas turut mencetuskan perasaan ingin tahu dalam kalangan penuntut. Ramai penuntut ingin mengetahui makna ‘ali’ tersebut. Keinginan itu sama ada dilahirkan atau dipendam begitu saja. Mungkin ada masanya Jurulatih sendiri menjelaskan maksud ali itu.

Pada pendapat saya, para Jurulatih juga perlu berhati-hati ketika memberi penjelasan mengenai makna perkataan pada buah berkenaan. Masa saya belajar dulu, Ustaz tidak pernah menyentuh akan persoalan nama pada buah itu. Kami pun tidak berminat bertanya. Seperti yang dinyatakan, kami lebih suka menerima buah-buah yang sedia ada daripada berbahas tentang asal usulnya. Walau bagaimanapun, saya tidak nafikan betapa ada juga hasrat saya ingin mengetahui tentang maksud ali itu. Namun begitu hanya disimpan dalam hati, hinggalah tamat silat.

Ketika mengajar silat, saya cuba elakkan daripada bercakap tentang makna perkataan yang ada pada nama-nama buah jatuhan. Penekanan saya ialah penguasaan buah daripada penguasaan makna namanya. Nama buah telah ada. Maka terimalah nama buah seadanya. Namun begitu, ada juga yang bertanya.

Dalam hal ini, terdapat juga para Jurulatih yang menghubungkan ali dengan nama Khalifah empat. Kalau betul, tentunya nama-nama kalifah yang lain ada dalam senarai nama buah SC. Tak ada pun. Begitu juga jika kita ingin menghubungkan istilah ali pada nama pahlawan atau pejuang yang hebat bagi menegakkan agama, susah juga nak diterima. Nama Khalid ibnu Walid juga sangat hebat. Tak ada nama buah Khalid pun pada buah-buah kita. Cuma, mungkin ada gerak khalid dalam SC yang juga merupakan salah seorang pakar pelarasan SC. Orang kanan Guru Wawasan.

Kalau dirujuk kamus, istilah ali bukannya nama khas. Istilah tersebut merujuk pada makna tinggi. Tentulah konsep tinggi itu adalah berkaitan dengan sifat dan pelakuan manusia. Saya cuba menghubungkan makna konsep tinggi dalam konsep persilatan kita.

Kebanyakan pergerakan silat Melayu adalah secara berkuda-kuda. Gerak kuda-kuda dalam persilatan Melayu, biasanya menjadikan kedudukan mereka tinggi , sederhana atau rendah. Ada silat yang menggunakan istilah ‘main atas’, ‘setengah tiang’ atau ‘main bawah’. Kuda-kuda yang kurang ‘bengkok’, menyebabkan kedudukan mereka tinggi. Manakala kuda-kuda yang rendah menyebabkan pergerakan mereka adalah juga rendah. Lagi rendah kedudukan badan, dikatakan lebih baik. Pergerakan yang merendahkan badan dianggap sebagai pergerakan bawah. Ada juga dalam kalangan pesilat yang menggelarnya sebagai ‘main bawah’. Buah-buah pemakannya lebih banyak bersifat bawah. Gambar yang tertera di bawah dapat menggambarkan pergerakan kuda-kuda sedemikian. Kuda-kuda setengah tiang; main tengah dan kuda-kuda membawah; main bawah.

Teringat saya pada majlis penamat kelas saya dulunya. Ada seorang penuntut yang ‘mencuba’ Ustaz ketika tamat. Pembawaan silatnya ialah Kuntau Jawa. Penuntut itupun orang Jawa. Ketika mencuba, geraknya ialah gerak yang tersangat rendah. Pertama kali saya tengok. Hebat. Ketika itu silat yang merayap di bawah, dianggap tersangat hebat. Dikatakan bahawa pergerakan sedemikian amat sukar dipintas. Tapi tak hebat apabila mencuba dengan pengamal Silat cekak.

Pergerakan berkuda-kuda tidak ada dalam SC kerana kita tidak berkuda-kuda. Oleh itu gerak bawah tak timbul dalam pelajaran kita. Walau bagaimanapun, buah-buah jatuhan kita meliputi tiga serangan di bahagian badan. Atas, tengah dan bawah. Kita boleh buat pembahagian buah-buah yang ada dalam SC, berdasarkan senarai buah jatuh yang kita ada. Misalnya, Kilas Depan, Terlak dan Lintau adalah habuan serangan bahagian bawah. Manakala buah Hempok adalah habuan serangan di bahagian atas. Kebanyakan buah-buah kita adalah untuk menghadapi serangan lawan di bahagian tengah.

Walau bagaimanapun, prinsip pukulan pada buah-buah berkenaan adalah pada sasaran di bahagian tengah atau di bahagian atas. Kita tak pukul bahagian bawah. Kalau pukulan di bahagian bawah, alamat retak anunya. Tersangat besar padahnya.

Kalau dilihat sifat buah-buah Ali Patah Atas dan Ali Patah Sudah, memang jelas pukulan dan tangkapannya adalah di bahagian atas. Berdasarkan sifat yang berkenaan, secara kesimpulannya pada saya, perkataan ‘ali’ pada buah Ali Patah Atas dan Ali Patah Sudah adalah merujuk pada sifat buah berkenaan yang mengutamakan gerakan di bahagian atas atau bahagian yang tinggi. Sama ada pukulannya atau tangkapannya. Bukan di bahagian bawah. Sesuailah maksud ali kalau dirujuk pukulan dan tangkapannya adalah di bahagian atas. Bahagian atas adalah merujuk bahagian tinggi.

Saya tidak mahu mengupas panjang lebar tentang nama-nama buah Ali Patah Atas, Ali Patah Sudah dan buah Gari. Hal yang demikian adalah lebih banyak bersifat tafsiran. Ustaz tak pernah bercakap mengenainya secara khusus pada saya. Saya pun tak pernah bertanya. Pengetahuan saya tentang istilah adalah terhad. Perbincangan akan lebih banyak menjurus pada pendapat atau pandangan sendiri. Walau bagaimanapun, keutamaan saya ialah melakukan buah jatuhan tersebut dengan kemas, tepat dan teratur.

Oleh itu, elok sangatlah para Jurulatih mengelak diri dari membuat kesimpulan tentang istilah yang kurang ada pembuktian dan penjelasan. Memadailah menimbulkan persoalan untuk maksud perbincangan. Hal yang demikian boleh juga membuka minda anak didik kita. Itupun jika ada yang bertanya. Bukannya bertengkar bagi maksud menegakkan pendapat, cuma berbincang bagi menggalakkan budaya berfikir dalam kalangan pesilat. Sekian tajuk ini.

20130228-054117.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 28/02/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: