RSS

58.12.3. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. Gerak Tumit Atau Hujung Kaki.

25 Feb

Kesimpulan saya adalah jelas. Kaedah gelek dan penggunaan hujung kaki adalah sangat berperanan besar dalam pelajaran SC. Sama besar dengan kaedah yang empat. Ada latihan khas untuk memantapkan penggunaan kedua-dua prinsip gerak tersebut. Gerak gelek badan dan gerak hujung kaki.

Oleh sebab itulah saya berkeyakinan bahawa penggunaan kedua-dua prinsip gerak itu adalah tersangat meluas dalam sistem pelajaran SC. Penekanan pada latihannya juga sangat diberi perhatian. Saya tidak pasti sama ada perbincangan saya tentang bentuk latihan kaki dapat difahami oleh para pembaca. Walau bagaimanapun, bentuk latihan yang sedemikian adalah merupakan satu keperluan dalam kelas-kelas kemahiran yang dianjurkan Ustaz. Saya telah teruskan latihan sedemikian di cawangan saya.

Perlu saya tegaskan sekali lagi. Perbincangan saya tentang sama ada menggunakan hujung kaki atau tumit kaki adalah berdasarkan pada gerak gelek Gayung Patani sahaja. Kaedah buah itu saja yang menjadi persoalan. Dulu, buah-buah lain tidak mendatangkan sebarang perbahasan. Ketika itu gerak gelek buah-buah lain iitu, masih sepakat menggunakan hujung kaki. Fahaman gelek dan penggunaan hujung kaki masih mantap. Tak ada prinsip ikut suka-suka hati.

Tapi, kalaulah sekarang ini semua buah gelek dikatakan menggunakan tumit kaki, lagi parahlah untuk membuktikan perbuatan sedemikian tidak benar dan tidak tepat. Tersangat salah pada prinsip, konsep dan falsafah SC. Akan banyak sangat alasan yang perlu dicari untuk membuktikan penafian gerak yang sedemikian. Itulah kefahaman dan pegangan saya yang diasaskan Ustaz. Kefahaman gerak gelek tetap atas hujung kaki. Saya tak boleh komen banyak kerana setakat mendapat berita. Tak pernah tengok.

Ada juga satu pendapat baru yang mengatakan bahawa gerak sebenar kaki adalah tapak kaki. Bukan hujung kaki dan bukan tumit. Jalan tengah agaknya. Fahaman baru oleh generasi baru. Alasannya juga adalah berdasarkan gerak semula jadi manusia. Pada saya, itulah pendapat baru yang bersandarkan fikiran sendiri dan kepala angin sendiri. Tidak bersandar pada falsafah SC.

Orang yang suka menggunakan tapak kaki, akan mengundang perubahan tempat pada kedudukan kaki apabila mengambil buah. Maka jadilah geraknya sebagai tapak tiga. Gerak mengelak. Gerak yang sedemikian langsung tak sesuai dengan gerak Silat Cekak. Tapak kita ialah tapak dua. Tapak yang tidak mengelak. Itulah kata-kata Ustaz pada saya ketika berbincang tentang tapak SC.

Teringat saya teguran Ustaz pada salah seorang anak didik silat saya. Kebetulan Ustaz turun ke kelas. Semasa membuat buah Kidung Kiri, anak didik saya itu menghadapi masalah. Kakinya selalu berubah. Mengubah kedudukan kaki ketika gerak gelek dilakukan. Puncanya pada pemerhatian saya, gelek yang dilakukan adalah berdasarkan tapak kaki. “Jenuh membetulkannya”.

Jelas menampakkan bahawa gelek secara tapak kaki akan wujud kecenderongan mengubah tempat kedudukan asal kaki. Hal yang demikian tidak berkait langsung dengan sistem pelajaran SC. “Gelek pakai hujung kaki”. Kedengaran suara Ustaz memberi arahan sambil tangannya memegang ranting kayu. Ustaz memerhatikan gerak kaki penuntut berkenaan. Sekali saja arahan diberi. Betul pulak jadinya.

Dalam bidang pelajaran SC, penggunaan tumit kaki tidaklah ternafi langsung. Ada juga gunanya. Terutamanya untuk tujuan kebahagian, bukannya kependekaran. Mereka yang ada ilmu PK tentulah mengetahui akan peranan tumit kaki. ‘Petua Kekerasan’. Sangat berkesan untuk mengurut pasangan kaki sendiri. Gunakan tumit kaki kanan untuk mengurut bahagian tertentu pada kaki kiri. Begitulah sebaliknya. Urutan tersebut akan membantu kelancaran darah hingga ke anu. Buat tiap-tiap hari. Tengok kesannya dalam tempoh empat puluh hari. Jangan dibiar lama. Menyinga.

Kata orang dulu-dulu, untuk melihat keayuan dan kedaraan gadis, lihatlah tumit kakinya. Ada petuanya. Tak payah tengok rupa. Tumit kaki akan boleh melambangkan rupa paras dan ‘keistimewaannya’. Saya difahamkan hal yang demikian adalah merupakan satu pandangan hidup. Bila pandang baru ‘hidup’. Ada juga gunanya tumit kaki.

Tumit juga boleh dijadikan tempat asahan. Batu pengasah. Sangat mujarab. Buat tiap-tiap hari. Jangan kurang daripada empat puluh hari. Boleh kontrol. Pasti bertambah ‘tajam’. Tawar ilmu kebal. Tak mudah kecundang. Bertindak garang. Macam ular tedung.

Nampaknya, masih ada peranan tumit kaki dalam ilmu sampingan SC. Tapi, jangan silap faham. Untuk mengurut pasangan kita secara guna kaki, jangan pulak guna tumit kaki. Gelojoh. Tak dapat rasa nikmat apa pun. Sensitifnya kurang. Gunalah hujung kaki. Lebih berseni. Bersopan dan dapat merasai dan menikmati ‘keindahan’ alam semula jadi. Semua kawasan mudah pergi. Jari hantu di kaki akan lebih berhantu. Kata orang tua-tua, itulah mainan hidup. Main dulu baru ‘hidup’.

Orang yang suka aktiviti mendaki bukit tinggi tentu sedar akan peranan tumit kaki. Ketika menuruni bukit, tumit kaki akan berperanan sebagai brek. Boleh buat jadi laju dan boleh buat jadi perlahan. Kalau pakai hujung kaki, semacam nak maju terus ke depan. Menyondol atau sondol ke depan. Macam tumbuk lajak. Bahaya. Burukpun rupa bentuk geraknya. Gerak menyondol.

Tapi kalau turun dari ‘bukit rendah atau bukit kecik’, peranan hujung kaki pula lebih bermakna. Geraknya senyap. Tidak mengganggu pasangan. Dapat menyerap berat badan sendiri. Tidak banyak menggunakan tenaga dan kekuatan diri yang semakin kurang. Berkurangan tenaga kerana baru saja digunakan.

Oleh itu, berdasarkan perbincangan di atas, saya tetap mempertahankan penggunaan hujung kaki sebagai gerak yang bertepatan dengan falsafah Silat Cekak. Itulah gerak semula jadi manusia. Gerak halus iaitu gerak berseni yang menjadi konsep dan falsafah SC. Itulah gerak yang tidak membangkang. Silat Cekak adalah juga berdasarkan gerak semula jadi manusia. Jenis gerak seni yang membawa maksud, ‘Pergerakan menurut, bukannya membangkang’. Itulah juga salah satu falsafah persilatan kita.

Saya jarang sangat menyentuh tajuk ini secara khusus. Kefahaman saya setakat disebarkan dalam kalangan anak didik saya. Falsafah saya pada SC adalah jelas. “Apa yang diterima maka itulah yang sepatutnya diluahkan.” Maknanya, kita perlu memberi balik pengetahuan yang diperoleh dari Ustaz pada anak didik kita. Tak tambah dan tak kurang. Cuma, kita perlu sesuaikan pelajaran tersebut pada peringkat-peringkat pembelajaran.

Sepanjang saya menjadi Jurulatih, tidak ada pembetulan yang dibuat guru pada saya, selain pelarasan akhir yang saya sertai. Kalau pelarasan dilakukan atas kehendak orang kanan, kena fikir banyak kali. Pastinya pelarasan tersebut berdasarkan kebolehan dan pengetahuan diri mereka sendiri. Banyak ruginya kalau tak berhati-hati. Itupun kalau ingin miliki Pusaka Hanafi. Sekian tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 25/02/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: