RSS

58.12.2.PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. Gerak Tumit Atau Hujung Kaki.

21 Feb

Kita yakin bahawa gerak yang ada dalam SC adalah berdasarkan gerak semula jadi. Tak perlu tambah kekuatan fizikal. Kekuatan yang diperlukan hanyalah kekuatan semula jadi yang sedia ada. Itulah gerak seni namanya. Suatu gerak bela diri yang halus dan bermutu untuk menjaga diri. Sesuatu yang bertentangan dengan gerak tersebut maknanya gerak itu adalah gerak yang dibuat-buat. Kena tambah kekuatan dan kena tambah tenaga atau stemina.

Kadang kala gerak yang dibuat-buat itu juga dikenali sebagai gerak membangkang atau gerak sukan. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang lalu. Apa yang dibangkang. Dalam hal ini membangkang membawa maksud menyanggah gerak perbuatan kita iaitu gerak yang bertentangan dengan pergerakan semula jadi manusia. Itulah namanya gerak yang dibuat-buat. Gerak yang tidak normal.

Cuba kita ambil beberapa contoh yang memperlihatkan sifat semula jadi manusia yang berkaitan dengan kaki. Orang yang ingin memulakan perbuatan berjalan, memerlukan hujung kaki sebagai ‘mukadimahnya’. Malah, jika kaki kanan yang mula melangkah, langkahan itu mesti bermula pada hujung kaki sebelum bertapak. Kaki kiri yang ikut melangkah seterusnya, akan meneruskan langkahan bermula pada hujung kaki. Tak boleh tumit kaki. Bayangkan jika permulaan langkah bermula dengan tumit kaki pada kedua-dua kaki. Perbuatan yang dibuat-buat. Kalau kaki kiri yang berikutnya memulakan langkah atas tumit kaki, urat betis kaki itu akan menjadi cekang. Tidak ada keseimbangan badan. Jalan pun tak berseni. Tidak ada penjajaran. ‘Alignment’ boleh lari. Gelong.

Petua yang Ustaz turunkan mengenai ‘Bumi Selamat’ atau ‘Langkah Selamat’, tetap menggunakan hujung kaki sebagai pemulaan langkah. Letak dulu hujung kaki, baru bertapak. Maknanya, kalau nak selamat, mulakan langkah dengan menggunakan hujung kaki. Sebabnya, langkahan yang sedemikian adalah merupakan langkah semula jadi manusia. Gerak asal manusia. Orang lainpun tak perasan cara kita berbuat demikian. Itulah gerak semula jadi sifatnya.

Secara kiasan berdasarkan petua, kalau menyimpang dari gerak asal petua iaitu jika memulakan jalan secara menggunakan tumit kaki, maknanya ‘tak selamat’. Petua tak menjadi. Kalau dihubungkan dengan silat, kalau nak selamat, setiap perbuatan gelek perlulah menggunakan hujung kaki. Kalau guna tumit kaki, alamat ‘tak selamat’.

Begitu juga dalam acara lari yang saya saksikan dalam pertandingan sukan. Saya dapat lihat betapa pelari yang ada, tetap menggunakan hujung kaki untuk memulakan larian. Tak pernah lihat pun ada pelari yang memulakan larian dengan menggunakan tumit kaki. Cuma ada sekali dalam sukan OKU yang saya hadir di TR, menampakkan penggunaan tumit kaki ketika mereka memulakan larian. Tapi tak habis lariannya. Maklumlah orang OKU. Boleh buat suka-suka hati. Itulah sifat semula jadinya. Orang yang lihat pun jadi hati suka-suka. Bukan suka-suka hati.

Maknanya, penggunaan hujung kaki adalah merupakan gerak semula jadi manusia untuk tujuan melangkah. Kalau menyanggah gerak semula jadi itu, maka kita katakan gerak itu sebagai gerak membangkang. Menyanggah pergerakan semula jadi. Gerak yang dibuat-buat. Maknanya juga pada saya, mereka yang menggunakan gerak tumit untuk tujuan melangkah maka saya tafsirkan gerak itu sebagai gerak menyanggah atau gerak membangkang. Gerak yang dibuat-buat. Kena guna tenaga untuk maksud keseimbangan badan. Bukannya gerak halus yang berseni lagi.

Kalau kita menghalusi gerak-gerak buah jatuh SC, pergerakan melangkah masuk, semuanya bermula dengan hujung kaki. Setelah hujung kaki mencecah tempat yang dihajati, barulah kaki bertapak dan membuat tindakan jatuhan. Semuanya berlaku dalam kiraan saat dan ketika. Kalau gerak masuk menggunakan tumit kaki, maka gerak itu adalah gerak yang tidak berseni. Gerak kasar. Hilang halusnya. Badan terpaksa bengkok ke belakang. Kena melentik. Urat di bahagian pinggul akan menjadi tegang. Boleh sekat peredaran darah. Bahaya pun kerana boleh melemahkan ‘tenaga dalaman’ lelaki jika dibuat selalu. Nangis tak berlagu. Rugi besar.

Saya pernah menegaskan betapa peranan hujung kaki adalah salah satu keistimewaan gerak dalam konsep menunggu serangan dengan menggunakan Kaedah Gelek. Penggunaan hujung kaki amat berkesan bagi ‘melarikan’ badan dari tumbukan lawan. Kalau ditafsirkan ‘tumbukan bodoh’, tumbukan itu akan tersasar dalam jarak yang tersangat rapat dengan badan. Tak perlu dibantu dengan apa-apa kaedah tepisan. Sungguh mantap dan halus pergerakannya.

Kadang-kadang saya terbayang pada penganut gerak tumit. Cubalah gelek menggunakan tumit tanpa dibantu kaedah yang ada ketika pasangan kita melakukan tumbukan. Tak kiralah gelek masuk atau gelek belakang. Pasti badan akan ‘cenderung’ ke dalam. Tersangat sukar menafikan tumbukan lawan. Mesti kena penumbuk di badan. Syaratnya ialah mesti tumbuk biasa. Jangan pulak buat tumbukan layang. Kalau buat tumbukan layang, tak buat apa-apapun pasti tumbukan tak kena. Bukan ‘tumbuk bodoh’ tapi ‘tumbukan auta’.

Kesimpulannya, penggunaan tumit itu sangat sesuai dengan tumbukan layang. Tetap tak kena sasaran badan. Berpakat dalam tindakan. Itulah gerak yang dibuat-buat namanya. Jangan benarkan anak didik kita bersifat demikian. Dalam jangka masa panjang, tumbukan yang sedemikian akan memupuk keyakinan yang tidak ada asas. Amat merugikan para penuntut yang berbuat demikian.

Semasa saya menjadi Jurulatih di pusat, Ustaz mengadakan latihan kemahiran untuk para jurulatih setiap minggu. Latihan diadakan setiap malam Jumaat. Sebelum memulakan latihan buah, ada gerak-gerak yang perlu dilakukan. Bentuk riadah. Senaman muda. Tak pernah pakai senaman tua.

Salah satu daripada gerak tersebut ialah berlari setempat atas hujung kaki secara berjengket. Sambil itu kami dikehendaki menggeleng-gelengkan kepala sekuat mungkin. Jari berperanan mengurut tulang rusuk pada kedua-dua bahagian rusuk badan. Saya rasa, mungkin pelajaran ini kurang dibuat dalam kalangan Jurulatih sekarang ini agaknya. Kelas kemahiran lebih tertumpu pada latihan latih tubi untuk maksud kemahiran diri.

Ustaz menerangkan bahawa perbuatan menggelengkan kepala boleh menghindari rasa pening yang sering melanda kita. Perbuatan mengurut tulang rusuk dapat mencegah beberapa penyakit. Walau bagaimanapun Ustaz tidak menerangkan tujuan berlari setempat atas hujung kaki. Kami tidak pula menimbulkan persoalan. Tak dapat nak banding dengan apa-apa gerak yang ada. Kalau Ustaz suruh buat, maka adalah sebabnya. Ikut saja.

Saya terfikir sendiri. Tentulah perbuatan berlari setempat atas hujung kaki, ada faedah yang besar dalam konteks gerak persilatan pengamal SC. Kalau tidak ada faedah, tidak mungkin Ustaz jadikan perbuatan itu sebagai latihan. Pada keyakinan saya, perbuatan berlari setempat atas hujung kaki adalah untuk memantapkan pergerakan hujung kaki itu sendiri. Saya yakin, perbuatan itu juga ada perkaitan dengan pelajaran gerak gelek persilatan kita. Maknanya, pelajaran bergerak gelek ialah dengan menggunakan hujung kaki. Tak pernah pulak ada latihan berlari setempat secara menggunakan tumit. Tak boleh buat pun kerana gerak tumit bukan semula jadi. Akan jadi macam king kong berjalan dalam cerita wayang yang boleh ditonton, ‘Tarzan Lost His Cawat’. Wayang dulu-dulu.

Tiada siapa pun yang bertanya tentang tujuan latihan berlari setempat atas hujung kaki. Hal yang demikian kerana pemakaian gerak tumit tidak timbul ketika itu. Tak terlintas dalam fikiran untuk membuat bandingan dan tak terlintas pun untuk menghubungkan sebarang bentuk latihan silat yang sedemikian dengan gerak tumit. Sebabnya jelas. Penggunaan tumit adalah tidak popular. Tak ada pun. Kecuali memotong secara sapuan dalam pelajaran potong..

Pada pengetahuan Jurulatih dulu-dulu juga, ada tiga lagi bentuk riadah yang perlu dilakukan dalam kelas kemahiran. Semua bentuk riadah tersebut ada kaitan dengan gelek badan dan pergerakan hujung kaki.

Pertamanya ialah latihan berlari pantas secara empat penjuru. Pada setiap penjuru, pesilat dikehendaki memusingkan badan secara serta merta. Keduanya ialah berlari pantas dan berhenti secara serta merta di hadapan pisau yang terhunus. Mesti boleh brek badan. Ketiganya ialah membuat larian yang pantas ke arah pisau yang dihunus Ustaz dan pada satu detik yang sangat sesuai, Jurulatih perlu membuat lencongan di hadapan pisau itu. Kami diarah membuat latihan itu berkali-kali hingga penat.

Pada saya, tujuan latihan tersebut adalah jelas. Hal yang demikian adalah untuk memantapkan pergerakan gelek badan dan kejituan penggunaan hujung kaki. Ketika membuat lencongan dalam riadah itu, kami diarah menggunakan hujung kaki. Ketika berlari empat penjuru dan berhenti secara tiba-tiba dihadapan pisau yang dihunus Ustaz atau berlari sambil melencung badan, peranan hujung kaki adalah amat ketara. Itulah yang diarahkan. Guna hujung kaki. Tak bolehpun buat pergerakan melencong atau menggelekkan badan secara tumit kaki.

Kalau membuat gerakan melencong atau berhenti secara tiba-tiba dengan menggunakan tumit kaki, akan membahayakan diri. Kesinambungan gerakan badan akan terhenti. Hilang ‘balancing’. Penggunaan tumit kaki memberi alamat boleh ‘telentang’. Macam telentang di atas ranjang. Lain pulak penyudahnya. Tapi, penatnya tetap sama. Bersambung lagi.

 
Leave a comment

Posted by on 21/02/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: