RSS

58.12.1. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. Gerak Tumit Atau Hujung Kaki.

18 Feb

Terdapat perbahasan yang tidak ada kesudahan tentang pergerakan kaki. Pergerakan tersebut ialah sama ada bergerak menggunakan hujung kaki atau depan kaki dengan prinsip bergerak menggunakan tumit atau belakang kaki. Maka wujudlah dua kumpulan pendapat. Masing-masing ada hujahnya tersendiri. Semuanya mendakwa mendapat tunjuk ajar Ustaz. Saya difahamkan, sebagai jalan keluar ada juga dalam kalangan Jurulatih yang mengambil sikap selamat. “Ikut sedap”. Maknanya pergerakan tersebut boleh dilakukan atas kemampuan dan kehendak gerak seseorang pesilat. Mungkin itulah sikap yang difikirkan sebaik-baiknya bagi menjawab persoalan ahli. Mungkin juga tindakan tersebut bagi mengelak perbahasan sesama ahli.

Saya berpendapat, gerak kaki erat kaitannya dengan kaedah gelek. Sekarang ini, kaedah gelek kurang diberi perhatian. Ustaz pernah memberitahu saya, pada satu ketika, Kaedah Gelek amat dititikberatkan dan merupakan satu pelajaran. Walau bagaimanapun kaedah itu diserapkan dalam pengajaran buah asas. Namun begitu pada peringkat awal, pengetahuan tentang prinsip gelek masih kukuh dalam pemikiran pengamal SC. Lama-lama pelajaran gelek mula dipermudahkan. Banyak perubahan yang berlaku. Pemikiran ahli mula ‘terkongkong’ dengan empat kaedah yang ada. Itu sebab timbul istilah ‘B dan C Bangkang’ dan penggunaan kaki yang tak ketahuan.

Saya terbaca satu artikal tentang SC, terbitan persatuan tahun 1998 yang bertepatan dengan kenyataan saya. ”Pada peringkat awal Allahyarham Ustaz Hanafi mengajar, kaedah gelek ini diajar sebagai satu mata pelajaran seperti empat kaedah asas. Tetapi selepas kajian dilakukan, didapati bahawa kaedah ini boleh diajarkan serentak semasa membuat buah-buah mempertahankan diri.”

Sebenarnya, perbahasan mengenai pergerakan kaki tersebut berlaku sejak zaman PA dan mungkin berterusan hingga sekarang. Ketika itu, perbahasan mengenai pergerakan kaki itu adalah terhad dengan merujuk pada buah Gayung Patani sahaja. Dalam pelarasan yang diadakan, gelek ke belakang buah itu adalah berdasarkan tumit pada kaki kiri. Malah, ketika bertindak berdasarkan gerak pecahan, penuntut tetap disaran menggunakan tumit. Peliknya, hanya untuk buah Gayung Patani sahaja. Buah-buah lain yang memerlukan gelekan, masih menggunakan hujung kaki. Ketika itu.

Lama-lama saya difahamkan, semua gerak gelek adalah berdasarkan tumit kaki. Tak kira buah apa lagi. Misalnya Sendeng Atas, Kidung Kiri dan Kuntau Kiri. Kalau benarlah perubahan tersebut, nampaknya segala-galanya telah berubah.

Perbincangan saya dalam tulisan ini adalah secara umum, berfokas pada pengamal SC yang berminat dengan Pusaka Hanafi. Saya tetap berpendirian bahawa gerak gelek adalah berdasarkan hujung kaki. Bukannya tumit. Tak kiralah buah apa pun. Termasuklah Gayung Patani dan lain-lain buah yang menggunakan gerak gelek dalam persilatan SC.

Saya pernah menceritakan tentang kehadiran saya dalam majlis pelarasan yang diadakan di Bangunan Cekak, Jalan Sentul di zaman PA. Saya mewakili Jurulatih dari Cawangan Perak. Penganjurnya ialah Guru Wawasan. Sememangnya beliau amat berminat membuat pelarasan dari masa ke masa. Pakar pelarasan. Tidak ada siapa yang dapat menyekat kehendaknya. Guru Utama ketika itu pun boleh terketepi. Tidak berupaya menyekat kehendaknya.

Seperti yang saya tegaskan, corak pelajaran SC sekarang ini banyak dipengaruhi pemikirannya. Saya telah ceritakan betapa PA terkecewa atas sikapnya itu. Perasaan itu pernah diluahkan pada saya. Ubah pelajaran ikut kefahaman sendiri. Sekarang ini peranannya bertambah. Terlantik menjadi pakar tutup kelas SC yang bertentangan dengan fahamannya. Pada hal, orang yang benar-benar menjiwai SC sebagai Pusaka Hanafi, tidak akan tergamak menutup kelas-kelas SC. Malah akan berterusan menggalakkan pembukaan kelas-kelas SC jika fahamannya masih berpaut pada ‘Pemikiran Hanafi’. Selagi kita terus memanfaatkan ilmu yang ditinggalkan Ustaz, maka selagi itu juga pulangan ganjarannya akan berterusan pada Ustaz. Kata tok guru.

Ramai peserta dari seluruh negara yang hadir dalam pelarasan di bangunan berkenaan. Entah untuk ke berapa kali. Saya pun tak tahu macam mana saya tergerak untuk hadir pada majlis pelarasan berkenaan. Sebelum itu tak pernah hadir pun walaupun dipanggil beberapa kali. Dalam majlis pelarasan itu, Guru Kontrak pun hadir sebagai peserta. Majlis itulah yang memberi pengetahuan dan pengalaman baru pada saya. Ditegaskan bahawa buah Gayung Patani perlu dibuat secara menggerakkan tumit. Ke belakang, kaki kiri pakai tumit dan maju ke depan pun pakai tumit. Tetapi ketika kaki kanan bergerak ke belakang, perlu menggunakan hujung kaki. Hanya buah Gayung Patani sahaja. Buah-buah lain tetap menggunakan hujung kaki.

Hal yang demikian adalah bertentangan dengan fahaman saya selama itu. Timbul perbahasan walaupun maksudnya perbincangan. Beliau menegaskan bahawa penggunaan hujung kaki akan menyebabkan kerosakan urat pada bahagian keting. ‘Bahagian kaki di belakang buku lali’. Susah bagi saya nak faham. Saya persoalkan kenapa gelek buah Kidung Kiri tetap menggunakan hujung kaki. Tak sakit apa pun di keting. Apabila perbincangan semakin ‘rancak’, akhirnya saya ‘ditarik’ keluar dari majlis berkenaan.

Pada saya, alasan yang diberikan adalah tidak logik langsung. Saya juga yakin bahawa alasan itu adalah berdasarkan pendapat sendiri. Kepala angin sendiri. Seumur hidup saya dalam SC, tak pernah dengar alasan sedemikian. Mentang-mentanglah dia ada latar belakang sains, boleh cakap bagi orang lain percaya. Pada saya, hal yang demikian susah nak diterima. Tak nampak logiknya. Guru Kontrak yang ada, tak banyak bicara. Angguk kepala. Anggukan bermakna. Ada strategi rupanya. Terbukti berjaya juga akhirnya.

Ketika saya berbincang sesama Jurulatih di cawangan saya, kami terkenang semula alasan yang diberi. Alasan ‘penggunaan hujung kaki akan memudaratkan pesilat. Rosak urat keting. Tidak pulak diterangkan maksud rosak urat kaki tersebut. Putuskah atau bengkokkah atau atau yang lain. Ketika itu, saya pun malas nak bertanya. Tak boleh buat gambaran akan logik alasannya.

Pada kami, alasan tersebut tidak munasabah langsung. Kami pakat-pakat ketawa apabila saya mengenengahkan alasan mereka. Seorang Jurulatih bersuara. Beliau menghubungkan satu kajian saintis yang hangat diperkatakan pada masa itu di dada akhbar. Kebetulan pulak tu. Dikatakan jika kanak-kanak makan biji nangka atau biji cempedak yang direbus, akan membantutkan pembesaran tubuh.

Dakwaan itu sukar diterima. Pada hal, dah bercupak buah rebusan biji nangka atau biji cempedak yang ada dalam perutnya sejak kecil. Badan tetap membesar dan perut pun boleh membesar dengan hebatnya. Semua yang hadir ketawa. Kami ketawa pada lawak yang dibuatnya. Secara langsung ketawa pada ‘lawak’ yang menjadikan alasan membenarkan penggunaan tumit kaki untuk buah Gayung Patani.

Ada juga dalam kalangan Jurulatih yang bersuara. “Patutlah ada guru silat yang bertongkat. Rupa-rupanya urat kakinya telah terputus.” Sekali lagi masing-masing pakat ketawa. Alasan yang tidak ada asas langsung.

Saya difahamkan sekarang ini, pada sesetengah kelas, penggunaan tumit kaki telah melarat pada semua buah yang menggunakan kaedah gelek. Seperti yang saya nyatakan, Sendeng Atas, guna tumit kaki. Malah, buah-buah Kuntau pun guna tumit kaki. Maknanya semua gerak gelek adalah berdasarkan tumit kaki. Tak pakai lagi hujung kaki. Lebih malang lagi, buah-buah potong pun berjangkit dengan penggunaan gerak tumit kaki. Ada juga yang beritahu saya. Hujung kaki hanya digunakan untuk membuat potong secara sapuan kaki pada buah Kidung Kiri. “Pulak dah. Dah terbalik jadinya”.

Seperti yang dikata, pada masa dulu perselisihan pendapat hanya ada pada buah Gayung Patani sahaja. Macam mana fahaman tersebut ‘berjangkit’ pada gerak-gerak buah yang lain. Kalau kepelbagaian kefahaman itu tidak disekat, kita juga risau prinsip penggunaan tumit kaki akan melarat pada pelajaran menengah dan pelajaran-pelajaran seterusnya. Haru biru.

Tertulis dalam salah satu buku panduan SC, untuk mengambil asas Gayung Patani, “Gelek atas tumit lebih utama”. Satu kenyataan yang longgar. Maknanya, ‘ikut sedap’ atau ‘ikut sesuai’. Hal yang demikian telah menyebabkan perbezaan penggunaan kaki itu semakin ketara. Segala-galanya bergantung pada pembawaan Jurulatih yang ‘membawa’ kelas berkenaan. Maka, semakin jelas perbezaan gerak sesama penuntut dalam perguruan yang sama. Tidak ada satu pegangan yang kukuh atas kefahaman yang sedia ada dalam SC.

Oleh sebab demikianlah, saya diminta pendapat atas fahaman saya tentang penggunaan kaki dalam gerak buah-buah gelek dalam SC. Adakah geraknya berdasarkan hujung kaki atau tumit. Dalam hal ini, saya tetap menegaskan bahawa setiap gerak gelek, tetap menggunakan hujung kaki. Itulah fahaman gerak yang saya pertahankan dari dulu hingga sekarang. Jika mereka mengatakan bahawa pengetahuan mereka adalah dari Ustaz, maka saya juga mengatakan bahawa pengetahuan saya juga adalah dari Ustaz.

Saya tidak berminat berbahas atas prinsip benar atau salah. Cuma, dalam tulisan ini apa salahnya jika kita cuba dengar dan baca tentang pendapat saya pula. Berkongsi pengalaman. Tak rugi pun jika kita berfikiran terbuka. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 18/02/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: