RSS

58.11.2. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. SC ‘Anti’ Gerak Membangkang.

14 Feb

Walaupun gerak sukan tidak ada dalam pelajaran SC, akan tetapi pengamal SC diberi pengetahuan tentang maksud gerak sukan itu. Malah penuntut SC tetap berupaya memahami gerak-gerak kesukanan yang ada. Hal yang demikian menjadikan setiap penuntut SC dapat membezakan antara gerak seni dengan gerak sukan. Tidak kira sama ada mereka boleh menghuraikannya secara lisan atau faham berdasarkan perbuatan.

Ustaz selalu memberi kefahaman tentang maksud gerak tersebut dalam ucapan atau ceramah-ceramah SC dari masa ke masa. Lebih-lebih lagi ketika menerangkan perbandingan gerak persilatan yang sedia ada dalam SC dengan gerak persilatan lain. Peranan Jurulatih pula ialah meneruskan kesinambungan kefahaman Ustaz itu dalam kalangan penuntut. Sepanjang pengetahuan dan pengalaman saya sebagai Jurulatih, tidak ada sebarang pencanggahan pendapat berhubung dengan kefahaman gerak seni yang ada dalam SC dan gerak sukan yang berleluasa amalannya dalam seni bela diri yang lain.

Tangkisan kita adalah bercorak tepisan yang menggunakan kekuatan lawan. Walaupun lawan menarik nafas untuk menambahkan kekuatan tumbukan, pengamal SC tetap selamba menangkis serangan lawan berdasarkan pernafasan yang sedia ada. Hal yang demikian membuktikan bahawa SC mempunyai kelebihan untuk menghadapi serangan lawan tanpa mempedulikan kekuatan. Tidak banyak tenaga atau kekuatan yang diperlukan oleh pengamal Silat Cekak. Pengamal SC mempunyai pilihan membuat tepisan berdasarkan empat kaedah yang ada. Semuanya bergantung pada situasi atau kehendak semasa. Tak ada masalah. Kita menumpang gerak dalam gerak yang dihasilkan lawan. Itulah gerak seni namanya, yang merupakan satu gerak yang halus dan indah. Nampak mudah tapi banyak faedah. Berbeza dengan gerak sukan yang memerlukan imbangan kekuatan.

Saya petik tulisan Ustaz yang menyentuh tentang konsep seni dalam SC. Ustaz pernah menulis dalam majalah Dewan Masyarakat.

“Konsep seni silat mestilah dibezakan dengan sukan. Dalam hubungan ini segala kajian silat mempertahan diri yang tidak bertaraf seni dipanggil silat yang bertaraf sukan. Seni silat dan sukan sama-sama mempunyai pergerakan tetapi pergerakan antara kedua jenis ini sangat jauh bezanya. Seni silat bergerak secara halus sejajar dengan pergerakan semula jadi (normal) dan sememangnya sesuai dipanggil seni. Manakala pergerakan silat jenis sukan bergerak bukan cara normal (pergerakan yang dibuat-buat).

Adalah silap kalau dikatakan jenis pertahanan diri yang diimport dari luar sebagai satu hasil seni kerana pergerakan mereka berdasarkan gerak kasar (bukan normal). Tegasnya, jenis pertahanan diri ini tergolong dalam sukan dalam mana kekuatan menjadi ukuran. Pergerakan seni silat adalah halus. Ahli-ahli seni silat yang asli memahami pergerakan halus (Berdenyut dalam istilah silat), berdasarkan pergerakan yang menurut bukan yang membangkang.

Pergerakan yang membangkang memerlukan tenaga yang kuat jesteru ianya jenis sukan. Ahli seni silat yang sebenar boleh menewaskan musuh yang lebih kuat dan bertenaga darinya dengan kaedah yang bijaksana. Cuma Silat Cekak sahaja yang mempunyai sifat-sifat demikian.”

Pandangan Ustaz di atas membuktikan betapa seriusnya Ustaz mentafsir gerak yang ada dalam SC. Dengan yakin Ustaz menegaskan bahawa “Cuma Silat Cekak sahaja yang mempunyai sifat-sifat demikian”. Sifat apa. Sifat-sifat yang ada pada SC ialah pergerakannya halus, sejajar dengan pergerakan semula jadi yang sesuai dipanggil seni. Pergerakannya bukan jenis dibuat-buat sebab pergerakan SC adalah berdasarkan pergerakan menurut, bukannya membangkang. Pengamal SC berupaya menewaskan musuh yang lebih kuat dan bertenaga darinya dengan kaedah yang bijaksana.

Sepanjang saya bersama Ustaz, beliau sering kali mengulas tentang bandingan gerak SC dengan gerak bela diri yang lain. Hal yang demikian telah menyebabkan kekukuhan kefahaman pada ahli-ahli silat bahawa SC adalah merupakan silat yang mempunyai gerak seni. Kefahaman itu begitu teguh tertanam dalam jiwa penuntut. Tidak terlintas langsung untuk mengaitkan SC dengan gerak membangkang yang bersifat gerak sukan.

Oleh itu, janganlah ada hendaknya dalam kalangan Jurulatih yang pandai-pandai mengubah atau mencipta istilah baru pada Kaedah dan kefahaman kita yang ditanam Ustaz. Hinggakan mereka sanggup menentang arus dengan menggunakan istilah membangkang dalam penerangan tentang kaedah kita. Senang-senang saja buah-buah Sendeng Atas, Terlak dan Lintau, dihubungkan dengan Kaedah C atau Kaedah B Bangkang. Mudah saja membuat tambahan dalam penerangan tanpa berpegang pada konsep dan falsafah SC.

Perlu saya tegaskan, sepanjang saya bersama Ustaz, buah-buah keputusan berkenaan tidak pernah dihubungkan dengan gerak membangkang. Buah-buah itu mempunyai keistimewaan gerak kaedah untuk menghadapi serangan lawan. Penerangan bernokhtah dengan menegaskan bahawa pengambilan buah-buah berkenaan adalah berdasarkan kaedah gelek dengan bantuan kaedah yang sedia ada. Prinsip gelek melibatkan pergerakan gelek yang banyak atau sedikit. Manakala konsep ‘dengan bantuan’ adalah bermaksud jika ada keperluan. Bukan mesti.

Tak ada sebab bagi kita untuk tambah-tambah penerangan dengan menggunakan istilah membangkang bagi disesuaikan dengan Kaedah kita yang sedia ada. Oleh itu, saya berpendapat bahawa istilah ‘B Bangkang’ atau ‘C Bangkang’ adalah istilah yang direka-reka dan merupakan perubahan baru. Tidak pernah pun disebut oleh sebarang Jurulatih semasa saya berada di pusat. Semua Jurulatih menerima kenyataan bahawa tidak ada istilah membangkang dalam SC. Sebabnya adalah jelas. Gerak membangkang atau gerak sukan adalah hak seni bela diri orang lain manakala gerak seni adalah hak SC.

Mungkin kita berasa keliru tentang bentuk gelek yang ada pada Terlak dan Lintau. Gayung Patani dan Sendeng adalah jelas geleknya. Walau bagaimanapun, gerak-gerak mengambil buah Terlak dan Lintau masih tetap dianggap sebagai gerak seni. Kita mengambil kaedah tidak secara membangkang. Kita tidak ‘merempuh’ badan ketika mengambil buah-buah tersebut. Prinsip gelek tetap ada walaupun tidak ketara. Kita tidak langsung menggunakan kekuatan badan. Apatah lagi kekuatan tangan untuk menolak tangan ketika lawan menyerang.

Kita bergerak dalam proses gerak lawan menyerang. Bukannya ketika penumbuk lawan sedang ‘bermalam’. Badan pesilat tetap gelek, sama ada banyak atau sikit. Sifat gelek itu adalah gerak badan untuk menafikan serangan lawan. Sekali lagi, gelekan itu macam sukar dikesan dengan pandangan biasa. Sifat yang demikian adalah merupakan gerak halus sejajar dengan pergerakan semula jadi yang sesuai dipanggil gerak seni. Ketika itulah kita menumpang gerak ketika lawan kita bergerak. Itulah juga yang dinamakan sebagai ‘makan gerak dalam gerak’.

Saya juga telah tegaskan betapa buah-buah keputusan tersebut tersangat sesuai digunakan untuk menghadapi serangan senjata dari pihak lawan. Selain pisau, senjata kerambit sangat biasa dibawa seseorang. Penggunaan keris semakin kurang. Malah sudah tidak ada. Tak pernah saya dengar ada perompak yang bawa keris untuk mengugut mangsanya. Buah Lintau dan Terlak sangat sesuai untuk menghadapi musuh yang menggunakan kerambit. Gerak kedua-dua buah itu tersangat rapat dan amat sesuai dengan kerambit yang tersangat rapat penggunaannya dengan badan.

Teringat saya ketika masih menuntut dulu. Kami juga diberi kefahaman yang sedemikian, iaitu untuk menghadapi serangan kerambit. Satu ketika, kami menumbuk Terlak dan Lintau secara gambaran menggunakan kerambit. Dengan tangkasnya serangan tersebut dimatikan dengan buah Terlak dan Lintau. Walau bagaimanapun, cara tumbukan yang sedemikian bukanlah satu arahan. Saja-saja kami berbuat tumbukan sedemikian kerana diterangkan buah-buah tersebut sesuai dengan tumbukan itu. Lama-lama, cara tumbukan cara itu ditinggalkan begitu saja. Kami terus menumbuk secara lurus tangan. Apatah lagi buah Kilas Depan menuntut tumbukan sedemikian.

Saya cuba bayangkan gerak membangkang dengan menggunakan kaedah membangkang. Pasti geraknya saperti yang saya gambarkan. ‘Apabila ada serangan tangan, pesilat kena tepis serangan itu terlebih dulu. Badan tetap tidak berubah posisi atau sifatnya. Setelah ditepis, barulah badan akan maju ke depan dalam posisi yang sama. Tak ada gelekan langsung walau sedikitpun.’ Kalau itulah yang dilakukan, maknanya pesilat itu menggunakan kekuatan untuk tepisan dan badan yang robos untuk maju ke depan. Adakah gerak ini yang dilakukan. Kalau ye, sesuailah digunakan Kaedah Bangkang. Kaedah yang asing dalam persilatan SC.

Sebagai kesimpulan, sifat membangkang adalah asing dalam gerak persilatan kita. Pada saya, mengistilahkan C atau B Bangkang adalah merupakan satu percakapan yang bercanggah dengan falsafah Silat Cekak. Penggunaan istilah B dan C Bangkang adalah disebabkan kurangnya pengalaman dalam ilmu SC itu sendiri. Semua buah cuba disesuaikan dengan Kaedah kita yang sedia ada. Mereka lupa bahawa buah-buah Keputusan yang tersenarai dalam SC adalah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Hal yang demikian termasuklah kaedah mengambil buah-buah tersebut. Oleh itu, jangan mudah menggunakan istilah yang tidak ada dalam konsep dan falsafah SC. Sangat merugikan penuntut SC. Sekian tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 14/02/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: