RSS

58.11.1. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN. SC ‘Anti’ Gerak Membangkang.

11 Feb

Kita masih lagi membincangkan tentang buah-buah Keputusan dalam SC. Saya cuma mengenengahkan pengetahuan, kefahaman dan pengalaman saya sebagai bekas Jurulatih ketika menyampaikan buah-buah tersebut satu ketika yang lalu. Jangan pulak ada yang mengatakan bahawa perbuatan saya adalah berdasarkan cara saya sendiri. Mustahil saya berbuat demikian. Selama ini saya tetap pertahankan mutu pengajaran dan pembelajaran seperti mana yang saya peroleh dari Ustaz Hanafi. Dalam tulisan ini, perkara yang ditulis sekadar ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman saya bersama Ustaz.

Ketika saya menuntut di universiti, lebih banyak masa saya bersama Ustaz. Selepas kuliah, terus ke pejabat kerana Ustaz tinggal di pejabat. Ketika saya di tahun ketiga, subjek yang diambil hanya enam sahaja. Peperiksaannya di akhir tahun. Kadang-kadang satu hari hanya ada kuliah selama sejam. Banyak masa saya bersama Ustaz. Kerap kali hingga ke malam. Orang lain sibuk bekerja, saya berada di pejabat silat. Sekali sekala ada ahli-ahli yang mengunjungi Ustaz. Terutamanya Pak Wan yang bekerja sendiri. Banyak juga masanya.

Pengetahuan silat saya adalah berdasarkan perbincangan dengan Ustaz secara langsung dan pengalaman mengajar SC ketika berada di Pusat dan berterusan ke cawangan. Pernah saya tulis tentang pengalaman bersilat bersama Ustaz. Hanya kami berdua. Saya tidak pasti sama ada pengetahuan bersama Ustaz itu, juga diperoleh ahli-ahli lain. Perkara jelasnya, perbincangan itu adalah berdasarkan persoalan yang saya timbulkan.

Semua isi pelajaran SC yang saya sampaikan adalah berdasarkan pelarasan terakhir anjuran Ustaz sendiri. Pelarasan selepas Ustaz banyak dipengaruhi oleh orang-orang kanan Ustaz yang berasa ilmu SC tersangat penuh di dada. Ketua penyelaras utama ialah Guru Wawasan dan kumpulannya. Pada saya, merekalah yang banyak mencorakkan gerak persilatan SC yang ada sekarang.

Berdasarkan tulisan yang lalu mungkin kita boleh timbulkan persoalan untuk maksud perbincangan. Persoalannya, apakah Kaedah yang digunakan bagi mengambil buah-buah keputusan tersebut. Buah Hentak, jelas akan kaedah A yang digunakan. Akan tetapi, Kaedah apa yang digunakan untuk buah Gayung Patani. Ada yang kata gabungan Kaedah A dan B. Kalau Kaedah A, mesti tampar tangan pasangan dan Kaedah B mesti ditepis tangan pasangan. Kita tak berbuat demikian. Bagaimana pulak dengan Sendeng Atas. Ada kata guna Kaedah B. Pada hal Kaedah B yang kita amalkan adalah berlainan gerak. Begitu juga dengan Terlak dan Lintau. Mana boleh kita katakan guna kaedah C. Bentuk Kaedah C adalah berbeza dengan cara mengambil buah-buah tersebut. Apatah lagi Pasung Kemanga. Tidak ada langsung mirip Kaedah A yang digunakan.

Itu sebabnya saya telah tegaskan dalam tulisan yang lalu, kaedah mengambil buah-buah keputusan yang ada dalam SC adalah sangat istimewa. Boleh dikatakan, semuanya menggunakan gerak gelek badan. Kebanyakan buahnya mempunyai gerak gelek yang rapat. Penggunaan hujung kaki amat berkesan bagi ‘melarikan’ badan dari tumbukan lawan. Seperti yang saya tegaskan, kalau ditafsirkan ‘tumbukan bodoh’, tumbukan itu tersasar dalam jarak yang tersangat rapat dengan badan. Tak perlu dibantu dengan apa-apa kaedah tepisan. Namun begitu, dalam pembelajaran SC, gelekan itu tetap dibantu dengan kaedah SC yang sedia ada. Sungguh mantap pergerakannya. Boleh juga dibuat kesimpulan betapa ‘gerak gelek itu hanya membantu gerak Kaedah yang sedia ada dalam SC.’

Pengalaman saya mengajar silat, tidak pernah saya katakan bahawa buah-buah keputusan itu menggunakan sebarang kaedah yang ada dalam SC. Melainkan saya buat penekanan betapa pentingnya teknik gelek ketika membuat buah-buah berkenaan. Untuk kaedah Kuntau Kiri, perbuatan gelek jelas dibantu oleh Kaedah D dan Kaedah B. Saya tidak ingin membincangkan tentang buah tersebut. Tapi telah ada perbezaan pendapat tentang penggunaan Kaedah D dan B. Yang mana patut didahulukan. Sebenarnya Kaedah D adalah fokas utama.

Saya telah terangkan betapa buah-buah keputusan tersebut adalah di luar dari isi pelajaran SC yang asal. Ingat balik kata-kata Ustaz. “Tujuan mempelajari semua keputusan ini ialah supaya ahli-ahli dapat menangkis dengan mudah pertarungan walaupun lawannya menggunakan cara silat apa sekalipun.”

Malangnya, ramai yang terkeliru dan membuat kesimpulan sendiri. Mereka tetap cuba menghubungkan cara mengambil buah-buah keputusan tersebut dengan Kaedah yang sedia ada. Oleh sebab buah Sendeng Atas ada unsur-unsur Kaedah B, nak dikatakan Kaedah B tentunya tak sesuai. Maka dianggaplah Kaedah B itu sebagai kaedah B Bangkang. Begitu juga dengan buah Terlak dan Lintau. Nak dikatakan guna Kaedah C tak boleh kerana berlainan caranya. Namun begitu ada unsur-unsur Kaedah C. Maka senang bicara, dikatakanlah Kaedah C Bangkang.

Pada saya, pengunaan istilah membangkang itu adalah sesuatu yang tidak benar dalam SC. Jelaslah betapa adanya dalam kalangan Jurulatih yang terkeliru dengan konsep membangkang serangan lawan atau membangkang tumbukan lawan. Asal saja tangan lawan ditolak sama ada dari luar atau dari dalam, maka dianggap membangkang. Maka lahirlah istilah ‘B dan C Bangkang’ pada buah-buah jatuh yang tertentu. Sendeng Atas dikatakan menggunakan kaedah B Bangkang dan buah Terlak dan Lintau dikatakan C Bangkang’.

Ada yang ingin mendapatkan penjelasan saya berdasarkan pengalaman bersilat dan menjadi Jurulatih tempoh hari. Tak pernah terlintas dalam fikiran saya akan penerangan Jurulatih yang boleh membuat kesimpulan begitu. Pada saya, kesimpulan itu adalah bertentangan dengan konsep dan falsafah Silat Cekak itu sendiri. Satu langkah penambahan istilah yang tidak benar dalam proses penyampaian pelajaran SC.

Walau bagaimanapun, dalam tulisan ini, saya hanya menceritakan kefahaman dan pengalaman saya. Kefahaman dan pengalaman itu adalah berasas ketika menjadi Jurulatih, seiring dengan minat saya mencungkil semua gerak buah yang ada dan benar. Hal yang demikian ada perkaitan melalui hubungan saya dengan Ustaz pada satu ketika yang lalu. Saya selalu menekankan faktor ini untuk menegaskan bahawa kefahaman saya bukannya rekaan sendiri.

Teringat saya pada masa lalu, ketika menjadi penuntut SC. Kami sering berbincang tentang Silat Cekak yang baru kami pelajari. Kami berupaya membuat perbincangan berdasarkan pengalaman seni bela diri lain yang ada. Seperti yang saya tulis terdahulu, kebanyakan kami pernah mempelajari silat Melayu yang lain.

Salah satu tajuk perbaincangan sesama kami ialah perbandingan gerak menangkis serangan lawan antara persilatan SC dengan persilatan lain yang pernah kami pelajari. Bandingan tersebut telah membuktikan bahawa sistem bela diri yang ada dalam SC adalah yang terbaik sekali. Tak ada persilatan lain yang dapat menandingi sistem ‘pertahanan’ SC. Terasa juga perasaan bangga kerana dapat belajar satu seni bela diri yang luar dari kebiasaan.

Umumnya, gerak-gerak yang ada dalam seni bela diri adalah terbahagi pada dua prinsip, sama ada gerak membangkang atau gerak sukan dan gerak seni. Itulah kesimpulan semua pesilat SC yang ditanamkan kefahaman oleh Ustaz. Di sinilah terletaknya perbezaan antara Silat Cekak dengan seni bela diri yang lain. Kita sering menegaskan bahawa SC mempunyai gerak halus dan berseni.

Hal yang demikian menyebabkan adanya perbezaan antara SC dengan gerak silat-silat Melayu yang lain. Apatah lagi seni bela diri dari luar negara. Keseluruhannya, persilatan tersebut menggunakan gerak membangkang. Kita sering menegaskan bahawa gerak membangkang itu adalah gerak sukan. Bercorak kesukanan. Perbandingan gerak ini adalah merupakan salah satu intisari penerangan kita ketika menyakinkan masyarakat betapa SC adalah merupakan pilihan silat yang terbaik. Pergerakannya adalah berasaskan gerak semula jadi. Gerak berseni. Bukannya gerak yang dibuat-buat.

Pengamal SC tetap berfaham bahawa gerak membangkang atau gerak sukan memerlukan tenaga atau kekuatan. Orang yang lemah tidak mungkin akan mengalahkan orang yang kuat. Orang yang berlengan besar, tidak akan dapat ditangkis lengannya secara membangkang oleh orang yang berlengan kecil. Mesti ada kekuatan dan tenaga tambahan.

Jika memerlukan kekuatan dan tenaga maka kebolehan semula jadi yang ada pada diri seseorang adalah ternafi. Mereka perlu menambahkan tenaga dan kekuatan jika ingin membuat tangkisan. Di samping kekuatan tangan, stemina juga amat diperlukan. Kekuatan diri diarah kepada tangan yang menangkis serangan. Oleh sebab banyak tenaga yang diperlukan bagi menambah kekuatan tangan, maka itulah gerak sukan namanya. Perbandingan gerak menghadapi serangan lawan, menampakkan perbezaan antara SC dengan pesilatan Melayu yang lain. Sebaliknya, gerak tangkisan yang ada pada Silat Cekak adalah biasa sahaja, berdasarkan kebiasaan gerak semula jadi manusia.

Secara semula jadi, mana ada penumbuk yang dilepaskan, mengarah ke luar atau ke kanannya. Melainkan penumbuk itu cenderung terarah ke kirinya. Macam tumbuk layang. Dalam hal ini, gerak kaedah kita amatlah unik, ringkas dan tenang. Pergerakannya tidak membangkang kerana kaedah tangkisan kita adalah mengikut arus tumbukan tersebut. Hal yang demikian menyebabkan pengamal SC tidak banyak menggunakan kekuatan. Itulah yang dimaksudkan gerak seni dan bukannya gerak sukan. Tak ada langsung istilah membangkang dalam ‘kamus’ SC. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 11/02/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: