RSS

58.10. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN.

07 Feb

Pelihara Keistimewaan ‘Buah Keputusan’.

Saya dapat lihat betapa pukulan pada buah-buah keputusan itu tersangat padu. Amat berkesan. Ada kepelbagaian gerak. Mungkin ada kekecualian pada Terlak yang lebih berfokas pada tangkapan. Tapi, ada pulak yang tambah pukulan di bahu. Faham baru. Buah Sendeng Atas adalah berbentuk kejutan. Lawan sukar menjangka pukulannya. Secepat kilat pukulan berada di bawah dagu. Pukulan Lintau dan Pasung Kemanga, umpama menghasilkan aliran letrik yang boleh membuat kejutan. Gerak Gayung Patani yang lembut akan bertukar ‘garang’ apabila diserang lawan.

Cara jatuhan Hentak boleh memeranjatkan lawan. Kiraan saat dan ketika. Kalau dah jatuh, alamat terdiam. Cara ‘masuk’ amat berbeza dengan buah-buah SC yang ada. Dalam kelas kemahiran yang pernah saya anjurkan, ada latihan tidak ‘berpakat’. Latihan adalah berdasarkan gerak spontan atau gerak semula jadi mengikut arah tumbukan yang sampai. Orang yang menumbuk tidak boleh ‘tumbuk bermalam’. Jika pesilat lambat buat jatuhan maka pasangan perlulah buat tindakan. Siapa cepat, dia yang ‘dapat’.

Ada penuntut yang ingin membuat buah Ali Patah Sudah. Tapi tak menjadi. Tangan kiri menampar Kaedah A, tangan kanan mencucuk leher. Gerak spontannya menyebabkan tangan kanannya mencapai siku lawan dan sikunya sendiri mengenakan pukulan di bawah ketiak lawan. Jadi buah Hentak. Pasangan tidak sempat bertindak. Lagi hebat buahnya.

Saya tidak melarang gerak spontan itu kerana kejadian itu berlaku dalam kelas kemahiran. Tidak pun ‘lari’ dari konsep SC. Pertamanya, seperti yang dikatakan, konsep Kaedah adalah berupa “Rumah Buah.” Daripada Kaedah maka datanglah buah. Keduanya, itu adalah gerak semula jadinya berdasarkan pemikiran yang ada secara spontan. Tak pakat-pakat nak ambil satu-satu buah. Tapi masih menurut Kaedah SC.

Ada antara buah keputusan yang tersangat berkesan menghadapi senjata berbahaya. Kalau rapat, gunalah Terlak dan Lintau. Kalau renggang, Gayung Patani, Sendeng dan Pasung Kemangan adalah sangat bermakna. Semua buah Keputusan ada keberkesanan yang tersendiri. Asalkan geraknya dibuat berdasarkan gerak yang asli.

Pada saya, kenyataan Ustaz tentang kelebihan buah-buah keputusan tersebut adalah jelas. Buah-buah itu adalah memadai untuk dijadikan sebahagian pelajaran dalam pergerakan atau teknik untuk mengatasi gerak-gerak seni bela diri yang ada. Tak kira dari negeri atau negara mana sekali pun. Mungkin ada buah-buah keputusan lain. Kemungkinan besar, buah-buah tersebut tidak sepenting buah-buah keputusan yang Ustaz kekalkan. Buah-buah keputusan itu boleh mewakili semua keputusan gerak atau teknik persilatan Melayu yang ada.

Saya selalu tegaskan betapa semua buah keputusan yang kita pelajari, ada kelebihannya. Banyak kekuatannya. Ada seninya. Terasa istimewanya. Oleh itu, buatlah betul-betul seperti mana yang seaslinya. Seasalnya. Jangan diubah-ubah dan jangan ditambah-tambah atau jangan disesuaikan dengan kehendak kita. Ustaz telah buat perubahan atau pelarasan. Jangan lagi selaras-selaras. Kalau Ustaz telah menguna pakai akan buah-buah keputusan tersebut, tentulah bersekali dengan gerak pukulan dan gerak tangkapan yang ada pada buah-buah keputusan berkenaan. Kalau diubah suai atau dibuat pelarasan atau dibuat tambahan atau dikurangkan di mana-mana seni geraknya, maka akan kurang atau akan hilang kelebihan pada buah-buah keputusan itu.

Walau bagaimanapun, saya difahamkan bahawa buah-buah tersebut mula mengalami perubahan sejak sekian lama. Sejak zaman PA lagi. Pelarasan yang dibuat oleh pakar penyelaras. “Dah ambil, diubah pulak. Ada pula pukulan yang disimpan.” Pada pandangan saya, jika itu yang terjadi maka akan hilanglah keistimewaan buah-buah keputusan yang dikekalkan Ustaz.

Gerak Gayung Patani, diubah cara gerak kaki. Buat pelarasan lagi. Cantas di sana sini. Pukulan Sending Atas ada yang jarak berbatu-batu dari dagu. Ditambah pulak dengan pukulan siku. Haru biru. Maka akan hilanglah keaslian gerak benar akan rupa bentuk pukulan buah keputusan berkenaan. Pukulan sepatutnya ialah menegak hingga ke bawah dagu. Kalau pukulan condong ke luar, buah itu bukan keputusan Sendeng Atas lagi namanya. Mungkin nama baru. “Keputusan Sendeng Serong Berbatu.”

Pada kesimpulan saya, kalau diubah suai, apa guna Ustaz mengekalkan buah-buah keputusan itu sebagai mata pelajaran SC. Tentulah ada keistimewaannya dalam keadaannya yang asal. Kalau buat penambahan atau pengurangan dalam gerak, termasuk gerak pukulannya maka hilanglah kehebatan buah-buah tersebut. Umpama ‘wanita’ cantik yang bukan benar. Lembut rupanya. Lemah longlai. Tidak bermakna kecantikannya. Nampak saja cantik. Indah rupa tapi dah tak ‘mandang’. Contoh mudah saya.

Pukulan Lintau sudah tak ketahuan tempat pukulannya. Janji, tampar saja bahagian belakang. Belakang mana. Sepatutnya, bahagian pinggang. Tapi ada yang tidak kisah. Pukullah di mana-mana bahagian belakang. Agaknya, tampar belakang punggung pun tak apa. Janji belakang. Aww! Nakalnya.

Buah Terlak ditambah gelaran baru pada sifat kaedah menepis. Dikatakan menggunakan Kaedah C bangkang. Istilah baru. Tambahan istilah dalam penerangan. Lagi!. Dengar khabar, ada tambahan pukulan baru. Bahu lawan boleh dijadikan sasaran. Hujung tangan dilipat untuk membuat pukulan di bahu kiri pasangan. Kalau tumbukan secara mengereng, alamat pesilat yang menumbuk itu akan dimarahi kerana terjahan tangan pasangannya tidak menjadi. “Tumbuk betul-betul.” Kedengaran suara arahan kerana dikatakan tumbukan itu tidak memenuhi ciri-ciri tumbukan sebenarnya bagi membolehkannya membuat terjahan. Tambahan arahan. Andaian.

Buah Hentak dah tak ada gegar hentaknya. Siku kanan bukan lagi hentakan atau henyakan tapi diletak diam. Bukan sakit tapi geli geleman. Siku kiri jauh memanjang dari badan pasangan. Peranannya bukan henyak badan ke bawah, tapi menarik badan ke belakang. Jatuhan pun dah tak berbunyi lagi. Jatuhan senyap.

Dalam keputusan-keputusan yang ada itu, buah Pasung Kemanga agak berbeza sifatnya. Nampaknya, buah Pasung Kemanga telah menjadi istimewa dalam gerak tumbukan sesetengah Jurulatih yang berfaham baru. Ajaran baru. Mereka memberi arahan baru. Bagi maksud menyenangkan mereka membuat buah, penuntut disuruh tumbuk lajak.

Mana mungkin kita beza-bezakan tumbukan penuntut yang sama pada buah-buah tertentu. Berubah-ubah dan tidak tetap pendirian. Pada buah lain, pesilat disuruh tumbuk sebagai persilat SC. Akan tetapi untuk buah Pasung Kemanga, pesilat disuruh menumbuk sebagai musuh dengan cara melajakkan tumbukan. Melajakkan tumbukan bermakna bersifat ‘menyondol’ badan. Bukan elok pelakuan menyondol. Satu langkah menambah penerangan dan arahan.

Kaedah mengambil buah Pasung Kemanga sangat ‘istimewa’. Kita menegaskan, untuk mengambil buah ini, perlu menggunakan kaedah gelek. Kaedah gelek bukanlah merupakan kaedah utama, melainkan gerak sokongan pada ‘Kaedah Empat’ yang ada. Ketika membuat gelekan, kaki kiri bergerak pada hujung kaki di tempat yang sama. Peranan kaki kanan ialah membuat gerakan yang berpusing hingga selari semula dengan kaki kiri. Seratus lapan puluh darjah. Tangan kiri yang menyambut, jangan dibuat tamparan A. Sambut penumbuk yang tiba pada bahagian siku pasangan. Jangan pula cuba menyiku rusuk pasangan untuk mematahkan tulang rusuk. Nyahkan impian berkenaan.

Apa yang saya perhatikan, untuk menyesuaikan kehendak papan sekeping maka ada yang menegaskan supaya kaki dipusing hingga tiga suku darjah. Maknanya kaki kanan dipusing hingga menyebabkan ‘punggung bertemu punggung’. Perbuatan itu membelakang badan belakang kita dengan badan belakang pasangan kita. Gerak belakang itu sangat menyimpang daripada falsafah SC. Janganlah kita membelakangkan pasangan dengan belakang kita. Konsep kita ialah berada di bahagian belakang. Berada di bahagian belakang bermakna kita boleh nampak belakang pasangan kita. Tapi kalau belakang bagi belakang, apa pun tak nampak. Kecuali penganutnya saja yang nampak. Apa yang dinampaknya. Entah.

Buah Pasung Kemanga sangat sesuai untuk menghadapi serangan pisau. Ketika gelek, tangan kanan kita akan menampar penumbuk pasangan. Perbuatan menampar adalah berbeza dengan perbuatan menepuk. Tamparan yang kemas dan padat akan menyebabkan terasa semacam ada aliran letrik pada tangan pasangan. Itu sebabnya buah ini amat sesuai mematahkan serangan senjata. Apabila ditampar tangan yang memegang senjata, secara automatik genggamannya akan terbuka.

Pada dasarnya, keseluruhan buah-buah Keputusan tersebut dipengaruhi oleh kaedah gelekan badan. Perbuatan gelek adalah gerak untuk menyokong kaedah kita yang ada. Perbuatan gelek adalah bersepadu dengan gerak kaedah dan gerak badan kita. Gerak hujung kaki adalah tersangat membantu. Janganlah guna istilah membangkang. Nampak sangat tak memahami falsafah gerak persilatan SC. Saya akan membincangkannya dalam tajuk lain.

Ingat balik hasrat Ustaz. Dengan cara mempelajari semua keputusan yang ada itu, diharapkan kita akan dapat menangkis dengan mudah sebarang bentuk gerak serangan lawan. ‘Gunalah apa cara silat yang ada sekalipun’. Tak ada masalah. Tapi, bolehkan kita mencapai hasrat Ustaz itu jika pergerakannya telah diubah. Ditambah-tambah dan dikurang-kurang. Ubah ikut suka-suka hati. “Lu fikirlah sendiri.” Terdengar kata-kata Nabil, pelawak yang tak menang dalam pertandingan lawak tempoh hari. Sekian.

 
Leave a comment

Posted by on 07/02/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: