RSS

58.9. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN.

03 Feb

Keistimewaan ‘Buah Keputusan’ Dalam SC.

Dalam konteks gerak persilatan, keputusan adalah bermaksud kesimpulan gerak. Ada kesudahan dan ada keistimewaannya. Gerak buahnya adalah muktamad. Maknanya dari segi teknik, geraknya adalah mantap yang melambangkan ketentuan gerak yang sangat berkesan. Konsep berkesan adalah berhubung kait dengan cara melakukan gerak, pukulannya dan akibatnya pada lawan.

Kalau ditanya saya kenapa Ustaz mengekalkan buah-buah keputusan tersebut, maka penyataan Ustaz adalah jelas. Dengan mempelajari keputusan-keputusan atau buah-buah itu akan membantu para pesilat SC untuk menangkis sebarang bentuk serangan lawan. Kalau dapat menangkis, maknanya boleh menjamin menjadikan ilmu SC lebih bertanggungjawab pada diri sendiri.

Ketika bersama Ustaz, tak banyak masa digunakan untuk berbincang tentang asal usul buah-buah keputusan yang ada dalam SC. Cuma, pernah satu ketika saya bertanyakan Ustaz tentang perkara tersebut. Ustaz menerangkan bahawa nama-nama pada buah itu adalah merujuk pada nama tempat. Misalnya, buah Sendeng. Gerak buah tersebut dikaitkan dengan nama tempat yang bergelar Sendeng. Begitu juga dengan buah-buah yang lainnya. Gayung Patani, ada kaitan tempat dengan Patani. Lintau, Terlak dan Kemanga, ada tempat yang bernama dengan gelaran tersebut.

Cuma Buah Hentak telah menimbulkan persoalan pada saya. Buah tersebut dikatakan berdasarkan dari gerak Harimau. Tak tahu pulak saya, kalau Harimau juga telah ada nama perkampungannya. Namun begitu, saya tidak pun bertanya. Kalau dah terima seadanya, saya ‘malas’ nak ambil pusing.

Saya tidak melanjutkan pertanyaan. Hanya mendengar penerangan Ustaz. Cakap-cakap Ustaz memang ada logiknya. Dalam masyarakat Melayu, mengaitkan nama dengan tempat lahir adalah merupakan satu kebiasaan dan penghormatan. Saya telah nyatakan betapa tempat kelahiran yang lebih dikenali sebagai kampung adalah merujuk pada penempatan yang penduduknya ada pertalian darah. Itu sebabnya, orang dulu-dulu sangat berbangga dengan konsep ‘balik kampung’. Tapi, sekarang ini istilah itu dianggap bersifat penghinaan.

Ramai tokoh hebat dalam pelbagai bidang yang merujuk dirinya dengan nama tempat asal mereka. Mereka berasa bangga dengan gelaran tersebut. Kejayaan mereka adalah merupakan kejayaan kaum kerabatnya. Semua mereka berada dalam tempat yang sama dan mempunyai pertalian darah yang kuat. Teringat saya tokoh agama Shamsuddin Al-Sumatrani yang berasal dari Sumatra. Hamzah Fansuri yang berasal dari Fansur, dan ramai lagi.

Oleh sebab kurang minat bertanya tentang asal usul nama buah, tak banyak perkara yang ditimbulkan Ustaz. Sekejap saja perbualan mengenainya. Pada saya, Ustaz lebih tahu akan apa yang dilakukannya. Buah Keputusan tersebut telah tersenarai dalam pelajaran SC. Saya menerima hakikat seadanya. Minat saya adalah lebih pada teknik benar buah-buah berkenaan dilakukan. Tentunya buah-buah keputusan itu ada keistimewaanya. Gerak pukulannya tentu hebat. Itulah hal yang sepatutnya diambil berat. Buang masa saja kalau berbincang atau berbahas tentang asal usul buah-buah keputusan tersebut.

Pada satu ketika yang lalu, nama-nama keputusan yang ada telah tidak menyenangkan beberapa persatuan silat Melayu yang lain. Persatuan yang paling kuat menentang ialah Gayung Patani. Persatuan lain kurang membantah kecuali bantahan secara peribadi oleh pengamal silat berkenaan. Asasnya, mereka marah kerana nama persatuan silat mereka telah dijadikan nama buah persilatan kita. Nampaknya, bukan mereka marah kerana menggunakan keputusan buah-buah tersebut melainkan marah kerana menggunakan nama persatuan silat yang mereka terlibat. Pada hal, buah-buah keputusan silat itu tidak ada pun dalam pembelajaran silat mereka.

Mungkin sekarang ini, isu ‘mengambil’ buah tidak popular lagi. Hal yang demikian telah menyebabkan ahli kita kurang mempersoalkannya. Walau bagaimanapun, sekali sekala ada juga dalam kalangan penuntut yang menimbulkan persoalan ‘mengambil’ buah-buah keputusan tersebut. Persoalan itu sama ada diluahkan secara rasmi atau diluahkan sesama ahli. Ada juga persoalan yang terpendam dalam hati. Dalam hal ini, sebagai Jurulatih, kita perlu memahami persoalan yang demikian. Berilah penerangan yang sewajarnya agar kekusutan dan persoalan yang timbul dalam fikiran penuntut dapat terungkai. Tidak terpendam hingga berkarat.

Konsep ‘buah’ dalam persilatan Melayu bukanlah kata nama, melainkan kata perbuatan yang merujuk pada makna, ‘pergerakan atau teknik dalam seni silat untuk mematahkan gerak, sama ada berbentuk serangan lawan atau tindak balas gerak lawan’.

Pergerakan atau teknik tersebut adalah merupakan buah silat dalam budaya gerak persilatan orang-orang Melayu. Sifatnya adalah umum. Ada yang memberi nama pada teknik tersebut berdasarkan asal tempat atau dikaitkan dengan gerak binatang. Binatang yang popular ialah harimau, burung dan monyet. Harimau terkenal dengan gerak serangannya. Berbentuk terkaman. Perhatikan gerak buah Keputuan Hentak. Gerak burung juga ada kaitan dengan serangan. Tentunya bukan Pipit Uban. Manakala monyet terkenal dengan sifat elakannya. Saya pernah pelihara monyet. Balinglah batu secepat mungkin padanya. Pasti tak kena kerana pandai mengelak. Dapat membuat jangkaan yang tepat. Ustaz pernah bercerita pada saya. Kalau pemburu yang menembak kera atau monyet secara berdepan, adatnya tak mengena. Terpaksa menggunakan petua sebelum menembak.

Malangnya, apabila tertubuh persatuan dan persatuan itu bergelar atas nama berdasarkan teknik gerak tersebut, maka dianggap gerak itu adalah kepunyaan mereka. Seolah-olah, merekalah yang mencipta gerak buah tersebut. Pada hal, kajian pun tak pernah ada tentang asal usul setiap gerak itu.

Walau bagaimanapun, tidak ada pun logo, ’Hak Cipta Terpelihara’. Nak pelihara apa. Bukan mereka yang mencipta, tapi teknik gerak itu adalah merupakan teknik gerak persilatan orang-orang Melayu. Hak milik orang Melayu. Itu sebabnya buah-buah keputusan kita tak ada pun dalam pelajaran mereka. Mana mungkin ada sifat meniru buah. Pada saya adalah jelas bahawa buah-buah tersebut biasanya adalah satu nama teknik gerak dalam seni silat yang berasal dari satu-satu tempat tertentu. Satu teknik pusaka gerak orang-orang Melayu yang asli.

Setiap buah Keputusan dalam pelajaran SC, ada kelebihannya. Falsafahnya berbeza antara satu sama lain. Buah-buah itu membantu Kaedah yang sedia ada. Pada dasarnya, prinsip kaedahnya masih menggunakan kaedah sedia ada dalam persilatan kita. Cuma terdapat sedikit penyesuaian dengan adanya gerak gelek yang amat diberatkan dalam buah-buah keputusan tersebut.

Pada kesimpulan saya, gerak buah-buah keputusan yang kita pelajari adalah bersesuaian dengan Kaedah yang empat itu. Malah, saya berpendapat, penggunaan buah-buah keputusan tersebut adalah sebagai alat untuk memahirkan Kaedah kita. Teras Kaedah kita tetap empat iaitu bergelar A, B, C dan D. Kalau ada ahli yang bertanya kenapa huruf demikian. Pada saya lebih sedap didengar berbanding dengan pengenalan Kaedah Alif, Ba, Ta dan Tha.

Bukan semua serangan perlu dihadap dengan tangkisan yang sedia ada secara berdepan. Masih ada pilihan kalau timbul perasaan ragu. Guna buah Keputusan. Prinsipnya, badan tetap tidak bergerak atau melarikan diri atau berubah tempat. Cuma, badan perlu mengereng dalam istilah gelek. Pada satu peringkat nanti, buah-buah itu pun ‘tidak pakai’ apabila menggunakan kaedah potong yang merupakan pelajaran mutlak SC.

Kadang kala saya terfikir sendiri. Kalau Ustaz mengekalkan buah keputusan yang sedia ada, tentu terdapat keistimewaannya yang tersendiri. Ustaz tetap bertegas atas penggunaan buah-buah keputusan, sama ada pada geraknya atau pada namanya. Desakan dari persatuan silat lain supaya nama buah itu diubah, terpinggir begitu saja. Walau bagaimanapun, satu ketika dulu, pernah ada orang-orang kanan Ustaz yang membuat perubahan. Senarai buah yang ada, disebut berdasarkan bilangan. Bukan namanya. Namun begitu, perubahan itu tidak popular. Akhirnya kembali ke asal. Rujukan pada buah tetap berdasarkan nama yang sedia ada.

Saya mempunyai pandangan sendiri tentang keistimewaan buah-buah keputusan yang dikekalkan Ustaz. Berdasarkan pengalaman saya bersilat, kaedah mengambil buah-buah keputusan tersebut adalah sangat istimewa. Semuanya menggunakan gerak gelek badan. Geleknya rapat. Penggunaan hujung kaki amat berkesan bagi ‘melarikan’ badan dari tumbukan lawan. Kalau ditafsirkan ‘tumbukan bodoh’, tumbukan itu tersasar dalam jarak yang tersangat rapat dengan badan. Tak perlu dibantu dengan apa-apa kaedah tepisan. Namun begitu, dalam pembelajaran SC, gelekan itu tetap dibantu dengan kaedah SC yang sedia ada. Sungguh mantap pergerakannya. Boleh juga dibuat kesimpulan betapa ‘gerak gelek itu hanya membantu gerak Kaedah yang ada dalam SC.’

Mungkin ada kekecualian pada buah Hentak. Buah ini menggunakan Kaedah A tapi cara masuk agak istimewa. Kedua tangan digunakan keseluruhannya. Misalnya, tangan kanan digunakan sepenuhnya dari hujung tangan hingga ke siku. Manakala tangan kiri juga turut membantu dengan peranannya sama iaitu dari hujung tangan hingga ke siku. Jatuhannya juga agak berbeza berbanding dengan jatuhan buah-buah SC yang ada. Jatuh macam ‘biji nangka’. Sesuailah gelarannya dengan istilah hentak. Adik beradik ‘henyak’. Kalau jatuhannya sama seperti buah Pertama, maknanya ada yang tak kena. Perbaiki segera. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 03/02/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: