RSS

58.5. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN.

23 Jan

Sambungan…Pukulan Dalam SC.

Pada pemerhatian saya, selepas zaman Ustaz, banyak pelarasan buah yang dijalankan. Terutamanya di zaman PA. Kadang kala pelarasan itu adalah di luar dari pengetahuan Guru Utama. Pelarasan banyak dilakukan mengikut kepala angin Jurulatih tertentu. Kini, boleh dikatakan kesemua kalangan mereka, telah berada di sebelah sana. Seperti dikata, oleh sebab arahan pelarasan bukannya datang dari Guru utama, program sedemikian adalah di luar perhatian saya. Banyak juga pelarasan yang tidak dipersetujui Guru Utama. Saya pernah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang terdahulu.

Kini, saya tidak aktif mengajar silat. Pengetahuan yang sedia ada, dirasakan perlu dikongsi bersama. Sekurang-kurangnya dapat menambahkan pengetahuan para ahli SC. Isi penulisan adalah berdasarkan pendapat saya yang selama ini berusaha mempertahankan gerak SC yang saya terima dari Ustaz. Saya telah berusaha menyesuaikan diri dengan gerak yang dikehendaki Ustaz. Bukannya menyesuaikan gerak tersebut dengan kebolehan diri.

Di sebalik perbuatan menambah-nambah gerak pukulan ketika memberi penjelasan, yang peliknya pada saya, penekanan pukulan yang sah pada beberapa buah jatuhan mula diabaikan. Contohnya ialah buah Pertama yang tidak diberatkan pukulannya. Tiba-tiba, saya difahamkan bahawa pukulannya adalah secara buka tangan. Pelbagai alasan diberikan bagi membenarkan perbuatan demikian. Biasanya, maksud keselamatan adalah diutamakan. Saya tak boleh komen banyak. Semasa saya menuntut SC dulunya, tidak pernah wujud pukulan buah pertama secara buka tangan.

Begitu juga dengan pukulan pada buah-buah yang menggunakan Kaedah A. ‘Cucukan’ pada tengkok telah diketepikan. Bila masuk pelajaran potong, baru dikehendaki berbuat demikian. Tidak tetap pendirian. Sifat itu boleh mendidik para penuntut berwatak sedemikian. Buah Kidung Kiri juga ada perubahannya. Nampaknya, tetakan di lengan, diganti dengan ‘tepukan bebas di mana-mana tempat.’ Tak ada penekanan. Tepuklah di mana-mana. Tak kisah. “Aww”. Bunyi suara akibat tepukan berkenaan. Tambah lurutan. Bila dilurut maka bertambahlah awwnya. Pada hal, tetakan tersebut adalah merupakan satu gerak pukulan yang amat penting. Boleh menyebabkan lawan kita mudah dijatuhkan.

Saya pernah menulis tentang pengalaman saya menerima tetakan Kidung Kiri dari Ustaz. Saya dapat rasakan betapa pukulan sedemikian menyebabkan lutut secara automatik menjadi lemah dan mudah dijatuhkan. Tak banyak menggunakan kekuatan. Tak teruk-teruk pulas tangan atau sebagainya. Sepatutnya, tugas Jurulatih ialah memberi penekanan pada tempat yang patut dibuat tetakan. Beri perhatian pada situasi yang membolehkan wujud perkaitan antara tetakan di lengan dengan kelemahan pada lutut. Latihlah secara bersungguh hati. Tetak betul-betul. Cuma, kawal kekuatan tetakan. Bukannya beratus kali kita membuat tetakan. Adatnya empat atau lima kali perbuatan sedemikian kerana banyak lagi buah lain yang perlu kita buat latihan.

Kalau dikira faktor keselamatan, semasa kami menuntut dulunya, kami juga adalah penuntut. Tulang masih muda. Alhamdulillah, tidak ada yang tercedera. Ikhlas belajar dan ikhlas mengajar agaknya. Nak elak kecederaan, pukulan boleh diperlahankan. Perkara penting ialah jangan diubah bentuk pukulan. Cuma, kadar atau peratus pukulan boleh dikurangkan. Kalau terlajakpun pasti tidak memudaratkan. Nampaknya, pukulan yang tak sepatutnya dibuat telah ditambah manakala pukulan yang sepatutnya dibuat telah diabaikan.

Kini, SC rancak bertapak di sekolah-sekolah. LPT boleh memikirkan susunan pelajaran yang bersesuaian dengan umur dan kekuatan badan pesilat sedemikian. Asasnya, murid-murid sekolah masih terikat dengan peraturan sekolah. Kita tidak ada hak sepenuhnya pada mereka. Kalau dah tamat sekolah, tak ada kawalan dari pihak lain. Oleh itu, bolehlah difikirkan penyesuaian tanpa mengorbankan konsep dan falsafah SC.

Masa saya dulu, tidak dinafikan betapa adanya pukulan-pukulan yang tidak digalakkan secara padu pada sasaran. Hal yang demikian adalah kerana faktor kemudaratan yang jelas. Misalnya, pukulan Sendeng Atas. Pukulan tetap dibuat secara laju, tapi dihentikan di bawah dagu. Tetap di bawah dagu. Kalau terlajakpun, situasi berkenaan teramat kurang.

Setahu saya, tak pernah berlaku dalam sejarah, penuntut silat kehilangan dagu atau kehilangan gigi akibat latihan buah berkenaan. Lebih baik situasi penerangan sedemikian daripada situasi membuat pukulan Sendeng Atas yang jauhnya ‘berbatu’ dari dagu. Apabila masuk pelajaran potong, penuntut diarah membuat pukulan di bawah dagu. Hal yang demikian akan menyebabkan penuntut terkeliru. Dari segi psikologi pendidikan, perbuatan tersebut mendidik para penuntut kita bersifat tiada pendirian. Pendirian berubah-ubah mengikut kepentingan. Sifat berpura-puralah namanya itu. Itulah salah satu sifat utama yang mendorong pepecahan dalam persilatan SC.

Walau bagaimanapun, untuk pukulan Paras, kita menerangkan kepada penuntut bahawa pukulan itu adalah secara tetakan atau pukulan secara tangan dibuka di bahagian tengkok atau di bahagian belakang kepala. Sasarannya adalah berbeza bagi kedua-dua jenis pukulan itu. Kesannya juga adalah berbeza mengikut pukulan tersebut. Tetakan boleh membawa kematian, manakala tamparan boleh membawa pengsan.

Oleh sebab berbahaya, penuntut hanya diberi penerangan tetapi dilarang membuat pukulan di tempat berkenaan. Kita tidak mahu menanggung risiko. Walaupun mungkin ada yang ingin pembuktian, tapi kita perlu berhati-hati. Kita lebih tahu akan kesan kemenjadiannya. Namun begitu, pukulan tetap dibuat tetapi bukan di bahagian tengkok. Hal yang demikian bagi mengelak kemudaratan.

Pernah berlaku seorang penuntut yang tidak mempercayai akan kesan pukulan tersebut. Beliau inginkan pembuktian. Tak ada jalan lain, melainkan menunjukkan bukti pukulan sebenar. Nampak kesannya. Tersungkur ke depan dalam keadaan nampak bintang dan tak ketahuan diri. Itulah kesan yang boleh membawa kepada kemudaratan. Perbuatan dalam kelas yang perlu diberi perhatian.

Samalah juga dengan Buah Lintau. Pukulan pada bahagian belakang pinggang boleh mengundang pitam atau pengsan. Saya sendiri pernah merasainya. Oleh itu, pasangan penuntut disaran supaya menahan dengan tangan di bahagian sasaran belakang tersebut supaya pukulan Lintau dapat dilakukan. Kita buat tambahan gerak pada pasangan demi keselamatan dirinya. Bukan tambahan gerak pada diri sendiri. Kalau dengan lawan, tidak perlulah kita beri ingatan supaya tangan menahan bahagian belakang. Kecualilah ketika kita membuat buah jatuh Gayung Patani. Kita beri arahan pada lawan. “Jangan tendang rusuk ye!. Dah tak ada pelajaran.”
“Ok.” Kata sahutan lawan.

Pada saya, bentuk pukulan tidak perlu diubah suai. Jika ada gerak pukulan, nyatakan gerak sebenar pukulan tersebut. Jangan disembunyikan. Cuma, kadar atau peratus pukulan boleh dikurangkan. Begitu juga sasaran pukulan yang perlu diberi perhatian, terutamanya pukulan yang melibatkan tengkok. ‘Boleh jalan’. Banyak mudaratnya pada kita yang bertanggungjawab sebagai seorang Jurulatih. Terpaksa menanggung beban. Perlu diberi pengawasan. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 23/01/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: