RSS

58.4. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN.

21 Jan

Pukulan Dalam SC.

Pada pemerhatian saya, terdapat para Jurulatih yang terlalu ingin membuktikan betapa hebatnya gerak yang ada dalam SC. Dalam keghairahan berbuat demikian, menyebabkan pembuktian dalam penerangan dan tindakannya turut ‘bertambah’. Perkara yang tiada telah diadakan. Niatnya baik untuk membuktikan bahawa SC amat mementingkan pukulan. Tapi sifat menambah atau mengurang pukulan adalah berdasarkan sifat atau ‘kepala angin’ Jurulatih berkenaan sahaja. Tentunya tindakan tersebut akan menyebabkan perbezaan gerak sesama penuntut.

Saya ambil contoh pada buah Kidung Kiri. Kelemahan yang sering berlaku pada penuntut ketika mengambil buah ini ialah keseimbangan badan. Setelah ditepis, perlu dibuat tetakan pada lengan, sebelum jatuhan. Namun begitu, akibat kegopohan, ramai dalam kalangan penuntut yang semacam nak jatuh ke belakang. Tak ada keseimbangan. Sepatutnya, tangan lawan yang ditepis, perlu ditolak sikit ke depan dalam proses membuat tetakan. Baru ada keseimbangan.

Teringat saya pada seorang Jurulatih lama yang pernah berada dalam satu kumpulan mengajar dengan saya. Beliau memberi arahan tambahan. Bagi memudahkan tetakan, diarahnya siku kiri disendal di rusuk lawan. Setakat itulah perkembangan tambahan pada buah berkenaan sepanjang saya berada di pusat. Maknanya, pada kesimpulan saya, Jurulatih itu sendiri yang membuat penerangan tambahan sedemikian bagi mengekalkan keseimbangan badan.

Ketika saya berada di cawangan, rupa-rupanya telah ada penerangan tambahan. Difahamkan, telah ada pelarasan tambahan yang menekankan perbuatan sedemikian. Siku yang diletak di rusuk lawan adalah mesti dan merupakan satu pukulan yang boleh membahayakan lawan. Ada lagi tambahan. Setelah tangan ditepuk maka buatlah lurutan hingga ke pergelangan tangan. Aww. Sedapnya. Lepas ditepuk maka dilurut. Saya difahamkan juga bahawa perbuatan menyiku dirusuk lawan telah berjangkit pada buah Sendeng Atas. Pulak dah!.

Susah nak komen. Tak nampak logik akan kesan pukulan siku tersebut. Nak buat macam mana. Penerangan sendiri berdasarkan tafsiran sendiri. Syok sendiri. Namun begitu, ketika buah jatuh, pukulan siku itu tidak pula diberi penekanan. Kepentingan yang sekerat jalan. Hanya berguna pada pelajaran asas. Masa buah jatuh, tidak diberi penekanan.

Saya tak pernah ikut atau membuat penerangan sedemikian di mana-mana kelas yang saya kendalikan sejak di pusat hingga ke cawangan. Pertamanya, sepanjang saya belajar dari Ustaz, tak pernah ada penekanan seperti itu. Tak ada asal usulnya dari Ustaz. Saya selalu membuat penekanan bahawa Ustaz sendiri telah membuat tapisan pada buah-buah yang ada dalam SC. Kalau tak ada pukulan, maknanya memang tak perlu pukulan. Kalau buah berkenaan perlu pukulan, buatlah pukulan. Ada sebabnya keperluan pukulan berkenaan. Jangan diubah suka-suka hati.

Keduanya, penambahan gerak pukulan siku ke rusuk lawan akan melambatkan tindakan jatuhan. Buah ini perlu diberi perhatian kerana geraknya sangat rapat. Kalau lambat, mengakibatkan kita boleh ‘dirapatkan’. Ketiganya, ada juga dalam kalangan penuntut yang membuat pukulan serentak di lengan dan di siku. Akibatnya, kedua-dua pukulan tidak memberi kesan. Ingat falsafah silat kita. Apabila berlaku dua gerak dalam satu ketika, salah satu gerak tersebut akan menjadi lemah. Boleh jadi juga kedua-dua gerak tak jadi.

Namun begitu, pengaruh gerak sikunya amat berleluasa hingga sekarang. Hingga ada kalangan Jurulatih sekarang yang menegaskan ‘tusukan’ siku itu boleh mematahkan tulang rusuk. “Tambah lagi penerangan”. Adatnya, mana mungkin siku pesilat boleh mematahkan tulang rusuk lawan ketika tangan kanan ‘sibuk’ membuat tetakan di lengan, manakala tangan kiri pula memegang erat lengan pasangan. Lebih-lebih lagi apabila musuh kita membuat lentikan. Lentikannya itu kerana gerak semula jadi atau kerana geli akibat sikuan.

Pada hal, gerak utama ialah tetakan di bahagian lengan. Kalau disambung dengan jatuhan, kepantasan tangan kanan kita memegang hujung tangan dan kecekapan tangan kiri kita bertukar menjadi kuntau kiri adalah sangat diutamakan. Ingat. Tumbukan musuh juga tidak bermalam. Kebiasaan mereka, selepas melepaskan tumbukan, tangan kanan akan dipusing untuk membuat pukulan di muka kita. Tak sempat sendal siku di rusuk. Kalau disendal juga, alamat gerak kita akan bermalam. Berhentilah proses gerak membuat jatuhan. Adatnya, muka kita akan menjadi sasaran. Akibatnya, kita yang ‘bermalam’. Maka larilah falsafah ‘Makan Gerak Dalam gerak”. Lari ke Bangkok. Tak larat nak kejar.

Cuma, yang menghairankan saya, bagaimana pengaruh penerangan Jurulatih berkenaan tentang pemakan siku pada buah Kidung Kiri, menjadi amat luas sekali ikutannya. Dikaitkan pula dalam gerak Sendeng Atas. Dulupun, hanya Jurulatih itu seorang saja yang mempopularkan gerak sedemikian. Keseluruhan Jurulatih lain yang sama taraf dengannya, tak ikut. Tapi, lama-lama jadi ikutan. ‘Kepala angin’ Jurulatih berkenaan. Ketika saya mengajar bersama dengannya, saya tak pernah beri penekanan sedemikian tatkala sampai pada buah berkenaan.

Mungkin kita berpendapat semacam sikit saja penambahan gerak pada buah berkenaan. Pada pendapat dan pengalaman saya, perbuatan demikian akan mengundang bahaya pada diri kita. Kelewatan membuat pukulan di lengan dan kelewatan menjatuhkan lawan, akan mengundang malang. Selalu saya membuat pembuktian dalam kalangan anak didik saya.

Pernah saya ditanya oleh penuntut SC dari kelas lain tentang pemakan buah Kidung Kiri tersebut. Saya suruh buat. Kalau boleh patahkan tulang rusuk, cuba patahkan. Tak terasa sakitnya langsung. Tapi terasa geli. Nasib baik tak stim. Begitulah keadaannya jika kita tidak tahu akan punca gerak. Guru tak cakap, tapi Jurulatih yang menambah penerangan bagi maksud menghebatkan buah berkenaan. Niatnya baik. Tapi caranya merugikan penuntut silat. Tak ada kesan yang mantap. Lagi pun, tak ada asal usulnya. Mana mungkin keberkesanan pukulan siku dalam keadaan tangan kita melakukan ‘kerja lain’.

Sebenarnya, pukulan siku pada rusuk menyebabkan timbul juga persoalan pada penuntut yang ada pengalaman silat lain. Mereka nampak akan ruang tindak balas. Walau bagaimanapun, cubaan mereka untuk bertindak balas akan menjadi sia-sia sahaja jika kita memiliki gerak ketepatan dan kecepatan dalam proses membuat jatuhan. Tangan kanan lawan akan terkunci gerak ketika proses membuat jatuhan.

Pernah berlaku, apabila gagal membuat tindakan balas, barulah penuntut berkenaan menceritakan tentang maksud gerak tindak balas yang tak menjadi. Menurutnya, selama ini, mereka yang leka membuat pukulan siku dirusuk, mudah baginya membuat tindak balas. Tangan kanannya yang lambat dipegang, membolehkannya membuat pukulan secara memusingkan tangan. Ramai kawan yang sama belajar dengannya menjadi ‘mangsa’. Tapi gagal dek kerana kita membuat gerak sebenar pukulan Kidung Kiri. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 21/01/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: