RSS

58.3. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN.

18 Jan

Sambungan… Tafsiran Dan Penerangan Konsep Menyerang.

Saya telah nyatakan tentang keperluan memelihara kerahsiaan pelajaran tumbukan tersebut. Semua penuntut silat yang tamat telah difahamkan tentang konsep tumbuk serang. Maksud kerahsiaan telah menyebabkan nama tumbukan itu adalah pelbagai. Ada yang menggelarnya buah serang atau tumbuk serang atau buah sebijik. Sekarang ini saya tak tahu akan gelarannya. Apapun, kefahamannya adalah bermaksud memerhati gerak lawan untuk membantu tindakan menyerang.

Apabila dilepaskan tumbuk serang, sepatutnya kita akan nampak gerak lawan sama ada mengelak, tidak sempat mengelak, mengelak dengan tepisan atau cuba lari ke belakang. Itulah kegunaan tumbuk serang dalam perbuatan menyerang. Kita boleh nampak sebab ada teknik melepaskan tumbukan. Bukan tumbuk biasa, tapi luar dari kebiasaan tumbukan. Kena pada sasaran adalah kerana tumbukan kita sukar dikesan. ‘Lawan’ tak nampak. Tak sempat buat elakan atau tepisan atau lari ke belakang atau cuba terbang. Berlatihlah hingga sampai ke peringkat tersebut. Jadikan amalan setiap hari.

Oleh itu, berhati-hatilah ketika membuat penerangan tentang tumbuk serang. Jangan terlalu gopoh memberi penerangan hingga lupa akan konsep dan falsafah tumbuk serang tersebut. Selalulah ingat. Pelajaran tumbuk serang itulah merupakan pelajaran satu peratus daripada keseluruhan pelajaran SC. Peratusan yang kecil itu jangan dipermudahkan. Kalau dipermudahkan maka akan banyaklah ruginya pada kita yang mendakwa diri sebagai pengamal SC.

Malangnya, ramai Jurulatih yang ambil mudah. Pelajaran itu hanya dihabiskan dalam satu malam sahaja. Masuk buah umum, lupa konsep tumbuk serang. Kalau kita ambil mudah pelajaran tumbuk serang, akan menyebabkan pelajaran yang kita pelajari itu tidak memberi sumbangan pada keseluruhan pelajaran menyerang Silat Cekak. Pada saya, rugi sungguh para penuntut yang mendapat Jurulatih yang sedemikian. Gopoh mengajar. Tak ada punca membangunkan anak didiknya sendiri dalam persilatan SC supaya para penuntut benar-benar menguasai pelajaran menunggu dan pelajaran menyerang. Pendapat saya saja. Kongsi pengetahuan.

Penerangan tentang pelajaran serang yang saya peroleh dulu, mungkin tidak sesuai untuk penerangan dalam suasana sekarang. Masa majlis tamat silat pada kelas kami, Ustaz ada bersama. Teringat cara dulu. Kami dipanggil seorang demi seorang untuk membuat tumbukan pada Jurulatih. “Tumbuk kuat-kuat. Bagi kena.” Itulah arahan yang kami terima. Kami tumbuk sekuat hati. Jurulatih mengelak ke kiri atau ke kanan. Tak adapun yang mengelak ke belakang. Naik ke atas, langsung tak ada. Menepis pun tidak.

Semua tumbukan kami terbabas. Tak kena. Setelah selesai, Ustaz menyuruh kami duduk pada satu tempat. Ustaz buktikan betapa ruginya serangan tumbukan secara yang sedemikian.“Tumbuk bodoh”. Bukan orangnya yang bodoh. Itulah kata-kata Ustaz bagi menjelaskan konsep tumbuk serang. Tumbuk bodoh membawa maksud tumbukan ‘kosong’ yang tidak dirancang atau tidak terarah. Perbuatannya sis-sia kerana tak ada strategik menyerang. Kemudian Ustaz membuat penerangan tentang cara tumbuk serang. Mungkin itu satu kelainan pada kelas kami. Penerangan dulu sebelum diberi tumbuk serang. Kebiasaan kita, tumbuk serang terlebih dahulu, barulah diberi penerangan.

Selepas itu seorang Jurulatih membuat satu garisan melintang. Kami diarah bertapak atas garisan tersebut. Arahannya ialah mengelak ke kiri atau ke kanan, atas garisan berkenaan. Jangan dibuat tepisan atau jangan undur belakang. Seorang demi seorang dipanggil. Jurulatih membuat serangan dalam keadaan kami telah mengetahui tentang konsep kejutan. Apakan daya. Kena juga tumbukan. Tak sempat mengelak sama ada ke kiri atau ke kanan. Kedengaran suara raung pada setiap pesilat akibat ‘peluru berpandu’ yang dilancarkan. Semua pesilat bersetuju dengan pendapat antara rakan. “Tak nampak penumbuknya. Tak sempat mengelak. Tiba-tiba datang.” Kadang-kadang saya tergambar jenis tumbukan yang ‘berhenti rehat’. Apatah lagi penumbuk yang mencari ketenangan. Biasanya serangan tumbukan adalah berbentuk ketukan. Bila terkena, tiada raungan, melainkan kedengaran suara perlahan. “Awww.” Gambaran aje. Buat gurauan.

Begitulah kagumnya kami pada pelajaran tumbuk serang. Pelajarannya adalah berdasarkan sekali tumbukan. Tak ada tumbukan susulan. Tak ada yang mengelak ke belakang. Semuanya faham akan maksud kegunaan tumbuk serang. Cuma, kenapa boleh jadi ada penuntut yang mengelak ke belakang. Maknanya, penerangan Jurulatih tentang konsep tumbuk serang tidak cukup. Tak capai tahap kefahaman. Akhirnya diri sendiri yang susah. Saya bersyukur, sepanjang saya mengendalikan kelas, tak pernah ada ahli yang ditamatkan, undur ke belakang semasa memberi pelajaran tumbuk serang. Maknanya saya berjaya menerangkan maksud tumbuk serang. Semua orang faham.

Setelah menyampaikan pelajaran tumbuk serang, barulah kita pergunakan pelajaran tumbuk serang itu dalam pelajaran menyerang. Orang yang telah menguasai tumbuk serang, tumbukannya boleh jadi ‘tak nampak’. Sukar dikesan lawan. Kalau dielak kena satu, kalau ditepis kena dua. Senarai buah umum direka untuk mengaplikasikan tumbuk serang. Tumbukannya adalah berbeza dari kebiasaan. Tapi, lain jadinya pada kebanyakan kelas. Senarai buah umum dilatih sebagai pelajaran potong. Penumbuk serang telah dilupakan. Tumbukan sudah menjadi biasa. Kalau dulu-dulu, dikatakan ‘tumbuk bodoh’ namanya. Itu sebab ada penuntut boleh tunduk ambil Sendeng Tiga Alam. Cuba pakai tumbuk serang. Alamat nampak bintang. Pada hal pelajaran tumbuk serang ada ijazah khas. Sama seperti pelajaran potong yang ada ijazah khasnya. Kenapa campur aduk. Rojak buah.

Saya tak pernah ikut senarai buah umum tersebut. Tak pernah ajar pada anak didik saya. Sebabnya masa saya belajar dulu, tak ada senarai itu. Malah, semasa saya menjadi Jurulatih di pusat pun, senarai umum belum dibuat lagi. Belajar buah umum nak buat apa. Sekali tumbukan tak dapat buat pun buah berkenaan. Oleh itu, pelajaran seterusnya adalah tertumpu pada latihan tumbuk serang.

Malang pada sesetengah kelas. Bila ada senarai umum, pelajaran seterusnya ialah pelajaran menyerang buah tersenarai secara pelajaran potong. Sebelum itu, mereka diajar membuat buah umum tersebut. Buah mesti cantik. Lenyaplah penekanan pada pelajaran tumbuk serang. Belajar balik pelajaran potong. Amat merugikan.

Nak jadi ‘cerita’, masa jadi Jurulatih dulu, saya pernah menghadiri majlis penamat satu kelas silat di ibu pejabat. Saya duduk di tepi kerana malam itu bukan giliran saya mengajar silat. Kelas dikendalikan oleh dua orang Jurulatih lama. Hebat juga tumbukan mereka. Penerangan yang saya alami ketika tamat, diulang mereka pada kelas berkenaan. Para pesilat dikehendaki menumbuk sekuat hati. Mereka akan membuat elakan. Belum lagi diterang tentang konsep tumbuk serang. Malangnya, ada dalam kalangan pesilat yang membuat tumbukan, mengena sasaran. Tak sempat Jurulatih mengelak. Kelam kabut jadinya. Maknanya penuntut itu telah tahu cara tumbukan sedemikian. Rupa-rupanya, ada adik beradiknya yang telah tamat SC terlebih dahulu. Rahsia bocor.

Ada juga kejadian lain yang berlaku dalam kelas penamat. Kejadian tumbuk serang Jurulatih yang tersasar dari sasaran. Tidak mengena, sama seperti ‘penumbuk bodoh’. Apa lagi. Muka Jurulatih berkenaan pudar, nampak macam ‘orang bodoh’. Nak tutup kelemahan, terpaksalah Jurulatih itu buat kaedah menyerang. Terpaksa guna satu lagi gerak susulan. Maka larilah konsep pelajaran tumbuk serang dalam kelas berkenaan.

Ada juga dalam kalangan Jurulatih yang buat-buat baran. Penuntut pulak yang dimarah kerana dikatakan tersalah elakan. Macam-macam perkara dilakukan bagi menafikan kelemahan diri sendiri. Kalau dah lemah, mengakulah lemah. Baiki kelemahan dengan membanyakkan latihan. Janganlah para penuntut dijadikan ‘kambing hitam’.

Saya difahamkan, ada juga dalam kalangan Jurulatih yang membuat tumbukan seiring dengan arahan. “Elak….” Teruslah Jurulatih itu membuat tumbukan. Senangnya kaedah penyelesaian memberi pelajaran tumbukan. Kejutan perbuatan telah diganti dengan sebutan ‘elak’ secara lisan. Rekaan sendiri. Sungguh merugikan diri sendiri. Hal yang demikianlah saya selalu kiaskan umpama ‘lilin membakar diri’. Memberi pengetahuan pada orang lain dalam keadaan diri sendiri tidak bertambah kecekapan. Sekurang-kurangnya, jadikan perbuatan membuat tumbukan untuk mengukur kemampuan diri. Perbaiki kelemahan jika diri terasa lemah.

Oleh itu, sebelum pelajaran tumbuk serang diberi pada penuntut, para Jurulatih disaran supaya membuat latihan tumbuk serang terlebih dahulu. Jangan ambil mudah pelajaran tumbuk serang. Walau bagaimanapun, latihan yang berterusan akan menyebabkan kemenjadian tumbuk serang dalam kalangan Jurulatih sentiasa berkekalan.

Kini, usia SC telah berpuluh tahun. Pelajarannya tersebar luas. Pengawasan atas kerahsiaan pelajarannya sukar dikawal. Mungkin ramai yang tahu akan rahsia pelajaran kita. Tapi saya yakin, hanya setakat tahu dan bukannya tahap kefahaman. Dalam hal ini, kita yang mempelajari SC, mesti faham dengan sepenuhnya akan prinsip, konsep dan falsafah setiap gerak yang ada dalam SC. Terutamanya pelajaran rahsia kita. Kalau setakat tahu saja, berkemungkinan besar pengetahuan kita itu akan sama dengan orang lain yang tahu tapi tidak mempelajari SC. Alangkah ruginya diri sendiri.

Sebagai kesimpulan, berhati-hati tatkala menggunakan istilah dan ketika memberi penerangan tentang pelajaran tumbuk serang. Jangan gopoh buat penerangan dan jangan gopoh menghabiskan pelajaran dalam satu malam. Walau bagaimanapun, buatlah penyesuaian ketika memberi atau menurunkan pelajaran dalam kelas tamat. Cuma, jangan bercelaru antara konsep menyerang dan konsep tumbuk serang. Itulah pegangan saya sepanjang masa. Perkongsian ilmu. Telah terbukti kebenarannya. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 18/01/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: