RSS

58.2. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN.

16 Jan

Sambungan… Tafsiran Dan Penerangan Konsep Menyerang.

Dalam tulisan yang lalu saya menekankan segi penggunaan istilah dalam prinsip tumbuk serang. Walau bagaimanapun, ada satu perkara lagi yang perlu kita beri perhatian iaitu berkaitan dengan penerangan tentang konsep pelajaran tumbuk serang. Kita perlu memberatkan pelajaran ini. Pelajarannya adalah dalam peratus yang amat kecil. Selalu dikaitkan dengan satu peratus sahaja. Namun begitu, pelajaran yang sikit, jangan diambil mudah. Kalau diambil mudah maka kesannya kurang berfaedah.

Kita boleh ibaratkan dengan ilmu petua. Pelajarannya sikit. Macam tak puas setelah mendapatkannya. Macam tak ada apa-apa. Kalau diambil mudah, maka jadilah petua itu sebagai tambahan pengetahuan. Tak bermaksud untuk amalan. Amat besar ruginya. Hal yang demikianlah menyebabkan Ustaz tidak begitu mudah memberi petua. Kesungguhan anak muridnya yang berkehendak adalah merupakan kayu ukur bagi menentukan habuan untuk mendapatkan petua. Kerap kali, mandi silat dijadikan ‘lesen’ bagi mendapatkan ilmu petua seterusnya. Tak tergamak anak murid silat bercakap bohong apabila ditanya, “Sudah habis mandi atau belum.”

Secara umumnya, pelajaran SC meliputi prinsip sama ada menunggu atau menyerang. Pelajaran menunggu, terlalu kita beri perhatian. Ambil masa berbulan-bulan. Kaedah, Buah Asas dan Buah Jatuh adalah mewakili konsep menunggu serangan. Apabila kita memasuki pelajaran Potong, konsep menyerang mula diberi perhatian. Tempoh masa pelajarannya lebih pendek, berbanding dengan pelajaran menunggu serangan.

Ada yang menimbulkan persoalan. Pelajaran ‘Enam Tolak Enam’ hendak diletak pada bahagian mana. Menunggu atau menyerang. Saya tegaskan pada mereka. Konsep pelajaran berkenaan adalah seri dalam gerak sesama ahli. Falsafahnya, sesama ahli tidak boleh bergaduh. Kalau ahli SC yang menyerang dan ahli SC yang menunggu serangan, tidak ada keputusan gaduhnya. Kalau bertukar peranan menunggu atau menyerang, buatlah sampai ke pagi. Adatnya tidak ada yang menang dan tidak ada yang kalah. Sesuailah dengan ikrar kita, ’tak boleh bergaduh sesama ahli’. Dari segi gerak, kalau bergaduh, tidak ada keputusannya. Adatnya.

Walau bagaimanapun, aplikasi pelajaran Enam Tolak Enam boleh dibuat ketika kita berhadapan dengan lawan yang berlainan persilatan. Menunggu pun boleh guna buah berkenaan dan menyerang pun boleh menggunakan ‘Enam Tolak Enam.’ Perkayakan diri dengan ilmu berkenaan. Tapi pelajaran ini jarang diberi pemberatan.

Saya selalu tegaskan pada penuntut saya, setelah buah jatuh maka habislah pelajaran menunggu serangan dalam SC. Bagi mendapatkan pelajaran berkenaan, tidak ada mandi silat. Setakat ijazah pertama dan bayar pengkeras untuk ‘meminang’ guru. Pelajarannya tak menjadi rahsia sangat. Lumrah ditunjuk dalam persembahan SC di mana-mana tempat. Namun begitu, semasa saya mengendalikan kelas, mereka yang masih berada di tahap pelajaran asas, tidak dibenarkan melihat pelajaran jatuh. Rahsia kecil.

Untuk masuk ke peringkat seterusnya, ada ijazah khas. Kena mandi silat. Kena bawa pisau dan limau purut. Perkara mesti. Tak ada sebarang alasan atau tak ada sebab yang boleh diberikan untuk mendapat hak kekecualian. Kegagalan menghadirkan diri dalam ijazah dan mandi silat itu, penuntut berkenaan dianggap tercicir atau dicicirkan. Tak boleh datang ke kelas silat. Kena tunggu majlis ijazah yang sama di lain masa. Kalau datang juga ke kelas silat, pelajaran silat pada malam itu akan tertumpu pada pelajaran lain. Tentunya hal yang demikian akan menyebabkan penuntut lain berasa kecewa.

Kami difahamkan dulu bahawa ijazah kedua membawa makna kebenaran untuk mempelajari rahsia SC. Pada kesimpulan saya, itulah peringkat pelajaran menyerang dalam SC. Keupayaan menyerang adalah berdasarkan pada sistem yang tersusun rapi. Ada prinsip-prinsipnya. Rahsia besar dalam SC. Tak boleh bagi bukan ahli melihatnya. Kita juga tak boleh memperlihatkan sistem itu dalam mana-mana persembahan. Sebenarnya, pelajaran potong adalah pelajaran menyerang. Tapi, tak ramai yang berani cakap tentang konsep pelajaran potong sebagai pelajaran menyerang. Terikat dengan konsep satu peratus yang salah buat tafsiran.

Pelajaran menyerang terus diberatkan dalam ijazah yang tarakhir. Biasanya dikatakan tamat silat. Kena mandi. Sekali lagi kita tegaskan. Kegagalan menghadiri ijazah berkenaan, bermakna penuntut silat itu akan tercicir atau dicicirkan. Mereka yang berjaya menjalani ijazah tersebut berserta mandinya sekali, akan diperturunkan ilmu menyerang seterusnya. Itulah yang dinamakan sebagai ‘Tumbuk Serang’. Dalam konsep menyerang ini, cara tumbukan mula diperbezakan. Di sinilah lahirnya konsep pelajaran tumbuk serang yang dikatakan satu peratus itu. Tumbuk serang itulah boleh dianggap sebagai nadi penting dalam pelajaran menyerang.

Kalau ada masa, sila rujuk dalam blog Sepak Minang tentang prinsip dan konsep tumbuk serang. Saya banyak menulis tentang cara-cara tumbuk serang ‘dilepaskan’. Dalam tulisan ini, saya lebih menekankan konsep dan falsafah tumbuk serang dalam pelajaran menyerang.

Dalam falsafah menyerang dalam pelajaran SC, Jurulatih perlu berhati-hati ketika membuat penerangan. Konsep penumbuk serang adalah merupakan bahagian yang penting dalam pelajaran menyerang. Maknanya, kita kena jelas tentang konsep menyerang dan konsep tumbuk serang. Jangan bercelaru dan jangan bercampur aduk. Penekanan dalam pelajaran penamat ialah pelajaran tumbuk serang. Bukannya pelajaran menyerang yang mula diperkenalkan setelah ijazah kedua dan ada mandinya. Pelajaran menyerang itu adalah pelajaran potong namanya.

Menurut Ustaz, hakikat tumbuk serang ialah tumbuk gerak. Namun begitu, kami tidak digalakkan menggunakan istilah tumbuk gerak. Takut orang lain boleh baca maksud kita. Dalam hal ini, kita perlu ada sifat cemburu supaya orang lain tak mudah memahami maksud serangan kita. Maka popularlah sebutan tumbuk serang.

Konsep tumbuk gerak ialah membaca gerak. Soal kena serangan adalah bergantung pada gerak lawan. Itu sebabnya kita menyuruh penuntut yang kita ‘tamatkan’ supaya mengelak sama ada ke kiri atau ke kanan. Jangan ke belakang, ke bawah atau terbang ke atas. Kita juga tekankan arahan. Kalau elak jangan buat tepisan. Sebabnya, kalau ditepis, pelajarannya telah ada dalam pelajaran potong dalam bab menyerang. Kalau penuntut lari ke belakang, tak payahlah buat tumbukan. Kita nampak geraknya ke belakang. Kalau dah lari ke belakang, maknanya lawan kita tidak bersedia untuk membuat tindakan. Orang ‘takut’ buat apa nak dilayan. Biarkan.

Tapi ada juga Jurulatih yang menyusuri tumbukan tangan kirinya. Matlamatnya ialah bagi kena. Maka ‘larilah’ konsep tumbuk serang. Sebaliknya mengamalkan konsep menyerang. Konsep tumbuk serang ialah tumbuk gerak. Nak bagi gerak. Bukan serang nak bagi kena. Kalau pelajaran menyerang, bolehlah kita membuat susulan tumbukan atau pelbagai gerak lain yang difikirkan sesuai. Matlamatnya ialah nak menang. Selalunya diadakan dalam kelas kemahiran. Tapi pelajaran tamat ialah pelajaran tumbuk serang. “Buah sebijik”. Kalau ada susulan, dah jadi berbijik-bijik. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 16/01/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: