RSS

58.1. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN.

14 Jan

Tafsiran Dan Penerangan Konsep Menyerang.

Sebenarnya, pada zaman Ustaz pun telah ada para Jurulatih yang suka menggunakan istilah sendiri. Malah, ada yang membuat penjelasan sendiri ketika memberi penerangan mengenai gerak-gerak dalam SC. Setakat pengetahuan saya, ada juga penerangan mereka itu tidak ada asal usulnya bermula dari Ustaz. Itulah yang saya namakan sebagai, “penerangan sesuka hati.” Ikut kepala angin sendiri. Maknanya, sepanjang bersama Ustaz, saya pun tak pernah mendengar penerangan yang sedemikian dari Ustaz yang mengendalikan kelas saya hingga tamat. Begitu juga ketika Ustaz menganjurkan kelas-kelas kemahiran dalam kalangan Jurulatih.

Saya sendiripun kadang kala tak berani nak kata salah atau betul kerana tujuan penerangan yang dilakukan Jurulatih itu tidak menyanggah tujuan asal pelajaran. Perbuatan gerak SC pada Jurulatih berkenaan masih tepat dan tidak menyimpang dari kehendak pelajaran SC. Mungkin mereka telah mendapat kebenaran Ustaz atau mungkin mereka ada merujuk pada Ustaz. Seperti yang dikatakan oleh Guru Utama kita, “….Perkara ini berlaku kerana di masa Allahyarham memberinya kadang-kadang berbeza mengikut tempat dan masa”.

Kenyataan tersebut juga membawa makna, ilmu yang diperoleh seseorang itu mungkin berbeza berdasarkan situasi masa dan tempat. Habuan masing-masing. Pada zaman dulu, kami sukar mentafsir atau mengukur ilmu SC yang ada pada seseorang Jurulatih. Cuma, kami yakin bahawa sesiapa yang rapat atau sering bersama Ustaz, pasti ada kelebihan ilmu pengetahuannya.

Kerap kali saya dapati bahawa penerangan yang dilakukan mereka adalah berdasarkan tafsiran sendiri. Namun begitu, saya tak pernah ikut sebab tak pernah terima penerangan atau tafisran sedemikian dari Ustaz. Kadang-kadang saya beranggapan bahawa penerangan seperti itu boleh membawa kepada pertentangan dengan falsafah SC, jika disalah tafsir oleh penuntut. Ada dalam kalangan Jurulatih berkenaan yang membuat tafsiran atau penerangan yang tidak sesuai dengan fahaman saya. Dalam penulisan ini, saya ingin berkongsi pengetahuan atau pendapat saya ketika mereka menamatkan kelas silat. Saya cuba membuat bandingan dengan ‘apa yang saya faham dan apa yang saya dapat’ dari Ustaz. Ingat. Ini adalah pandangan saya. Sekadar berkongsi pengetahuan.

Saya pernah memerhatikan seorang Jurulatih yang lama juga, menamatkan kelas silat. Beliau kini menerajui persatuan asal yang ditinggalkan Ustaz. Tumbukan serangnya memang hebat. Serangan penumbuknya masih padu dan tepat pada sasaran tanpa penuntut sempat membuat elakan. Beliau cuba menerangkan kepada para penuntutnya akan kemenjadian penumbuk itu dengan bersungguh hati. Mukanya serius. Terjegil bijik mata tanda kesungguhannya. Hal yang demikian menjadikan penerangannya itu sangat menyakinkan penuntut. Cuma, penerangannya agak asing pada saya tapi telah menarik perhatian saya. Beliau suka menggunakan perkataan ‘tukmaninah’ ketika menerangkan cara-cara tumbuk serang. Perkataan itulah kunci kejayaan penumbuknya. Itulah kata-kata keyakinannya pada para penuntut yang dikendalikannya.

Berdasarkan penerangan beliau, saya difahamkan bahawa istilah itu membawa maksud, berhenti seketika. Antara lain kata-katanya, “Ketika mengangkat penumbuk, biar ‘tukmaninah’ supaya kita nampak pergerakan lawan.” Menurutnya, apabila berhenti seketika maka kita boleh membuat andaian untuk mempastikan arah lawan kita melarikan badan dari serangan. Lawan akan terkaku dan berada dalam suasana keliru. Ekorannya, lawan kita akan terkena serangan yang kita lancarkan. Begitulah pentingnya peranan ‘tukmaninah’ dalam prinsip melepaskan serangan. Pasti menjadi. Dakwaannya.

Ada juga para pengikutnya dalam kalangan Jurulatih. Saya diberitakan ada juga yang menambah bicara. Menurut mereka, istilah ‘tukmaninah’ juga merujuk berhenti seketika untuk mendapatkan ketenangan. Saya tak faham nak buat komen. Lain langsung daripada fahaman saya. Itulah pertama kali saya mendengar istilah dan penerangan tersebut. Kalau boleh berhenti dan menenangkan diri, makamnya tentunya tinggi. Macam pemandu kereta yang berhenti seketika di R&R untuk menenangkan diri sebelum keretanya menuju ke sasaran perhentian berikutnya. Ada yang tertidur di perhentian berkenaan. Kalau tumbukan dilepaskan dalam keadaan berhenti untuk mendapatkan ketenangan diri, pastinya proses gerak penumbuk berkenaan akan bermalam. Rehat.

Ketika saya bergiat sebagai Jurulatih di pusat, nampaknya pemakaian istilah itu hanya popular pada beliau seorang sahaja. Kini, apabila beliau memegang tampuk persatuan SC di sebelah sana, tentunya istilah itu tersangat popular. Agaknya semua anak muridnya di sebelah sana akan popular dengan istilah itu. Saya sendiripun sukar menerima penerangan tersebut. Saya juga tak berani mengatakan salah. Cuma, cara yang sedemikian sangat tak sesuai dengan kefahaman persilatan SC yang saya ada. Sekurang-kurangnya kerana saya tak pernah dididik sebegitu rupa sama ada secara rasmi ketika saya tamat silat atau melalui majlis-majlis penerangan yang Ustaz buat. Namun begitu, itu cara dia. Pada saya, penerangan yang sedemikian, “percaya boleh, yakin jangan”. Hal yang demikian menyebabkan tafsiran saya tentang serangan tumbukan mungkin berbeza dengan tafsiran Jurulatih berkenaan.

Pada saya, prinsip yang penting bukannya ‘berhenti seketika’ tapi ‘kejutan’. Maknanya juga, ketika mengangkat penumbuk, kita perlu buat kejutan agar pasangan kita ‘bercelaru’ dan membuat gerakan terlebih dahulu. Pergerakannya adalah bersepadu dan secara berterusan. Melepaskan serangan tumbukan adalah merupakan satu proses yang berterusan. Waktunya tersangat singkat. Dalam sekelip mata. Kiraan saat dan ketika. Tak ada maksud henti-henti penumbuk di mana-mana ‘perhentian’. Apatah lagi mencari ketenangan sebelum melepaskan serangan. Itulah kefahaman yang diasas Ustaz pada saya.

Nampaknya, matlamat pengajaran adalah sama tetapi cara penerangannya agak berbeza. Pada saya, jika ditekankan istilah ‘berhenti’, akan menjadikan penumbuk pesilat suka bermalam dan membuat tabik, tanda hormat. Banyak ruginya. Seperti yang saya katakan bahawa Ustaz tidak pernah menyebut perkataan tersebut ketika saya berbincang prinsip dan konsep serang dengannya.

Saya teringat satu peristiwa ketika Ustaz bersama anak didik saya dalam kelas memberi tumbuk serang. Saya sendiri membuat penerangan dan melancarkan ‘peluru berpandu’ tersebut. Saya tekankan betapa kejutan tangan yang berhenti seketika, akan mengundang bahaya. Walau bagaimanapun, untuk maksud pelajaran mula, bolehlah berhenti seketika. Jangan lama dalam kiraan saat dan ketika. Tapi, jangan pula diamalkan. Tersangatlah bahayanya.

Ustaz mencelah dan menyambung penerangan saya. Ustaz membuktikan maksud bahaya tersebut. Disuruhnya seorang penuntut berbuat sifat gerak sedemikian. Tumbuk bermalam. Ketika proses menyambung gerak bermalam itu, Ustaz menyerang balik dengan menggunakan tangan kiri dan gerak kaki kirinya. Kelas berkenaan sungguh beruntung kerana Ustaz sendiri memberi pembuktian. Saya katakan beruntung kerana bukan mudah mendapat buah berkenaan. Jarang sangat ditunjuk Ustaz. Gerak buah itu boleh mematikan tumbuk serang jika serangan tumbukan itu dibuat secara tidak kemas dan ‘suka berehat mencari ketenangan’. Ketika saya menguji kemenjadian tumbuk serang anak didik saya, buah berkenaan dapat dijadikan satu ukuran. Ramai yang kecundang kerana tumbuk serangnya belum ‘cukup masak’. Belum matang.

Berdasarkan situasi yang saya nyatakan di atas, saya bertambah yakin dengan bentuk penerangan yang saya lakukan tentang buah tumbuk serang. Apabila saya berbincang dengan PA yang menjadi pemegang amanah Guru Utama satu ketika yang lalu, sama konsep dan sama prinsipnya. Lagi saya yakin atas kefahaman yang saya ada tentang konsep tumbuk serang.

Pada pendapat saya, ketika memberi buah serang buat pertama kalinya, mungkin penerangan supaya berhenti seketika tumbukan akan cepat menyelesaikan tugas menyampaikan pelajaran tumbuk serang. Tapi itu hanya untuk jangka masa pendek iaitu ketika menurunkan buah tumbuk serang berkenaan supaya para penuntut mudah faham akan proses serangannya. Jangka panjangnya, jika penuntut tidak berubah gerak dan masih suka berhenti penumbuk atau bermalam penumbuk, banyak kerugiannya. Tersangat suka memberi ‘tabik hormat’, sebelum membuat serangan. Berdasarkan pengetahuan dan pemerhatian saya, mereka yang suka berhenti penumbuk dan membuat ‘tabik hormat’, serangan penumbuknya adalah berbentuk ‘ketukan’ dan bukannya berbentuk tumbukan. Tumbukan seperti itu juga tidak ada kekuatan. Boleh tahan kesan tumbukan.

Oleh itu, pada kesimpulan saya, penerangan yang sedemikian akan merugikan penuntut itu dalam jangka masa panjang. Selalulah memberi penekanan supaya tumbukan jangan bermalam. Maknanya, jangan biarkan serangan pesilat kita berhenti atas sifat prinsip ‘tukmaninah’. Jawapannya ,’parah’. Konsepnya salah.

Ketika zaman saya dulu, tumbukan serang kerap kali diistilahkan sebagai serangan peluru berpandu. Tak ada ‘radar’ yang boleh mengesan. Ramai yang berasa kagum dengan serangan tersebut. Ramai juga yang mendakwa betapa serangan itu sukar dikesan sebab tak nampak. Tiba-tiba saja penumbuk sampai. Tak boleh buat apa-apa. Bentuk serangan penumbuk yang sedemikian telah dijadikan satu matlamat pembelajaran dalam kalangan penuntut. Mereka ingin menguasai serangan penumbuk yang sifatnya tak nampak. Tiba-tiba datang. Saya yakin, kalau penumbuk bermalam dek sifat ‘tukmaninah’, pasti gerak kita boleh dikesan. Dalam penulisan awal, saya telah nyatakan kelemahannya. Ustaz sendiri yang membuat penerangan. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 14/01/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: