RSS

58.0. PROSES PENYAMPAIAN PELAJARAN.

10 Jan

Pelarasan Berdasarkan Keperluan Oleh Ustaz.

Seperti yang dinyatakan, saya telah mengikuti pelarasan akhir yang dibuat Ustaz tentang proses pembelajaran SC. Pelarasan itu turut dihadiri oleh semua Jurulatih Utama. Saya katakan mereka sebagai Jurulatih Utama kerana mereka juga adalah merupakan orang-orang kanan Ustaz. Ada yang telah menjadi ‘guru’. Sebelum pelarasan akhir itu, saya difahamkan bahawa Ustaz pernah membuat pelarasan pada buah-buah Silat Cekak dari masa ke masa.

Pada peringkat awal, banyak buah yang ada dalam pelajaran SC. Kalau kita ikuti tulisan Ustaz dalam majalah Dewan Masyarakat, maka kita akan faham maksud saya itu. Pembelajaran SC telah mengalami proses perubahan yang dilakukan Ustaz sendiri. Ustaz lebih tahu akan apa yang dilakukannya. Setelah berlakunya proses demikian, pelajaran SC adalah semakin mantap. Isi pelajaran yang mantap itu diperturunkan kepada para Jurulatih dari masa ke masa hinggalah melalui pelarasan akhir yang dilakukan Ustaz. Itulah palarasan yang dimuktamadkan. Ada nokhtahnya. Oleh itu, dalam konteks Pusaka Hanafi, saya berpendapat pelarasan yang dilakukan seterusnya bukanlah merupakan pelarasan bagi maksud satu pembaharuan dalam setiap gerak, melainkan usaha untuk mengingat kembali gerak-gerak yang ada. Tujuannya ialah supaya isi pelajaran yang ditinggalkan Ustaz tetap seragam dan tidak berubah. Itulah konsep Pusaka Hanafi.

Ustaz telah membuat beberapa perubahan awal dalam sistem pelajaran SC. Hal yang demikian bagi memudahkan kita memahami akan isi pelajaran SC dengan semudah mungkin. Buah Jatuhan yang ada pada silat kita, tidak bergantung pada bilangan buah yang banyak. Asalnya melebihi dua puluh satu. Sekarang ini tetap bilangannya dua puluh satu buah setelah mengalami beberapa proses penambahbaikan. Masa saya, bilangan buahnya adalah sebanyak sembilan belas sahaja. Buah-buah yang ada, secara tidak langsung adalah bagi memahirkan ‘kaedah yang empat.’ Buah-buah itu akhirnya tidak mampu dipakai dalam pembelajaran potong. Akan tetapi tidak diketepikan begitu sahaja. Ada gunanya pada ketika yang lain.

Cuba kita lihat sepintas lalu akan sejarah pelarasan pada pelajaran SC. Bolehlah kita memahami akan keperluan pelarasan tersebut dilakukan. Sekurang-kurangnya akan dapat menambahkan pengetahuan kita bersama.

Setelah Ustaz dipertanggungjawabkan sebagai Guru Utama, Ustaz telah membuat pelarasan pada isi pelajaran Silat Cekak. Malah, adat istiadat yang ada dalam SC juga telah dibuat pelarasan. Menurut Ustaz, amalan dan buah-buah yang ada dalam SC telah dianalisis dengan mengekalkan perbuatan dan pergerakan-pergerakan yang sesuai. Ustaz mempunyai alasan yang kukuh dan praktis untuk mengenepikan pemakaian beberapa amalan dan buah yang bertentangan dengan tujuan menuntut ilmu silat di awal Ustaz memegang tanggungjawabnya.

Ustaz pernah menulis, “Saya juga telah menganalisis amalan dan buah-buah Seni Silat Cekak itu sendiri. Mungkin anasir luar ada tersadur dalam silat itu hingga bercanggah tujuan asal ilmu silat ini dengan akidah agama Islam khususnya. Jadi, saya mengekalkan amalan-amalan yang sesuai dengan asas Islam dan membuang segala yang bertentangan. Saya mempunyai alasan-alasan yang sesuai dan praktikal untuk mengenepikan pemakaian beberapa buah yang agak bertentangan dengan tujuan menuntut ilmu silat.”

Itulah tindakan pelarasan pertama yang dilakukan Ustaz. Usaha-usaha yang dilakukan Ustaz itu menyebabkan kita berasa mudah mempelajari SC. Tak ada upacara-upacara yang meragukan kita ketika mempelajari SC. Tak payah minta izin bumi dan langit sebelum bersilat. Tak ada pembuka dan penutup gelanggang. Tak ada baca-baca. Kalau nak baca Bismillah… sebagai pemula tindakan, hal yang demikian adalah merupakan hak persendirian. Tak ada upacara rasmi. Pakaian pun bebas. Pastinya yang sesuai. Tak payah pakai pakaian silat yang khas. Lantaklah apa warna sekalipun. Belang-belang pun boleh. Terasa betapa mudahnya kita mempelajari SC. Mereka yang mempunyai pengalaman bersilat dengan persilatan Melayu yang lain, akan mudah memahami maksud saya itu.

Tindakan Ustaz menyusun kembali sistem dan isi pembelajaran SC adalah sah dan benar. Pertamanya ialah haknya sebagai Guru Utama. Sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai Guru Utama, Ustaz berperanan untuk meletakkan hala tuju persilatan dan arah mana anak-anak muridnya ingin dibawa. Keduanya, Ustaz sendiri mempunyai latar belakang ilmu persilatan yang tinggi. Ustaz tahu dan memahami akan apa yang dilakukannya. Hal yang demikian memungkinkan tindakan Ustaz itu benar dan sah.

Seperti kata Ustaz, “Selepas dimandatkan menjadi guru silat ini, saya tidak terus berpuas hati setakat itu sahaja. Dengan pengalaman sejak usia lapan belas tahun dalam seni silat dan kebatinan Islam sejati, saya buat kajian dan menapis segala seni silat untuk disesuaikan dengan tujuan bersilat dan sejajar pula dengan peraturan agama Islam”.

Saringan dan pelarasan telah dilakukan Ustaz secara berperingkat. Pelarasan yang dibuat itu adalah merupakan asas atau perdu perubahan pada sistem dan gerak-gerak buah yang ada dalam SC. Berikut adalah beberapa contoh buah yang diselaraskan dalam sistem pelajaran kita. Tindakan Ustaz itu adalah bagi menunjukkan betapa pentingnya pelarasan buah dilakukan pada peringkat awal mandatnya sebagai Guru Utama. Pada saya, hal yang demikian adalah bagi memudahkan kita memahami dan menerima pelajaran SC, di samping ‘terjamin’ sifat selamatnya untuk diamalkan oleh anak-anak murid Ustaz.

Saya petik tulisan Ustaz secara intisari tulisan berdasarkan tulisannya dalam Dewan Masyarakat. Intisari petikan adalah berkaitan pelarasan yang pernah dilakukan Ustaz.

i. Buah Rasa dan Pecahan Keputusan Gayung Patani (Buah pusing tangan) telah diketepikan kerana buah-buah tersebut adalah seperti buah silat untuk permainan (pulut) sahaja.
ii. Buah Sengkak tidak dipakai kerana membahayakan diri orang yang menggunakannya.
iii. Buah Keputusan Sendeng Bawah Kiri dan Kanan ditinggalkan kerana dipandang sia-sia (memakan waktu).
iv. Buah Kidung Kanan didapati sama dengan Kuntau Kanan Gantung pemakannya.

Begitu juga dengan beberapa gerak buah lain yang telah tiada dalam senarai buah-buah SC seperti yang kita baca dalam majalah Dewan Masyarakat; tulisan Ustaz sendiri. Pelarasan yang dibuat Ustaz adalah semata-mata menjamin ‘keselamatan’ dan untuk memudahkan kefahaman para penuntut dalam proses pembelajaran SC. Jika sesuatu pelajaran itu mudah diterima, penguasaannya akan bertambah usianya hingga boleh bersebati di jiwa. Maka akan lahirlah perasaan cinta dan sayang akan pelajaran SC. Hal yang demikianlah sepatutnya ada pada setiap penuntut Silat Cekak yang telah tamat.

Saya tidak berhajat mengulas panjang tentang pelarasan tersebut. Pada mereka yang berpengalaman dalam SC, nampak akan keperluan pelarasan tersebut. Misalnya, buah Gayung Patani. Ustaz telah pun memuktamadkan geraknya dengan mengenepikan gerak secara memusing tangan. Sifat buah Gayung Patani adalah berdasarkan tindakan lawan kita. Kita akan bertindak berdasarkan gerak lawan. Mana mungkin pengamal SC membiarkan tangannya dipusing kerana tindakan tersebut memakan masa. “Usahkan nak pusing, lawan kita bergerak sentuh pun, kita akan bertindak”. Gerak lawan yang lain, Ustaz tak buang. Ada logiknya. Jurulatihpun boleh ikut. Termasuk gerak sepakan rusuk. Kecualilah Jurulatih yang PMD. ‘Perut Maju Di depan’.

Dalam proses menyampaikan ilmu persilatan SC di peringkat seterusnya, peranan Jurulatih adalah sangat penting. Jurulatihlah yang berperanan bagi memudahkan kefahaman para penuntut yang mempelajari SC. Sudah semestilah penyampaian mereka itu berdasarkan kehendak Guru Utama. Eloklah jangan ditambah-tambah atau dikurang-kurangkan pada tafsiran dan pada isi pelajaran serta maksud penerangannya. Oleh itu, fahamilah secara bersungguh hati untuk menguasai pelajaran SC. Kalau sesetengah pelajaran SC kurang dapat dikuasai oleh Jurulatih, bukan kelemahan pelajaran itu, tapi semestinya kelemahan Jurulatih itu sendiri. Janganlah sifat kelemahan diri sendiri cuba disamakan dengan sifat kelemahan orang lain. Tak adil dalam usaha mengekalkan ilmu Pusaka Hanafi.

Pelbagai cara boleh dilakukan Jurulatih untuk maksud kefahaman penuntut. Dalam hal ini, para Jurulatih perlu berhati-hati tatkala menyampaikan penerangan pada setiap pelajaran. Sifat berhati-hati itu perlu diberi perhatian dalam dua keadaan. Pertamanya ialah pengunaan istilah-istilah dan keduanya bentuk dan isi penerangan bagi menjelaskan maksud sebenar pelajaran. Hal yang demikian tidak bermakna kita menyekat kreativiti yang ada pada Jurulatih dalam proses penyampaian ilmu pelajaran SC. Mereka masih ada kebebasan berbuat sesuatu yang menguntungkan para penuntut.

Cuma kita khuatir, jika tafsiran mereka adalah berdasarkan kefahaman sendiri. Malah, permakaian istilah juga adalah berdasarkan kehendak sendiri. Kekhuatiran kita itu adalah berkaitan dengan tindakan mereka yang mungkin bercanggah dengan prinsip, konsep dan falsafah persilatan SC. Saya tak banyak komen dalam hal yang sedemikian. Niat mereka baik iaitu untuk memudahkan penerimaan penuntut pada pelajaran SC. Sebaliknya, saya nampak mungkin akan ada kelemahannya dalam jangka masa yang panjang. Walau bagaimanapun, kelemahan itu saya jadikan batu sempadan tatkala saya mengajar dan memandu anak didik saya. Kita ikuti perbincangan saya seterusnya. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 10/01/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: