RSS

57.3. PELAJARAN YANG BERBEZA.

07 Jan

Kesimpulan.

Tujuan penulisan ini adalah umum untuk renungan pada pengamal SC yang masih mendakwa persilatannya berasaskan Pusaka Hanafi. Sekurang-kurangnya penulisan ini boleh dijadikan bahan untuk menambah pengetahuan. Tak kiralah dari pelbagai persatuan yang ada. Saya hanya menulis berdasarkan pengalaman saya semasa Ustaz sahaja. Buatlah bandingan dengan apa yang ada. Hal yang demikian boleh memantapkan penguasaan kita dalam SC. Baca, jangan melatah. Jika melatah, tekanan emosi jadinya.

Ada yang mengatakan bahawa perbezaan gerak yang ada dalam persilatan SC hanya kecil sahaja. Bukan perkara dasar. Buahnya tetap tidak berubah. Memang ya. Tapi perbezaan kecil dalam pelajaran yang saya katakan sedikit itu, besar nisbah perbezaannya. Kalaulah pelajaran SC ‘bergantang-gantang’, tentunya perbezaan gerak yang sedemikian tidak memberi bekas. Banyak sangat geraknya.

Untuk menjadi seorang Jurulatih yang bertanggungjawab pada persilatan dan pada anak didiknya, bukanlah satu perkara yang mudah. Tumpuan sepenuhnya pada silat perlu ada. Berkali-kali saya tegaskan. Jangan jadikan kegiatan dalam SC sebagai sebahagian daripada minat. Jadikan kegiatan dalam SC sebagai minat yang seratus peratus. Barulah seseorang Jurulatih itu boleh berjaya dan ikhlas dalam pengajarannya. Itulah ukuran akauntabiliti seorang Jurulatih menurut kaca mata saya.

Pada satu ketika dulu, pengaruh CNI begitu kuat dalam persatuan kita. Saya difahamkan bahawa ramai Jurulatih menjadi ahlinya. Tak terkecuali pembantu Jurulatih di cawangan saya. Sibuk nak berniaga. Cakap dah mula beralih tajuk. Silat dah jadi nombor dua. Tumpuan telah terkeluar dari landasan persilatan. Saya tegaskan pada mereka. Jangan bercakap soal berniaga ketika kelas sedang berlangsung. Banyak buruk dari baiknya. Nampaknya teguran saya berjaya. Semua dengar kata.

Alang-alang nak jadi Jurulatih maka jadiah seorang Jurulatih yang sebaik-baiknya. Maksud ‘sebaik-baiknya’ membawa banyak makna. Sekurang-kurangnya jadilah seorang Jurulatih yang berwibawa. Orang yang berwibawa adalah merupakan mereka yang dapat membangunkan diri para penuntutnya, di samping memperkayakan diri sendiri dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman. Secara langsung diri sendiri akan terus berkembang dari masa ke masa. Hebat jadinya. Cakapnya ‘masin’ sepanjang masa.

Saya petik kembali hasrat sedemikian yang pernah diterbitkan dalam ‘Berita Cekak’ terbitan tahun 1978.

“Mungkin sedikit sahaja orang menyedari bahawa untuk menggerakkan sesuatu kegiatan silat bukanlah merupakan suatu perkara yang mudah. Sekadar mempunyai modal silat sahaja tidak mencukupi untuk menghadapi berbagai ragam manusia di zaman ini. Seseorang pendukung silat perlulah bijaksana di samping mempunyai berbagai kebolehan. Ini termasuklah pengetahuan silat yang benar-benar lengkap, fahaman keagamaan yang mendalam, ilmu psikologi dan pendidikan dan juga mempunyai pendirian tertentu yang tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana golongan. Perkara seperti ini memang sukar sekali didapati dari pendukung-pendukung silat tanah air. Kalau ada pun hanya seorang dua sahaja.

Bagi mencapai kejayaan sesuatu silat yang didukung, tumpuan sepenuhnya juga perlu diberikan. Setiap masa fikiran mesti ditumpukan khas kepada kegiatan silat sahaja tanpa memberi perhatian yang serius pada perkara-perkara lain. Dengan tegas dapat dikatakan bahawa silat perlu dijadikan satu profesyen, maksudnya tidak melakukan kerja-kerja lain selain dari silat.”

Begitulah harapan yang besar pada mereka yang ingin mengembangkan silat. Tak sesuai ‘nyambil-nyambil.’ Tugas kita ialah membangunkan potensi para penuntut kita agar mereka benar-benar menguasai gerak yang ada dalam SC. Amanahnya amat besar. Perlu ada perasaan tanggungjawab secara ikhlas. Pengorbanan masa dan tenaga akan menjadi perkara biasa.

Hal yang demikianlah agaknya Ustaz memberitahu saya betapa peranan seseorang Jurulatih itu adalah sebagai memandu. Potensi para penuntut dalam gerak semula jadi, telah ada. Tugas Jurulatih ialah meletakkan gerak mereka itu dalam landasan yang betul. Tentunya konsep memandu berbeza dengan mengajar. Sifat mengajar adalah merujuk pada mereka yang tidak tahu. Pengajarnya boleh eksyen. Boleh salam tak payah tengok muka.

Dalam konteks diri saya, tentunya saya berasa bangga kerana berjaya menumpukan perhatian sepenuhnya pada kegiatan SC dalam satu tempoh yang amat panjang. Nasib baik, emak sendiri mencarikan calon isteri. Nampak muka isteri hanya ketika akad. Tak sempat nak bercinta. Setakat dengar cerita betapa hebatnya orang kalau bercinta. Tapi tak pernah merasa. Sekarang terasa nak merasa. Malangnya, lesen tak ada.

Saya tidak menafikan betapa ketegasan guru dalam satu-satu persilatan itu memainkan peranan penting untuk mengawal isi pelajaran silatnya. Pertemuan yang lebih kerap dengan para tenaga pengajar adalah merupakan salah satu faktor terpenting untuk mengawal mutu persilatan. Aktiviti mengulangkaji buah-buah SC adalah sangat penting. Kalau dibiarkan, para Jurulatih boleh menyimpang dalam proses penurunan ilmu berdasarkan kehendak mereka sendiri. Jurulatih perlu dikawal. Seperti yang dikatakan, jangan dibiarkan mereka menyampaikan pelajaran SC berdasarkan ‘kepala angin’ mereka sahaja. Memberikan penjelasan berdasarkan suka hati. Semuanya suka-suka hati.

Kalaulah ada aktiviti berlatih silat dengan Guru Utama atau aktiviti berlatih silat dengan Jurulatih-Jurulatih utama, saya rasa langkah itu tersangat baik. Dalam aktiviti itu pelbagai masalah persilatan boleh dibincang bersama. Tapi, tentunya kena ada pengorbanan masa. Buatlah sekurang-kurangnya enam bulan sekali. Setahun dua kali. Sekali-sekali, buat di hotel bagi menunjukkan kehebatan kita. Masukkan dalam akhbar. Semua Jurulatih utama dari seluruh negeri perlu dijemput bersama. Ulangkaji bersama. Berbincang secara teori, berlatih secara praktisnya. Dalam aktiviti tersebut, penguasa persatuan boleh meneguhkan hala tuju persatuan kita. Akan bertambah hebatlah persilatan dan persatuan kita.

Walaupun pada adatnya semacam ada hukum alam yang menetapkan bahawa sesuatu persilatan itu akan berpecah persatuan dan persilatan setelah pemergian gurunya, adat itu boleh dihindari dalam persilatan kita. Perkara mencarik adat boleh berlaku pada persilatan yang luar dari kebiasaan. Silat Cekak adalah merupakan satu jenis pesilatan yang luar biasa. Pergerakan silatnya adalah luar biasa. Malah, adat-adat atau amalan-amalan yang ada dalam persilatan SC adalah juga merupakan sesuatu yang luar biasa dari kebiasaan pesilatan Melayu.

Oleh itu, pepecahan dan perbezaan gerak yang biasa berlaku dalam persilatan Melayu yang lain, boleh disekat dari berlaku secara berterusan dalam pesilatan kita. Sesuailah dengan maksud dan sifat keluarbiasaan SC sebagai seni bela diri orang-orang Melayu. Bukan perkara mustahil. Tapi, mesti ada perancangan yang jitu. Saya telah tegaskan betapa pentingnya kita mengekalkan apa yang telah diputuskan dalam pelarasan di zaman Ustaz. Sepatutnya pelarasan seterusnya bukan bermaksud mengubah gerak buah yang ada, melainkan berbentuk perbincangan bagi mengingat semula akan apa yang telah diputuskan dalam pelarasan terdahulu.

Saya tidak menafikan betapa pentingnya perubahan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran Silat Cekak; sesuai dengan perubahan zaman. Dalam hal ini, kita perlu berhati-hati akan maksud perubahan itu. Jika berubah dari kurang baik kepada terbaik, mungkin ada manfaatnya. Sebaliknya, jika berubah dari baik kepada kurang baik, maka banyak ruginya. Jangan sesekali kita menggunakan konsep perubahan semata-mata untuk membenarkan perbuatan kita. Tak elok jadinya.

Walau bagaimanapun, mengubah sistem penyampaian, kadang kala adalah merupakan satu keperluan. Lebih-lebih lagi persilatan kita mula berkembang pesat di sekolah-sekolah. Ramai murid yang kurang matang umurnya. Sebaliknya kita perlu berhati-hati. Perubahan isi pelajaran gerak SC, perlu sangat diberi perhatian. Jangan dibiarkan berterusan. Jangan terperangkap dengan maksud perubahan.

Kini, Silat Cekak telah berpecah melalui penubuhan pelbagai persatuan. Kehebatan strategi pengajaran dan pembelajaran akan menentukan kemajuan persilatan setiap persatuan tersebut. Salah satu keistimewaan yang dicari ialah pengekalan apa saja yang ditinggalkan Ustaz sebagai satu warisan dan ikutan. Dalam hal ini, pelajaran silat itu sendiri akan menjadi satu kayu ukur untuk menarik minat para penuntut pada persatuan yang pelbagai tersebut. Sudah semestinya sifat yang demikian hanya ada dalam kalangan mereka yang mencari ‘kebenaran’ dalam pelajaran SC.

Dalam tulisan-tulisan seterusnya, saya cuba membincangkan akan hal-hal yang berkaitan dengan punca timbulnya perbezaan gerak dalam kalangan pengamal SC, berserta contohnya sekali. Sudah tentulah tulisan ini berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya sewaktu bergiat di zaman Ustaz. Bukan maksud saya mencari kelemahan, sebaliknya sebagai panduan supaya kita boleh membuka minda. Saya berharap agar tulisan ini dapat dijadikan bahan untuk menambahkan pengetahuan dalam satu persatuan yang mewarisi Pusaka Ustaz Hanafi. Persatuan lain, jangan diambil peduli. Dah tak ada originaliti. Jadi, eloklah berfikiran terbuka. Jangan melenting tak tentu hala. Darah tinggi. Cuma, sekali lagi saya ingatkan bahawa bahan tulisan ini adalah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman dan pendapat saya. Sekian. Bersambung lagi.

 
Leave a comment

Posted by on 07/01/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: