RSS

57.2. PELAJARAN YANG BERBEZA.

04 Jan


Sambung….Pepecahan Mengundang Perbezaan Pelajaran.

Dalam konteks SC, pada pemerhatian dan pengalaman saya, perbezaan gerak dalam SC telah mula ada sejak zaman Ustaz lagi. Setelah kita berpecah pada gelombang pertama, Guru Utama kita yang baru, pernah menyentuh tentang soal perbezaan pendapat tentang buah-buah SC dalam ucapan dasarnya pada 1 Muharam 1411. Saya petik sedutan ucapan beliau dalam majlis perjumpaan tenaga pengajar SC tersebut.

“….Kadang kala ada satu buah yang dibuat berlainan cara tangkapan dan pergerakan kakinya. Perbezaan ini bukannya perbezaan pokok kaedah sesuatu buah itu. Perkara ini berlaku kerana di masa Allahyarham memberinya kadang-kadang berbeza mengikut tempat dan masa. Namun pun begitu perkara ini pernah dibincangkan dengan Allahyarham di dalam kursus-kursus Jurulatih dan beliau telah membuat keputusan tentang cara bagaimana yang perlu diutama dan diresmikan. Perkara-perkara ini semua telah direkod dan dimasukkan di dalam buku panduan pengajaran dan diberitahu di dalam kursus-kursus yang diadakan.

Oleh yang demikian sekiranya ada di antara saudara saudari yang tidak berkesempatan mengikuti kursus Jurulatih tersebut, janganlah menganggap bahawa cara yang ditunjukkan sekarang di dalam buku panduan ataupun di masa kursus-kursus itu adalah tidak betul. Saudara dan saudarilah yang perlu mengikut cara yang telah diputuskan itu. Dengan cara ini sahaja kita dapat menseragamkan kaedah-kaedah pengajaran Silat Cekak supaya apa yang didapati oleh jenerasi-jenerasi baru adalah sesuatu yang asal dan yang terbaik.”

Begitulah hasrat dan ketegasan Guru Utama tentang pengajaran SC ketika beliau baru memegang jawatan berkenaan. Saya tidak ada sebarang ulasan atas petikan tersebut. Perkara jelasnya, di zaman Ustaz telah ada perbezaan gerak dalam kalangan penuntut. Walau bagaimanapun, pelarasan gerak pada buah-buah SC yang berbeza gerak itu, telah dimuktamadkan oleh Ustaz.

Ucapan Guru Utama tersebut adalah ketika kita belum berpecah pada gelombang kedua lagi. Mereka yang berminat mengadakan pelarasan pelajaran buah-buah SC di zaman PA, masih meneruskan aktiviti mereka atas nama LPT. Tak habis-habis buat pelarasan pada Jurulatih. Sasarannya tidak menentu. Hinggakan ada Jurulatih yang sama, sentiasa hadir pada pelarasan yang diadakan saban masa. Tak pernah ada majlis perbincangan tentang gerak-gerak yang telah dimuktamadkan Ustaz.

Sekarang ini, kebanyakan pengendali kursus berkenaan telah berpihak pada persatuan yang lain. Rancak lagi pelarasan mereka. Saya difahamkan, pengajaran buah-buah SC dibuat secara kumpulan. Lima buah dalam satu kumpulan. Walau bagaimanapun, penegasan Guru Utama dalam ucapan dasar tersebut, memberi makna bahawa telah terdapat perbezaan pendapat dalam pergerakan mengambil buah sejak awal pelantikannya lagi. Tentunya isu itu besar. Jika tidak, mana mungkin beliau menyentuh dalam ucapan dasarnya itu.

Kadang kala, perbezaan gerak yang terjadi, bukanlah sesuatu yang dirancang tapi berlaku secara tidak sengaja atau secara tidak langsung dalam proses penurunan ilmu dari Jurulatih kepada para anak didiknya. Semuanya berlaku sedikit demi sedikit dan dari semasa ke semasa. Dalam hal ini, selalu saya tegaskan betapa peranan Jurulatih adalah sangat besar. Merekalah yang boleh mewujudkan perbezaan gerak sesama ahli SC. Lebih parah lagi, apabila wujud perbezaan gerak sesama Jurulatih yang ada. Faktor jarak akan menambah parah keadaan yang demikian. Payah membuat rujukan.

Apabila saya kenangkan kembali, perbezaan gerak dalam kalangan Jurulatih memang berlaku dalam pelbagai bentuk. Hal yang demikian boleh diperhatikan ketika proses penyampaian pelajaran SC dalam kalangan para penuntut. Bentuk-bentuk penyampaian gerak yang berbeza itu akan dibincang secara umum dalam tulisan seterusnya. Semuanya adalah berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya sendiri. Hanya untuk renungan. Kayu ukur perbezaan gerak adalah berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya bersilat dalam SC.

Saya berasa yakin atas apa yang saya faham dan amalkan dalam pelajaran SC. Saya juga berasa bangga kerana pelajaran yang saya sampaikan adalah merupakan pelajaran yang saya terima sendiri daripada Ustaz. Saya tidak pasti sama ada pelajaran tersebut adalah berbeza dengan apa yang diperoleh oleh orang lain. Habuan masing-masing. Cuma, penulisan saya dan pendapat saya adalah semata-mata berdasarkan pengalaman saya berguru dengan Ustaz. Tak tambah dan tak kurang.

“Ketika potong Paras pecahan pertama secara sapuan pada kaki kanan ‘disimpan’ masa PA, saya tetap teruskan pengajarannya pada penuntut saya. Itulah pelajaran yang saya terima dari Ustaz. Begitu juga serangan kaki yang ditepis dengan kaki, turut disimpan di zaman PA. Kepala angin Jurulatih yang ada. Saya tak pernah ikut simpan. Cukuplah saya simpan buah dua. Saya difahamkan, kini pelajaran tersebut diajar semula kepada penuntut. Seperti yang pernah saya tegaskan bahawa:

”Saya masih sayang dan tetap berbangga dengan apa yang saya ada. Lantaklah apa orang lain kata. Keyakinan saya itu adalah berasas. Setiap gerak yang ada dalam buah-buah SC sama ada menunggu atau menyerang, telah disahkan Ustaz. Dalam tulisan yang lalu, saya telah menceritakan tentang masa yang saya korbankan masa bersama Ustaz. Saya selalu berbincang tentang buah-buah yang ada dari segi pergerakan yang sebenar-benarnya. Penerangan yang diberi Ustaz adalah jelas dan saya faham. Itulah pegangan saya. Saya tetap memberi penekanan pada setiap gerak yang telah ditegaskan Ustaz. Setiap gerak itu adalah berdasarkan sebab dan akibat.”

Dalam proses penyampaian pelajaran SC, ada dalam kalangan Jurulatih yang suka menggunakan istilah sendiri. Istilah itu adalah berdasarkan kefahaman mereka tanpa bersandar pada Guru Utama. Istilah boleh ditafsir dalam pelbagai makna. Kadang kala, istilah itu akan lari dari prinsip gerak dalam SC. Saya akan memberi contoh dalam tulisan yang akan datang. Pada saya, perbuatan mencipta istilah sendiri akan mendorong pada tafsiran yang berbeza dalam kalangan penuntut yang berlainan kelas. Lebih-lebih lagi istilah itu tidak seragam. Hanya diguna oleh Jurulatih berkenaan. Jika bertepatan dengan kehendak gerak yang ditetapkan Guru Utama, mungkin ada manfaatnya. Walau bagaimanapun, jika lain tafsirannya, maka anak didik Jurulatih berkenaan akan mengamalkan perbuatan gerak yang berbeza dengan kelas-kelas lain.

Kadang kala, terdapat Jurulatih yang membuat penerangan berdasarkan fikiran dan kefahaman mereka sendiri. Kefahaman itu dirasakan mereka betul ketika membuktikan satu-satu gerak. Maknanya, berlaku ‘penambahan cerita’. Berkemungkinan besar ‘cerita’ tersebut dibuat secara spontan dan belum diketahui riaksi para penuntut sebagai pendengar. Maknanya juga, penerangan tersebut belum diuji kebenaran sifatnya. Hal yang demikian juga boleh menyebabkan berlaku penyelewengan apabila tafsiran mereka itu dijadikan sandaran anak didiknya di satu-satu kelas.

Selain daripada itu, ada dalam kalangan Jurulatih yang tidak selaras antara penerangan dan perbuatannya. Maksudnya, perbuatan Jurulatih adalah tidak selari dengan penerangan asal yang diberi. Contoh penerangan yang tidak selaras dan kerap berlaku ialah ketika membuat penerangan berkaitan dengan kedudukan kaki ketika mengambil buah. Penerangan Jurulatih ialah jangan beralih kaki ketika membuat buah. Sebaliknya, ketika melakukan gerak, Jurulatih itu mengalihkan kaki. “Cakap tak serupa bikin”. Hal yang demikian akan menyebabkan kefahaman para penuntut akan bercelaru.

Berdasarkan satu teori yang terbukti kebenarannya, seseorang pelajar itu lebih cepat mendapat pengetahuan melalui perbuatan yang disaksinya, berbanding dengan penerangan yang didengar. Hal yang demikian juga tentunya berlaku semasa proses pembelajaran SC. Para penuntut lebih suka meniru perbuatan yang dilihat, berbanding dengan sifat mendengar penerangan. Maknanya, penerangan Jurulatih adalah kurang memberi kesan. Sebaliknya perbuatan Jurulatih itu sendiri yang akan memberi kesan ingatan pada para penuntut. Oleh sebab perbuatannya salah, itulah yang diwarisi oleh para penuntutnya. Lebih-lebih lagi apabila para penuntut itu tidak mahu menimbulkan persoalan atau membuat pertanyaan. Maka jawapan pada gerak pelajaran berkenaan adalah berdasarkan pendapat mereka sendiri. Pendapat itu adalah hasil daripada perbuatan Jurulatih yang mereka lihat.

Ada juga dalam kalangan Jurulatih yang memberatkan penerangan. Latihannya sikit. Kekurangan latihan akan menyebabkan penguasaan penuntut pada gerak silat berkenaan agak lemah. Saya rasa, Jurulatih berkenaan tentunya beranggapan, melalui penerangannya yang panjang akan menyebabkan para penuntutnya faham dan akan menguasai gerak yang ‘diturunkannya’. Berdasarkan perbincangan saya di atas, pendapat yang sedemikian adalah lemah.

Pada saya, kelemahan para Jurulatih akan bertambah teruk apabila mereka membuat penerangan yang salah dan perbuatan yang salah. Hal yang demikian akan menyebabkan gerak yang diajar terus-menerus menyimpang daripada pelajaran sebenarnya. Lebih-lebih lagi apabila di tempat itu tidak ada pengawasan dari Jurulatih yang lebih berpengalaman dan lebih berpengetahuan. Perasaan bangga pada kehebatan diri akan menyebabkan timbulnya batu penghalang bagi mendapatkan penjelasan benar. Maka berterusanlah pembelajaran yang salah pada para penuntut di tempat berkenaan. Bertambah parahlah lagi perbezaan gerak dalam pelajaran SC. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 04/01/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: