RSS

57.1. PELAJARAN YANG BERBEZA.

03 Jan

Pepecahan Mengundang Perbezaan Pelajaran.

Dalam tulisan yang lalu, saya ada menyentuh tentang masalah yang dihadapi oleh perguruan silat Melayu yang lain. Pertamanya berkaitan dengan pepecahan dalam kalangan satu perguruan dan keduanya berkaitan dengan pelajaran yang berbeza-beza antara sesama perguruan. Nampaknya, masalah yang mereka hadapi, turut juga melanda persatuan dan persilatan kita. Kini, banyak perkara yang saya baru faham apabila mendapat pengalaman atas apa yang berlaku dalam persatuan dan persilatan kita.

Salah satu faktor penyebab masalah demikian ialah peranan orang-orang kanan yang ada dalam satu-satu perguruan tersebut. Saya telah menyentuh hal yang demikian secara panjang lebar dalam tulisan yang terdahulu dalam konteks persatuan kita. Umumnya, setelah ‘pemergian’ guru pada satu-satu persilatan berkenaan, maka perwatakan semula jadi orang kanan yang ada, mula tertonjol. Masing-masing ada cara yang tersendiri bagi maksud pengurusan dan gerak persilatan seterusnya. Semuanya disesuaikan dengan sifat dan kehendak seadanya pada mereka.

Pemergian Guru Utama kita telah juga mengundang pepecahan. Peranan orang kanan turut memainkan peranan penting. Saya tidak akan menyentuh hal itu lagi. Cuma, dalam tulisan ini saya ingin menyentuh tentang masalah umum yang dihadapi oleh persilatan Melayu iaitu perbezaan dalam gerak pelajaran silat yang ada sesama perguruan.

Nampaknya, masalah yang dihadapi oleh pesilatan Melayu itu, turut dihadapi oleh persilatan kita. Walaupun perbezaannya tidak ketara, akan tetapi mula wujud perbezaan tersebut dari masa ke masa. Apatah lagi apabila persilatan kita telah berpecah dalam persatuan yang pelbagai nama. Tidak ada satu badan khas yang dapat mengawal mutu pembelajaran SC lagi. Setiap guru, ada cara dan ideanya tentang pembelajaran SC. Walaupun ilmu SC adalah ‘sepancar’ asalnya, tapi boleh wujud perbezaan dari segi pergerakan silat yang ada.

Dalam tulisan terdahulu dalam Tajuk 41, saya telah menulis tentang wujudnya perbezaan gerak dalam pembelajaran SC. Saya petik kembali isi penulisan tersebut untuk kefahaman kita kerana tulisan ini adalah berkaitan dengan artikal tersebut. Seterusnya, saya akan kembangkan isi perbincangan dalam tulisan seterusnya, sekadar meluaskan pemahaman dan menambahkan pengetahuan pembaca.

Setelah sekian lama saya diberi kepercayaan membuka cawangan SC, barulah saya sedar bahawa telah mula timbulnya perbezaan dalam penyampaian pelajaran SC. Itu sebabnya saya menulis memberi pendapat:

“Saya difahamkan bahawa telah berlaku banyak perubahan dalam pembelajaran SC dalam semua persatuan kita yang berpecah. Walaupun kesemuanya mendakwa ilmu yang diperjuangkan adalah berasaskan pusaka Ustaz Hanafi, hakikatnya sesama merekapun telah ada perbezaan dalam proses penyampaian isi pelajarannya. Pada hal, pusakanya adalah satu. Penekanan dan pemberatannya juga mula menampakkan perbezaan walau pun kecil. Macam tak nampak satu punca yang sama, tak nampak sepancor. Begitulah yang terjadi apabila pemikiran kita tidak mencapai tahap pemikiran Ustaz.”

Perkembangan yang berlaku itu menyebabkan saya sentiasa ‘merenung’ diri sendiri. Saya mengimbau kembali proses saya menerima pelajaran dengan perbezaan gerak yang wujud. Dalam hal ini, saya yakin atas apa yang saya sampaikan pada para penuntut. Seperti yang saya tegaskan:

“Dalam konteks ini, saya yakin bahawa apa yang ada pada saya adalah merupakan ilmu yang telah disahkan Ustaz. Sejak saya berada di pusat hingga membuka SC di cawangan, perkara yang sama saya sampaikan kepada penuntut. Saya mengajar SC di ibu pejabat dan pusat-pusat latihan di sana, semuanya berdasarkan buah-buah yang dipersetujui Ustaz. Tidak ada perbezaan atau perubahan dari dulu hingga sekarang. Saya yakin atas kenyataan saya itu. Kalau saya berhenti bersilat seketika, mungkin boleh jadi lupa. Kenyataannya, saya tetap bersilat secara berterusan tanpa gagal. Ilmu saya yang ada, sentiasa bertali arus. Seperti yang tuliskan terdahulu, Ustaz sentiasa turun ke cawangan saya. Kerap kali Ustaz sendiri yang turun padang, membetulkan gerak persilatan anak didik saya. Kalau Ustaz tak turun mengajar, Ustaz kerap kali berada di tepi kelas memerhatikan latihan kami. Pernah saya ceritakan dulu. Kalau Ustaz terlalu berminat dengan latihan, ada dua tindakannya sama ada masuk ke rumah atau turun ke kelas. Masuk ke rumah bukan kerana tak suka tapi kerana nak kawal diri daripada turun ke kelas.”

Semasa saya mengendalikan kelas di cawangan, saya difahamkan bahawa ada juga pelarasan buah yang dijalankan oleh pusat. Ketika itu saya berkeyakinan bahawa pelarasan tersebut adalah berbentuk mengingat semula pelarasan muktamat yang pernah dibuat ketika Ustaz masih ada. Pernah saya menghantar beberapa orang pembantu Jurulatih dari cawangan saya untuk mengikuti pelarasan berkenaan. Timbul cerita lucu. Sesama Jurulatih yang mengendalikan pelarasan itu pula, nampaknya tak selaras. Jadi karton. Dalam hal yang demikian, saya mengambil satu keputusan tegas:

“Setahu saya semasa Ustaz, telah ada pelarasan SC di bawah pengawasan Ustaz sendiri. Semua Jurulatih hadir termasuk mereka yang memimpin pelbagai persatuan SC sekarang ini. Setelah itu tidak ada lagi pelarasan yang dibuat di zaman Ustaz hinggalah saya balik ke kampung. Kursus yang dikatakan pelarasan berikutnya bukanlah dalam erti kata pelarasan. Sebaliknya kursus itu lebih berupa peneguhan atas apa yang telah diselaraskan di zaman Ustaz. Maknanya, telah ada kata putus dari segi gerak dalam persilatan.”

Semasa era PA, banyak aktiviti pelarasan yang dijalankan. Ada kalanya aktiviti tersebut dibuat tanpa pengetahuan Guru Utama. Saya pernah membuat kenyataan seperti berikut:

“Nampaknya, peristiwa pelajaran yang berubah, berlaku secara berleluasa di zaman PA. Saya tak nak komen banyak. Rupa-rupanya, selepas pelarasan yang dibuat bersama Ustaz, ada lagi beberapa pelarasan berikutnya di zaman PA. Tak hairanlah ketika itu perkara tersebut berlaku kerana penguasaan guru pada persatuan dan orang-orang kanan persatuan agak longgar. Hal yang demikian menyebabkan ramai yang menonjolkan kehebatan mereka baik dari segi persatuan, mahupun persilatan. Tidak hairanlah pelarasan silat boleh dilakukan secara suka hati. Cuma yang peliknya, pelarasan tersebut dibuat tanpa kehadiran Guru Utama. Perancang utamanya ialah Guru Wawasan yang begitu berminat menonjolkan kehebatannya dalam persilatan dan persatuan SC.”

Terus terang saya katakan bahawa saya tidak berminat untuk mengikuti program pelarasan tersebut. Nak selaras apa lagi. Pelajaran yang saya bawa adalah sama. Tak ada sifat tokok tambah. Apa saja yang saya terima dari Ustaz, maka itulah juga yang saya sampaikan pada anak didik saya. Tak pernah putus mengajar silat. Tentunya di peringkat pusat, perbezaan gerak tak mungkin berlaku kerana di sana ramai lagi para Jurulatih yang sama-sama telah mengikuti Kursus Pelarasan yang dikendalikan Ustaz. Mana mungkin ada perbezaan gerak.

Walau bagaimanapun, perkembangan SC di pusat-pusat pengajian tinggi telah banyak melahirkan ahli-ahli yang tamat. Mereka ini pulang bekerja di pelbagai negeri. Nampaknya kehadiran mereka di kelas cawangan saya, tidak dapat dielakkan. Di situlah saya mula terkejut apabila mendapati penyampaian dan penekanan pembelajaran SC telah mula berubah. ‘Banyak benda pelik dan tak ada punca.’

Baru saya sedar bahawa sememangnya wujud perbezaan gerak dalam pelarasan SC. Hal yang demikian telah menarik minat saya untuk menyertai kursus pelarasan yang diadakan di Bangunan Cekak di Jalan Sentul pada awal zaman PA. Kursus itu dikendalikan oleh Guru Wawasan. Beliau bertindak sebagai peneraju utama. Saya rasa, kursus di zaman Ustaz pun beliau tak pernah hadir. Saya berasa terkejut juga ketika mengikuti kursus berkenaan. Guru Kontrak yang pernah bersama dalam pelarasan akhir bersama Ustaz adalah merupakan seorang perserta. Pada hal Guru Kontrak itu pernah melatih Guru Wawasan ketika belajar dulunya.

Baru saya faham bahawa sememangnya wujud perbezaan beberapa gerak dalam pelajaran SC. Bila timbul soal gerak kaki yang mesti menggunakan tumit, saya membantah. Timbul perbahasan dan perbincangan. Kemudiannya saya ditarik keluar dari perbincangan itu oleh orang hebat persatuan. “Biarlah mereka buat pelarasan. Kita bincang hal lain.” Itulah kata-katanya dan kami berbincang tentang soal-soal persatuan di sudut lain. Itulah pelarasan yang pertama dan terakhir selepas zaman Ustaz yang saya hadiri.

Jelas pada saya betapa gerak dalam SC boleh berubah berdasarkan ‘kepala angin’ Jurulatih yang mengendalikan kursus. Nampaknya, apa yang dia faham atau apa yang dia mampu buat atau apa yang dia mampu berfikir maka itulah yang cuba disampaikan pada Jurulatih lain tanpa bersandar pada Guru Utama terdahulu dan Guru Utama yang sedia ada. Begitulah nampaknya, mereka yang pandai bercakap dan percakapan itu boleh menyakinkan maka orang itu akan menenggelamkan kebolehan orang lain. Jawatannya dalam LPT membolehkan dia buat sesuka hati. Nasib baik kepala saya tak berisi angin. Tentu tak menjadi. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 03/01/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: