RSS

57.0 PELAJARAN YANG BERBEZA.

01 Jan

Pepecahan Mengundang Perbezaan Pelajaran.

Semasa saya memegang jawatan Setiausaha Majlis Silat di peringkat negeri, pergaulan saya dengan guru-guru silat Melayu amat luas sekali. Kami sering berbincang tentang masalah pengurusan persilatan masing-masing. Saya lebih banyak mendengar dari bercakap. Hal yang demikian kerana ketika itu, SC sedang berada di puncak kegemilangannya. Tak banyak masalah. Malah, tak ada pun masalah. Persatuannya mantap. Perkembangan SC juga berkembang luas dari masa ke masa. Oleh itu, masalah pepecahan yang dihadapi oleh persilatan lain, kurang saya fahami. Saya hanya berasa simpati.

Kadang kala timbul kesimpulan dalam hati. Jelas terbukti betapa kemunculan SC adalah perkara pasti bagi mengambil alih gelaran masyhur persilatan Melayu. Sesuailah dengan falsafah persilatan Melayu yang tertanam di jiwa kami. Silat Cekak adalah merupakan silat akhir zaman. Kemunculannya adalah dinanti. Apabila tertegak yang hak maka yang batil akan lenyap secara tersendiri. Itulah pegangan dan kata hati. Tak berani bersuara pada mereka. Pasti pendapat saya akan disanggah. Banyak mudaratnya.

Sebagai Setiausaha, saya sering diminta nasihat dari segi masalah pengurusan persilatan mereka. Ada kalanya, perbualan kami melibatkan kisah-kisah lucu. Salah satu kenangan lucu yang sentiasa saya ingat adalah berkaitan dengan kehebatan bersilat. “Cikgu! Sehandal-handal kita bersilat, ada tiga perkara yang kita tak akan dapat tepis atau elak.” Itulah ayat salah seorang guru silat yang membuka bicara. Mukanya selamba meminta kami cuba meneka akan tiga perkara tersebut. Macam-macam jawapan diberikan. Semuanya dikatakan salah. Akhirnya dia sendiri yang menjawab.

Antara lain kata-katanya, ”Pertamanya masa lemas di laut atau di sungai kalau tak tahu berenang. Tak ada kaedah yang boleh menepis atau mengelak dari kelemasan. Keduanya terpijak paku. Tiba-tiba kena. Tak boleh tepis atau tak boleh elak langsung. Ketiganya terlanggar gajah. Tak boleh elak dan tak boleh tepis. Hambatan gajah lebih laju dari larian kita. Akibatnya, terima saja padahnya.”

Semua orang ketawa. Saya pun turut ketawa. Namun begitu, saya rasa tidaklah sekuat mereka. Terfikir juga. Macam lawak bodoh, tapi ada juga logiknya. Kalau dibuat kesimpulan logik, tentu ada kebenarannya. Perkara yang tak terfikir boleh berlaku. Nisbah satu dalam dua ratus agaknya. Akan tetapi, mungkin yang satu itu adalah ujian pada diri kita. Kita yang kena. Bala juga jadinya.

Ada juga dalam kalangan guru silat berkenaan yang berkata, ”Dalam persilatan kita, ilmu yang ada, lebih satu dan kurang satu.” Itulah falsafah mereka. Jika difikir-fikirkan, kenyataan tersebut pun ada juga kebenarannya. Maksud percakapan itu adalah bagi membuktikan bahawa setiap sesuatu itu tidak ada kesempurnaanya. Ada kelebihan dan ada kelemahannya. Hanya Allah yang maha sempurna. Saya akur dengan pendapat sedemikian.

Dalam perbualan bersama mereka juga, ada juga tajuk-tajuk serius mengenai masa depan persilatan mereka. Dalam banyak tajuk yang dibincangkan, saya tertarik dengan dua perkara. Pertamanya berkaitan dengan pepecahan dalam kalangan satu perguruan dan keduanya berkaitan dengan pelajaran yang berbeza-beza antara sesama perguruan.

Ketika itu telah berlaku pepecahan dalam kalangan persatuan silat mereka. Saya lebih banyak mendengar kerana pengalaman mengenainya tidak ada. Pada masa itu, persatuan SC sedang berada pada satu tahap kecemerlangan yang amat membanggakan. Tak tergambar dalam fikiran saya boleh berlaku pepecahan. SC berkembang pesat kerana usaha-usaha Guru Utamanya sentiasa disokong oleh orang-orang kanan yang sangat berkaliber. Semua ahli yang diberi tanggungjawab, dapat memainkan peranan penting bagi memantapkan pengurusan persatuan. Onar belum timbul. Kemantapan persatuan bermakna kehebatan persilatannya. Terasa macam SC mustahil akan berpecah-pecah. Diri berasa sangat bangga kerana berada dalam satu persatuan persilatan yang sangat mantap.

Daripada perbualan dengan mereka, tersimpul sebab bahawa pepecahan yang berlaku dalam kalangan persilatan mereka adalah berkait rapat secara langsung apabila guru atau mahaguru mereka meninggal dunia. Orang-orang kanan dalam perguruan berkenaan tidak sekata dan mengambil haluan masing-masing. Mereka membuat pendaftaran persatuan baru. Ada yang mendaftar dengan nama yang berkaitan dengan persilatan asal dan ada yang mendaftar persatuan baru dengan nama silat yang baru. Kebetulan ketika itu saya berhubung rapat dengan dua orang guru silat yang berlainan persatuan, tapi dulunya berasal dari satu perguruan. Masing-masing ada alasan berpecah haluan. Nampaknya, alasan yang diberi ada asas akan sebab musababnya. Sebagai pendengar, saya memberi perhatian pada kedua pihak. Tak berani memberi ulasan siapa yang benar atau siapa yang salah.

Sebagai setiausaha majlis silat ketika itu, saya juga pernah terlibat dengan usaha-usaha membantu pendaftaran silat baru mereka. Banyak pengalaman dan pengetahuan yang saya terima ekoran daripada pepecahan persilatan mereka. Ketika ini baru saya berasa beruntung kerana pengetahuan itu memberi pengalaman dan menambahkan keupayaan saya berfikir berkaitan pepecahan silat.

Di negeri Perak, terdapat persilatan yang tersangat hebat ketika itu. Misalnya Gayung, Lintau, Ilham dan Titi Sebatang. Jawatan yang saya sandang membolehkan saya bersua muka dengan guru-guru persilatan tersebut kecuali guru Silat Gayung. Saya dapat saksikan sendiri perkembangan persilatan mereka setelah kematian guru-guru silat yang saya sebut. Semuanya mengundang pepecahan.

Pengalaman saya dengan guru Silat Gayung tidak ada kerana ketika itu gurunya telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, semasa saya menuntut silat berkenaan di gelanggang Sungai Patani, gurunya, Dato’ Meor Abdul Rahman pernah melawat gelanggang. Ketika itu umur saya baru belasan tahun. Setelah menunjuk silat, Dato’ memberi ucapan. Kini, baru saya faham akan maksud antara kata-katanya dalam ucapan Dato’ pada masa itu. Ucapannya lebih banyak mengingat orang-orang kanannya di gelanggang berkenaan yang merupakan Jurulatih saya. Dato’ memarahi orang kanannya dari gelanggang lain. Seingat saya, antara kata-katanya, “Rokok orang rokok dia, bini orang bini dia, duit orang duit dia, duit dia duit dia.”

Kini, baru saya faham bahawa bibit-bibit pepecahan atau onar yang ditimbulkan oleh orang-orang kanan dalam satu-satu persilatan Melayu adalah merupakan satu perkara biasa. Dulu pun telah berlaku. Orang kanan yang dimarahinya itu telah membuka persilatan baru di negeri Perak dengan nama akademik persilatannya. Oleh itu, persilatan tersebut mempunyai gurunya yang tersendiri.

Nampaknya, istilah akademik telah pun digunakan oleh silat lain yang berpecah bagi mengesahkan pergerakan mereka. Sekarang ini pun di negeri Kedah, ada akademik silat yang ditubuhkan oleh orang kanan Dato’ Meor di satu ketika dulu. Pepecahan ketara dalam persilatan berkenaan, tak boleh dielakkan dari berlaku. Baru-baru ini, saya terbaca dalam akhbar, betapa adanya seruan supaya mereka kembali bersatu. Rasanya, susah nak berlaku.

Begitu juga dengan persilatan lain yang hebat-hebat di negeri Perak. Setelah kematian guru mereka, maka berlakulah pepecahan. Silat Lintau yang hebat telah berpecah kepada beberapa haluan yang dibawa oleh orang-orang kanan gurunya dulu. Saya difahamkan bahawa pergerakan silat yang dibawa mereka telah mula menunjukkan perbezaan gerak. Masing-masing telah membuat pembaharuan. Semuanya berkaitan dengan pembawaan sifat orang kanan yang ‘membawa’ persilatan tersebut.

Begitu juga dengan silat Ilham. Sangat terkenal di negeri Perak. Setelah kematian gurunya, maka berlaku juga pepecahan. Saya sempat melihat perkembangan silat berkenaan. Terdapat salah seorang orang kanannya yang menubuhkan persatuan baru dengan nama silat yang baru. Ketika saya bertanya, jawapannya ialah nama silat yang baru kerana beliau memasukkan gerak silat lain yang pernah dituntutnya.

Itulah antara contoh persilatan Melayu yang hebat di negeri Perak yang akhirnya berpecah akibat kematian guru atau mahaguru mereka. Banyak lagi persilatan Melayu lain di negeri Perak yang menerima padah yang sedemikian. Saya tidak boleh mengupas panjang kerana pengetahuan saya adalah terhad. Mungkin banyak lagi cerita sebaliknya yang menyebabkan pepecahan tersebut berlaku. Pengetahuan saya hanyalah sekadar pemerhatian dan perbualan dengan mereka. Selaku penyelaras silat dalam negeri Perak, saya perlu ambil tahu.

Walau bagaimanapun pada kesimpulan saya, pepecahan adalah merupakan sesuatu yang pasti setelah kematian guru yang utama dalam persilatan berkenaan. Contoh-contohnya adalah sah dan benar. Akibat pepecahan, silat yang hebat di satu masa, telah hancur kegemilangannya. Semuanya saya dapat saksikan ‘di depan mata’. Kesaksian itu menambahkan pengetahuan saya. Jawatan yang saya sandang ketika itu ada faedah juga. Faedah dari segi pegetahuan tentang pepecahan dalam persilatan Melayu.

Apabila berlaku pepecahan dalam persatuan kita, maka lagi fahamlah saya maksud percakapan dan kesaksian saya pada pepecahan yang berlaku dalam persilatan Melayu yang ada. Nampaknya, secara adat, sudah menjadi hukum alam dalam persilatan. ‘Kematian guru akan membawa pepecahan’. Kita tunggu satu lagi perguruan yang hebat di peringkat kebangsaan. Adakah hukum ini menjadi kenyataan. Sama-sama kita tunggu sama ada hukum alam itu satu kebenaran atau satu telahan. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 01/01/2013 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: