RSS

56.3. KUASAI DAN JIWAI SILAT CEKAK.

26 Dec

Bentuk Keyakinan Diri Dalam SC.

Saya berpendapat, sebagai Jurulatih kita perlu menguasai dan memahami pelajaran SC itu hingga bersebati dengan diri sendiri. Penguasaan itu merujuk pada kefahaman teori dan gerak perbuatan. Kita juga mesti berupaya membuat penerangan atas kefahaman secara lisan. Itulah tindakan yang sepatutnya ada dan dikuasai secara mantap sebelum ilmu yang kita ada dapat dicurahkan secara berkesan pada para penuntut. Oleh itu, gunakan pelbagai cara bagi maksud yang demikian. Mengklasifikasikan isi pelajaran SC berdasarkan pada prinsip, konsep dan falsafah adalah merupakan salah satu cara untuk maksud kefahaman tersebut. Perkara pentingnya ialah kita memahami dan menguasai pelajaran SC. Jika kefahaman dan perbuatan persilatan SC dapat dikuasai, maka peranan kita untuk menyampaikan ilmu SC pada para penuntut akan lebih berkesan. Kita tahu akan arah tujuan pengajaran kita dalam proses membangunkan kehebatan para anak didik kita sendiri. Nampak akan adanya keberkatan.

Pada diri saya, setiap isi pelajaran SC akan saya tafsir berdasarkan maklumat yang ada pada setiap pergerakan atau pada setiap pemeringkatan isi pelajarannya. Dari maklumat yang ada itu, saya lihat akan sifat atau ciri-ciri pergerakannya. Dari situ saya akan membuat satu tanggapan secara keseluruhan akan pergerakan tersebut yang dikenali sebagai konsep. Akhirnya saya akan membuat kesimpulan tentang apakah yang dikehendaki atau kesimpulan pergerakan itu pada diri saya. Itulah falsafahnya.

Pada pegangan saya, jika kita benar-benar menjiwai kefahaman kita pada setiap mata pelajaran SC, akan menjadikan kita sayang pada SC. Pelajarannya akan mudah sebati dengan diri kita. Hal yang demikian akan menjadikan penguasaan kita pada SC akan terus berkekalan sepanjang masa.

Berdasarkan tulisan yang lalu menampakkan pada kita betapa mudahnya mempelajari SC. Syaratnya ialah kita memahami dan menjiwai isi pelajarannya. Cari jalan untuk memahami dan menjiwai pelajarannya. Hanya kita sendiri yang boleh melakukannya. Orang yang berjaya memahami dan menjiwai isi pelajaran SC, akhirnya akan dapat rasakan betapa pelajaran SC itu amat ringkas. Tidak berbelit-belit pergerakannya hingga menyulitkan ingatan kita.

Tidak hairanlah salah satu pengertian Cekak itu adalah merujuk pada maksud ‘ringkas’. Seperti yang dinyatakan dalam maksud perkataan Cekak itu sendiri. “CEKAK dalam bahasa Jawa bermakna Ringkas. Adalah jelas bahawa SC mudah dipelajari melalui sistem pelajaran yang teratur dan ringkas”.

Saya juga selalu tegaskan betapa pentingnya kita mempelajari SC secara berfikir. Ilmu yang diperoleh melalui daya berfikir akan memudahkan kefahaman kita pada ilmu berkenaan. Cepat dapat dan cepat bersebati dalam diri kita. Tidak mudah lupa. Hal yang demikian akan menyebabkan kita akan sentiasa ingat pada pelajaran tersebut.

Banyak cara yang membolehkan kita berfikir sebelum menerima satu-satu pelajaran. Selain daripada membuat tafsiran berdasarkan prinsip, konsep dan falsafah setiap pelajaran, cara lain ialah menimbulkan persoalan dalam diri sendiri. Maknanya, jangan mudah menerima satu-satu pelajaran tanpa membuat sedikit persoalan dalam diri kita sendiri. Persoalkan diri kita dan carilah jawapan sendiri melalui pengamatan, perbuatan dan jawapan yang diberi oleh Jurulatih.

Tetapi ingat. Elakkan diri dari membuat persoalan pada orang lain, terutamanya pada Jurulatih. Hal yang demikian akan mengundang sifat bertengkar atau berbahas. Buang masa dan menyentuh perasaan serta menggores hati sesama kita. Ekorannya, mungkin akan menimbulkan sifat negatif. Hal yang demikian akan menyebabkan jiwa kita akan menolak pada isi pelajaran SC itu dari semasa ke semasa. Jika penolakan itu berterusan berlaku, akan menyebabkan kita ‘tidak dapat apa-apa’. Asyik menimbulkan persoalan. Akibatnya kita akan banyak buang masa pada persoalan dengan orang lain. Lebih baik kita bertengkar dengan diri kita sahaja dan mencari penyelesaiannya secara pemikiran yang positif. Itulah kaedah komunikasi secara intrapersonal. Sebenarnya, saya amat berminat dengan kaedah komunikasi yang sedemikian dalam proses menuntut ilmu persilatan.

Seseorang yang mempelajari SC mesti sampai pengertiannya kepada konsep gerak yang ada dalam SC. Untuk mencapai tahap pengertian itu, setiap pergerakan SC yang dikatakan hebat itu mesti ada buktinya untuk diri sendiri. Maknanya, setiap pergerakan itu mesti terbukti keberkesanannya. Pembuktian itu akan menambahkan daya keyakinan dalam diri kita. Hal yang demikian akan mendorong sifat sayangkan pada persilatan SC. Sesungguhnya, pelajaran SC sememangnya telah terbukti hebatnya.

Datanglah sebarang bentuk serangan tumbukan, kaedah yang ada pada silat kita boleh mengatasinya. Seranglah dalam bentuk apa sekalipun, buah jatuh yang ada dalam pelajaran SC boleh mematikan gerak tersebut. Begitu juga ketika kita menyerang. Setiap gerak musuh dapat dimatikan. Demikian juga dengan serangan peluru berpandu yang kita ada. Ketepatannya tidak boleh diragui lagi. Pasti pergi kepada sasarannya.

Jika kita berupaya mencapai ke tahap pembuktian tersebut maka baharulah kita dapat membuat pengesahan akan sesuatu kebenaran gerak yang ada dalam SC dengan buktinya sekali. Terasa betapa besar faedahnya kita mempelajari SC setelah kita faham akan kebenaran setiap isi pelajarannya. Bukan harapan atau khayalan, tapi kenyataan dan kebenaran. Keyakinan kita akan terus meningkat bahawa SC benar-benar boleh diharap untuk kesejahteraan diri.

Salah satu falsafah gerak dalam SC, pergerakan kita adalah sentiasa berada dalam situasi makan gerak. Falsafahnya , “Makan gerak dalam gerak”. Maknanya, sama ada kita menunggu atau menyerang, pergerakan kita mestilah dalam situasi gerak yang sama dengan lawan kita. Kita membuat tepisan dalam keadaan gerak lawan membuat serangan. Kita membuat jatuhan dalam keadaan kita menumpang gerak kekuatan lawan kita. Malah, ketika menyerang dan membuat buah potong, masih lagi dalam keadaan gerak lawan kita masih berada dalam proses geraknya.

Menurut Ustaz, seseorang itu yang berupaya menguasai gerak hingga sampai ke peringkat “MAKAN GERAK’, dirinya akan sentiasa berwaspada. Kebolehannya sentiasa meningkat hingga dapat menentang musuh sama ada yang dapat dilihat atau tidak, disedari atau tidak, sama ada dalam keadaan terang atau dalam keadaan gelap. Saya tak berhajat mengulas panjang. Susah tulis.

Latihlah diri dalam keadaan kita dapat membaca gerak lawan kita sepanjang masa. Bertindaklah dalam proses lawan kita membuat gerak. Oleh itu ketika bersilat, jangan sesekali ada gerak ‘bermalam’. ‘Apabila penumbuk lawan kita berhenti di dada, baru nak tepis atau dibuat jatuhan’. Tak betul jadinya. Begitu juga ketika membuat buah potong. Bila lawan kita membuat jatuhan baru bertindak membuat potong. Lambat. Kita perlu bertindak memotong dalam proses lawan kita membuat buah jatuh. Selalu ajar diri kita bertindak dalam proses lawan kita bergerak. Itulah juga dinamakan makan gerak dalam gerak. Orang yang menguasai falsafah ini, akan sentiasa berwaspada. Tak mudah mempercayai gerak orang lain yang ada.

Jadual berikut adalah contoh yang saya lakukan untuk memahami isi pelajaran SC. Saya sertakan contoh cara-cara memenuhkan rajah berkenaan. Kalau berminat, teruskan usaha berbuat demikian. Dalam Jadual 1, saya cuba memahami SC secara keseluruhan. Sifat atau prinsip yang ada, adalah memperlihatkan rupa bentuk Silat Cekak secara keseluruhannya. Manakala Rajah 2 merujuk pada setiap isi pelajaran dalam SC.

Sekian untuk tajuk ini.(Maaf. Tak erti buat rajah. Guna kamera. ).

20121226-195848.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 26/12/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: