RSS

56.2. KUASAI DAN JIWAI SILAT CEKAK.

23 Dec

Prinsip, Konsep dan Falsafah SC.

Berdasarkan pelajaran memahirkan kaedah melalui buah-buah asas yang ada, kita akan dapat membuat pembahagian, pengkelasan atau generalisasi. Ada pilihan bahagian-bahagian sasaran apabila lawan kita membuat serangan. Tiap-tiap bahagian itu, ada prinsip-prinsip tangkisannya. Kalau prinsipnya kita faham, konsepnya kita kuasai, mudahlah kita menghadapi segala bentuk tumbukan walaupun di bahagian yang berlainan sama ada atas, tengah atau bawah.

Daripada konsep itu maka lahirlah falsafah dalam SC. Falsafah itu akan merujuk pada kebenaran dalam setiap gerak yang ada dalam isi pelajarannya. Kebenaran atau pengertian gerak itu adalah untuk kefahaman kita. Setiap pemeringkatan pada isi pelajarannya mengandungi falsafah yang tertentu. Falsafah itu juga boleh merujuk pada keseluruhan pelajaran SC itu sendiri.

Saya sering menggunakan istilah-istilah Prinsip, Konsep dan Falsafah bagi maksud kefahaman diri sendiri ketika menjadi Jurulatih. Kalau diambil contoh berdiri lurus, kaedah atau cara tersebut merupakan prinsip kita ketika menghadapi musuh. Bentuk berdiri lurus itu adalah merupakan konsep kita menghadapi musuh. Falsafah berdiri lurus merujuk pada kefahaman akan kelebihan kita berbuat demikian dan implikasinya pada pengamal SC. Ketiga-tiga istilah tersebut tidak dapat dipisahkan kerana setiap pergerakan kita, akan mengandungi prinsip, konsep dan ada falsafahnya yang tersendiri.

Pada saya, SC adalah kaya dengan prinsip, konsep dan falsafahnya. Perkara ini telah diterangkan secara langsung atau secara tidak langsung dari masa ke masa oleh Guru Utama. Seterusnya dipanjangkan oleh Jurulatih pada para penuntutnya. Salah satu konsep yang istimewa dalam SC ialah ketika SC menyerang. Kehebatan serangan SC ialah jika musuh mengelak, pasti kena dan sekiranya ditepis, dimakannya. Itulah tanggapan kita. Itulah konsep serang.

Seperti yang telah saya terangkan dalam tulisan terdahulu, konsep ini bukanlah satu perkara baru dalam seni bela diri orang Melayu. Dalam Hikayat Malim Deman, ketika Malim Dewan bergaduh dengan Raja Mambang Molek, Malim Deman telah mengeluarkan kata-kata, “Hai Raja Mambang Molek, ingat-ingat, inilah gayung anak piatu, jikalau disambut kena dua, jikalau tiada disambut kena satu.”

Konsep serangan tersebut umpama peluru berpandu yang pasti akan mengena sasarannya. Tapi ada caranya atau ada sifat-sifatnya atau ada ciri-cirinya. Sifat-sifat itulah yang dinamakan sebagai prinsip menyerang. Kita yakin bahawa serangan kita akan mematikan gerak lawan. Itulah kebenaran gerak serang pada kita. Begitulah keyakinan yang ada pada pengamal SC. Walaupun sebutannya mudah, akan tetapi untuk menguasai penumbuk tersebut memerlukan latihan yang berterusan dan ketabahan dalam latihan.

Pelajaran menyerang ini perlu sentiasa dititikberatkan setelah penuntut itu tamat. Untuk mengesahkan keberkesanan penumbuk tersebut, senarai buah umum digunakan sebagai alat dalam latihan; alat untuk maksud pengesahan keberkesanan penumbuk kita. Malangnya ramai yang kurang memahaminya hingga sanggup melupakan kaedah menyerang yang sebenarnya. Mereka lebih menitikberatkan penguasaan pelajaran buah-buah silat lain dalam senarai tersebut; bukannya penguasaan penumbuk serang. Hal ini amat merugikan pada para penuntut.

Begitu juga dengan konsep enam tolak enam. Pelajaran ini perlu diaplikasikan dalam pelajaran kemahiran. Fahamilah benar-benar konsep seri dalam SC. Prinsip seri memerlukan latihan yang mantap hingga boleh digunakan ketika kita menghadapi musuh atau ketika membuat serangan.

Seiring dengan konsep menyerang, dikatakan juga bahawa sambil Cekak menyerang Cekak dapat menangkap musuh, sesuai dengan falsafah keseluruhan SC iaitu Cekak menyerang, Cekak menangkap. Menurut penyelidikan, tidak ada satu silat yang lain, melainkan pengamal SC; sekiranya menyerang ia dapat menangkap. Sejauh mana konsep ini diajar secara berkesan dan dikuasai oleh para penuntut. Pada zaman saya yang lalu, pelajaran mengenai konsep ini dihuraikan dalam masa pelajaran ‘Potong’.

Pada dasarnya, pelajaran SC lebih menitikberatkan prinsip mempertahankan diri supaya penuntut terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh. Hanya bila terpaksa demi keselamatan diri barulah Cekak menyerang. Ramai yang menganggap hampir sembilan puluh sembilan peratus isi pelajarannya adalah mempertahankan diri. Cuma satu peratus sahaja Cekak akan menyerang. Kata-kata ini juga perlu difahami dengan sepenuhnya. Jangan tersalah tafsir. Hasrat kita menyerang untuk menamatkan segera gerak musuh amat sesuai dengan kaedah serangan berpandu. Itulah yang dikatakan pelajaran satu peratus. Namun begitu bagi maksud menyerang dan bertindak balas, pelajaran potong lebih menyatakan maksud yang tersirat. Kata-kata Cekak menyerang dan Cekak menangkap membuktikan dalam pelajaran ‘Potong’, konsep menyerang mula ditekankan.

Penuntut-penuntut juga ditanam dengan prinsip, ‘Bila tangan digunakan musuh maka tangan pula balasannya. Jika musuh menggunakan kaki, maka kakilah balasannya tanpa menggunakan tangan menepis serangan kaki.’ Walaupun ada kekecualian, prinsip ini adalah merupakan prinsip asas dalam SC. Pada pandangan saya, kalau dikaji gerak secara keseluruhan dalam SC, prinsip itu boleh dijadikan sebagai salah satu falsafah gerak dalam SC. Maknanya, itulah juga salah satu kebenaran gerak dalam SC. Sepak Minang yang cuba diambil dengan kaedah tangan, amat membimbangkan. Penggunaan kaki untuk menangkis serangan kaki perlu sangat diberatkan ketika kelas-kelas kemahiran berlangsung.

Selama ini penuntut-penuntut SC difahamkan bahawa konsep kaedah yang ada dalam SC amat sesuai untuk menghadapi serangan senjata-senjata pendek. Penuntut mungkin terkeliru apabila kaedah tangan digunakan untuk menghadapi serangan tongkat yang panjang. Kaedah A hingga D amat sukar digunakan. Sakit. Kena ada kekuatan. Melainkan habuan sesak, ada kaedah-kaedah lain yang sering digunakan oleh SC.

Apatah lagi penuntut-penuntut SC difahamkan dengan konsep posmen dengan surat. Untuk menyekat surat daripada diterima maka sekat sahaja si tukang kirimnya iaitu posmen. Konsep ini bermaksud, untuk menghalang senjata-senjata daripada hinggap di tubuh kita, gunakan kaedah bagi menghalang tangan yang menghantarnya. Namun begitu, pada dasarnya kaedah tersebut sangat sesuai digunakan untuk menghadapi senjata-senjata pendek. Prinsip ini harus diakui dan diterima oleh pengamal SC.

Bukanlah maksud kita untuk menyusahkan para penuntut dengan istilah-istilah prinsip, konsep dan falsafahnya. Tak payah hafal akan sifat-sifat pada istilah tersebut. Cuma, kita perlu faham akan setiap pelajaran yang kita terima agar pelajaran itu dapat meresap kekal pada diri kita. Barulah kita dapat menjiwai pelajaran SC.

Kesimpulannya, setiap pelajaran yang ada, terdapat sifat dan cara-caranya ketika melakukan gerak. Itulah prinsipnya. Tanggapan kita pada isi pelajaran itu akan membawa maksud konsep. Manakala pengertian pelajaran itu pada kita adalah bermaksud falsafah yang ada padanya.

Dalam hal ini, tanggapan kita pada setiap pergerakan itu adalah berbeza-beza. Begitu juga pengertian satu-satu gerak itu pada diri kita. Lain orang maka lain tanggapannya dan lain tafsirannya pada gerak yang berkenaan. Perkara pentingnya ialah penguasaan kita pada gerak SC yang diajar pada kita. Fikir sendiri akan caranya. Kalau tak boleh fikir, cubalah cara saya.

Rajah berikut menunjukkan idea keseluruhan isi pelajaran SC. Dari banyak kepada sikit. Hal yang demikian memudahkan kita membuat kesimpulan gerak. Itulah juga yang dinamakan sebagai Keputusan Gerak.

Bersambung.

20121226-210712.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 23/12/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: