RSS

56.1. KUASAI DAN JIWAI SILAT CEKAK.

20 Dec

Semakin Lama Belajar Terasa Makin Sikit.

Seperti yang saya nyatakan dalam tulisan terdahulu, saya dapat rasakan betapa pelajaran SC yang ‘sedikit’ itu boleh dihabiskan dalam satu jangka masa yang pendek sahaja. Perasaan saya itu adalah berasas juga. Ustaz pernah menerangkan pada saya betapa SC boleh diajar dalam tempoh empat puluh hari sahaja. Mungkin dilakukan pada setiap hari. Bukan perkara mustahil. Malah, ketika saya belajar dulupun, jangka masa latihan adalah selama lingkungan tiga bulan sahaja. Pelajarannya dua kali seminggu, bermula dari pukul tiga hingga enam petang. Hal yang demikian adalah kerana faktor masa. Kami belajar di hujung tahun. Ramai yang akan tamat pengajian di tahun akhir. Bagi mempastikan mereka tamat dalam SC, terpaksalah dipercepatkan pelajaran. Yurannya tetap untuk enam bulan. Walau bagaimanapun, jangka masa pendek yang kami alami itu bukanlah satu kebiasaan dalam pembelajaran SC.

Saya rasa, pendapat bahawa SC boleh diajar dalam masa yang singkat adalah bentuk perasaan setelah kita tamat mempelajari SC. Perasaan yang terhasil itu adalah merupakan satu kesimpulan pada isi pelajaran SC. Sikit saja. Belajar hingga kita dapat buat kesimpulan pada gerak persilatan. Jangan lupa. Perasaan itu hanya timbul pada mereka yang belajar dengan penuh dedikasi dan bersungguh hati.

Akan tetapi, bukan semua penuntut berkebolehan sedemikian. Mereka yang belajar SC mempunyai pelbagai tujuan atau matlamat yang tersendiri. Matlamat itu akan memandu kesungguhan mereka belajar. Sekurang-kurangnya, hal yang demikian akan membezakan kebolehan para penuntut dalam proses mempelajari SC. Saya rasa, Ustaz telah membuat kajiannya sendiri. Bagi mempastikan SC boleh dikuasai oleh semua penuntut yang berlainan kebolehan, satu jangka masa yang tertentu perlu diambil kira. Sekurang-kurangnya memakan masa selama enam bulan. Dalam tempoh tersebut, kita percaya proses penurunan ilmu SC dapat dilakukan. Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa keberkesanannya masih memerlukan masa.

Kita selalu difahamkan bahawa pelajaran SC penuh dengan sistem atau susunan pelajaran yang lengkap. Tidak perlu ditokok tambah dengan sistem-sistem bela diri lain dalam dunia persilatan. Pelajarannya berperingkat. Dari banyak, menjurus kepada sikit dan akhirnya memudahkan kita membuat kesimpulan secara keseluruhan pada setiap gerak dalam isi pelajarannya. Ketika itulah kita merasakan betapa isi pelajarannya adalah sangat sikit dan mudah. “Banyak tu je.” Itulah kata hati. Bukannya mengeluh tanda rasa tak puas hati atau berasa kesal di hati, sebaliknya melahirkan tanda perasaan puas di hati, setelah mempelajari SC dalam masa yang ditentukan. Ilmu yang diperoleh, dianggap lengkap untuk pakaian diri sendiri.

Maka fahamlah kita akan makna silat itu sendiri dalam konteks SC. Silat adalah gerak. Yang bergerak itu adalah kedua tangan dan kedua kaki. Sehebat manapun kita bersilat, jangan lupa, gerak kita itu adalah hak yang Empunya Gerak. Kita hanya berusaha, Allah yang akan menentukan kebolehan kita bergerak. Walaupun pergerakan kita tidak mantap, jika Allah izinkan, gerak kita itu tetap ada kesannya apabila ‘diperlukan’. Itulah satu kepuasan pada diri. Kita hanya berusaha, Allah yang akan menentukan segala-galanya. Oleh itu tidak ada perasaan susah hati, sebaliknya terbina perasaan yakin diri.

Rupa-rupanya SC adalah silat yang mudah dipelajari. Ada kesimpulan pada keseluruhan gerak persilatan SC. Itulah yang dinamakan sebagai penamat silat. Penamatan itu diiktiraf melalui satu majlis ijazah. Fahamlah kita akan peringkat-peringkat gerak dari asas kepada potong. Dari gerak menunggu serangan kepada gerak menyerang. Lengkaplah pembelajaran silat kita. Puas.

Ada yang mengatakan bahawa penamat silat itu adalah bermaksud penguasaan ‘keputusan silat’. Keputusan silat itu adalah keputusan gerak. Maknanya, kita akan dapat memahami gerak hingga berupaya ‘mematikan’ gerak yang kita tidak kehendaki. Gerak yang dimatikan itu kemungkinan akan digunakan semula dalam proses mematikan gerak berikutnya. Di sini jugalah tertegaknya falsafah Seni Silat Cekak yang berbunyi, “Pakai Tak Pakai, Tak Pakai Pakai.” Lengkaplah ilmu SC selama mana yang diuntukkan masa pembelajarannya pada kita.

Berdasarkan pengalaman saya, mempelajari persilatan Melayu yang lain tidak sama perasaan puas dan tersimpul gerak di fikiran kita, berbanding akan gerak silat SC. Pembelajaran silat lain, biasanya lagi lama belajar, maka lagi banyak isi pelajaran silat yang perlu dipelajari. Banyak sangat peringkatnya. Tak habis-habis dan tak nampak penghujungnya. Semua peringkat tidak ada keputusan gerak. Setiap peringkat baru yang dipelajari, tidak menunjukkan kelebihannya mengatasi peringkat yang sebelumnya. Nampak sangat akan pemeringkatan pelajaran tersebut yang tidak ada kesinambungannya. Tak nampak ada penghujungnya.

Saya pernah bertanya pada guru silat berkenaan. Jawapannya, “Silat ini tak tamat-tamat. Belajar sepanjang hayat.” Hal yang demikian disebabkan oleh buah-buah silatnya adalah berpuluh-puluh dan sukar diingat. Tidak ada satu sistem untuk mengklasifikasi akan pergerakan buah-buah tersebut. Belajar dan terus belajar. Ramai yang ‘tamat’ dulu sebelum ditamatkan dalam pelajaran silatnya.

Saya pernah menulis, menceritakan pengalaman berguru dengan silat lain. Pernah guru yang datang, lupa akan pelajaran semalamnya. Apatah lagi pelajaran yang lepas-lepas. Tak tahu sama ada telah diperturunkan buah atau belum. Hal yang demikian adalah kerana tidak ada sistem penyampaian pelajaran secara tersusun. Terpaksalah kami membuat catatan dan melukiskan pergerakannya pada kertas. Nasib baik ada ahli dalam kalangan kami yang pandai melukis.

Penyampaian pelajaran SC ada sistemnya. Dari kaedah kepada asas dan dari asas kepada jatuhan. Setiap buah itu disampaikan secara berperingkat. Tak banyak buah. Kepentingan buah adalah terletak pada kaedah tepisannya. Kaedah pun tak banyak. Kita boleh buat pengklasan buah berdasarkan kaedah. Namun begitu, dalam pembelajarannya, kita tidak membahagikan buah-buah jatuhan berdasarkan kaedah yang empat. Ada kepelbagaian dalam susunan pelajarannya. Hal yang demikian akan menggalakkan budaya berfikir dalam proses penerimaan buah-buah dalam SC.

Pergerakan badan kita dalam SC adalah tak banyak. Belajar silat lain, terasa susahnya. Kaedah mengelak adalah asas utama. Elakan pun banyak. Badan yang mengelak. Secara kiasan, ‘kalau badan diibaratkan raja maka tangan dan kaki boleh dianggap askarnya. Askar yang datang, raja pulak yang cabut lari. Dalam SC, askar yang datang maka askar yang menentangnya, tanpa raja perlu melarikan diri’.

Sekurang-kurangnya ada lapan gerak elakan berdasarkan arah mata angin pada kebanyakan silat Melayu. Oleh sebab banyak bergerak, tenaga yang banyak amat diperlukan. Cepat penat kerana gerakan elakannya adalah gerak yang dibuat-buat. Bukan gerak secara semula jadi seperti mana yang ada dalam pelajaran SC. Ketika kita menepis tumbukan, gerak kita tetap. Lantaklah berapa kali lawan kita menumbuk. Mudah bagi kita membuat tepisan. Yang letihnya bukan pesilat yang menunggu tumbukan, sebaliknya pesilat yang menumbuk akan banyak menggunakan tenaga. Hakikatnya, orang yang menumbuk itu adalah lambang pergerakan lawan kita.

Walau pun pergerakan SC adalah bersifat gerak biasa berasaskan gerak semula jadi, akan tetapi Silat Cekak tetap bukan silat yang biasa. Maknanya SC adalah silat yang luar biasa dari kebiasaan silat Melayu yang ada. Mereka yang telah mempelajari persilatan yang lain akan dapat merasai akan maksud perbandingan saya itu. Bukanlah kita ingin merendah-rendahkan silat Melayu yang ada, melainkan menambah dan meneguhkan pengetahuan yang lebih jitu dalam pergerakan silat Melayu. Malah, merendah-rebndahkan silat Melayu yang lain adalah merupakan satu larangan dalam adab berguru SC.

Pelajaran SC dapat diumpamakan seperti rajah piramid yang tirus di atas, lebar di bawah. Pelajarannya adalah secara berperingkat. Lama-lama terasa sikitnya. Akhirnya kita dapat membuat kesimpulan secara keseluruhan pada gerak SC. Mula-mula kita rasakan banyak pelajarannya. Kaedah, buah asas dan buah jatuh. Sebanyak mana pun, setakat sembilan belas buah atau sekarang dua puluh satu buah.

Bila masuk pelajaran potong terasa pelajarannya semakin sikit. Melalui beberapa kaedah potong, pelajaran yang banyak terasa disikitkan. Fahamlah kita betapa pelajaran yang banyak itu adalah berupa mukadimah bagi maksud kefahaman kita dalam pergerakan SC. Apabila diajar penumbuk serang, kita dapat rasakan lagi sikit pelajarannya. Kalau kita tidak menilai sepenuh hati, terasa macam tak ada apa-apa. Mudah sangat.

Mempelajari buah-buah yang banyak itu, umpama kita mendapatkan data-data atau maklumat-maklumat tentang SC. Cara berdirinya, cara menumbuknya, cara menepisnya dan pelbagai cara lagi. Semua maklumat itu adalah melambangkan rupa bentuk SC secara keseluruhannya. Setiap satu peringkat atau setiap satu cara itu ada cirinya-cirinya atau ada sifat-sifatnya. Itulah prinsip setiap pelajaran tersebut. Prinsip itu bermakna dasar atau asas yang berkaitan dengan gerak tersebut. Prinsip itu berbentuk sifat atau ciri-cirinya. Kaedah menepis ada prinsipnya. Buah jatuhan dan buah potong, ada prinsipnya. Malah, kaedah kita membuat serangan pun ada prinsipnya yang tersendiri.

Daripada prinsip itu akan membolehkan kita memberi tanggapan pada setiap pelajaran tersebut. Itulah yang dinamakan konsep pelajarannya. Kita memberi pengertian berdasarkan prinsip gerak itu. Apakah tanggapan kita pada setiap pelajarannya. Kalau menepis adalah datanya, maka tanpa mengelak, itulah salah satu daripada prinsipnya. Daripada prinsip itu akan membolehkan kita membuat kesimpulan bahawa kaedah SC akan mampu menepis sebarang bentuk penumbuk yang datang. Itulah konsep kita pada kaedah menepis dalam SC. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 20/12/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: