RSS

56.0. KUASAI DAN JIWAI SILAT CEKAK.

16 Dec

Fahami Baru Cinta.

Ada yang ingin tahu akan komen saya ketika tamat pelajaran Silat Cekak semasa belajar dulu, berbanding dengan pengalaman belajar silat pada perguruan lain. Jawapan saya pendek saja. SC memang hebat. Tak rugi berkorban masa untuk mempelajarinya. Jangan sayangkan sangat wang ringgit yang dibelanjakan. Satu pengorbanan yang sangat kecil, berbanding dengan hasil pulangannya yang sangat besar untuk ‘keselamatan’ diri kita di dunia dan di akhirat. Diri terasa puas kerana berjaya menguasai seni bela diri yang boleh bertanggungjawab pada diri sendiri.

Hal yang demikian menyebabkan pengekalan minat saya yang berterusan dalam SC. Saya masih terus berada dalam SC. Walaupun tidak berupaya untuk turun ke kelas kerana pelbagai kekangan, sumbangan tetap ada dalam bentuk penulisan. Seperti ikrar saya pada Ustaz. Saya akan terus berjuang dalam SC selagi bergerak dua tangan dan dua kaki.

Terasa rugi jika kita tidak mendalami pelajaran SC secara sepenuh hati. Dalami semua pelajaran yang ada. Rajin-rajinlah berdampingan dengan mereka yang ada pengalaman luas dan pengetahuan luas dalam SC. Dalam hal ini, selalu saya sarankan agar kita sentiasa berfikiran terbuka, supaya pengetahuan yang diperoleh adalah luas dan matang. Jangan banyak membuang masa dengan menimbulkan pelbagai persoalan remeh pada gerak SC. Sebagai penuntut, terima sahaja. Dapatkan penjelasan jika kita berasa kurang yakin atas gerak tersebut. Mendapatkan penjelasan adalah lebih baik daripada kita membuat persoalan. Hal yang demikian kerana bentuk penjelasan akan wujud perbincangan. Manakala bentuk persoalan akan mengundang perbahasan atau pertengkaran.

Bagi mempastikan perjuangan kita dalam SC tidak sia-sia, saya selalu sarankan agar kita sentiasa pastikan diri kita tetap berada dalam landasan perjuangan yang sebenarnya dalam konteks persilatan Silat Cekak. Saya pasti bahawa kita telah berada dan tetap berada dalam landasan kebenaran persilatan SC. Selalu saya tegaskan betapa mereka yang berada di bawah kepimpinan En Mat, bermakna mereka telah berada atas landasan persilatan SC yang benar, berkualiti dan ada asal usulnya.

Kalau kita ingin kekal lama dalam SC, fahamilah dan jiwailah isi pelajaran silat itu dengan bersungguh hati. Kalau disebut faham dalam silat, maknanya kita perlu menguasai teori dan amalinya sekali. Kalau faham teori tapi kurang hebat dalam penguasaan geraknya, maka kurang maknanya. Begitu juga pada mereka yang hebat bersilat tapi susah nak menerangkan geraknya secara teori, itupun kurang maknanya. Kehebatan SC sentiasa boleh dibuktikan. Pembuktian pergerakannya adalah dalam perbuatan dan pembuktian kefahamannya dalam pertuturan. Maka mudahlah kita menyebarkan SC seterusnya.

Dalam tulisan ini, saya akan menjawab soalan tentang beberapa aspek yang berkaitan dengan kefahaman saya pada SC. Rujukan saya memberat pada pengetahuan dan pengalaman ketika berada bersama Ustaz. Masa itulah puncak saya mendalami SC. Di samping mengajar SC di kelas-kelas tertentu, kami juga diajar Ustaz melalui kelas-kelas kemahirannya. Oleh itu, kesimpulan saya dalam tulisan ini adalah berdasarkan pendapat atau pandangan saya sendiri.

Kepastian yang ada pada saya, kalau dah faham akan isi pelajaran SC maka akan cintalah kita pada SC itu sendiri. Itulah kesimpulan saya setelah tamat belajar SC dulunya. Jika kita menjiwai pelajaran SC dan benar-benar berminat pada isi pelajarannya, saya yakin kita akan terus mengamal kefahaman SC dalam kehidupan seharian. Saya telah berkongsi pengalaman dan pengetahuan saya dalam beberapa tajuk aplikasi pelajaran SC dalam kehidupan dan dalam bidang pengurusan organisasi di awal blog Lading Emas ini.

Saya yakin, apa yang saya rasa ketika melibatkan diri dalam persilatan SC ini, akan juga dirasai oleh para ahli SC yang lain. Setelah tamat SC, pasti akan timbul pelbagai kenyataan, kesimpulan dan pendapat peribadi. Hal yang semikian akan mempengaruhi sikap kita pada SC seterusnya. Kalau hati kita menolak pelajaran SC, maka akan ghaiblah kita daripada persilatan SC. Sebaliknya jika kita menerima pelajaran SC secara positif, penglibatan kita akan berterusan hingga sanggup berjuang dalam persilatan dan persatuan SC.

Saya yakin bahawa jika kita berminat dengan dunia persilatan Melayu, biasanya sikap kita pada SC akan cenderong pada pemikiran positif. Nampak akan nilai yang tinggi pada SC. Pemikiran positif itu akan menjadikan kita berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan SC dalam kalangan ahli masyarakat yang lain. Kita berasa betapa ruginya masyarakat jika tidak mempelajari SC. Dalam proses memperkembangkan SC, kita sanggup menghadapi pelbagai rintangan. Dalam hal yang demikian, keyakinan yang wujud dalam diri kita, menjadikan kita berupaya mengharungi pelbagai dugaan dan kekangan yang ada.

Setelah tamat SC, kita berasa isi pelajarannya sikit. Tak banyak karenah dalam pergerakan silatnya. Pelajarannya mudah dikuasai. Cepat dapat dan cepat ingat. Sesuailah dengan pantun Ustaz yang berbunyi, “Silat Cekak tersangatlah mudah, Bagi mereka yang mendapat hidayah, Sungguhpun begitu hendaklah tabah, Insya-Allah mendapat faedah”.

Kalau kita betul-betul menjiwai pelajaran SC, kita dapat rasakan betapa setelah tamat, pelajarannya sikit sahaja. Pelajaran sikit itulah yang amat berguna bagi menguasai pergerakan dua tangan dan dua kaki. Hal yang demikian bukanlah sesuatu yang menghairankan. Malah, pemikiran sedemikianlah yang sepatutnya ada setelah kita tamat pelajaran SC. Semakin lama kita belajar maka tersimpul makna gerak yang ada dalam SC. Sesuailah dengan maksud Cekak yang diberi tafsirannya semasa kita memperkenalkan SC dalam kalangan bakal penuntut.

Kita sering difahamkan bahawa perkataan ‘Cekak’ bermaksud segenggam. Ini bererti SC mengajar yang segenggam, bukannya yang segantang. Segenggam, buah guru namanya. Ini bermakna mata pelajaran SC merupakan intisari mata pelajaran silat sahaja. Itulah yang dimaksudkan segenggam; bukannya cabang-cabang silat yang banyak, bersifat segantang. Oleh sebab SC mempelajari asas atau perdu gerak maka pergerakannya sangat cepat, teratur dan dapat diajar dalam waktu yang pendek sahaja.

Pada suatu ketika, para penuntut difahamkan lagi bahawa pelajaran SC yang diajar bukan setakat bersifat segenggam, malah bersifat sekepit. ‘Segenggam berdasarkan penumbuk, sekepit berdasarkan jari’. Lagi terasa sikit. Kadang kala timbul perasaan dalam benak di hati, betapa SC boleh diajar secara ringkas. Fahamkan kaedah, fahamkan prinsip potong dan hebatkan serangan penumbuk. Penguasaannya tidak memakan masa. Tak sampai pun enam bulan. Itulah kata hati yang timbul dalam diri saya.

Namun begitu, Guru Utama SC pasti ada tujuan utama menyusun sistem pelajaran yang sedemikian dalam satu tempoh yang tertentu. Gerak perlu diasuh dari masa ke masa hingga bersebati dengan gerak semula jadi pada diri sendiri. Sebagai murid silat, ikut sahaja panduan dan arahan. Jangan banyak songeh. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 16/12/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: