RSS

55.0. SEBENAR GURU UTAMA PERLU DIUJI.

13 Dec

Saya sering membaca kisah tokoh-tokoh sejarah hebat yang berjuang demi menegakkan kebenaran atau mendaulatkan kefahaman yang dibawanya. Mereka terpaksa menempuh pelbagai halangan dan rintangan, termasuk difitnah sepanjang masa. Walau bagaimanapun, segala rintangan dan halangan itu ditempuh secara tabah dan akhirnya beroleh kejayaan. Benarlah kata pepatah kita, ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’. Kita yang membaca kisah-kisah mereka, pasti akan peroleh pelbagai pengajaran yang amat berguna dalam menjalani proses kehidupan seharian.

Saya dapat simpulkan bahawa orang-orang yang hebat, mempunyai idea yang hebat. Kehebatannya itu menjadikan orang lain berasa cemburu dan iri hati. Perjuangan mereka adalah suci dan ikhlas demi menegakkan kebenaran yang hakiki. Mereka ada cara yang tersendiri untuk menyebarkan pemikiran mereka itu dalam bentuk luar dari kebiasaan yang ada. Perkara pastinya, semua orang yang hebat itu akan menghadapi dugaan dan rintangan yang hebat. Semakin banyak rintangan dan dugaan yang ditempuh maka semakin matang daya pemikiran dan daya tindakannya. Hatinya tidak mudah luntur. Hal yang demikian menambahkan pengalamannya yang amat berharga untuk menyusun strategi berikutnya. Pengalaman itu juga amat berguna pada para pengikutnya yang turut sama berjuang.

Ustaz pernah menceritakan pengalaman menyebarkan kefahamannya terutama persilatan SC dalam kalangan masyarakat. Hinggakan Ustaz pernah ‘berkata-kata’ pada cermin ketika melihat wajahnya, betapa dirinya amat dibenci oleh manusia sekeliling. Ustaz pernah disisihkan masyarakat. Kehidupannya susah.

Dalam konteks persilatan, kalau mengikut adat, tersangat hebat dugaan yang ditempoh Ustaz. Pelbagai fitnah yang diterimanya. Sekurang-kurangnya, wujud anak murid sendiri yang sangat berminat untuk merampas tanggungjawabnya sebagai Guru utama. Saya telah menulis akan hal yang demikian dalam tulisan yang terdahulu. Segala rintangan itu telah berjaya ditempuh Ustaz. Bukan senang untuk menghadapi pelbagai rintangan tersebut. Terpaksa berkorban perasaan diri dan keluarga.

Pengalaman yang ditempuh Ustaz juga telah dikongsi bersama dengan anak muridnya. Ustaz selalu menerangkan tentang konsep cabaran ‘Tiga TA”. Berhati-hatilah dengan cabaran tersebut yang banyak membuka ruang dugaan pada kita. Orang yang berhati jahat hanya berkesempatan menggunakan fitnah berdasarkan cabaran tersebut untuk membuktikan kelemahan kita. Atas pengalaman yang Ustaz tempuh maka sering kali Ustaz mengingatkan anak muridnya supaya sentiasa berhati-hati dengan fitnah ‘Tiga TA’ itu.

Fahamlah kita akan kata-kata Ustaz berdasarkan pengalaman yang ditempuhinya. “Bukan senang menjadi guru Silat Cekak”. Itulah kata-kata Ustaz yang masih saya ingat. Banyak dugaannya. Pada pandangan saya, dugaan itulah yang merupakan salah satu faktor mematangkan Ustaz dalam bidang pengurusannya. Tidak hairanlah pada saya, dalam pengurusan persatuan, Ustaz berani membuat pelbagai tindakan tegas termasuk penyingkiran beberapa orang ahli persatuan. Tindakannya itu adalah untuk menyelamatkan SC daripada unsur-unsur yang boleh mendatangkan kesan buruk pada persatuan Silat Cekak yang dipimpinnya.

Ustaz juga pernah memberitahu saya betapa orang yang membencinya hanya berdasarkan peribadi. Namun begitu, ilmu silat yang dibawanya tidak dibenci bersekali dengan tuannya. Adatnya, kalau kita benci seseorang, hal yang bersangkut paut dengan orang itu juga akan turut dibenci. Ilmu dan kefahamannya juga akan turut dibenci. Itu sebabnya saya selalu tegaskan betapa ilmu yang diperoleh dari seseorang guru itu boleh kita ‘lupa’ kalau gurunya dibenci. Lupa bukan kerana ditarik balik ilmu itu oleh guru, tapi kerana membenci guru. Akibat kebencian itu, bukan setakat guru yang dibenci malah apa saja yang berkaitan dengan guru berkenaan juga akan turut dibenci. Maka hilanglah ilmu yang diperoleh dari guru berkenaan. Bukan ditarik-tarik tapi hilang dengan sendirinya.

Namun begitu, hal yang demikian tidak berlaku pada Ustaz. Ustaz dibenci tapi ilmunya dicari dan disanjungi. Sepatutnya, kalau dah benci pada Ustaz, elok saja undur diri atau menjauhkan diri dari Ustaz. Dalam konteks persilatan Silat Cekak, kalau dah benci gurunya, molek saja mengundur diri. Jangan bersua muka dengan guru lagi. Sebaliknya, lain jadinya pada Ustaz. Ilmu Silat Cekak yang dibawa Ustaz, dipandang sebagai sesuatu yang sangat berharga dan perlu ‘diwarisi’. Sebab itu mereka rela singkir Ustaz semata- mata untuk merampas kepimpinan ilmu SC yang dibawanya.

Dalam keadaan Ustaz berusaha keras untuk menentang segala fitnah yang ada, orang-orang kanannya tetap memberi sokongan yang hebat. Pertolongan mereka adalah ikhlas ketika itu. Tak mengharapkan pulangan. Apabila semua tentangan telah dapat dihapuskan, orang-orang kanannya terus berjuang untuk mengembangkan SC tanpa mengharapkan apa-apa pulangan. Walau bagaimanapun, perjuangan mendaulatkan SC tak kekal lama dalam kalangan mereka. Pemergian Ustaz merupakan titik tolak perubahan sifat dan sikap mereka. Pastinya selepas seratus hari.

Pada kesimpulan saya, dugaan yang diterima Ustaz adalah merupakan satu sifat atau satu ciri orang yang hebat dan mempunyai fahaman yang hebat. Dah jadi macam satu hukum alam. Orang hebat mesti diduga atau diuji untuk membuktikan kehebatannya. Kalau tak diuji, maka tidaklah hebat orang berkenaan. Dalam konteks kemerdekaan negara pun, ada yang membuat kesimpulan bahawa negara yang hebat adalah merupakan negara yang merdeka melalui sejarah perjuangan rakyatnya yang berkorban menuntut kebebasan.

Jelas pada kita, kepimpinan En Mat pun telah teruji. Bukan senang untuk jadi Guru SC bagi meneruskan keberlangsungan perjuangan Ustaz. Ujiannya hebat. Lebih kurang sama dengan ujian yang ditempuhi Ustaz. Cuma konteksnya saja yang berlainan. Tak mudah menjadi Guru Utama SC. Hal yang demikian juga memperlihatkan betapa kepimpinanya adalah benar. Beliau tepaksa merancang dan menyusun strategi bagi memperjuangkan SC secara berterusan. Alang-alang guru yang tidak cukup ‘daulat’, saya rasa akan ‘lari malam.’

Pada kita, cabaran dan dugaan yang dihadapi En Mat, adalah menepati ciri-ciri hebat seorang tokoh terkemuka. Orang hebat kena diduga atau diuji pada satu-satu ketika. Kehebatan dan kemantapan kepimpinannya akan semakin terserlah setelah dia berjaya menghadapi dugaan atau ujian tersebut. Nampak jelas kepimpinan En Mat yang hebat. Kalau tidak hebat dah lama En Mat ‘tumbang’. Namun begitu, steminanya masih ada. Tak mudah serah kalah.

Cabaran En Mat selaku Guru Utama Pewaris Mutlak Silat Cekak, tentunya berbeza dengan Guru SC yang lain. Mereka yang lain itu, mudah saja menjawat jawatan guru dek berlindung dengan persatuan yang ada. Tak banyak ujian persilatan yang ditempoh. Buat perjanjian, jadi guru. Atau buat persatuan maka jadi guru. Segala-galanya mudah. Tak ada cabaran. Kalau tak ada cabaran maka tak adalah kehebatan. Orang hebat saja yang selalu menghadapi cabaran.

Pada kesimpulan saya, adalah sah dan lengkap kepimpinan En Mat sebagai Guru Utama Pewaris Mutlak Silat Cekak. Telah diuji kehebatannya. Agaknya, kena berterima kasih juga pada mereka yang menjadi pengujinya. Beriani peha kambing. Sekian tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 13/12/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: