RSS

54.8. KEINGINAN MENJADI GURU UTAMA.

10 Dec

Kesimpulan.

Nampaknya, kelahiran pelbagai Guru Utama adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Peraturan persatuan sentiasa melindungi mereka. Secara langsung telah ada empat Guru Utama bergelar dalam SC. Nama-nama Guru yang bergelar ialah Guru Persilatan yang merupakan Pewaris Mutlak Silat Cekak, Guru Persatuan, Guru Kontrak dan Guru Harapan. Mungkin nanti akan timbul Guru Wawasan. Selalu saya tegaskan, betapa kita beruntung kerana berada dalam persilatan yang dipimpin oleh En Mat. Sah dari segi mandatnya sebagai Guru Utama. Hanya beliau seorang sahaja yang layak bergelar Pewaris Mutlak Silat Cekak. Jika yang lain ingin memakai gelaran tersebut, sah menampakkan muka tebal yang tak ada ‘kemaluannya’.

Ada yang menimbulkan persoalan. Apa gunanya mandat dalam persilatan. Tak ada mandatpun, ilmu persilatan masih boleh diajar dan mutu persilatannya tidak berbeza jauh. Siapa yang rajin berlatih, hebatlah dirinya. Dalam hal ini, terpulanglah pada pandangan peribadi seseorang. Lain orang maka lain ragam dan lain pendapat atau lain pandangannya. Akan tetapi, pandangan seseorang itu juga bergantung pada pemikirannya. Ada pemikian luas atau pemikiran besar. Ada juga pemikiran yang kecil atau pemikiran sempit. ‘Kepala otaknya’ akan menentukan tahap pemikiran yang ada pada diri sendiri.

Persilatan adalah penting, berbanding dengan persatuan. Pada saya, persatuan adalah alat untuk menggerakkan persilatan. Maka pilihlah silat yang benar. Silat yang benar adalah silat yang dipimpin oleh Guru yang benar. Guru yang benar adalah guru yang ada mandat untuk menjalankan tugas sebagai pemimpin tertinggi dalam persilatan. Mungkin ada yang bertanya, apa perlunya kita berguru pada guru yang ada mandat. Sekali lagi jawapannya, lain orang maka lain pula jawapannya. Semuanya bergantung pada kepentingan. Tak berguna untuk bertengkar. Sampai ayam berkokok di pagi berikutnya, tidak ada jawapan yang boleh dipersetujui bersama.

Pada diri saya yang amat berminat dalam bidang persilatan, pasti saya inginkan ‘kepastian benar’ dalam semua hal yang berkaitan dengan persilatan tersebut. Saya sememangnya berminat dalam bidang persilatan. Alang-alang belajar silat, lebih baik belajar yang ada ‘pucuk pangkalnya’. Ada asal usulnya. Pelajarannya mesti benar. Gurunya pula mesti benar. Kebenaran itu adalah sah. Sesuatu yang sah adalah sesuatu yang asal. Yang asal itulah yang dinamakan asli.

Ada orang yang tak ambil kisah tentang apa saja yang diperolehnya. Asli atau tak asli bukan perkara penting. Asalkan mudah dan senang dimiliki, dikira sudah memadai. Agaknya, itu sebab barangan palsu yang berjenama, berleluasa penjualannya di pasaran negara kita. Ramai peminat. Murah.

Kalau baju berjenama palsu pun, jika dipakai tetap juga akan melindungi tubuh badan. Itulah yang dikatakan cita rasa yang tak kisah kualitinya. Walau bagaimanapun, pada mereka yang berfaham inginkan kualiti dan mementingkan kualiti, prinsip benar sentiasa diutamakan. Hinggakan ada yang sanggup mengeluarkan wang atas nilai yang tinggi walaupun barangan itu menjadi lama di pasaran yang ada. Baru saya faham akan barangan lama yang asli pun pasti mempunyai nilai yang amat tinggi.

Nampaknya, pada zaman terdahulu, mereka yang berhajat menjadi Guru Utama tak sampai hati untuk membuka persatuan baru. Apatah lagi ‘pemergian’ Ustaz adalah baru. Hal yang demikian akan menampakkan kesalahan yang boleh dianggap khianat. Oleh itu, mereka hanya mampu mendakwa diri sendiri layak sebagai Guru Utama tapi tak buka persatuan baru. Namun begitu pada zaman berikutnya, timbul pemikiran baru. Ustaz telah lama pergi. Jangka masa telah lama berlalu. Oleh itu, baru strategi mereka berubah. Persatuan telah digunakan sebagai jalan untuk mendapat jawatan Guru Utama. Prinsip bersepadu Presiden merangkap Guru Utama telah mereka guna dengan sepenuhnya.

Dalam SC, kita selalu bermain dengan ‘dunia angka’. Agaknya konsep angka itu dijadikan sandaran mereka. Angka tujuh, empat belas, dua puluh satu dan empat puluh, sering diperkatakan. Angka-angka itu ada kaitan dengan masyarakat Melayu. Cuma, dalam masyarakat kita, ada penambahan angkanya. Dikatakan bahawa angka seratus dianggap muktamad. Difahamkan oleh yang empunya cerita, zaman dulu-dulu bilangan angka-angka itu digunakan juga dalam majlis kenduri arwah mengenangkan kematian keluarga. Dibuatlah kenduri kendara berdasarkan bilangan angka tersebut. Hinggalah keseratus hari barulah akhiran kenduri dan diturunkan batu nisan. Selepas itu dah tak ada kenduri lagi. Kenangan orangnya terus dilupakan.

‘Berita hangat’ atau isu yang ada dalam kalangan masyarakat kita pun dikatakan hanya bertahan berdasarkan angka tersebut. Kalau tak lenyap dalam masa tiga hari, tunggu hingga tujuh hari atau empat belas hari atau dua puluh satu hari atau empat puluh hari. Pastinya, selepas seratus hari berita hangat atau isu itu akan terus dilupakan.

Mungkin angka-angka itu juga tertanam dalam jiwa ahli-ahli kita. Pastinya mereka yang berketurunan Melayu. Termasuk mamak. Dalam masa seratus hari, semuanya berdisiplin mengikut adap dan adat yang ditinggalkan Ustaz. Lepas itu, ‘raya sakan’.

Kalau ditanya akan perbezaan antara Guru-Guru Utama yang ada, pasti kita telah memahaminya. Saya berharap tulisan ini dapat memberi gambaran tentang latar belakang kemunculan guru-guru bergelar yang ada dalam persilatan dan persatuan SC. Bolehlah dijadikan panduan untuk menyatakan perbandingan.

Kita tidak boleh menafikan akan peranan para ahli yang bergelar ‘para pendokong SC’ dalam persilatan dan persatuan SC. Dalam pensejarahan SC, mereka juga turut memainkan peranan penting bagi mewarnai perjalanan sejarah Silat Cekak. Semuanya bersandarkan prinsip, ‘demi mendaulatkan Pusaka Hanafi’. Istilah ‘Pusaka’ adalah wirid mereka dalam SC sepanjang hari. Berhati-hatilah untuk perkembangan generasi seterusnya. Mungkin nama ‘Hanafi’ akan berganti. Prinsipnya akan tetap sama. Mempertahankan PUSAKA. Pepatah ada mengatakan, “Ada hulu, ada parang. Ada dulu maka akan ada sekarang.” Waspadalah.

Kita kenang balik tentang golongan orang kanan Ustaz yang kemudiannya bergelar para pendokong. Pada kesimpulan saya, semasa zaman Ustaz, kecintaan mereka pada SC adalah pada tahap seratus peratus. Umumnya, kehebatan diri mereka sama naik dengan kehebatan mereka bersilat. Maknanya, orang-orang kanan ini sememangnya hebat dalam persilatan SC. Kepentingan peribadi belum ada. Minat yang menyimpang selain silat, juga belum ada. Itu sebabnya kecintaan mereka pada SC adalah pada tahap yang tersangat tinggi.

Apa yang saya perhatikan, selepas Ustaz, minat dan sifat para pendokong ini bertukar arah. Telah bercambah. Kehebatan persilatan mereka pun mula dipersoalkan. Ketokohan mereka tidak semestinya hebat dalam persilatan. Ada yang menjawat jawatan tertinggi dalam persilatan SC tapi penguasaan silatnya tidak sehebat dirinya. Ada yang longgar ikatannya pada silat. Silatpun ‘tak berapa cekap’. Turun kelas silat pun boleh dihitung dengan jari. Oleh itu, semangat cintakan SC tidak berada pada tahap seratus peratus.

Ada juga antara mereka yang mencampur aduk minat pada persilatan SC dengan minat pada perkara-perkara lain. Tumpuan silat semakin kurang. Misalnya, ada yang minat memancing. Ada yang minat dengan bola sepak. Ada yang minat dengan dunia artis. Hal yang demikian terbawa-bawa dalam kegiatan persilatan. Tidak hairanlah, ada antara mereka yang berkesempatan masa untuk menubuhkan kelab penyokong bola. Ada juga kalangan mereka berminat untuk menjemput penyanyi bagi menarik minat masyarakat menonton persembahan SC, tanpa menyedari menyaksikan SC telah merupakan hal sambilan. Mungkin kegiatan silat di tepi kolam atau di tepi tasek, ada kaitan dengan pemikirnya yang berminat dengan ikan. Ikan sepat darat. Kepentingan diri juga namanya.

Kalau perasaan cintakan SC tidak berada di tahap tertinggi, macam-macam perkara atau macam-macam tindakan boleh jadi. Ketika mereka memegang tampuk pengurusan persatuan, tidak hairanlah pada saya jika mereka tergamak menutup kelas-kelas SC yang ada. Perasaan ‘berahi’ pada SC semakin luntur. Berahi mereka lebih mirip pada bola, ikan dan terutamanya artis-artis yang ada. Ghairah. Silat dah jadi saingan pada minat mereka.

Apapun, hakikatnya pergolakan yang berlaku dalam persatuan dan persilatan kita, semuanya berkisar di pusat. Cawangan sering terketepi dalam menentukan masa depan SC. Sebab utamanya ialah perasaan sombong yang ada pada mereka. Apabila menjadi orang kanan dan berada di pusat, maka lebih banyak perasan yang timbul dalam jiwa mereka. Lagak tak tentu hala. Kebolehan kepimpinan cawangan dan pandangan pemimpin cawangan, sering tak diambil kira. Perasan itulah salah satu faktor yang menjahanamkan persilatan SC yang ada. Harap pisang jangan berbuah dua. Dua kalinya. Pisang Awak tak apa.

Sebagai salah seorang yang telah lama berkecimpung dalam dunia persilatan SC, saya dapat lihat perkembangan SC dari dulu hingga sekarang. Saya pernah tulis perkara yang sama dalam blog terdahulu. Akan tetapi penulisan ini adalah berdasarkan tafsiran dan analisis saya yang semakin matang umur dan pemikiran. Dulu tulis berdasarkan IT. Namun begitu, pemikiran dan kefahamannya tetap sama.

‘Ada soalan, saya jawab’. Jawapannya adalah berdasarkan pada pemikiran benar dari diri sendiri. Sekurang-kurangnya ada bahan rujukan untuk memahami proses perkembangan Guru Utama yang bergelar. Secara tuntas, saya yakin atas kebenaran penulisan ini. Tak ada kepentingan diri. Selesai untuk tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 10/12/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: