RSS

54.7. KEINGINAN MENJADI GURU UTAMA.

08 Dec

Guru Utama Pewaris Mutlak Silat Cekak.

Cuba kita lihat perkembangan Persatuan SC asal yang ditinggalkan Ustaz. Persatuan Cekak Malaysia. Setelah berlaku pergolakan, En Mat disingkirkan. Presiden yang ada masih kekal pada orang yang sama. Seperti yang saya simpulkan, pergerakan mereka adalah dalam nafas baru. Semuanya bernafas baru. Kali ini mereka dipimpin oleh Presiden merangkap Guru Utama yang juga bernafas baru. Mandat perguruan telah tiada kerana diserah pada En Mat. Yang ada hanya tinggal kuasa yang diberi oleh persatuan untuk terus memimpin persilatan. Itulah Guru Persatuan namanya.

Guru Persatuan ini sedar betapa gelaran barunya adalah berkait rapat dengan usaha para pendokong SC yang berlegar di sekelilingnya. Kalau bukan kerana usaha mereka, pasti gelaran Guru Utama tak merasa lagi. Ucapan terima kasih perlu ada. Jasa mereka tak boleh dilupa begitu saja. Ada ganjarannya. “Ada ubi ada batas, ada budi ada balasnya”.

Konsep persilatan dan persatuan yang bersepadu masih dikekalkan. Oleh itu, jawatan Presiden adalah juga berupa Guru Utama. Soal mandat bukan lagi menjadi perkara utama. Tak ada mandat pun SC boleh digerakkan melalui persatuan yang ada. Peraturan persilatan tidak semestinya diiktiraf oleh peraturan persatuan.

Nampaknya nasib En Mat sama saja. Mereka yang menguasai persatuan mula mengenakan tekanan padanya. Ayat yang sama juga telah ditiru oleh para pendokong SC ketika En Mat tersingkir dalam pepecahan gelombang kedua. Saya guna sekali lagi ayat yang sama.

“Oleh sebab Persatuan dikuasai oleh mereka, maka mereka mempunyai kuasa yang amat besar dalam konteks persatuan. Maka mulalah mereka menunjukkan kuasa. Cawangan-cawangan Persatuan yang menyokong En Mat, diberi tekanan. Beberapa kelas SC telah ditutup. Ahli-ahli yang menyokong En Mat juga telah dipecat dengan sewenang-wenangnya bagi melepaskan perasaan dendam. Penguasa persatuan telah banyak mengorbankan masa ke sana sini bagi menerangkan kepada pihak-pihak tertentu terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi bagi menyekat aktiviti guru yang ada yang dianggap tidak sah”.

Perkembangan seterusnya, ‘pemergian’ PA tidak menimbulkan sebarang masalah atas lantikan sebagai penjawat jawatan Guru Utama seterusnya. Mandat tidak perlu lagi. Sebabnya, ‘memang dah tak ada mandat pun lagi’. Ada pada En Mat. Maka prinsip Presiden itu ialah Guru Utama masih perlu diguna pakai sepenuhnya. Terlantiklah Presiden yang ada, sebagai Guru Utama Persatuan yang baru. Maka dah jadi tiga Guru Utama SC yang bergelar. Guru Persilatan, Guru Persatuan dan Guru Kontrak.

Krisis kepimpinan tetap melanda dalam kalangan mereka. Dari segi persatuan tentu ada strategi yang dilakukan. Namun begitu, dari segi persilatan, kewibawaan Guru Utama mula tercabar. Guru Persilatan yang ada mandat, tentunya tak sama dengan Guru Persatuan yang terlantik atas kehendak persatuan. Pengawalan atas jawatan Guru Utama Persatuan adalah semakin longgar, sama seperti suasana yang wujud pada Guru Kontrak sebelah sana. Jawatan Guru Utama terbuka luas. Syarat persilatan sudah tidak perlu dipakai lagi. Semua orang boleh jadi Guru Utama. Syaratnya, tubuh persatuan.

Tidak hairanlah dari persatuan tersebut maka muncul lagi Guru Utama baru dengan persatuan SC baru. Semuanya berkisar atas prinsip ingin mengekalkan Pusaka Hanafi. Cita-citanya adalah besar iaitu ingin mengekalkan kembali keaslian SC. Itulah harapannya. Kepimpinan yang ada, tidak memenuhi impian atau kriterianya. Salasilahnya tak tentu hala. Tiba-tiba jadi Guru Utama dek kerana jawatan Presiden yang ada.

Seperti yang dikata, mandat persilatan telah tidak ada lagi dalam kalangan mereka. Jawatan Guru Utama terbuka luas. Semua orang boleh jadi Guru Utama kalau ada hasrat dan cita-cita kukuh. Kalau ada inisiatif, tubuh persatuan baru. Jadi Presiden maka akan jadi Guru Utama.

Hasrat untuk mengembalikan kegemilangan SC, dijadikan ‘pasport’ untuk bertindak. Demi pusaka Hanafi, persatuan baru kena dibentuk. Tapi ‘rohnya’ mesti lama. Ejaan pun mesti lama. Maka wujud lagi persatuan baru. ‘Papan Sekeping dijadikan sandaran’. Automatik Presidennya ialah Guru Utama. Harapannya besar untuk mengembalikan semula kenangan lama. Elok juga bergelar Guru Harapan kerana harapan murninya ialah mengekalkan tradisi persilatan SC yang lama. Mandat sebagai Guru Utama persilatan tetap tidak ada. Tak jadi masalah kerana pengesahan jawatan Guru Utamanya masih bersandarkan pada persatuan yang baru ditubuhkan.

Timbul persoalan yang menarik. Bagaimana kita ingin membezakan antara Guru-Guru Utama yang ada tersebut. Gelarannya sama. Masing-masing berasa ada hak untuk menjawat jawatan tersebut. Bila ada perasaan itu, maka tidak adalah rasa bersalah ketika menjalankan tugas sebagai Guru Utama.

Dari segi persatuan, kebenaran hak sebagai Guru Utama itu adalah nyata. Pakailah apa jenis gelaran pun. Kedudukannya juga sebagai Presiden persatuan adalah terbela. Malah kewibawaannya sebagai guru silatpun adalah dilindungi oleh peraturan persatuan. Walau bagaimanapun, dari segi persilatan, tanggungjawab sebagai Guru Utama adalah aspek yang boleh dipersoalkan. Mandat sebagai guru SC adalah merupakan penentu hak yang utama.

Mandat bukanlah suatu gelaran yang boleh dibuat atau diberi sesuka hati. Mandat perlu ada susur galurnya. Maknanya, mandat adalah perlu diperturunkan dari seorang ke seorang yang lain atas sifat yang sah. PA mendapat mandat sebagai pemegang amanah adalah atas lantikan secara persetujuan ramai para pendokong SC dan ahli keluarga Ustaz. Walaupun Ustaz tidak menunjuk En Mat sebagai ‘penggantinya’ secara umum atau secara terbuka, petanda yang telah saya bincangkan dalam penulisan yang terdahulu membuktikan bahawa sememangnya Ustaz inginkan mandat sebagai Guru Utama itu akhirnya dipertanggungjawabkan pada En Mat.

Setelah En Mat mendapatkan mandat sepenuhnya sebagai Guru Utama dari PA, tanggungjawab sebagai Guru Utama yang hakiki hanya ada pada En Mat sahaja. Mandat yang ada pada En Mat tidak pernah diperturunkan pada sesiapapun. Mandat itu masih kekal pada dirinya, walaupun ketika itu pula lahir lagi Guru-Guru Utama bergelar yang lain. Pastinya pada kita, gelaran Guru Utama pada pelbagai individu itu, adalah tidak sah. Tak ada asal usulnya.

Berdasarkan perkembangan tersebut, jelas pada kita bahawa En Mat sahaja yang menjadi pewaris sah yang mutlak sebagai guru yang bertanggungjawab untuk mengembangkan persilatan SC. Istilah ‘mutlak’ membawa makna gelaran Guru Utama yang ada pada En Mat dalam persilatan SC adalah benar dan lengkap pembuktiannya. Istilah itu juga menunjukkan bahawa hanya En Mat sahaja yang ada hak untuk mengetuai persilatan SC. “Tidak ada orang lain yang berhak pada Silat Cekak melainkan En Mat sendiri”.

Pada saya, untuk menegaskan pendirian kita itu, gelaran En Mat sebagai Pewaris Mutlak Silat Cekak perlu dicanang sepanjang masa. Hebahkan dalam semua perkara termasuk sepanduk yang kita bina. Jangan lupa masukkan gelaran yang ada. “Guru Utama Pewaris Mutlak Silat Cekak”. Itulah gelaran benar yang ada pada En Mat. Tak ada pada guru-guru Silat Cekak yang lain. Tak layakpun guru-guru lain memakainya. Kalau pakai juga, nampak sangat sifat tak bermaruah dan tak ada perasaan malu. Jahil, umpama hidup di zaman batu. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 08/12/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: