RSS

54.6. KEINGINAN MENJADI GURU UTAMA.

05 Dec

Guru Bergelar.

Penyingkiran En Mat dari persatuan dan persilatan, bukan mudah seperti yang dijangka. En Mat juga ada strateginya. Pengaruhnya masih kuat. Hampir keseluruhan pihak cawangan tetap berdiri teguh bersama En Mat. Kesetiaan yang sedia ada pada Guru Utama, tidak mudah berubah. Pelantikan En Mat sebagai Guru utama yang sah adalah jelas. Bukan macam barangan yang boleh bertukar ganti begitu mudah saja. Itu sebabnya para pendokong SC yang menganggotai Jawatankuasa Pusat yang ada, tak berani melibatkan pihak cawangan bagi menentukan masa depan kepimpinan SC. Kalau buat sebarang bentuk mesyuarat agung pun, tentu En Mat akan menang. “Dua campur dua pasti empat”. Tentu terfikir di benak mereka. Tak boleh jadi. Pasti mereka akan ‘tertendang’. Itu sebab mereka menangguhkan sebarang bentuk mesyuarat yang melibatkan cawangan. Pelbagai alasan diberi bagi melengah-lengahkan mesyuarat agung berkenaan. Maklumlah. Mereka ialah para pendokong SC yang berhati ‘mulia’. Pihak cawangan tak setaraf dengan makam mereka.

Dalam situasi pertuduhan, En Mat menyerahkan sementara tanggungjawab menjalankan tugas sebagai Presiden persatuan kepada Jawatankuasa Pusat yang ada. Pada kesimpulan saya, kerelaan tersebut adalah umpama, “Bagai pucuk dicita, ulam mendatang” pada golongan berkenaan. Kesempatan itu dipergunakan mereka dengan sepenuhnya. Pegangan mereka yang sedia ada sejak zaman Ustaz lagi iaitu Presiden dan Guru Utama adalah bersepadu, diguna pakai sepenuhnya. Kalau rela menyerah tanggungjawab Presiden, bermakna En Mat akan rela menyerah jawatan Guru Utama. Itulah fahaman mudah mereka. Ahli yang mengidam jawatan Guru Utama sejak dulu lagi setiap hari memegang tasbih. Berwirid, ‘berapa hari lagi, berapa hari lagi…’. Saya tak nak ulas lanjut lagi.

Strategi yang digunakan oleh para pendokong PA bagi menyingkir En Mat sebelum itu, telah digunakan mereka pula. En. Mat disingkirkan dari persatuan. Walau bagaimanapun, penyingkiran En Mat sebagai Guru Utama Persilatan SC tidak dapat dilakukan mereka. “Mandat” adalah penghalang utama. Tidak ada alasan kukuh bagi En Mat untuk menyerahkan mandat yang ada padanya. Oleh itu, mandat Guru Utama tidak diserah pada sesiapa. Kempunan lagi pada yang mengharapkan jawatan Guru Utama. Termasuk ahli lain yang umpama ‘berbadan dua’. Mengidamkan jawatan Guru Utama. Tersayu hati mereka.

Bagi menyekat pengaruh En Mat, strategi yang digunakan oleh para pendokong PA ketika En Mat disingkir, telah ditiru mereka. Saya petik tulisan saya dari Sepak minang.

“Oleh sebab Persatuan dikuasai oleh mereka, maka mereka mempunyai kuasa yang amat besar dalam konteks persatuan. Maka mulalah mereka menunjukkan kuasa. Cawangan-cawangan Persatuan yang menyokong En Mat, diberi tekanan. Beberapa kelas SC telah ditutup. Ahli-ahli yang menyokong En Mat juga telah dipecat dengan sewenang-wenangnya bagi melepaskan perasaan dendam. Penguasa persatuan telah banyak mengorbankan masa ke sana sini bagi menerangkan kepada pihak-pihak tertentu terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi bagi menyekat aktiviti guru yang ada yang dianggap tidak sah”.

Sifat para pendokong SC sama saja. Kuah tetap tertumpah ke nasi. Kalau sifat pun sama maka tindakan merekapun sama. Kalau sifat positif pun sama maka sifat negatif pun sama. Sifat tamak pun sama. Sifat rakus pun sama. Sifat khianat pun sama. Sifat sombong pun sama. Segala-galanya sama. Perwatakan yang sama. Itulah sifat-sifat para pendokong Silat Cekak yang berlegar-legar hanya di pusat sahaja. Tak ada di cawangan.

Sekali lagi, En Mat tiada pilihan. Ada persilatan tapi ‘tak ada’ persatuan yang boleh menggerakkan persilatan SC. Banyak pengacau. Persatuan yang ada telah dikuasai oleh para pendokong SC. Nampaknya, tindakan yang sama perlu dilakukannya. Silat hanya boleh bergerak kalau ada persatuan. Maka timbullah persatuan baru dengan Guru Utama yang sedia ada. Guru Utama yang masih lagi ada mandat persilatan SC.

Persatuan yang ditinggalkan En Mat, terus dikuasai para pendokong SC yang sedia ada. Namun begitu, struktur organisasinya diubah suai untuk memenuhi cita-cita mereka. Ada Presiden baru. Cuma yang berbeza, Presiden dan Guru Utama telah boleh dipisahkan. Kalau selama ini kesepaduan gelaran presiden dan guru utama adalah merupakan pegangan utama, kali ini nampak akan perubahannya. Ada strategi rupanya.

Kalau tidak dipisahkan kedua-dua gelaran jawatan itu, nampak sangat kepincangan dan cita-cita mereka selama ini. Jadi Presiden maka akan jadi Guru Utama. Tentu ‘bahaya’. Nampak sangat cita-cita mereka yang ada selama ini. Akan mengesahkan andaian bahawa mereka sememangnya ingin jawatan Guru utama. Namun begitu, perlu ada Guru Utama baru. Tak payah jadi Presiden. Jawatan itu biar mereka yang kuasainya. Guru Utama, biar orang lain pula.

Terbentuk pakatan dan ada perjanjian. Itulah Guru Kontrak namanya. Kerelaan menjawat jawatan Guru Utama baru adalah umpama, ‘bulan jatuh di riba’. ‘Pucuk dicita, ulam mendatang’. Pelawaan diterima segera walaupun belum sempat habis bicara. Hasrat yang bertahun, tertunai sudah. Lantaklah tak ada kuasa persatuan. Janji, hajat tercapai. Puas hati.

Konsep Guru Kontrak tidak memerlukan mandat lagi. Saingan menjadi Guru Utama di pihak sana adalah terbuka luas. Maknanya, sesiapapun boleh dilantik sebagai Guru utama. Mandat persilatan sudah tidak bermakna lagi. Saya rasa, pelbagai pihak sedang menyusun strategi. Jawatan Guru Utama tak payah dicari. Sudah ada di depan mata. Hanya memerlukan strategi. Berwawasanlah mereka sebagai wirid setiap hari. Pasti berlaku. Akan timbul pula Guru Wawasan dalam lapangan Guru Utama yang bergelar.

Setakat ini, hanya sekali pepecahan yang berlaku sejak zaman En Mat sebagai Guru Utama, merangkap Presiden persatuan. Apakah yang akan berlaku seterusnya pada persatuan yang ditinggalkan En Mat. Semuanya akan dipengaruhi oleh orang bergelar, ‘para pendokong SC’ yang banyak di sebelah sana. Sejauh mana hubungan baik sesama mereka terpupuk sepanjang masa. Jangan lupa kiasan orang dulu-dulu. “Ada hulu, ada parang. Ada dulu, ada sekarang.” Sesuatu yang pernah berlaku, pasti akan terus berlaku. Insyaallah. Akan gaduh lagi sesama mereka.

Guru Kontrak yang ada, semakin ramai melahirkan anak muridnya sendiri. Pengetahuan mereka pada pergolakan yang ada dalam persatuan mungkin tidak ada. Kemungkinan juga akan timbul fahaman lama. Mana mungkin Guru Utama mereka tak ada kuasa dalam persatuan. Mana boleh jadi. Semangat lama kepimpinan SC akan muncul di dada mereka. Pasti wujud pertentangan pendapat sesama mereka. Akhirnya, berlaku pepecahan. Akan wujud lagi persatuan baru agaknya. Andaian saya. Guru Wawasan senyum saja.

Manakala di sebelah En Mat, perkembangan seterusnya akan banyak dipengaruhi oleh orang-orang kanannya yang ada sekarang. Rata-ratanya bergelar generasi baru dalam SC. Masa akan menentukan persejarahan persilatan SC seterusnya. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 05/12/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: