RSS

54.5. KEINGINAN MENJADI GURU UTAMA.

02 Dec

Timbulnya Guru Utama Yang Bergelar.

Kita boleh lihat betapa golongan orang kanan yang bergelar pendokong SC, sangat berpengaruh dalam menentukan hala tuju persilatan dan persatuan SC. Dalam banyak hal, Guru Utama yang ada, tidak berkemampuan untuk mengawal keadaan yang wujud itu. Seperti yang saya tegaskan, sesama para pendokong atau orang-orang kanan persatuan SC, tidak sehaluan lagi. Mereka sering bercanggah pendapat. Hubungan erat yang terpupuk di satu masa yang lalu, musnah begitu saja. Kepentingan peribadi menguasai diri.

Persilatan SC telah diserah kembali kepada En Mat. Akan tetapi Persatuan SC yang menaungi pergerakan SC gagal dikuasai. Seperti yang sering saya katakan, dalam SC konsep ‘Persilatan dan Persatuan adalah bersepadu’. Konsep itu mula ditegakkan kembali seolah-olah sukar dipisahkan. Kalau ada persatuan, silat boleh dikembangkan. Tapi kalau ada silat tanpa persatuan, pasti tak boleh bergerak lagi. Satu kesalahan. Walaupun berlaku penyerahan mandat dalam persilatan, persatuan yang dikuasai tetap membolehkan PA kekal bergelar Guru Utama. Tak salah dari segi peraturan persatuan, walaupun pincang dalam konsep persilatan. Saya telah ulas hal yang demikian dalam tulisan yang lalu. Prinsip ini telah diguna pakai sepenuhnya oleh para pendokong SC yang mula ‘beralih angin’, dari mendokong SC kepada mendokong PA. Dahan yang rapuh perlu disepuh semula. Prinsip ‘Presiden tetap Guru Utama’ perlu dikuatkuasakan kembali.

Pada kesimpulan saya, suasana wujudnya dua orang Guru Utama dalam SC tersebut adalah terhasil oleh campur tangan ‘para pendokong’ SC sendiri. ‘Strategi persatuan’ digunakan oleh para pendokong PA. En Mat tersingkir dari persatuan walaupun ada mandat dalam persilatan. Apa guna En Mat memperoleh mandat persilatan kalau tak boleh bergerak dalam undang-undang negara kita yang memerlukan persatuan. Oleh itu, perlu ada persatuan. Secara langsung telah mengundang wujudnya dua persatuan SC dengan dua orang Guru Utama.

Perbezaan antara kedua-dua Guru Utama itu ialah En Mat mempunyai mandat sebagai Guru Utama bagi menggerakkan persilatan. Mandat itu sah kerana berlaku penurunan kuasa tanggungjawab sebagai Guru Utama. Jangan cakap paksa-paksa. Satu segi percayakan Bisik Semak. Satu segi yang lain buat cerita PA dipaksa. Hal yang demikian tentunya telah merendahkan kewibawaan PA sendiri sebagai pemegang amanah yang hebat ilmu di dada.

Manakala seorang lagi Guru Utama adalah merupakan bekas pemegang amanah yang telah menyerahkan kembali mandat yang ada. Dah tak ada mandat. Walau bagaimanapun, jawatan Presidennya masih kekal dan membolehkannya menerajui persatuan. Hal yang demikian digunakan para pendokong PA sebagai satu strategi. Oleh sebab prinsip Presiden berupa Guru Utama adalah sentiasa diterima dalam SC maka stretegi demikian diguna pakai sepenuhnya. Maka kekallah PA sebagai Guru Utama walaupun beliau telah menyerahkan mandat kepada Guru Utama yang sedia ada.

Pada saya, gelaran Guru Utama pada PA adalah merupakan satu nafas baru. Saya mengatakan demikian kerana kali ini pelantikannya sebagai Guru Utama adalah kerana kehendak persatuan. Tak perlu mandat persilatan lagi. Mandatpun dah tak ada kerana diserah pada En Mat. Situasi itu mewujudkan dua orang Guru Utama. Satu Guru Persilatan dan satu lagi adalah Guru Persatuan.

Perkembangan SC seterusnya bukan perjuangan meletakkan Pusaka Hanafi lagi di kedudukan yang sepatutnya. Hakikatnya Pusaka Hanafi bukan dokongan utama. Kali ini orangnya pula yang didokong. Pastinya orang itu akan memberi pulangan peribadi pada diri sendiri. Oleh sebab perjuangan SC tidak lagi didokong, maka tidak hairanlah proses penutupan kelas-kelas SC yang bercanggah pendapat sangat rancak dilakukan. Banyak kelas yang terkorban termasuk cawangan saya sendiri. Itulah keadaan yang berlaku apabila SC tidak lagi didokong melainkan orang yang didokong.

Bukan setakat dapat buah silat, buah lain pun dapat dirasa apabila manusia yang didokong. Kenyataan ini juga adalah bagi menjawab soalan yang dikemukan ahli kepada saya. “Kenapa ahli-ahli yang hebat berjuang dalam SC, akhirnya sanggup meruntuhkan persilatan SC itu sendiri”.

Cuba kita singkap sepintas lalu akan kedua-dua persatuan yang telah berpecah dua itu dengan dua orang Guru Utama yang ada. Satu daripadanya ialah Persatuan SC yang asal dengan Guru Utamanya bersandarkan gelaran Guru Persatuan. Dapat mengekalkan gelaran Guru Utama kerana persatuan SC masih lagi dikuasainya.

Satu lagi ialah persatuan baru yang ditubuhkan demi untuk ‘mengesahkan’ mandat sebagai Guru Persilatan untuk menggerakkan SC. Penubuhan persatuan baru sangat diperlukan dalam konteks undang-undang negara. Tanpa persatuan, tak bermakna silat yang ada. Tak boleh bergerak.

Ramai para pendokong SC di zaman Ustaz yang menyebelahi En Mat. Termasuklah mereka yang cuba meniru kehebatan Ustaz. Termasuk juga ahli yang berkeinginan menjadi Guru Utama semasa PA dipilih memegang amanah. Asas pepecahan telah ada. Bukan senang bagi En Mat untuk mengurus manusia yang ada pelbagai agenda. Para pendokong yang menyokong En Mat pastinya menagih simpati atau menagih sesuatu kedudukan dalam pengurusan persilatan dan persatuan. Generasi baru yang ada tentu telah mengikuti sendiri akan perkembangan tersebut.

Pada pemerhatian saya, ketokohan En Mat berbeza dengan Guru Utama sebelumnya. Walaupun masih muda, beliau berkebolehan dari segi persilatan dan persatuan. Tak mudah dikuasai begitu saja. Ada pendirian. Telah ada pengalamannya memimpin cawangan. Ada sifat ketegasannya. Kejayaannya mendapatkan balik amanah sebagai Guru Utama adalah atas kekuatan peribadi dirinya sendiri. Oleh itu, beliau tidak terhutang budi atau bergantung erat pada mana-mana ahli yang bergelar para pendokong SC. Tugas para pendokong yang ada ialah hanya memberi sokongan atas daya usaha En Mat sendiri. ‘Bukan penentu tindakan tapi hanya menyokong tindakan.

Suasana yang ada ketika En Mat mengurus persilatan dan persatuan dan stail kepimpinan En Mat sendiri, telah menjadikan hasrat para pendokong untuk menentukan masa depan SC semakin susah. En Mat ada cara dan ada hala tujunya yang tersendiri. Tak mudah dipengaruhi. Pada pendapat saya, hal yang demikian telah mewujudkan satu halangan pada cita-cita mereka. ‘Kewibawaan’ golongan ini terasa macam dicabar. Apatah lagi, mereka lebih dulu berkecimpung dalam SC, berbanding dengan Guru Utama yang ada. “Lebih dulu makan garam.” Oleh itu, strategi bertukar lagi.

Maka bermulalah situasi yang pernah berlaku di zaman Ustaz. Ada antara mereka yang rajin turun padang untuk berdampingi para ahli. Saya dapat banyak maklumat dari anak didik saya yang bertebaran di kelas-kelas lain kerana berpindah atau melanjutkan pelajaran. Saya difahamkan, timbul kembali watak-watak yang mendakwa diri sendiri hebat kerana mempusakai Pusaka Hanafi. “Kalah Guru Utama yang ada”. Percakapan mereka hanya bersandar pada diri sendiri hingga kehebatan Guru Utama yang ada telah diketepikan. Maka wujudlah lagi individu ahli SC yang menyaingi kehebatan dan ketokohan Guru Utama yang ada. Pengaruh mereka semakin mantap. Kelancaran mereka bertutur sangat mudah mempengaruhi pemikiran ahli supaya menyebelahi pendapat mereka. Kesibukan Guru Utama untuk bersama anak-anak muridnya, telah diambil peluang oleh mereka untuk menyebarkan pengaruh diri. Sama seperti zaman Ustaz. Dua beradik ‘Upin dan Ipin’ pun sangat pandai bermuka-muka.

Teringat saya akan peristiwa yang melanda. Saya timbulkan betapa ‘dua beradik’ itu perlu disingkirkan dari persatuan segera. Nak jadi cerita. Saya pulak yang tersingkir. Dah tulis skripnya dalam blog terdahulu. Tak nak mengungkit, tapi mengenangkan hal.

Apabila golongan yang mendakwa diri mereka sebagai para pendokong SC semakin kuat, mulalah mereka menyusun strategi. Jangan lupa akan konsep para pendokong itu. Hanya mereka yang berada di pusat sahaja yang mendokong. Di cawangan, hanya wujud kaki dokong buah dokong.

Peribadi En Mat dijadikan modal untuk melemahkan kewibawaannya. Sebagai pembela Pusaka Hanafi, mereka rasakan bahawa “En Mat perlu diganti”. Itulah kata mereka. Perhatikan pertuduhan atas kelemahan Guru Utama. Ada banyak pertuduhan. Cuma, satu pertuduhan saja yang diperbesarkan. Apapun, mereka telah berjaya membuka ruang untuk menjawat jawatan Guru Utama. “Pat pat siku lipat, siapa cepat dialah yang dapat”.

Saya telah banyak menulis tentang isu pertuduhan tersebut. Macam-macam jawatankuasa yang dibentuk. Ahli-ahlinya berbalik-balik. Semuanya dari pusat. Para pendokong pusat. Pi mai, pi mai, tang tu. “Dia yang siasat dan dia juga yang menentukan hukuman”. Mesyuarat MMT dijadikan medan utama untuk mendapatkan semula mandat yang ada pada En Mat. Saya difahamkan bahawa mandat itu akan diserah pada abangnya sendiri. No komen. Yang pentingnya, hal yang demikian terbukti betapa mandat adalah prinsip utama untuk mengesahkan pelantikan sebagai Guru Utama. Semua para pendokong SC menyetujuinya. Saya turut serta dalam mesyuarat majlis berkenaan. Masih ada dalam kalangan mereka yang berpegang pada prinsip bahawa mandat yang ada pada En Mat hanya boleh diserahkan pada mereka yang dipilih En Mat sendiri. Maknanya tak boleh paksa-paksa. Serah secara sukarela. Tapi, ketegasan En Mat adalah nyata. Mana mungkin mandat diserah begitu saja. Bukan macam bola sepak yang diminati mereka yang bolanya boleh dipas- pas. Akibatnya, En Mat disingkirkan dari persatuan. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 02/12/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: