RSS

54.4. KEINGINAN MENJADI GURU UTAMA.

28 Nov

Guru Utama Melebihi Satu.

Setelah pemergian Ustaz, orang-orang kanan Ustaz yang dikenali sebagai para pendokong SC, mula bercanggah pendapat. Percanggahan pendapat itu telah menerbitkan bibit-bibit perselisihan peribadi. Wujud sifat-sifat yang tidak baik. Bila berbincang atau menegakkan pendapat, pasti nak menang. Sifat bertolak ansur semakin kurang. Menjadi adat manusia. Apabila berselisih pendapat sering kali diikuti dengan permusuhan. Gelagat peribadi dijadikan bahan utama memperlihatkan kelemahan dan dijadikan cemuhan. Hinggakan pernah saya tulis. Akibat pinjam duit untuk kepentingan persatuan dan lambat bayar, sanggup cabar ke mahkamah.

Perbezaan pendapat ini, mengundang pepecahan. Pepecahan yang berlaku bermakna wujudnya kumpulan-kumpulan tertentu dalam persilatan SC. Umumnya, para pendokong berpecah dua. Keadaan semakin parah. Kepentingan diri menjadi matlamat utama setelah matlamat asal sering terkecewa. Itulah kesimpulan saya pada sikap mereka yang ada. Maka mulalah mereka mencari dahan untuk berpaut.

Saya pernah tulis sebelum ini betapa di zaman Ustaz kerap kali juga wujud percanggahan pendapat. Ketika itu saya juga adalah salah seorang AJK Pusat. Teringat kisah-kisah lama. Terdapat dua kumpulan yang sentiasa bertelagah pendapat. Kerap kali kami akan bertegang leher bagi menegakkan kebenaran masing-masing. Kadang kala saya rasakan bahawa pertelagahan pendapat itu adalah sengaja diada-adakan bagi mendapatkan penjelasan benar.

Walau bagaimanapun, selepas mesyuarat, masing-masing boleh melupakan ‘pertengkaran’ yang baru berlalu. Selalunya ke kedai simpang di Jalan Gurney. Minum bersama. Boleh lupa soal pertengkaran. Begitulah mesranya hubungan. Ikhlas dalam perjuangan. Tak ada kepentingan peribadi.

Malangnya, orang yang sama dulunya mesra dalam hubungan, boleh bertukar jadi ‘musuh’. Kalau bertengkar pasti kesan pertengkaran itu tersimpan dalam hati. Kepentingan diri mula menguasai diri. Seperti yang saya nyatakan dalam tulisan terdahulu, “para pendokong SC mula ‘berasa jemu’ untuk berterusan mendokong SC. Tak dapat apa. Ada benda lain yang boleh didokong. Daripada dokong SC, lebih baik dokong manusianya yang berpotensi memberi pulangan yang nyata. Manusia itu pastinya ada potensi sebagai Guru Utama.”

Pengurusan dan stail kepimpinan PA telah meneguhkan dakwaan peribadi di satu pihak betapa SC mulai malap dan menuju kepada zaman kegelapan. Strategi bertukar arah. Hal yang demikian meneguhkan pendapat kumpulan berkenaan tentang peranan mereka sebagai pembela Pusaka Hanafi. Merekalah yang menganggap diri sendiri sebagai pejuang untuk meneruskan kefahaman Pusaka Hanafi yang hakiki. “Kehebatan Ustaz perlu dipertahankan”. Itulah moto perjuangan mereka.

Ketika awal zaman PA, majlis mengenang kembali tokoh Ustaz Hanafi sering kali diadakan. Kalau tidak secara rasmi, majlis ‘kenangan berjuang bersama Ustaz’ akan diselit dalam majlis-majlis yang ada. Dijemput juga orang-orang tertentu untuk bercerita akan pengorbanan mereka dalam SC. Alasan kukuh ialah buat pengetahuan ahli-ahli baru yang kurang kesempatan bersama Ustaz. Di majlis itu juga pelbagai bentuk ‘syarahan’ dibuat untuk membuktikan kehebatan mereka berjuang dalam SC bersama-sama Ustaz. Strategi.

Akibat tafsiran sendiri tentang perjuangan mempertahankan Pusaka Hanafi maka wujudlah perbezaan pendapat dalam kalangan mereka. Generasi baru yang mula timbul, telah dilibatkan sama. ‘Para pendokong’ juga gelarannya. Pada hal, penglibatan mereka tak cukup lama. Demi mendapatkan sokongan maka penglibatan mereka diseret bersama. Lagi parah pepecahan yang ada.

Oleh sebab pengurusan PA yang sering dianggap ‘lemah’, pelbagai perancangan atau pembaharuan pengurusan diperkenalkan atas alasan untuk menyelamatkan SC. Hasrat menubuhkan Majlis Pemuafakatan dicadangkan bagi maksud mengawal institusi perguruan dalam SC. Saya tahu sebab diberitahu untuk tagih sokongan.

Sesuatu yang menarik perhatian saya, setiap kali satu kumpulan ahli mengeluarkan pendapat, maka akan disanggah oleh kumpulan ahli yang lain. Semuanya para pendokong SC. Apabila ada kumpulan yang bertentangan pendapat menyanggah pengurusan yang dilakukan PA maka akan ada kumpulan yang lain sanggup mempertahankan apa yang dilakukan PA. Soal kebenaran bukan perkara utama. Perkara pentingnya ialah pendirian membangkang. Saya tidak akan menyentuh panjang lebar soal ini. Telah ditulis dalam tulisan terdahulu.

Sepatutnya, penyerahan balik mandat kepada En. Mat tak sepatutnya jadi isu. Tentu ikatan lisan atau tulisan yang saya nyatakan terdahulu membolehkan En Mat berbuat demikian. PA tinggal lama di rumah Ustaz sebelum berpindah. Tentu ada persetujuan antara mereka bersama. Oleh itu, perjumpaan antara En Mat dengan PA tentu ada tujuannya dan tentu ada kaitannya dengan ikatan sebelumnya. Sepatutnya, biarlah guru sama guru yang membuat penyelesaian. Penyelesaian secara ‘anak beranak’. Dalam pita rakaman, jelas sangat hubungan mesra antara mereka. Tak ada unsur-unsur paksa berdasarkan suara yang ada. Mana boleh paksa-paksa. Ilmu Bisik Semak penuh di dada. Nanti bala. Walau bagaimanapun, penyerahan semula mandat telah berlaku. PA pun bersedia untuk pulang ke kampung halamannya. Ketika itulah saya mempelawanya singgah di rumah. Semuanya berjalan dengan baik. Teratur.

Walau bagaimanapun, kerelaan PA menyerahkan kembali amanah Guru Utama telah dijadikan isu pada golongan yang berpaut pada PA. Dahan yang berpaut mulai rapuh. Pasti jatuh umpama cempedak busuk. Dalam SC, kalau dah jatuh tak akan boleh bangun. Mereka pasang strategi. Hal yang demikian telah menyebabkan para pendokong SC bertentangan pendapat. Seperti yang saya ceritakan, tatkala PA datang berkunjung ke rumah saya, tak sempat PA sampai, kereta lain datang dulu. Penuh dengan para pendokongnya. Mereka membuktikan pada saya betapa PA telah teraniaya. Pada hal, PA tak cakap sepatah perkataan pun. Mereka yang sibuk menegakkan kebenaran sendiri. Cukup setakat itu perbincangan saya.

Adatnya, kalau para pendokong SC tidak campur tangan, semuanya beres belaka. Nampak ‘cantik’ akan aliran penurunan kuasa antara Guru Utama yang sedia ada kepada Guru Utama yang baru. Adatnya juga, Guru Utama tetap satu. Apa nak buat. Kepentingan diri mengatasi segalanya. Tempat berpaut semakin rapuh.

Sesuatu yang perlu kita faham, walaupun PA menyerahkan mandat persilatan, akan tetapi mandat persatuan tidak dapat diserahkannya. Sokongan atau persetujuan ahli adalah sangat diperlukan. Kena tunggu mesyuarat agung. Ketika itu, Persatuan SC masih dipimpin PA. Orang-orang kanannya menggunakan isu penyerahan mandat itu sebagai alasan untuk berdiri teguh di belakang PA. Kebetulan juga mereka ada jawatan dalam persatuan. Peraturan persatuan mula ditegakkan. Ramai yang tersingkir. Termasuk saya sendiri apabila saya cuba menegakkan kebenaran melalui surat yang saya edarkan. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 28/11/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: