RSS

54.3. KEINGINAN MENJADI GURU UTAMA.

25 Nov

Kepelbagaian Guru Utama menjadi Nyata.

Saya yakin bahawa pelantikan PA tentunya telah mengecewakan pada mereka yang sangat berharap dirinya terpilih sebagai pemegang amanah Guru Utama. Malangnya terketepi. Tak ada kesempatan untuk menonjol diri. Kempunan jadi Guru Utama. Berasa diri lebih layak. Kempunan mereka ternafi mungkin kerana banyak alasannya. Tak berani nak tuntut secara bersemuka. Mungkin kerana diri mereka tak menjelma dalam mana-mana mimpi. Tak datang petunjuk. Mungkin kerana perwatakan mereka tidak selaras dengan tanggungjawab sebagai Guru Utama. Watak luar dan dalam. Mungkin kerana mereka tidak berani meminta tanggungjawab tersebut kerana perasaan malu masih ada. Masih tak ramai pengikut dan tak cukup sokongan.

Golongan yang berharap ini adalah terdiri dari golongan yang perasan hebat seperti Ustaz. Mereka juga mendakwa bahawa diri mereka adalah para pendokong SC. Maka hiduplah mereka dalam persilatan atau persatuan SC dengan perasaan dan perasan lebih layak sebagai Guru Utama. Jasad mengikut arus tapi hati sentiasa menyimpang. Merekalah yang cuba perjuangkan masa depan SC atas alasan mempertahan Pusaka Hanafi.

Seperti yang dikata, semuanya mesti berada di pusat. Hingga timbul kelucuan. Ada ahli silat yang saya ‘didik’ di cawangan, setelah berada di pusat maka terus dianggap sebagai para pendokong SC. Berkeupayaan menentukan masa depan SC. Orang yang mendidiknya, langsung tidak dipandang lagi. Bukan pendokong tapi dianggap penghalang. Hancok betul. Elok juga ditulis hal yang demikian pada mereka yang suka buat kajian. Cukuplah kesimpulan saya setakat itu. Bukan kesimpulan saya sekarang. Tapi kesimpulan yang ada dalam pemikiran saya sejak dari dulu lagi. Itulah asas pertimbangan saya untuk membentuk pegangan dalam persilatan SC hingga sekarang. Bukan suka mengungkit tapi cuba nak memahamkan mereka yang bertanya akan tajuk tulisan ini.

Kemunculan golongan baru dalam SC yang bergelar para pendokong SC, menjadikan pelantikan PA sebagai pemegang amanah Guru Utama tidak disenangi oleh beberapa watak ahli SC sendiri. Setakat dalam pengetahuan saya, terdapat tiga watak yang menonjol untuk meletakkan diri sebagai layak menjawat jawatan berkenaan. Dakwaan saya amat berasas kerana saya ada pengalaman dan pengetahuan mengenainya. Saya pernah menyentuh hal tersebut dalam tulisan terdahulu. Malas nak sebut nama. Saya bayang-bayangkan saja. Dah tulis dulu dalam ‘Sepak Minang’. Rujuk balik.

Seorang dari mereka, memang hebat dalam masyarakat bandar. Orang lain pun ‘takut’. Bukan main ‘garang’. Ustaz berjaya mendidiknya. Banyak beri sokongan pada Ustaz. ‘Kehebatan’ semula jadinya mungkin menganggap dirinya berkebolehan seperti Ustaz. Tak pernah nampak turun ke kelas kecuali jika ada majlis rasmi. Masa PA, buat silat sendiri. Tak ada siapapun yang ambil peduli. Tapi kegiatannya tak pernah menjadi kudis pada pergerakan SC. Hilang begitu saja. Dah tak ada lagi sekarang ini.

Seorang lagi memang perasan hebat seperti Ustaz. Terpaksa mendiamkan diri apabila tersingkir dari persatuan. Masa PA, mula menonjol diri. Anggap diri lebih layak sebagai Guru Utama kerana ‘isi dan senjata’ SC hanya ada pada dirinya saja. Saya pernah tulis betapa diri saya ‘diculik’ menemuinya. Beliau ada pengikut. Termasuk orang kuat persatuan. Pendokong juga agaknya. Tapi gelagat ahli berkenaan hanya syok sendiri kerana mencari pengaruh setakat bercerita tentang kehebatan diri. Kebetulan pulak, para pengikutnya tidak ada wawasan tinggi. Tak berani buat persatuan baru. Oleh itu, dakwaan layak sebagai Guru Utama hanya berbentuk penglipur lara. ‘Angan-angan Mat Jenin’. Tak ada tindakan susulan bagi mendapatkan jawatan Guru Utama secara bersungguh hati.

Seorang lagi, dinyatakan sendiri oleh PA pada saya. PA perasan akan sikap ahli berkenaan di awal lantikan PA sebagai pemegang amanah. Orangnya sama-sama seangkatan. Berlatih silat bersama dalam kelas pelarasan Ustaz. Kepimpinan PA langsung tak buat peduli. Berterusanlah beliau memendam hati. Tapi, tetap berada dalam persatuan SC yang sedia ada. Memendam rasa agaknya. Akhirnya tertunai juga hajat di hati, apabila sokongan diberi. Dulu, orang lain tak ambil peduli. Tak berani menonjol diri.

Satu perkara yang menarik perhatian saya, kesemua mereka yang saya contohkan di atas, tidak menubuhkan persatuan SC yang baru. Walaupun mereka menganggap diri mereka layak sebagai Guru Utama tetapi mereka masih lagi tidak tergamak untuk mencambahkan persatuan SC yang sedia ada. Pada hal, pengikut mereka telah ada. Adatnya, kalaulah mereka menubuhkan persatuan baru, sudah ada empat orang Guru Utama SC, termasuk Guru utama yang sedia ada. Nampaknya masih ada disiplin bersaing. Menyerong bidang persilatan tapi tak sanggup mendirikan persatuan baru. Perjuangan SC masih lagi terselamat dari berpecah. Boleh lagi dibuat kajian akan disiplin tersebut. ‘Kenapa perasaan tak tergamak itu masih wujud’.

Walau bagaimanapun, disiplin mengawal diri menubuh persatuan baru adalah tidak bertahan lama. Para pendokong SC yang selama ini sentiasa mendokong, sudah tidak larat lagi untuk mendokong. Maka wujudlah satu lagi peringkat apabila membincangkan tajuk keinginan menjadi Guru Utama. Kali ini benar-benar menjadi kenyataan. Dapat jawatan Guru Utama. Impian menjadi nyata. Saya gelarkan peringkat itu dengan merujuk zaman Guru Utama selepas Ustaz. Pastinya zaman PA dan En Mat.

Hanya selepas zaman Ustaz, barulah kumpulan baru yang mengidam jawatan Guru Utama, telah tergamak berpecah. Seperti yang dikata, para pendokong SC telah tidak berkeupayaan untuk mendokong SC lagi. Pandangan dan pendapat sesama mereka, sering bercanggah dan bertelagah. SC telah semakin ‘hantap’, tapi keupayaan diri untuk mendokong, semakin lemah. Tak cukup tenaga. Nak makan daging peha kambing pun hanya terdapat di sebelah utara. Oleh itu, saya rujuk zaman pepecahan itu sebagai peringkat zaman Guru Utama selepas Ustaz.

iv. Peringkat Zaman-Zaman Guru Utama Selepas Ustaz.

Kepimpinan PA tentunya tidak sama dengan Ustaz. Ketokohan PA agak sukar menyamai Ustaz. Kehebatannya hanya terserlah dalam persilatan, kurang terserlah dalam pengurusan. Dalam situasi ini, mereka yang mengangap diri hebat seperti mana Ustaz, semakin menonjol diri. Mungkin dari segi persilatan, mereka mengalah atas kewibawaan PA. Akan tetapi dalam pengurusan persatuan, kehebatan mereka lebih terserlah. Saya juga telah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan Blog Sepak Minang.

Strategi bagi menentukan masa depan persilatan SC telah menyebabkan para pendokong SC mula berpecah. Seperti yang saya katakan, para pendokong SC mula berasa jemu untuk berterusan mendokong SC. Tak dapat apa. Ada benda lain yang boleh didokong. Daripada dokong SC, lebih baik dokong manusianya yang berpotensi memberi pulangan yang nyata. Manusia itu pastinya ada potensi sebagai Guru Utama. Pada pandangan saya, itulah titik tolak peralihan perjuangan; dari berjuang mempertahankan persilatan SC dan persatuan yang ditinggalkan Ustaz, kepada perjuangan mementingkan kehendak diri. Tak kira apa yang akan berlaku. Asalkan puas hati. Mendokong SC tidak menampakkan hasilnya lagi. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 25/11/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: